Monday, August 31, 2009

KABINET NAJIB BERCELARU

Banyak pihak yang mempersoalkan pembentukan kabinet yang dilakukan oleh Najib tidak lama dahulu. Kabinetnya dianggotai oleh orang yang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 dan ada juga yang langsung tidak menyertai pilihan raya. Oleh sebab itu, ramai orang berpendapat kabinet tersebut tiada kualiti dan tiada kredibiliti. Dr. Mahathir sendiri menganggap kebinat tersebut masih mengekalkan orang yang tidak bersih.

Baru-baru ini, Najib mengesahkan kabinetnya bercelaru apabila melantik Dato' Idris Jala sebagai Menteri Tak Berpotfolio di Jabatan Perdana Menteri. Di samping itu, dia turut dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Prestasi Pengurusan (PEMANDU).

Dengan dua tugas itu, dia dikehendaki menyelia pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan melaporkannya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Pelantikan seorang menteri untuk memberi laporan kepada menteri yang lain tidak pernah berlaku di mana-mana negara pun di dunia ini, kecuali Malaysia.

Ramai orang berpendapat bahawa pelantikan Idris menjadi penanda kecelaruan kabinet Najib dan terdapat menteri yang tidak dapat melaksanakan tugas dan KPInya rendah.

Pada masa yang sama, rakyat mempersoalkan KPI Najib sendiri yang sering membuat keputusan tidak tepat dan gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Di samping itu, ada juga pihak yang mempersoalkan prestasi Idris. Dia terbukti hebat dalam pengurusan sumber manusia semasa bertugas dengan Shell. Kejayaannya semasa menjadi CEO MAS terserlah pada tahun pertama sahaja, itu pun disebabkan oleh penjualan bangunan MAS.

Selain mempersoalkan KPI Najib, rakyat kesal dengan kesilapan keputusan yang dibuat oleh PM hingga menyebabkan permasalahan tidak dapat diselesaikan. Sungguh malang nasib rakyat Malaysia berPMkan Najib.

Sunday, August 30, 2009

HUKUMAN ROTAN DAN KEPALA LEMBU

HUKUMAN ROTAN

Hukuman sebat yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Kuantan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno kerana minum arak telah mengundang perhatian luar biasa masyarakat. PM turut memberi ulasan tentang isu ini. Namun demikian, ulasan yang diberikan tidak tepat. Keputusan itu dilihat seolah-olah zalim dan menyeksa pesalah.

Namun demikian, hukuman itu tidak bertepatan dengan ajaran Islam yang sebenar. Tatacara pelaksanaan sebatan itu tidak sama dengan hukuman di bawah undang-undang sivil. Tujuannya adalah untuk mendidik dan memberi pengajaran kepada umum.

Kekecohan timbul apabila PM memberi saranan supaya pesalah membuat rayuan sedangkan pesalah reda menerima hukuman. Selepas itu timbul pula masalah ketiadaan tukang sebat. Ada pula pihak yang mempersoalkan hukuman itu tidak mematuhi hukum Islam sepenuhnya. Dengan kata lain tidak seperti yang dilakukan Rasulullah dan para sahabat. Di samping itu, menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya dianggap sama dengan menghadapi nyamuk aedes dengan menamparnya tanpa menghapuskan tempat pembiakannya.

Kes ini menyerlahkan kepincangan yang berlaku dalam sistem perundangan syariah di Malaysia. Mahkamah Syariah dianaktirikan sedangkan institusi itu menjadi tempat orang Islam berurusan dan mengadu masalah. Kartika menjadi mangsa akibat sikap anak tiri, sikap kerajaan yang tidak sensitif, dan tidak boleh dijangka terhadap kehendak serta keperluan masyarakat Islam di negara ini.

KEPALA LEMBU

Perbuatan sekumpulan 200 orang Melayu di Seksyen 23, Shah Alam dan beberapa NGO yang membantah cadangan pembinaan kuil di kawasan yang majoriti penduduk Islam itu berarak ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan meletakkan kepala lembu yang masih berdarah di situ boleh menjejaskan hubungan antara kaum.

Mereka tidak langsung memperhitungkan sensitiviti kaum India ketika berbuat demikian. Mereka melaung-laungkan protes seperti yang selalu dilakukan oleh penyokong UMNO. Anggota polis hanya melihat sahaja gelagat penunjuk perasaan itu.

Perkara ini tidak boleh dipandang ringan oleh sesiapa pun. Jangan sampai pertelingkahan berlaku gara-gara perbuatan kurang bijak itu. Isu perkauman tidak boleh dibiarkan berleluasa dalam masyarakat majmuk di negara kita. Marina Mahathir menganggap perbuatan itu sebagai kerja Barbarians.

Walau bagaimanapun, rakyat menghargai kesediaan pihak polis memohon maaf atas perkara tersebut, tetapi terkilan apabila kerajaan negeri dituduh lepas tangan. Semua pihak sepatutnya memainkan peranan masing-masing untuk memelihara keamanan dan keselamatan negara. Tuduh-menuduh tidak akan menyelesaikan masalah.

Saturday, August 29, 2009

UMNO/BN SESAK NAFAS

Kekalahan 0-7 kepada PR dalam siri PRK selepas PRU Ke-12 telah menjadikan UMNO/BN sengsara. Kesengsaraan itu ditambah lagi dengan pelbagai percakaran sama ada dalam UMNO mahupun parti-parti komponen yang lain. Kepelbagaian percakaran itu menyesakkan nafas BN ketika ini. Sehubungan itu, perpecahan demi perpecahan menghurungi batang tubuh BN yang semakin mereput.

Pelantikan Hishammuddin sebagai Ketua Perhubungan UMNO Terengganu sehingga kini gagal merungkai perbalahan dalam kalangan ADUN-ADUN UMNO. Mereka semakin tidak suka kepada MB yang dilantik atas restu sultan. Keadaan tersebut menjadi tidak menentu kerana sikap semua ADUN UMNO yang penakut. Kesemuanya takut untuk melompat parti. Bagi mereka, UMNO adalah segala-galanya. Walaupun PR menunjukkan bukti yang signifikan terhadap kebolehan mentadbir, mereka masih kurang yakin. Hal itu disebabkan mereka terlalu sayangkan laba rasuah yang sentiasa terhidang di hadapan mata. Penyeberangan akan menyebabkan peluang tersebut hilang begitu sahaja. Sebab itulah negeri kaya itu tidak maju sampai sekarang.

Percakaran juga menjadi barah dalam PPP. Kayveas dan Murugiah terus berperang untuk menjadi presiden sekalipun ROS telah mengesahkan bahawa Kayveas yang berhak untuk memegang jawatan itu. Hal ini menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin parti komponen BN gila kuasa.

MIC menerima nasib yang sama apabila Presidennya tidak jemu-jemu menyokong calon tertentu untuk menjadi orang bawahannya. Sokongan terhadap individu pilihannya dinyatakan secara terang-terangan. Samy menjadi presiden parti yang bukan sahaja gila kuasa malahan juga mempraktikkan ciri-ciri kediktatoran. Dengan demikian, semakin banyaklah orang India yang anti-MIC.

Pergeseran terbaru berlaku dalam MCA. Pemecatan Chua Soi Lek menimbulkan kemarahan penyokong-penyokongnya. Pada masa yang sama, kredibiliti Presiden MCA sendiri sedang dipersoalkan oleh bukan sahaja rakyat terbanyak malahan juga ahli-ahli MCA sendiri. Perpecahan tidak dapat dielakkan lagi. Najib sudah menyatakan kebimbangannya.

UMNO/BN sedang menghadapi krisis kepimpinan yang meruncing sekarang ini. Keadaan menjadi semakin buruk dari hari ke hari. Najib tidak terdaya mengekang perbalahan dalam partinya sendiri, apatah lagi parti-parti komponen yang semakin keras kepala. Dengan kepimpinan yang lemah, UMNO/BN tidak mungkin dapat bertahan lama. Cita-cita PR untuk menggantikan BN mungkin menjadi realiti.

Friday, August 28, 2009

UMNO MENGHINA ISLAM

UMNO sering mendakwa mereka berjuang untuk agama, bangsa, dan negara. Dakwaan tersebut hanyalah penghias bibir semata-mata. Pada hakikatnya, orang Melayu masih belum terbela walaupun UMNO telah memerintah negara ini lebih daripada 50 tahun. Situasi tersebut berlaku akibat sifat tamak para pemimpinnya yang cenderung mengkayakan diri sendiri,kroni, dan suku sakat mereka. Mereka mendakwa DAP menghina Islam. TG Nik Aziz dicela apabila enggan menghentam DAP. Nik Aziz terus dicela apabila mengucapkan "pergi jahanam UMNO" dan "penyokong UMNO tidak akan masuk syurga". Ketiga-tiga perkara itu telah dipolitikkan oleh UMNO untuk menarik sokongan orang Melayu yang semakin menjauhi mereka.

