Monday, November 30, 2009

USAH TERGELINCIR DARI LANDASAN

Isu Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) menjadi hangat ke arah negatif selepas dimasyhurkan sebagai antara 50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia. Pemasyhuran itulah yang menyebabkan TGNA sedang menghadapi pelbagai ujian sekarang ini. Memanglah aneh manusia Melayu yang agama dianutnya Islam berkelakuan seperti itu. Namun, semua orang perlu tahu bahawa kebenaran pasti mengatasi kebatilan. Itu janji Allah. Akhirnya kita akan tahu juga angkara siapa musibah yang melanda kepimpinan PAS Kelantan sekarang ini. Jika mereka orang dalam, bersedialah untuk sirna bersama kejahatannya. Jika mereka orang luar, bersedialah menggigit jari dan dimalukan.

Media ProUMNO memang suka isu ini meleret-leret dan berpanjangan. Bagi mereka, PAS perlu membentengi atau melindungi kebobrokan yang sedang berlaku dalam UMNO ketika ini. Hal busuk dalam kelambu UMNO biarlah tiada yang tahu.

Namun, orang tahu juga. Semuanya terbit dari blog ahli UMNO sendiri. Tidak payah suruh mata-mata gelap siasat. Alangkah teruknya UMNO. Kini UMNO bagai ada pekung yang bernanah dan berulat.

Para pemimpin PAS perlu menginsafi diri ketika ini. Padamkan api kemarahan. Jungkir balikkan hasad yang memusnah ummah. Tegakkan Islam yang sejati. Betulkan nawaitu masing-masing untuk menjadi pembela insan yang teraniaya lebih daripada segala-galanya.

Sunday, November 29, 2009

UMNO GABRA KE?

Banyak pihak masih gila mempersoalkan proses penggantian pemimpin di Kelantan. Isu ini bukanlah sesuatu yang terdesak. Pemimpin PAS pun sudah diminta supaya tidak membuat kenyataan demi kenyataan, terutama kepada media. Media proUMNO akan sentiasa memutarbelitkan dan membesar-besarkan fakta yang tidak sepenting mana pun.

Kemudian dihebohkan pula tentang doa Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) terhadap Najib yang tidak mahu memberi royalti petroleum kepada Kelantan sekalipun pelbagai bukti tentang kesahihan Kelantan perlu di bayar royalti tersebut telah dikemukakan. Bagi semua orang yang siuman, Kelantan bertaraf negeri yang teraniaya. Penduduk yang teraniaya sangat makbul doanya. Itu janji Allah. Tiada sebarang masalah jika perkara ini hendak dilakukan. Mungkin orang yang tidak mahu bagi sahaja yang mula rasa gabra!!! Pakailah konsep berani buat, berani tanggung. Budak sekolah rendah pun tahu hal ini.

Kini sibuk pula isu BTN. Semua rakyat Malaysia tahu BTN ialah pusat propaganda UMNO/BN. Biar berbuih mulut pemimpin UMNO mengatakan sebaliknya, orang takkan percaya. Di situlah orang Melayu dibasuh otaknya untuk menyokong UMNO/BN sampai mati.Bila Selangor tidak mahu memberi kebenaran kepada pegawai-pegawainya menyertai BTN, mereka melenting. Cari sahajalah orang yang sokong UMNO/BN dalam PRU Ke-12 baru-baru ini dan hartarlah ke BTN. Mereka tentu mahu. Buat apa dipaksa orang yang tidak mahu?

Saturday, November 28, 2009

ANTARA PENGGANTI NIK AZIZ, RASUAH UMNO, DAN KEMELUT MCA

Ada pihak yang dengan sengaja membesar-besarkan isu pengganti Tuan Guru Nik Aziz (TGNA). Memanglah menjadi satu perkara yang pelik apabila pemimpin PAS sendiri yang gatal mulut melaung-laungkannya. Yang sebenarnya, tidak ada faedah apa-apa pun dengan riuh rendahnya isu itu. Hentikanlah!!!

Bank Negara Malaysia (BNM)telah membatalkan syarikat pengurup wang yang terlibat dengan pemindahan wang oleh MB Negeri Sembilan. Hakikatnya, tiada sesiapa pun yang membantah dengan tindakan BNM itu. Yang dikisahkan sekarang adalah dari mana MB NS dapat wang dipindahkan itu. Nampaknya semakin bertambahkan kes salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan pemimpin UMNO. Dengan sebab itu, usaha UMNO hendak menghapuskan rasuah hanyalah retorik.