Dengan berbuat demikian, UMNO akan kelihatan memperjuangkan Islam. Namun demikian, rakyat tidak mudah menelan mentah-mentah propaganda mereka. Para pemimpin UMNO telah berkali-kali mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam. Anda boleh menyaksikannya di bawah ini:

NAJIB

Pada 20 April 1983, Najib memberitahu wartawan bahawa, "Negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan."

NAZRI

UMNO terpaksa menggunakan Islam kerana jika parti itu tidak berbuat demikian ia akan hilang undi kepada PAS.

RAIS YATIM

(Dalam masyarakat majmuk)tiada orang yang boleh mendakwa bahawa agamanya adalah agama terbaik dengan mengetepikan agama-agama lain kerana dengan mengatakan demikian akan memusnahkan prinsip (agama) dan prinsip kemanusiaan.

Demikianlah kata-kata yang keluar dari mulut tiga orang pemimpin UMNO. Anda nilailah sendiri sejauh mana Islamnya mereka dan benar atau tidak kenyataan Nik Aziz bahawa UMNO menolak Islam.

UMNO bergerak atas dasar kebangsaan dan sekular. Dasar tersebut bercanggah dengan Islam. Slogan "Hidup Melayu" yang dilaungkan UMNO berkonotasi perkauman. Perjuangan berasaskan bangsa tidak diterima oleh Islam. Islam menjaga kemaslahatan semua manusia tanpa mengira mereka itu Arab mahupun ajam. Orang bukan Islam pun diberi hak dalam Islam.

Sehubungan itu, umat Islam di Malaysia tidak boleh bergantung harap kepada UMNO untuk memperjuangkan Islam. Kekuatan orang Melayu yang majoritinya beragama Islam tidak mencapai tahap yang membanggakan kerana UMNO melaksanakan agama secara berpilih-pilih. Islam pada UMNO hanya dilaksanakan berasaskan kepentingan politik, mengekalkan kuasa politik mereka, bukan untuk melaksanakan Islam yang syumul sebagaimana tuntutan syarak.

Thursday, August 27, 2009

UMNO DAH MULA MERAPU

Fakta yang diberikan kepada umum sebelum PRK DUN Permatang Pasir ialah ahli PAS hanya ada hampir 1,300 orang. Ahli PKR ada lebih kurang 1,300 orang juga. Ahli UMNO ada hampir 5,500 orang. UMNO memang hebat.

Tahun 2008, Ahmad Shahar dapat 5,571 undi. Tahun 2009, Rohaizat dapat 5,067 undi. UMNO cuma kehilangan 504 undi sahaja.

Tahun 2008, Allahyarham Hamdan dapat 11,004 undi. Tahun 2009, Salleh dapat 9,618 undi. PAS kehilangan 1,386 undi. Kata UMNO, "Banyak tu!!!"

Lantas mereka pun berkokok, "Sokongan terhadap PAS menunjukkan tanda-tanda merosot manakala di pihak BN mula menampakkan peningkatan keyakinan akar umbi. Ada peningkatan pengundi Cina dan pengundi baru terhadap calon BN sekali gus mengurang di pihak pembangkang. Pengundi muda kian meyakini BN dan perkembangan ini akan dimaklumkan kepada Kabinet dan Ibu Pejabat UMNO."

Demikianlah ilusi UMNO. Jika kita bandingkan jumlah ahli UMNO di Permatang Pasir dengan jumlah undi yang diperoleh Rohaizat, sudah pasti ramai ahli UMNO yang mengundi PAS. Dari statistik penuh yang dikeluarkan, mungkin ada 10 hingga 15 % pengundi bukan Melayu, golongan muda, dan pengundi atas pagar yang memangkah UMNO.
Peningkatan taik kucing apa lagu tu!

Fakta sebenarnya ialah UMNO semakin disingkirkan oleh rakyat. Lebih parah lagi, ahli sendiri pun berpaling tadah atau tidak keluar mengundi kerana protes. Sehubungan itu, UMNO perlu sedar bahawa parti nasionalis yang perkauman dan sekular tiada tempat lagi dalam masyarakat Malaysia yang mengamalkan politik baru, yakni menyingkirkan rasuah, kronisme, dan nepotisme lalu menggantikannya dengan perpaduan antara kaum, keadilan untuk semua, dan menjunjung tinggi Perlembagaan Malaysia.

PR tidak akan menghancurkan dasar-dasar negara seperti yang didakwa oleh Ezam berkali-kali. Tuduhan lapuk itu sahaja yang dijajanya ke sana ke mari sejak masuk UMNO. Ahli politik yang muflis ini akan hanya memusnahkan UMNO. Para pemimpin yang gagal akan terus memberikan laporan lunak kepada Najib. Jika Najib mudah dibodek oleh para pemimpin yang disebutkan itu, makin cepatlah UMNO sirna dalam dunia politik Malaysia.

Wednesday, August 26, 2009

MUHYIDDIN FRUST MENONGGENG

Memberi alasan memang sudah menjadi kebiasaan bagi UMNO apabila kalah dalam pilihan raya. Muhyiddin mendakwa dia mendapat maklum balas daripada sebahagian besar masyarakat yang meluahkan kebimbangan terhadap masa depan politik kerana diganggu gugat oleh parti pembangkang.

Katanya lagi, rakyat terutama orang Melayu berasa kedudukan mereka tidak lagi selamat jika pembangkang memerintah negara ini berikutan budaya politik dibawa mereka adalah asing.

Dia menegaskan bahawa UMNO adalah teras kepada BN dan Melayu menjadi tonggaknya tetapi bangsa lain bekerjasama erat di bawah BN dan ia terbukti berjaya. Kekukuhan UMNO adalah teras kestabilan politik dan negara.

Pada masa ini pemimpin UMNO tidak boleh menerima hakikat bahawa lawan mereka semakin hari semakin mendapat sokongan dan bertambah kuat. Oleh sebab itu, UMNO yang sedang tergugat, bukan masyarakat. Masyarakat yang mendiami Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor hidup aman sentosa. Tiada bukti PR menganiaya rakyat. Hal ini yang merisaukan UMNO. Sehubungan itu, UMNO menggunakan pelbagai strategi untuk memperlihatkan PR tidak baik. Muhyiddin bercakap ikut sedap mulut apabila mengatakan orang Melayu rasa tidak selamat jika PR memerintah.

Orang Melayu rasa tidak selamat kerana kuasa politik mereka disekat oleh UMNO. UMNO sengaja tidak menambah kerusi Melayu di DUN dan Parlimen bagi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, dan Kedah semasa melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Budaya politik PR memang asing jika dibandingkan dengan UMNO/BN. UMNO/BN mengamalkan rasuah, kronisme, dan nepotisme. PR menolak amalan itu secara total. Oleh sebab itu, rakyat marah kepada UMNO/BN lalu menyokong PR. Para pemimpin UMNO sedar bahawa jika trend itu berlarutan, UMNO akan gulung tikar. Mereka pun menggunakan taktik mengugut dan menakut-nakutkan orang Melayu untuk menarik kembali sokongan orang Melayu. Tindak balas pengundi menunjukkan ugutan mereka tidak dipedulikan. Padan muka UMNO.

Label UMNO sebagai tonggak BN dan teras kestabilan politik negara ialah mitos yang terus dicanang oleh pemimpin Melayu yang sudah muflis. Orang Melayu boleh hidup aman tenteram tanpa kehadiran UMNO. Hujah inilah yang menyebabkan para pemimpin UMNO sakit perut.

Rakyat akan terus menyokong PR tidak kira golongan tua, golongan muda, orang Melayu, orang Cina, orang India mahupun kaum-kaum di Sarawak dan Sabah. Mereka sudah muak diperkotak-katikkan oleh UMNO/BN.UMNO terutamanya dipenuhi oleh orang-orang yang pecah amanah dan tidak boleh dipercayai. Buktinya, calon bermasalah juga dikemukakan di Permatang Pasir!!!

Tuesday, August 25, 2009

TAHNIAH! UMNO MENANG MORAL DI PERMATANG PASIR

Keputusan PRK DUN Permatang Pasir sudah pun diketahui. Salleh Man memperoleh 9,618 undi. Rohaizat Othman memperoleh 5,067 undi. Majoriti berjumlah 4,551 undi. Ucapan tahniah diberikan kepada UMNO kerana berjaya mengurangkan majoriti kemenangan PAS (5,433 - 4,551 = 882).

Kemenangan itu bermakna semua isu yang dibawa oleh UMNO tidak diterima oleh pengundi. UMNO membawa isu pengkhianat bangsa, PAS membenarkan DAP menghina Islam, pergi jahanam UMNO,penyokong UMNO tidak boleh masuk syurga, dan menjadikan Permatang Pasir sebagai anak emas kerajaan persekutuan.

Kegagalan itu juga bermakna PAS berjaya menangkis dan meneutralkan semua isu yang disebutkan itu. Harus diingat bahawa UMNO telah berusaha keras untuk memutar belit isu-isu tersebut untuk memancing undi. Taktik ini telah digunakan dengan jayanya di Manek Urai. UMNO terlupa bahawa pengundi Manek Urai dengan Permatang Pasir bezanya macam langit dengan bumi. Pakar strategi UMNO ternyata masih dibuai kemenangan moral di Manek Urai. Mungkin juga mereka hanya berhasrat untuk mengulangi kemenangan moral itu di Permatang Pasir! Tahniah sekali lagi.

Selain itu, kegagalan tersebut menyerlahkan para pemimpin tertinggi UMNO gagal sama sekali menjatuhkan kredibiliti TG Nik Aziz dan DS Anwar. Sebaliknya, general-general UMNO yang terdiri daripada Muhyiddin, Zahid Hamidi, Ahmad Maslan, Khairy Jamaluddin, dan Shahrizat Jalil yang kehilangan kualiti dan integriti. Mereka perlu berasa malu kepada pejuang-pejuang PAS yang sering mereka perkecilkan.

Pada masa yang sama, isu pengundi hantu yang dimainkan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahrizat Jalil dimatikan oleh SPR dan MAFREL. Langkah kiri UMNO mengemukakan calon bermasalah telah mendatangkan keuntungan yang tidak terkira kepada PAS. Lesen guaman Rohaizat ditarik balik kerana pecah amanah. Gatal mulut Ahmad Maslan menyebabkan rakan kongsinya, Yusri Isahak tampil membersihkan dirinya. Walaupun Yusri membuat u turn kemudiannya, imej Rohaizat yang tercalar hasil kenyataan sahih Majlis Peguam tidak dapat dipulihkan.

Reaksi semerta Muhyiddin terhadap kekalahan itu ialah PAS menghalang penyokong UMNO mengundi. Tuduhan sour grape ini merupakan kali pertama seumpamanya dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi UMNO. Rakyat hairan bagaimana sebuah parti yang nombor wahid infrastrukturnya gagal mengatasi masalah kecil itu. Apakah ahli-ahli UMNO pada abad ini sudah hilang kekuatan fizikal dan mental?

Semuanya telah berakhir. Semuanya UMNO kalah. Sama-samalah kita tunggu PRK di DUN atau Parlimen lain pula selepas ini. Umat Islam wajib meyakini bahawa kesemua perkara yang berlaku di muka alam adalah kehendak Allah Azza wa Jalla.

Monday, August 24, 2009

KHAIRY MABUK PINANG

Khairy yang ternyata mengamalkan rasuah politik semasa memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO tiba-tiba mencabar PR menjawab tiga soalannya mengenai pengundi hantu, PAS tidak diberi jawatan EXCO, dan PAS tidak menyatakan pelan pembangunan kepada penduduk Permatang Pasir.

Agaknya semua rakyat Malaysia tergamam apabila Khairy menimbulkan isu pengundi hantu di Permatang Pasir. Isu ini tidak jemu-jemu dibawa oleh parti pembangkang, terutama PAS sama ada dalam PRK atau PRU di pelbagai tempat. Bantahan dikemukakan kepada SPR berserta dengan bukti-bukti. SPR tidak pernah mempedulikannya. UMNO/BN pula menempelak dan memperkecil-kecilkan tindakan pembangkang itu.

Alih-alih UMNO pula yang kata ada pengundi hantu di Permatang Pasir. Ketua Wanita UMNO pula kata proses itu dilakukan secara terancang. Pada saat mereka ketiadaan isu untuk menghentam PR dan calon mereka pula dihentam bertubi-tubi kerana pecah amanah, UMNO jadi mabuk dan gelabah. Akibat mabuk, Khairy terlupa dia pinjam idea yang sudah semakin 'dilupakan' pembangkang. Cerdiklah sikit. Cari idea sendirilah. Biarlah terserlah lulusan Oxford tu. Macam budak tadika sahaja.

Khairy kata semasa BN memerintah Pulau Pinang, mereka beri jawatan EXCO kepada MIC yang hanya menang satu kerusi. Bila DAP pimpin PR Pulau Pinang, PAS menang satu kerusi tetapi tidak diberi jawatan EXCO. Sekali lagi Khairy menunjukkan ketidakcerdikkannya. Dia memaksa dasar BN diikut oleh PR. Budak Tadika pun takkan ikut. Kerajaan PR Pulau Pinang tidak sama dengan BN. Penduduk Permatang Pasir mentertawakan sikap menjaga tepi kain orang lain yang diamalkan oleh Khairy.

Khairy sekali lagi menyerlahkan kecetekan fikirannya apabila meminta PAS menyatakan pelan pembangunan yang akan dilakukan jika menang di Permatang Pasir. PR yang kini menguasai Pulau Pinang telah merangka pelan itu. Pelan itulah yang diikut oleh semua ADUN PR. Mereka telah membanteras miskin tegar, menaikkan elaun Guru KAFA, serta memberi insentif kepada Hafiz dan Hafizah. Sebahagian yang lain tak payahlah disenaraikan di sini.

Khairy memang patut cermin dirinya dulu sebelum menempelak orang lain. Pengerusi SPR telah mengumumkan bahawa tiada pengundi hantu di Permatang Pasir. Kredibilitinya dipersoalkan kerana gagal kumpul 10,000 pemuda untuk mengutuk DS Anwar. Janganlah kerana tiada kualiti, kredibiliti, dan integriti sebagai pemimpin; nak lepas geram kepada orang lain pula. Nasiblah kalau tak boleh jadi menteri. Orang yang bernasib baik, kalah dalam PRU pun boleh jadi menteri. Kalau takut dilambung ombak, janganlah berumah di tepi pantai.

Sunday, August 23, 2009

KHAIRY DAN SHAHRIZAT PENIPU BESAR

Khairy Jamaluddin bolehlah diiktiraf sebagai seorang yang muflis isu di Permatang Pasir. Dia bukan sahaja membohongi semua pengundi di situ malahan juga seluruh rakyat Malaysia. Tuduhannya tentang kewujudan pengundi hantu didapati tidak benar. Turut sama bercakap bohong sepertinya ialah Shahrizat Jalil. Ketua Wanita UMNO ini tambah lagi kebohongan itu dengan menyatakan bahawa perbuatan tersebut dilakukan secara terancang. Alangkah anehnya PAS yang dituduh berbuat demikian. PAS tidak ada ruang sama sekali untuk melakukannya kerana SPR diperalatkan oleh UMNO, bukan PAS.

Tidak cukup dengan itu, ada satu lagi pembohongan yang dilakukan oleh para pemimpin UMNO. Dakwaan itu ialah terdapat pertambahan sebanyak 1,000 pengundi dalam daftar pemilih terbaru.

MAFREL mengesahkan bahawa terdapat satu kes ramai pengundi guna satu alamat dalam daftar pemilih itu. Didapati kesemuanya tinggal di sekitar rumah itu dan semuanya mendaftar dengan menggunakan alamat tersebut. Sudah tentulah mereka pengundi yang sah, bukan pengundi hantu.

MAFREL turut memberi penjelaskan tentang tidak wujud pertambahan sebanyak 1,000 pengundi dalam daftar terbaru. Fakta sebenarnya ialah jumlah pengundi terkini berkurangan jika dibandingkan dengan daftar pemilih yang lepas.

Khairy dan Shahrizat patut rasa malu kerana membohongi penduduk Permatang Pasir khasnya dan penduduk Malaysia amnya. Mereka sanggup menipu kerana terdesak. Menipu adalah perbuatan yang tidak beretika. Mereka perlu memohon maaf atau mengemukakan bukti kukuh kepada MAFREL dan SPR untuk membuktikan mereka bercakap benar.

Terlalu banyak pembohongan yang dilakukan oleh para pemimpin UMNO di Permatang Pasir. Patutlah calon yang mereka kemukakan pun seorang yang pembohong. Para pengundi di Permatang Pasir, jangan percayakan UMNO. UMNO parti penipu. Sokonglah PAS.