Kemelut MCA tambah kalut. Apa Muhyiddin buat? Nampaknya CC MCA yang menyokong Tiong Lai lebih berani mengugut Muhyiddin. Memang benarlah kata beberapa penganalisis politik bahawa orang Cina lebih pandai berpolitik jika dibandingkan dengan UMNO. Nampaknya UMNO terkena untuk kesekian kalinya. Kasihan!!!

Friday, November 27, 2009

SALAM 'IDULADHA

Jika Ibrahim sanggup berkorban
Jika Ismail sanggup dikorbankan

Bagaimana kita?

Maka kita wajar berkorban
Mengorbankan hasad dengki
Mengorbankan kepentingan diri
Mengorbankan tamak haloba

Kita bina Islam atas dasar tauhid
Kita perkasa iman atas dasar tauhid
Kita kukuhkan takwa atas dasar tauhid

Islam penyatu ummah
Islam penyantun keluhuran budi
Islam pemusnah kemungkaran

Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar

Thursday, November 26, 2009

UMNO PARTI PERUT BUSUK

Pelbagai bukti telah dikemukakan untuk mengesahkan Kelantan berhak mendapat royalti petroleum sebanyak 5 %. Namun demikian, kerajaan UMNO/BN berkeras untuk tidak memberikannya. Mulai tahun 2010, Kerajaan Persekutuan akan memberikan wang ehsan kepada Kelantan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan.

Perbuatan itu menafikan hak Kerajaan Negeri Kelantan yang dipegang oleh PAS menggunakan royalti petroleum untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan. Harus diingat bahawa perkara yang sama dilakukan apabila Terengganu diperintah PAS dari tahun 1999 hingga 2004.

Demikianlah busuknya perut UMNO, parti kebangsaan Melayu tertua di Malaysia. Melayu sanggup makan Melayu hanya kerana berlainan ideologi politik.

Pada dasarnya UMNO tahu PAS mampu membangunkan Kelantan jauh lebih baik daripada negeri-negeri lain dengan wang royalti itu. Rakyat dapat melihat ketidakmampuan Sabah, Sarawak, dan Terengganu membangun dengan wang tersebut. Hal ini berlaku kerana para pemimpin negeri-negeri itu tiada kualiti, tiada kredibiliti, dan tiada integriti. Di samping itu, para pemimpinnya terlalu asyik mengisi tembolok masing-masing dan kroni-kroni mereka.

Wednesday, November 25, 2009

SIAPA LEBIH MAMPU MENYELESAIKAN MASALAH?

Semua orang sudah tahu bahawa mahkamah telah menggantung untuk sementara kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh Kedah. Hal ini telah diduga sejak awal oleh banyak pihak. Maka semakin kuatlah keyakinan rakyat bahawa mahkamah menjadi alat "tunggangan" UMNO/BN.

UMNO yang sedang sesak nafas gara-gara ADUNnya yang pemalas itu tentunya menarik nafas lega. Namun kelegaan itu bersifat sementara sahaja. Mereka terpaksa memberi tumpuan kepada menyelesaikan kemelut dalaman MCA yang semakin gawat.

Muhyiddin menetapkan masa seminggu untuk menyelesaikan kegawatan itu. Awal-awal lagi beliau telah menunjukkan sikap kurang mesra, iaitu menyuruh semua pemimpin MCA tutup mulut. Namun, ada pula suara yang kurang setuju UMNO masuk campur dalam urusan dalaman MCA.

Sekali gus kita mendapat tahu bahawa bukan semua pemimpin MCA yang bersetuju UMNO campur tangan dalam hal mereka. Muhyiddin pasti menghadapi laluan sukar untuk mencari titik pertemuan bagi mengakhiri kemelut dalaman MCA itu.

Sungguhpun Kumpulan Ketiga kelihatan menyepi sejak akhir-akhir ini, tiada siapa yang tahu apa agenda mereka seterusnya. Tiada siapa juga yang tahu pendirian gang Tiong Lai sekarang ini. Betulkah Tee Kiat sudah benar-benar berdamai dengan Soi Lek?