MEMPERJUANGKAN POLITIK BARU DI PERMATANG PASIR

Permatang Pasir menjadi tempat yang sesuai untuk memperjuangkan politik baru. Penduduknya berbilang bangsa. PAS yang mewakili PR telah mengorak langkah ke hadapan jika dibandingkan dengan UMNO. Kelab Penyokong PAS yang dianggotai oleh kaum Cina dan India telah memadamkan imej parti itu sebagai parti perkauman. UMNO terus kekal sebagai parti kebangsaan dan parti perkauman.
Pertembungan antara PAS dengan UMNO dalam PRK DUN Permatang Pasir sangat menarik untuk disorot. Gandingan akrab antara PAS, DAP, dan PKR merupakan sesuatu yang biasa dalam gelanggang politik pada hari ini. Walaupun ada kalanya terdapat perselisihan pendapat antara parti-parti ini, suasana sedemikian merupakan asam garam dalam sesebuah organisasi. Sedangkan lidah lagi tergigit. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum lagi.
Suatu masa dahulu susah untuk kita melihat orang Cina membawa bendera PAS. Susah juga untuk kita melihat pemuda India memasang bendera PAS. Kini semuanya sudah menjadi pemandangan biasa. Kehadiran fenomena ini menandakan bahawa orang Cina dan India sudah mula memahami Islam. Aktiviti ini wajib diteruskan agar suatu hari nanti mereka benar-benar mengenali Islam. Pemahaman itu akan menghapuskan salah faham mereka terhadap kemurnian Islam. Perpaduan ummah yang sebenarnya akan dapat dijayakan. Berbekalkan keikhlasan, kita yakin bahawa Allah akan mengkabulkan cita-cita murni ini.
Perkauman perlu dimatikan di Malaysia. UMNO akan menempah maut jika terus memainkan isu ketuanan Melayu atau terhakisnya kuasa politik Melayu. Suatu hari nanti orang Melayu akan sedar juga bahawa UMNO tidak perlu lagi diberi sokongan jika terus dengan sikap bebal mereka. Hak setiap kaum di negara ini telah tercatat kemas dalam Perlembagaan Malaysia. Hanya penderhaka negara yang tergamak untuk merungkainya. Penderhaka itu akan ditentang hingga ke titisan darah yang terakhir oleh semua kaum di nusa tercinta ini.
Orang Melayu diabaikan di Pulau Pinang selama lebih daripada 50 tahun di bawah pemerintahan UMNO/BN. Hari ini di Permatang Pasir, Zahid Hamidi dan kuncu-kuncunya menghadiahkan telekung, kain pelikat, dan Surah Yassin kepada golongan tua. Agak menghairankan apabila langkah yang sama tidak dilaksanakan kepada golongan belia. Golongan inilah yang lebih memerlukan bimbingan ketika dilanda arus globalisasi yang lebih banyak meruntuhkan daripada membina itu. Sebagai parti yang menolak Islam, para pemimpin UMNO tidak berminat dengan kerja-kerja dakwah. Mereka lebih cenderung mengumpul kekuatan dan merencanakan strategi untuk menumbangkan PR. Mereka ialah wira palsu yang kecundangan.
Memang benar Kerajaan PR Pulau Pinang dipimpin oleh orang Cina. Kerajaan BN Pulau Pinang sebelum ini tidak pun dipimpin oleh orang Arab. Jadi, apa masalahnya? Memang benar ADUN tunggal PAS tidak diberi jawatan EXCO. Yang penting adalah dengan penyertaan PAS, SAR diberi bantuan, guru KAFA dinaikkan gaji, PAS diberi suara dalam GLC, JKKK, dan Majlis Perbandaran. PAS bukan Pak Turut atau diperalatkan DAP dalam PR.
Misi menyatukan rakyat Malaysia mengikut acuan PR perlu diteruskan. Misi mempertahankan Perlembagaan Malaysia perlu dilestarikan. Misi menegakkan institusi raja berperlembagaan wajar diberi keutamaan. Misi mendaulatkan bahasa Melayu dan undang-undang tidak boleh ditolakansurkan. Prinsip-prinsip hidup bersama, memelihara keadilan, dan mengukuhkan dasar negara mesti dijelmakan dalam bentuk realiti.
Rakyat Malaysia yang semakin matang berfikir tentunya tidak mudah menerima retorik kosong para pemimpin UMNO yang penuh dengan gula-gula. Mereka tahu keenakan sementara itu akan berakhir dengan terbitnya keputusan PRK DUN Permatang Pasir pada 25 Ogos 2009 nanti. Mereka tahu UMNO menjadi pembangkang yang lebih banyak berada di luar daripada di dalam DUN setiap kali persidangan. Untuk apa bersusah-susah mengundi mereka walaupun diberi ganjaran yang secebis cuma.

Friday, August 21, 2009

ISU UMNO TIDAK LAKU DI PERMATANG PASIR

UMNO berhajat menggunakan isu pengkhianat bangsa dalam PRK DUN Permatang Pasir. UMNO Johor Bahru melaungkan "Anwar Pengkhianat Bangsa" semata-mata untuk mencabar Anwar menyaman mereka. Tindakan keanak-anakan yang memalukan itu tidak diikuti oleh sesiapa pun. Kasihan UMNO. UMNO Batu Pahat cuba melakukan tindakan yang serupa. Hanya beberapa ratus orang sahaja yang hadir. Gagal lagi. Khairy bertempik mahu mengumpul 10,000 pemuda untuk mengutuk Anwar di Shah Alam. Yang datang 400 orang sahaja. Padan Muka UMNO. UMNO Kuala Terengganu hendak mengumpul tandatangan orang yang menyetujui Anwar sebagai pengkhianat bangsa. Pondok mereka tidak dipedulikan orang yang lalu-lalang di situ. Malunya aku!!!
Sebaliknya, berbakul-bakul pengkhianatan UMNO, termasuk Muhyiddin ditelanjangkan orang di Permatang Pasir. Nampak benar senjata makan tuan. Muhyiddin sendiri tidak dapat membela diri. Apatah lagi Rohaizat, Zahid Hamidi, dan Ahmad Maslan. Shahrizat guna mulut celuparnya menghina PR sebagai peminta yang lingkup kalau tak ada BN. Hanya itu sahaja kepakaran Ketua Wanita UMNO ini.
UMNO juga bercadang untuk menggunakan isu Nik Aziz tak marah DAP yang hina Islam di Permatang Pasir. Riuh rendah satu Malaysia kerana UMNO mengutuk Nik Aziz. Bila dikilas oleh Nik Aziz, ternyata UMNOlah parti yang menghina dan tidak menerima Islam sebagai asas perjuangan. Mulut para pemimpin UMNO pun terkulat-kulat.
Peluang ketiga datang. Cakap Nik Aziz sekali lagi diputarbelitkan. Ahli UMNO tak kan masuk syurga kerana mengamalkan Islam Palestin. Hal itu dipaparkan di muka depan Utusan Malaysia. Muhyiddin meminta Majlis Fatwa mengeluarkan pendirian mereka. Majlis Fatwa kata masuk syurga ke neraka ke urusan Allah. Betullah tu. Harussani pun tumpang sekaki mengutuk walaupun hanya baca laporan akhbar. Sekali lagi dikilas oleh Nik Aziz. Terus senyap.
Nampak benarlah UMNO kekeringan idea. Isu yang dia ada hanyalah beri gula-gula politik, iaitu bantu pesakit, bagi hadiah kepada pelajar cemerlang, bagi dividen kepada peserta FELCRA, dan janji menjadikan Permatang Pasir anak emas. UMNO ingat Kerajaan PR Pulau Pinang tak mampu berbuat apa-apa ke? Janganlah merendah-rendahkan orang lain sampai begitu sekali. UMNO memang sudah terlalu lama sombong, bongkak, dan tidak sedar diri.
Pengundi-pengundi Permatang Pasir akan menolak calon UMNO yang tidak amanah. Pengundi-pengundi Permatang Pasir akan menolak para pemimpin UMNO yang mengkhianati bangsa Melayu. Pengundi-pengundi Permatang Pasir akan menolak UMNO kerana parti itu bersifat perkauman dan sekular.