Banyak ranjau dan duri menunggu Muhyiddin dalam kes ini. Barangkali tidak ramai yang menaruh harapan tinggi kepadanya. Gaya berpolitiknya kurang mesra. Sehubungan itu, kredibilitinya selalu dipersoalkan.

Demikianlah bahana yang menimpa BN. Lepas satu datang satu lagi. Yang sedia ada belum selesai, datang lagi masalah baru.

Rakyat perlu melihat sikap pemimpin PAS semasa membuat keputusan untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Kes Kerajaan Perpaduan diselesaikan dengan baik tanpa mengorbankan sesiapa pun. Kes fitnah dalam PMBK sirna apabila CEOnya letak jawatan. Impian musuh untuk melihat PAS berantakan terjun longkang.

Malaysia memerlukan pemimpin Islam yang berkualiti, berkredibiliti, dan berintegriti. Pemimpin sebegini tidak akan menggunakan wang judi untuk membangunkan negara. Pemimpin sebegini tidak akan menggunakan isu perkauman untuk menarik sokongan orang Melayu. Sesungguhnya Islam tidak berteraskan bangsa. Islam tidak menjadikan semangat kebangsaan sebagai dasar perjuangan. Perjuangan Islam dihalakan kepada mensejahterakan semua manusia.

Tuesday, November 24, 2009

TINDAKAN BIJAK PEMIMPIN PAS

UMNO/BN tidak henti-henti melancarkan serangan terhadap PAS. Hal ini dilakukan untuk menjatuhkan imej dan prestasi PAS di persada politik Malaysia. Namun demikian, usaha mereka sia-sia kerana para pemimpin PAS mempunyai kualiti, kredibiliti, dan integriti.

Serangan mutakhir terhadap PAS difokuskan kepada Perbadanan Menteri Besar Kelantan(PMBK). Menantu Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) dihujani pelbagai fitnah. Penyebaran dosa besar itu sudah sampai ke peringkat mencemarkan imej para pemimpin Islam dalam PAS.

Tindakan bijak yang dilakukan oleh para pemimpin PAS adalah mendapatkan persetujuan TGNA memujuk menantunya meletakkan jawatan sebagai CEO PMBK. Kejayaan memihak kepada PAS dalam kedua-dua agenda itu.

Kebijaksanaan inilah yang perlu diberi perhatian oleh rakyat Malaysia. Fitnah tidak boleh dibiarkan kerana penyebarannya akan meruntuhkan institusi politik Islam. Politik Islam mesti dibersihkan daripada sebarang anasir yang membahayakan.

Syukur Alhamdulillah kerana segala-galanya telah selesai. Politik Islam Kelantan kembali stabil. Cakap-cakap tentang perletakan jawatan, cantas-mencantas, dan sebagainya akan sirna dimakan masa.

Pertolongan Allah telah menyebabkan usaha musuh PAS terhumban ke longkang. Biarlah mereka menerima balasan atas perbuatan itu di dunia dan di akhirat.

Monday, November 23, 2009

SISTEM DUA PARTI DI MALAYSIA

Banyak pihak memberi pandangan tentang kebolehlaksanaan sistem dua parti di Malaysia. Ada yang mengatakan rakyat belum bersedia menerimanya. Ada yang berpendapat perbahasan antara pemimpin politik dari dua parti yang berbeza belum menjadi budaya di Malaysia.

Alasan-alasan di atas tidak sebenarnya tidak berasas. Mahu atau tidak pengundi terpaksa memilih satu antara dua calon jika sekiranya pertembungan satu lawan satu berlaku dalam sesuatu pilihan raya. Harus diingat bahawa satu lawan satu akan menjadi budaya jika Pakatan Rakyat (PR) didaftarkan sebagai satu gabungan parti-parti untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN) setiap kali Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil diadakan. Adakah semua orang percaya pengundi tidak akan keluar mengundi apabila PR lawan BN?

Yang paling utama ketika ini adalah mendaftarkan PR sebagai sebuah parti gabungan. Selagi hal itu tidak dilakukan, tak payah cakaplah tentang sistem dua parti.

Sunday, November 22, 2009

KREDIBILITI PEMIMPIN PAKATAN RAKYAT

Ketika media pengampu UMNO sibuk dengan berita karut Husam hendak letak jawatan, kajian bersama Royal Islamic Strategic Studies Center yang berpangkalan di Amman, Jordan dan Prince Alwaleed Bin Talal Center for Muslim-Christian Understanding telah meletakkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) sebagai individu Islam ke-42 paling berpengaruh di dunia.