Thursday, August 20, 2009

UMNO: SUDAH TERANTUK BARU TENGADAH

Hakikatnya, Rohaizat yang pecah amanah. Rakan kongsinya tidak bersalah. Perkara itu telah dijelaskan oleh Majlis Peguam dalam bahasa yang sangat mudah untuk difahami. Apabila Muhyiddin, Zahid Hamidi dan Ahmad Maslan cuba menidakkannya pemilih di Permatang Pasir yang akan mengundi dan rakyat seluruh Malaysia yang sedang mengikuti dengan teliti perjalanan PRK itu menyampah dengan mentaliti berkarat mereka.
UMNO telah tersalah pilih. Mungkin disebabkan sabotaj. Tak kisahlah kalau ada sebab lain sekalipun, yang penting ramai Ketua Cawangan UMNO di Permatang Pasir tidak setuju dengan pilihan itu. Sebelum memilih Rohaizat, sudah pasti pemimpin-pemimpin UMNO beranggapan tiada orang yang tahu pekung itu atau menganggap perkara itu sesuatu yang remeh.
Apabila pekung sudah pecah, harapan untuk Rohaizat menerima sokongan padu pengundi hancur-lebur. Terlalu sukar untuk UMNO membersihkan imej Rohaizat yang tercalar teruk.
Pada masa ini, rakyat menerima pernyataan PR dan beberapa orang veteran UMNO tentang ketandusan pemimpin berwibawa dalam parti itu. Rohaizat sekadar mengesahkan laungan PR selama ini mengenai sikap buruk yang diamalkan oleh UMNO, iaitu rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah, dan sebagainya.
Muhyiddin cuba menjadi hero dalam kes ini. Rohaizat akan memberi kenyataan bersumpah untuk menutup mulut semua pihak yang mencemuhnya. Tindakan terdesak ini amat tidak bijak. Rakyat sudah maklum hampir semua pemimpin UMNO tergolong dalam kategori itu.
Bila nasi sudah menjadi bubur, segala-galanya tidak berguna lagi. UMNO perlu menerima hakikat bahawa sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Sudah terlalu lama UMNO bermain sandiwara. Kini, Allah menunjukkan kepada rakyat belang sebenar UMNO. Tempat yang dipilih pula N11 Permatang Pasir.
Pada masa yang sama, Muhyiddin sendiri sedang digodam. Dia menuduh DS Anwar pengkhianat. Tuduhan tersebut dikembalikan kepadanya.
Pengkhianat sebenar ialah Muhyiddin kerana telah menyalahgunakan harta kerajaan untuk kepentingan parti. Ketika menjadi MB Johor, Muhyiddin telah menggadaikan 51,170 hektar tanah kepada kerajaan Singapura dengan pulangan wang sebanyak RM350 juta. Perkara ini telah didedahkan oleh bekas Setiausaha UMNO, Saudara Osman dan turut diumumkan dalam ceramah Ibrahim Ali di Kuala Nerus, Terengganu pada tahun 2006.
Dalam ceramah di Tanjung Putus sempena kempen PRK DUN Permatang Pasir Muhyiddin berkata, "Saya ingin menjelaskan bahawa saya (semasa menjadi MB Johor) tidak pernah menjual tanah walau seinci pun kepada Singapura dan ini adalah fitnah semata-mata."
Anda lihatlah sendiri bahagian yang diboldkan dalam tuduhan dengan bahagian yang diboldkan dalam jawapan. Pemimpin UMNO dengan akhbar yang mereka kuasai sama sahaja, iaitu pembelit fakta. Orang tuduh lain, jawapannya lain. Jika Osman dan Ibrahim Ali yang menjadi sumber maklumat ini berbohong/memfitnah, Muhyiddin wajib menyeret kedua-duanya ke mahkamah untuk membersihkan nama dan maruah dirinya, bukan menyalak serta menyalahi para pemimpin PR.
Berbekalkan semua langkah kiri itu, dapatkah UMNO menghalang tanggapan negatif pengundi-pengundi terhadap mereka dalam situasi tersebut? UMNO sendiri yang meletakkan diri mereka dalam keadaan itu, bukan orang lain.
Kalau Muhyiddin sendiri terpalit dengan amalan khianat terhadap bangsa sendiri, bagaimana dia sebagai Pengarah Pilihan Raya N11 Permatang Pasir bagi mewakili BN 'membersihkan' Rohaizat yang pecah amanah? Kedua-duanya 2 x 5 sahaja.
Rakan kongsi Rohaizat, Yusri Isahak telah menceritakan kedudukannya yang dikambinghitamkan dalam kes pecah amanah itu. Rohaizat telah menggunakan wang pelanggan untuk tujuan lain, kemudian tersangkut, tidak mampu memulangkannya kepada pelanggan, dan tidak menghadiri perbicaraan dengan Majlis Peguam untuk membela diri. Rohaizat seorang peguam yang tidak amanah dan pengecut, bukan 'wira' seperti yang dilabelkan Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO.
Tiada harapan lagi untuk UMNO memulihkan keadaan. Keputusan yang dibuat oleh Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang itu ternyata tersasar jauh dan mengundang masalah, bukannya menyelesaikan masalah!!! Walau bagaimanapun, berani buat beranilah tanggung.
KEKALKAN KEMENANGAN UNTUK RAKYAT
ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN
PAS FOR ALL

Wednesday, August 19, 2009

TUMBANGKAN UMNO/BN DI PERMATANG PASIR

Perbalahan dalam kalangan parti-parti komponen BN semakin hari semakin merebak. Murugiah vs Kayveas yang seolah-olah selesai, nampaknya belum juga tamat. Pendaftar Pertubuhan (ROS) memperakui kesahan pemecatan Murugiah dan kedudukan Kayveas sebagai Presiden PPP. Murugiah yang tidak puas hati akan menyaman ROS. Kayveas yang gembira dengan keputusan itu meminta PM menggantikan Murugiah dengan pemimpin PPP yang lain bagi mewakili parti itu dalam kabinet. Najib yang sedang berserabut memikirkan pelbagai bencana yang menimpa BN belum membuat keputusan. Katanya hendak menunggu kenyataan rasmi dari ROS. Lebih lambat perkara ini selesai, lebih besarlah perpecahan dalam parti nyamuk BN itu.
Ong Tee Kiat diberi 'derma' sebanyak RM10 juta oleh Tiong King Sing. Kemudian dibenarkan menyewa lapan blok bangunan untuk Kolej TAR hanya RM1 oleh orang yang sama. Dia juga dibenarkan menggunakan jet mewah persendirian milik Kuala Dimensi Sdn. Bhd. sebanyak lima kali tanpa membayar sesen pun. Selain itu, dia diberikan penginapan hotel lima bintang, iaitu Penthouse Ritz Residences yang sewanya RM35,000.00 satu malam. Mewahnya Presiden MCA ini. Namun demikian, jika benar SPRM berpegang teguh kepada pendirian mereka untuk tidak menyiasat kes rasuah ahli politik, terlepaslah Tee Kiat dan King Sing.
Setelah digemparkan dengan rumah agam berharga RM24 juta, Khir Toyo didakwa mempunyai High Chapparal atau ladang koboi yang disorokkan di sebuah perkampungan Orang Asli di Serendah, Selangor. Katanya dia memelihara kambing dekat rumah dua tingkat atas tanah tol seluas dua ekar itu. Sesungguhnya ini satu lagi pendedahan selain daripada memiliki kereta mewah yang disorok di London. Kaya sungguh mantan MB Selangor ini. Begitu sekali prihatin Khir Toyo kepada nasib rakyat sehingga tidak boleh disentuh oleh SPRM.
Tidak cukup dengan itu, Najib dikatakan menjadi pelanggan APCO Worldwide, sebuah firma perunding antarabangsa yang dikuasai Yahudi. Tujuannya adalah untuk membaiki imejnya yang tercalar di dalam dan luar negara. Tugas tersebut akan dilaksanakan oleh Duta Malaysia ke Amerika Syarikat yang baru, iaitu Jamaluddin Jarjis. Di samping itu, konsep 1 Malaysia didakwa ditiru daripada idea negara Zionis 1980, iaitu 1 Israel. Jika kesemua pernyataan ini benar, negara kita berada dalam bahaya. Mungkinkah agenda ini dibincangkan oleh Zahid Hamidi dengan pemimpin Israel yang hangat diperkatakan itu?
Dr. Mahathir mengatakan calon UMNO untuk sesuatu pilihan raya tidak boleh ada pekung di dada. Tengku Razaleigh mempersoalkan pemilihan Rohaizat untuk bertanding di Permatang Pasir lantaran tiada pemimpin lain yang bersih dalam UMNO Bahagian Permatang Pauh. Ketua Penerangan UMNO pula menyifatkan calon itu sebagai 'hero'. Penasihat Undang-undang UMNO mengesahkan Rohaizat layak bertanding di PRK DUN Permatang Pasir.
Apa-apa pun yang dikemukakan oleh sesiapa sahaja untuk 'membersihkan' Rohaizat kini menjadi sia-sia. Kata Majlis Peguam Malaysia, "Tindakan yang diambil ke atas Rohaizat adalah disebabkan oleh kesalahannya sendiri bukan rakan kongsinya. Dia sudah terbukti pecah amanah. Wang itu pula kepunyaan Koperasi Pekebun Getah!!!" Pernyataan ini yang lebih afdal dipegang oleh pengundi-pengundi Permatang Pasir pada saat ini, bukan cakap Ketua Penerangan UMNO. Bukan cakap Shafie Apdal. Bukan cakap Penasihat Undang-undang UMNO.
Lihatlah apa yang sedang dilakukan oleh para pemimpin UMNO/BN ketika ini. Tiada satu pun yang positif. Pengundi-pengundi di Permatang Pasir perlu menerima hakikat bahawa UMNO tidak perlu diberi muka dalam PRK 25 Ogos 2009 nanti. Elakkanlah memberi kemenangan kepada parti pengkhianat itu.
Teruskan kemenangan untuk rakyat, kerana:
ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN, dan
PAS FOR ALL.

Tuesday, August 18, 2009

TERBUKA LAGI PEKUNG DI DADA UMNO

Zahid Hamidi tidak memberi sebarang reaksi terhadap keraguan orang ramai yang diberitahu tentang hubungannya dengan pemimpin Israel. Tidaklah diketahui sikapnya yang pantang dicabar, tiba-tiba sahaja menikus. Jalan yang dipilihnya itu telah menyebabkan rakyat tertanya-tanya dan meragui perbuatannya. Jangan salahkan rakyat apabila menuduhnya yang bukan-bukan.
Kini dia meletakkan kor angkatan tentera pula di pondok UMNO untuk memancing undi. Pengundi Permatang Pasir sedang digula-gulakan dengan rawatan dan perubatan percuma. Gula-gula politik ini sama tetapi berbeza rasa dengan yang ditaburkan di Manek Urai. Nampak benar UMNO ketandusan idea.
Najib sudah terkantoi apabila menyalakan pelita untuk satu upacara agama Hindu. Dia sekali lagi terkantoi apabila melanggar fatwa dengan mengalungkan bunga di Tugu Negara sempena Hari Pahlawan. Semua rakyat tahu akan hukumnya.
Satu lagi pekung UMNO terbuka luas di Permatang Pasir apabila Bar Council menyatakan bahawa calon BN, Rohaizat disenaraikanhitamkan dan tidak boleh lagi menjadi pengamal undang-undang kerana pecah amanah. Pekung ini menjadi tamparan terhebat terhadap menjunamnya sokongan pengundi kepada calon UMNO itu. Pengundi-pengundi Permatang Pasir tidak akan membenarkan seorang YB yang tidak bermoral mewakili mereka.
Pemilihan Rohaizat bukan sahaja menunjukkan UMNO ketandusan pemimpin yang bersih malahan juga terbukti menyokong penuh perbuatan-perbuatan keji seperti rasuah, salah guna kuasa, kronisme, dan sebagainya.
Tuduhan ini dibuat berasaskan laku perbuatan UMNO yang dapat disaksikan oleh sesiapa sahaja di negara ini. Buktinya juga nyata. UMNO telah diperangkap perbuatan sendiri sebelum berjuang di Permatang Pasir.
PAS yang mewakili PR mempunyai peluang cerah untuk menang. Walau bagaimanapun, mereka perlu berhati-hati agar tidak tersalah langkah. Jika tersepak batu di jalanan akan jatuh tertomoih menyembah bumi. Oleh sebab itu, serahkan semuanya kepada Khalik sambil berusaha tanpa jemu dan penuh keikhlasan.
ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN.
KEKALKAN KEMENANGAN UNTUK RAKYAT.

Monday, August 17, 2009

UMNO KEJI

Namakan parti Melayu yang sekular di Malaysia? UMNO. Namakan parti Melayu yang memperjuangkan semangat kebangsaan di Malaysia? UMNO. Apakah nama parti Melayu yang berteraskan perkauman di Malaysia? UMNO. Apakah nama parti Melayu-Islam yang enggan menerima undang-undang Islam sebagai prinsip perjuangan? UMNO.
Berikan nama parti Melayu yang menggagalkan DEB kerana rasuah, ketirisan, dan kronisme? UMNO. Berikan nama parti Melayu yang merampas Tanah Simpanan Melayu (TSM) tetapi tidak menggantikannya? UMNO. Tunjukkan sebuah parti Melayu yang mengorbankan 3 juta pelajar kerana melaksanakan PPSMI? UMNO. Tunjukkan sebuah parti Melayu yang telah banyak kali menderhakai raja? UMNO.
Buktikan UMNO sekular. Mereka kata politik suku, agama suku. Buktikan UMNO memperjuangkan semangat kebangsaan. Mereka mendakwa membela nasib Melayu di bibir sahaja. Buktikan UMNO parti perkauman. Slogan mereka "Hidup Melayu" dalam kalangan mereka sahaja. Buktikan UMNO menolak Islam. Presidennya kalung bunga di Tugu Negara walaupun fatwa mengatakan perbuatan itu syirik.
Buktikan DEB gagal. Melayu hanya menguasai 18 hingga 19% ekuiti sahaja dalam ekonomi negara. Buktikan TSM semakin berkurang. Penjajah tinggalkan 3 juta hektar, kini hanya tinggal 1.7 hektar. Buktikan UMNO mengamalkan undang-undang drakonian. Mereka enggan menghapuskan ISA. Buktikan UMNO menderhakai raja. Dato' Onn dibuang ke Singapura oleh Sultan Johor.
Apakah makna semua itu? UMNO melakukan banyak perbuatan keji terhadap bangsa Melayu. Jika demikian, apa yang patut rakyat buat? Gantikan UMNO dengan PR. Beri kemenangan kepada PAS dalam PRK DUN Permatang Pasir.
PAS FOR ALL. ISLAM MEMIMPIM PERUBAHAN.

PEMIMPIN UMNO JUNGKIR BALIK

Mustapa Mohamed

Itu memang perangai pembangkang. Apa saja yang busuk dan buruk kitalah (BN) ... kita ini bodoh, mereka bersih, maksum, tak ada buat silap apa-apa. Memang alasan itu yang sering dimainkan oleh pembangkang. Kalau mereka kalah, akan kata macam-macam (alasan) ... dulu masa mereka kalah, tuduh ada pengundi hantu (mengundi BN), tetapi bila mereka menang seekor hantu pun tak ada.

Shafie Apdal

Ahli-ahli UMNO perlu sedar bahawa tindakan parti pembangkang itu adalah untuk meruntuhkan kekuatan UMNO yang wujud sejak sekian lama.

Ahli-ahli UMNO perlu terus merapatkan saf kerana pembangkang semakin tidak tetap pendirian malah apa yang ditunjukkan mereka adalah kelemahan bukannya perjuangan parti.

Pakatan pembangkang sering berubah pendirian dan tiada perjuangan jitu sehingga mengelirukan rakyat.

Inilah masanya untuk UMNO bangkit dan bersatu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti yang kadangkala dilihat goyah akibat penipuan pembangkang.

Khairy Jamaluddin

Pergerakan Pemuda UMNO mendakwa terdapat pengundi hantu bagi pilihan raya DUN Permatang Pasir pada 25 Ogos ini. Katanya, "Kita dapati beberapa orang Melayu didaftarkan di rumah yang dihuni oleh orang Cina dan ada juga pengundi Cina didaftarkan alamatnya di rumah orang Melayu."

ULASAN (1)

Pernyataan-pernyataan yang keluar dari mulut pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO itu tidak langsung menghairankan sesiapa di negara ini. Mereka sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan sesuka hati. Kata orang tua-tua, "Ikut terbit mulut".

Reaksi yang diberi oleh Mustafa terhadap satu pertanyaan wartawan setelah keputusan PRK DUN Manek Urai diumumkan mempamerkan hati budinya yang sebenar. Dia memang seorang yang busuk hati. Orang yang begini sahaja yang sanggup meminta kerajaan pusat sekat bantuan kepada Kelantan.

Tuduhannya tidak benar. Saksikanlah apa yang dikatakan oleh Khairy. Rakyat tentu tertanya-tanya mengapa begitu sekali UMNO menegakkan benang basah terhadap isu pengundi hantu?

Perkara ini telah dikemukakan pembangkang di Pengkalan Pasir, Lunas, Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Manek Urai, dan lama sebelum itu lagi. UMNO tidak pernah terima. SPR pun tidak pernah terima.

Situasi demikian meletakkan UMNO dan SPR sebagai pihak yang bersalah jika ketika ini kenyataan Khairy diterima oleh sama ada pihak pemerintah ataupun SPR. Sekali gus hal itu bermakna UMNO/BN pernah memenangi pilihan raya kerana dibantu pengundi hantu. Hukumnya di sisi Islam mereka tanggunglah sendiri.

ULASAN (2)

Pemimpin yang seotak dengan Shafie Apdal dalam UMNO memang banyak. Yang mereka tahu hanyalah menyalahkan pembangkang. Pembangkang berniat untuk meruntuhkan kekuatan UMNO. Hakikatnya, UMNO telah meruntuhkan PR di Perak melalui rampasan kuasa. Sekarang beriya-iya pula hendak meruntuhkan kerajaan PR di Selangor. Benarlah kata orang tua-tua, "Paku dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih".

Pembangkang tidak tetap pendirian. UMNO tetap pendirian. Dua kenyataan ini menunjukkan bahawa sampai bila-bila pun UMNO tidak akan menjadikan undang-undang Islam sebagai pegangannya. Biar apa pun yang terjadi, UMNO akan mempertahankan kedudukannya sebagai parti perkauman yang sekular. Oleh sebab itu, mereka berasa dengki apabila PR bersedia mengubah pendekatan berpolitik.

PAS berhak mengubah pendekatan berpolitiknya kerana berpegang kepada motto "PAS FOR ALL" dan "ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN". Prinsip untuk membentuk sebuah negara Islam tidak pernah didelete. Adakah perubahan pendekatan itu termasuk dalam kategori tidak tetap pendirian? Mula-mula dulu manusia tinggal dalam gua batu, kini manusia tinggal di rumah agam yang berharga RM24 juta. Salah ke? Tidak salah. Yang salah dari mana dapat duit buat rumah RM24 juta. Itu saja.

Ahli-ahli UMNO telah membuat pilihan yang salah semasa memilih Shafie Apdal sebagai Naib Presiden UMNO. Dia tidak yakin dengan kekuatan UMNO. Dia kata UMNO jadi goyah kerana penipuan pembangkang. Untuk apa pembangkang nak tipu UMNO? Hasrat pembangkang ialah hendak mengganti UMNO/BN sebagai pemerintah Kerajaan Malaysia. Sehubungan itu, disusunlah strategi. Masa UMNO sedang lemahlah matlamat itu mudah dicapai. Rakyatkah yang bersalah sekiranya menolak UMNO yang enggan berubah?