Pengiktirafan ini dengan sendirinya memadam semua bentuk kecaman, perlekehan, dan tuduhan yang bukan-bukan oleh para pemimpin UMNO terhadap TGNA. Kini ternyata bahawa kesemua perbuatan negatif yang dihamburkan kepada TGNA tidak benar dan berunsur hasad dengki semata-matanya.

Dengan demikian, Pakatan Rakyat mempunyai pemimpin yang cemerlang kredibilitinya. Rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana memperoleh pemimpin seumpama ini. Oleh sebab itu, Zaid Ibrahim tidak salah ketika menamakan TGNA sebagai Ketua Pakatan Rakyat. Tambah Zaid lagi Ketua Pakatan Rakyat dan jawatan PM sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya, tidak semestinya terdiri daripada individu yang sama.

Perkembangan terbaru ini meletakkan Pakatan Rakyat dalam kedudukan yang amat selesa. Bersesuaian dengan keadaan itu, Pakatan Rakyat perlu segera ditubuhkan sebagai sebuah gabungan politik yang sah di sisi undang-undang. Selesaikan semua permasalahan yang berbangkit dengan semangat permuafakatan demi memperjuangkan keadilan sosial untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

PAS for All dan Islam Menjamin Perubahan perlu diperkasakan kerana Islam merentasi semua batasan yang ada di muka bumi. Islam menjamin kesejahteraan terhadap semua manusia tidak kira mereka Muslim atau Non-Muslim. Islam menentang kezaliman dan assabiah. Hak untuk semua insan di bumi Allah ini hanya mampu dipertahankan seandainya manusia berpegang pada al-Qur'an dan Hadith.

Saturday, November 21, 2009

LAGAK SPR YANG KECUNDANG

SPR adalah sebuah badan pelaksana dalam sistem pembahagian kuasa di Malaysia. Walau bagaimanapun, badan ini telah bertindak sebagai hakim dalam kes DUN Kota Siputeh baru-baru ini. Permohonan Speaker DUN Kedah untuk mengadakan PRK ditolak atas alasan penyandangnya ponteng mesyuarat DUN dua kali berturut-turut dalam sesi yang berlainan dan sudah mengemukakan sijil cuti sakit.

Undang-undang Tubuh Negeri Kedah tidak kata begitu. Kes dibawa ke mahkamah. Memang benar dia ponteng dua kali berturut-turut dan menyalahi undang-undang. Dia bagi cuti sakit, tetapi hadir di satu majlis memberi bantuan kepada rakyat. Pembohong besar rupanya dia tu. Mahkamah kosongkan kerusi DUN itu dan arahkan SPR yang perasan jadi hakim dulu tu untuk adakan pilihan raya.

Badan macam ni pun ada di Malaysia. Malaysia pula mencanangkan kepada dunia bahawa dia akan maju menjelang 2020. Perangai SPR tidak sedikit pun menunjukkan ciri-ciri sebuah badan di negara membangun, negara sedang membangun pun tidak. Itu ialah ciri-ciri badan di negara ketiga.

UMNO/BN sememangnya berjaya memperkudakan SPR. Keputusan mahkamah itu menceritakan segala-galanya. Baik UMNO mahupun SPR tidak sedikit pun rasa malu, malah kemukakan rayuan dan berharap tiada PRK di DUN Kota Siputeh!!!

Demikianlah Gagasan 1 Malaysia. Terima keputusan mahkamah, tetapi merayu. Lebih baiklah kata tak terima sahaja!!!

Friday, November 20, 2009

PEMIMPIN MCA TEMBE

Setelah MCA bergaduh bagai nak rak, baharulah Najib bersuara. Tiong Lai yang sebelum itu beriya-iya hendak memberi laporan kepada Najib rupa-rupanya acah sahaja.

Begitulah sifat harimau kertas. Oleh sebab itu tidaklah menghairankan apabila Tee Kiat mengambil keputusan memecat penyokong-penyokongnya dalam Majlis Presiden.