UMNO memang dilihat terlalu lemah sekarang ini. Bukti-buktinya banyak. Mereka menggunakan polis, SPR, SPRM, tentera, dan mahkamah untuk kekal berkuasa. Oleh sebab itu, polis mengasari demonstran GMI, SPR tak percaya wujudnya pengundi hantu, SPRM berhenti siasat orang politik apabila enggan campur kes Ong Tee Kiat dengan Tiong dan banyak lagi kes yang melibatkan UMNO/BN, tentera buat jambatan gantung di Manek Urai sebagai gula-gula politik, dan mahkamah membelakangkan Perlembagaan Malaysia dalam kes rampasan kuasa di Perak seperti yang dijelaskan oleh N.H. Chan.

UMNO akan tersungkur tidak lama lagi sekiranya dipimpin oleh pemimpin-pemimpin separuh tiang ini. Percayalah!!!

Saturday, August 15, 2009

UMNO SUDAH TERANTUK

Muhyiddin menyatakan UMNO akan menang dalam PRK DUN Permatang Pasir pada 25 Ogos 2009 nanti. Dia bersandarkan pada kenyataan yang direka sendiri. Kononnya PR di Selangor sedang berantakan. Kenyataan itu ternyata meleset apabila Hassan dan Ronnie berdamai. Selisih pendapat dalam organisasi merupakan satu perkara biasa. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hati manusia.

Parti-parti dalam PR bersepakat mengenai pengawalan dan penjualan arak. Kata sepakatnya ialah arak tidak dijual kepada orang Islam tetapi tiada sekatan untuk meminumnya bagi orang bukan Islam. Oleh sebab itu, UMNO berjaya dikedukan melalui isu ini.

UMNO membesar-besarkan isu DAP menghina Islam. Apabila Nik Aziz enggan menegur DAP, Muhyiddin menyifatkan keengganan MB Kelantan itu akan menimbulkan huru-hara. Tuduhan tersebut menyerlahkan imej Muhyiddin sebagai pemimpin yang pendek akal.

Orang yang mengeluarkan pernyataan yang didakwa menghina Islam itu terdiri daripada orang bukan Islam. Mereka memang tidak memahami Islam dengan mendalam. PAS sentiasa berusaha untuk memberi kefahaman tentang Islam kepada pemimpin-pemimpin bukan Islam dalam PR.

Muhyiddin yang mendakwa UMNO memperjuangkan Islam tidak pernah ada agenda khas untuk membolehkan anggota-anggota bukan Islam dalam BN memahami Islam. Hakikatnya mereka menakut-nakutkan pemimpin bukan Islam dengan potong tangan dalam hukum hudud.

Dr. Mahathir pernah mendakwa Nabi Muhammad S.A.W simpan janggut panjang kerana pada masa itu tiada pisau cukur. Najib pernah memberitahu wartawan pada 20 April 1983 bahawa negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan. Rakyat perlu menilai sikap sebenar parti kebangsaan yang sekular dan berunsur perkauman ini terhadap Islam.

UMNO menggunakan pensyarah di menara gading yang pro mereka untuk mengulas pendirian Nik Aziz itu. Sudah pastilah ulasan itu berat sebelah dan memihak kepada mereka. Rakyat sudah lama mengetahui taktik lapuk tersebut.

Kini DAP akan menyaman akhbar pro-UMNO kerana memfitnah mereka atas isu menghina Islam itu. Akhbar yang bukan sahaja semakin lama semakin tidak dibaca oleh orang Melayu malahan juga ahli UMNO itu akan bertambah sengsara dan mungkin berkubur tidak lama lagi.

Persoalan utama yang diperkatakan oleh rakyat pada masa ini ialah darjah keislaman UMNO. Hal ini ditimbulkan kerana kekuatan orang Melayu yang majoritinya Islam tidak dapat mencapai suatu tahap yang boleh dibanggakan gara-gara UMNO mengambil dan melaksanakan Islam secara berpilih-pilih. Sebab musababnya ialah Islam bagi UMNO hanya akan dilaksanakan jika aspek-aspek itu menepati kepentingan politik, untuk mengekalkan kuasa politik mereka, bukan untuk melaksanakan Islam yang syumul sebagaimana tuntutan syarak.

Berbekalkan kepincangan yang sengaja tidak mahu diubah itu, rakyat perlu yakin kepada pejuang Islam yang tulen, yang menolak perkauman, yang menjana perubahan, serta yang menjamin keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama, dan warna kulit.

Friday, August 14, 2009

SINGKIR UMNO SEBELUM TERLAMBAT

Kini sudah terang dan jelas UMNO merestui amalan rasuah dalam kalangan ahli-ahlinya. Pengesahan mengenai perkara itu dapat dipastikan melalui ketidakacuhan UMNO terhadap aduan kes rasuah semasa perhimpunan agungnya yang lalu. UMNO mengharapkan rakyat lupa terhadap perbuatan bedebah itu. Adakah UMNO percaya kepada kata-kata Dr. Mahathir, "Melayu mudah lupa"? Orang Melayu di luar UMNO yang bijaksana sekarang ini akan mengajar mereka.
Ali Rustam masih menjadi Ketua Menteri Melaka walaupun disahkan terlibat dalam rasuah politik. Khairy Jamaluddin diberi jawatan Ketua Pemuda UMNO walaupun telah disabitkan dengan perbuatan yang disamakan dengan makan babi oleh Dr. Mahathir. Khir Toyo bina mahligai berharga RM26 juta. Kesemua ini merupakan bukti nyata UMNO menyanjung tinggi amalan rasuah.
Begitu juga halnya dengan parti-parti komponen BN yang lain. Presiden MCA, Ong Tee Kiat menerima RM10 juta daripada Tiong yang ada hubungan dengan Zon Bebas Pelabuhan Kelang.
Demikianlah penanda jelas tentang sifat tidak bersih dalam kalangan pemimpin UMNO khususnya dan pemimpin BN amnya atau sekurang-kurangnya terpalit kerana merelakan diri bersekongkol dengan barisan perasuah. Kata orang tua-tua, "Seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit."
Wang menjadi wadah perjuangan UMNO/BN. Tanpa wang, UMNO tidak akan ke mana-mana. Apabila manusia dikuasai materialisme, fokus utama akan diberikan kepada mengumpul harta kekayaan. Inilah punca yang menyebabkan pemimpin terdorong untuk mengamalkan rasuah. Kesannya ialah kepentingan diri mengatasi pembelaan terhadap rakyat.
Perasuah yang tegar tidak mungkin bekerja untuk membanteras kemiskinan tegar. Sebab itulah golongan miskin tegar besar jumlahnya di Sabah, Terengganu, dan Perak. Itu jugalah sebabnya DEB gagal mencapai matlamatnya dan jumlah terbesar rakyat yang berpendapatan di bawah RM1,000.00 terdiri daripada orang Melayu.
Harus diingat bahawa kemiskinan tidak terhad kepada orang Melayu sahaja. Orang India lebih jauh tidak bernasib baik jika dibandingkan dengan orang Melayu. Dalam kalangan orang Cina pun masih wujud kemiskinan. Pendek kata, kemiskinan bukan sahaja milik Melayu dan Bumiputera malahan juga kaum-kaum lain di negara ini.
Golongan muda yang terpelajar dan peka tentang hal ini menyimpan perasaan tidak puas hati terhadap UMNO/BN. Sama seperti pengundi dewasa, mereka tidak boleh terima pemimpin yang senang-lenang membiarkan rakyat jelata hidup "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang". Penganiayaan ini tidak boleh dibiarkan berlaku secara berterusan dalam tempoh yang lama. Ketidakadilan perlu dihentikan.
Situasi terkini memerlukan campur tangan aktif untuk membanteras perasuah melalui pilihan raya kerana SPRM nampaknya tidak boleh diharap. Mereka cepat bertindak bila ada aduan yang berkaitan dengan pemimpin PR, tetapi tidak pandang pun aduan rasuah yang dibuat terhadap pemimpin-pemimpin BN. SPRM nampak kuman di seberang lautan, tak nampak gajah di depan mata.
Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab pengundi-pengundi di Permatang Pasir untuk menyingkirkan UMNO seperti yang telah dilakukan oleh pengundi-pengundi di Parlimen Permatang Pauh, Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau, DUN Penanti, dan DUN Manek Urai. Kita kekalkan kemenangan untuk rakyat. Biar UMNO terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!! Biarkan!!!

Thursday, August 13, 2009

UMNO PARTI PENGKHIANAT

Tentu ada sebab tiba-tiba sahaja TS Muhyiddin melabel DS Anwar sebagai "Pengkhianat Bangsa". Tidakkah UMNO menjolok sarang tebuan dengan serangan itu? Yang dilihat oleh orang ramai ialah UMNO sedang terdesak kerana ketandusan idea. Sebab musababnya ialah mereka tersangat kecewa melihat keeratan hubungan dalam kalangan PR.
Setakat ini, PR amat elergik dengan perkauman; kesalahan rasuah dalam PR tidak dapat dibuktikan; penyelewengan tidak berlaku dalam PR; PR menentang keras dasar drakonian; PR belum pernah menderhaka kepada raja; kerajaan PR mengutamakan tender terbuka; dan kronisme bukan satu ciri PR.
Pemimpin UMNO mengkhianati amanah rakyat melalui skandal penyelewengan dana awam atas nama komisen pembelian senjata. Saham, kontrak, dan lesen yang diperuntukkan kepada Bumiputera diberi kepada keluarga dan kroni.
Pemimpin UMNOlah yang menghina institusi raja pada tahun 1983 dan 1993. UMNO menghina Islam dengan memperbanyakkan lesen judi; menggadai gunung dan bukit kepada tauke-tauke judi; sehinggakan saham Bernas pun dijual kepada syarikat asing.
Pemberian tender secara runding terus juga merupakan pengkhianatan terhadap orang Melayu. Banyak makmal komputer di sekolah kebangsaan yang bermasalah dan rosak hingga mengganggu pembelajaran anak Melayu. Bukan sahaja bumbung stadium yang baru siap boleh runtuh malah kompleks renang pun serap air. Kedua-duanya dibina di negeri bermajoritikan orang Melayu. Tidakkah perlakuan ini menunjukkan UMNO mengkhianati bangsa Melayu.
Bukti jelas UMNO mengkhianati orang Melayu adalah pemberian saham kepada kroni. DS Najib memberitahu orang ramai dalam ucapannya bahawa saham DEB untuk Bumiputera diberi kepada Dato', Dato' Seri, dan Tan Sri yang selalu duduk di hadapan ketika majlis-majlis kerajaan diadakan. Rakyat miskin di Trong, Kuala Ibai, Bukit Selambau, Penanti, Manek Urai, dan Permatang Pasir dapat kuahnya sahaja.
UMNO jugalah yang menarik balik royalti minyak Terengganu semasa diperintah oleh PAS. Wang ehsan digunakan untuk memberi projek membazir kepada kroni. Ahli JKKK dapat kuah juga. Sejak tahun 2004, Kelantan dinafikan hak untuk mendapat royalti minyak. UMNO memang mengkhianati rakyat Kelantan yang majoritinya Melayu.
Jika UMNO terus mempropagandakan "pengkhianat bangsa" sebagai modal kempen pilihan raya, jangan haraplah pengundi-pengundi di Permatang Pasir terpedaya dengan taktik murahan itu.

MENUNGGU DUN PERAK DIBUBARKAN

DUN Perak pasti kecoh lagi. Sivakumar akan mengadakan sidang DUN pada September 2, 2009. Pelbagai perkara seumpama ini akan terus berlaku selagi DUN Perak tidak dibubarkan.

Perihal pembentukan Kerajaan Haram BN di Perak sudah diketahui oleh rakyat. Perihal pelantikan Speaker Haram melalui subDUN juga telah ditonton oleh bukan sahaja rakyat Malaysia malahan warga dunia.

Desakan supaya DUN Perak dibubarkan bukannya datang dari PR sahaja, orang UMNO sendiri mengusulkannya, pengamal undang-undang pun mencadangkannya, ahli-ahli akademik turut berada di gelanggang yang sama, begitu juga dengan NGO. Yang terus membisu ialah BN sahaja.

Kekecohan tidak akan mengubah keadaan. Pencabulan perlembagaan negara demi pengekalan kuasa tidak akan bertahan lama. Kesemuanya akan menambah parah lagi luka di hati rakyat. Mereka mahukan kerajaan yang sah yang mereka sendiri pilih, bukan kerajaan melalui rampasan kuasa dan paling tadah ADUN yang tidak bertanggungjawab.

UMNO sedang dibebani pelbagai masalah ketika ini. Isu ISA semakin membengkak. Penyebaran propaganda "pengkhianat bangsa" terhadap DS Anwar nampaknya memakan diri sendiri. Semakin banyak fakta tentang pengkhianatan UMNO terhadap orang Melayu diserlahkan, semakin sesak nafas parti kebangsaan yang sekular itu. Isu rasuah tidak berkesudahan. Kita lihatlah sendiri siapa yang akan merasuah pengundi-pengundi Permatang Pasir dalam PRK yang diadakan pada bulan puasa nanti. Dalam bulan puasa pun UMNO nak rasuah orang ke ?

UMNO perlu menerima hakikat bahawa parti perkauman sudah kehabisan hayat di Malaysia. Era orang Melayu mengunyah semangat kebangsaan telah berlalu. Cabaran dunia tanpa sempadan memerlukan orang Melayu yang kental keislamannya, kukuh ekonominya, membanteras perkauman hingga ke umbinya, dan mendukung konsep hidup bersama dengan semua kaum lain di bumi bertuah ini. Pemimpin-pemimpin yang berjuang merealisasikan hasrat murni ini perlu disokong bukan difitnah.

Wednesday, August 12, 2009

BAHANA PPSMI

Rakyat Malaysia didakwa tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik di peringkat antarabangsa pada awal tahun 1990-an. Oleh sebab itu, Dr. Mahathir mencadangkan mata pelajaran Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris supaya anak Malaysia dapat menguasai bahasa Inggeris serentak dengan sains dan matematik yang secara tabiinya menggunakan bahasa tersebut. Banyak pihak menganggap langkah itu kurang bijak. Jika masalah terletak pada penguasaan bahasa Inggeris, pengajaran dan pembelajaran bahasa itulah yang perlu diberi perhatian khas.
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan di semua sekolah di seluruh Malaysia walaupun ditentang secara berterusan oleh pelbagai pihak. Pelaksanaan dasar ini bukan sahaja melanggar Perlembagaan Malaysia tentang penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan malahan juga menganiaya anak-anak Melayu dan Bumiputera yang majoritinya mendiami kawasan luar bandar dan pedalaman. Dua kawasan ini tidak mempunyai akses yang kuat dengan bahasa Inggeris.
Lantaran itu, murid-murid Melayu dan Bumiputera tidak dapat mengikuti mata pelajaran Sains dan Matematik dengan baik serta menjunamkan minat mereka terhadap dua mata pelajaran tersebut. Hal ini telah dibuktikan oleh hasil penyelidikan yang dilaksanakan oleh para ilmuwan dari pelbagai universiti di Malaysia. Penyelidikan itu juga telah membenamkan hujah kuno Dr. Mahathir.
Penyelongkaran maklumat membuktikan bahawa dasar ini berudang di sebalik batu. Banyak syarikat yang mendapat untung berlipat kali ganda melalui kontrak membekalkan peralatan-peralatannya.
Tak tahulah sama ada masih ada lagi orang hilang akal lalu meyakini teori nak bagus bahasa Inggeris kena belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Kerajaan dan Kementerian Pelajaran Malaysia bermati-matian mempertahankan PPSMI semasa rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat berdemonstrasi menuntut dasar itu dihapuskan. Malah kementerian pelajaran sering menggunakan keputusan baik UPSR, PMR, dan SPM dalam mata-mata pelajaran itu untuk membuktikan kejayaan dasar tersebut. Ramai orang yang kurang yakin dengan pembuktian itu.
Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) semakin mendapat sokongan dari hari ke hari. Sokongan terhadapnya bukan sahaja diberikan oleh cendekiawan, persatuan penulis, dan pakatan pembangkang malahan juga beberapa orang Sasterawan Negara. Mereka tetap berdemonstrasi walaupun disembur air, dihujani gas pemedih mata, dan dikasari polis.
Akhirnya diumumkanlah penghapusan PPSMI pada tahun 2012. Banyak pihak termasuk GMP tidak berpuas hati dengan tarikh itu. Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan bersahaja mengatakan, "Kira-kira tiga juta pelajar sudah 'terkorban' dan gagal memperoleh sijil, sekali gus tercicir daripada sistem persekolahan kerana kegagalan menguasai bahasa Inggeris sejak dasar PPSMI dilaksanakan pada 2003."
Tambah beliau lagi, "Jika dasar ini tidak dimansuhkan, jumlah keciciran itu semakin membesar dan boleh mencecah sehingga enam juta untuk tempoh enam tahun akan datang."
Pernyataan itu tidak syak lagi mengesahkan dakwaan penentang PPSMI. Rakyat perlu diberitahu jumlah anak Melayu, Bumiputera, Cina, dan India yang termasuk dalam tiga juta itu. Pada masa yang sama, kerajaan perlu memperakui kesalahan yang telah dilakukan dan menyatakan langkah-langkah yang konkrit untuk menyelamatkan mereka yang tercicir itu.
Tiga juta bukanlah satu jumlah yang kecil. Sebelum keadaan menjadi bertambah buruk, rakyat perlu beramai-ramai menyokong GMP untuk mendesak dasar cabuk ini dimansuhkan pada tahun depan. Hanya kebulatan suara rakyat yang dapat menyelamatkan masa depan anak-anak kita.