Anehnya, Ketua Pemuda MCA dan Ketua Wanita MCA menangis di hadapan wartawan ketika meminta ahli-ahli menghadiri EGM Ke-2 pada 28 November 2009 nanti. Padahal mereka sudah pun tahu Majlis Presiden membatalkan EGM tersebut.

Masih wujud pemimpin MCA yang tembe (tidak gagah dan kemanja-manjaan) macam budak-budak. Kalau begitu sekali lemahnya semangat mereka, tak payahlah jadi pemimpin. Mengabihkan bogheh sajo.

Namun demikian, jika tangisan itu menjadi tanda kecewa dan takut hilang jawatan, alangkah hinanya MCA memiliki pemimpin yang sedemikian rupa.

Pada hakikatnya, MCA tidak memiliki pemimpin yang berwibawa. Jika EGM yang lalu diambil kira, Tee Kiat hanya mendapat satu pertiga sokongan perwakilan; Soi Lek memperoleh satu pertiga sokongan juga; dan Kumpulan Ketiga pun memperoleh bahagian yang sama.

Oleh sebab itu, kesemuanya tidak mendapat sokongan yang solid. Masing-masing pun bertelagahlah apabila Kumpulan Tiong Lai cuba tunjuk taring. Awal-awal lagi kumpulan ini mengugut Najib. Mereka tetap mahu penyelesaian melalui pemilihan semula pucuk pimpinan parti.

Dengan lagak abang long, UMNO masuk campur. Persoalannya boleh ke? Masalah dalam UMNO pun tak dapat selesaikan, macam mana nak selesaikan masalah orang lain?

Campur tangan UMNO dalam krisis MCA akan menjadi tikus baiki labu. MCA sudah diserang sakit kronik sebenarnya. Biarkan sahaja mereka sirna. Ahli-ahlinya perlu meninggalkan BN dan memasuki Pakatan Rakyat.

Thursday, November 19, 2009

TAK LAMA LAGI BN LINGKUP

Dewasa ini terdapat sekurang-kurangnya tujuh kes yang menyesakkan nafas UMNO/BN dan menimbulkan kesangsian serta kemarahan rakyat.

(1) Skandal PKFZ

Skandal yang kerugiannya mengatasi skandal BMF ini menjadi semakin menarik untuk dihayati kerana semakin hari semakin ramai pemimpin UMNO/BN yang terseret. Rakyat sudah menerima secara total bahawa pemimpin-pemimpin politik BN terlibat secara langsung dalam skandal rasuah besar-besaran ini. Pada peringkat awal dahulu pelbagai penafian dibuat oleh pentadbiran Najib terhadap skandal ini. Namun, bangkai gajah manakan boleh ditutup dengan nyiru.

Rakyat ingin melihat perasuah-perasuah yang terlibat dalam skandal ini dihadapkan ke muka pengadilan. Mereka tidak boleh diberi muka atau peluang kedua. Yang pasti imej UMNO/BN semakin buruk pada pandangan rakyat. Rakyat tidak akan memaafkan mereka yang menginjak-injak amanah yang diberikan.

(2) Skandal Landasan Kereta Api Berkembar

Projek mega ini terbengkalai gara-gara ketidakcekapan kontraktor yang dipilih dan campur tangan individu yang bertaraf ikan paus. Sekali lagi imej UMNO/BN tercalar teruk apabila Mantan Perdana Menteri,DRB-Hicom, Kerabat Diraja, dan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi turut diseret dalam skandal ini. Skandal berprofil tinggi ini perlu disiasat dengan rapi demi kepentingan rakyat, sesuai dengan gagasan 1 Malaysia yang dilaung-laungkan, iaitu Rakyat Didahulukan.

(3) Kes Rakaman Video V.K. Linggam

Kes ini cuba ditutup oleh Kerajaan UMNO/BN. Namun demikian, atas desakan pembangkang di parlimen, kes ini akan disemak semula. Karpal Singh telah menyatakan kesanggupannya untuk terlibat dalam pembicaraan kes ini walaupun Nazri Aziz kelihatan cuba menyembunyikan sesuatu dalam kes tersebut. Kes yang melibatkan percaturan pelantikan hakim-hakim kanan ini terlalu besar untuk ditutup begitu sahaja. Apatah lagi institusi kehakiman negara ini semakin hari kelihatan semakin goyah dengan keputusan-keputusan yang bercanggah antara satu sama lain.

(4) Laporan Ketua Audit Negara

Untuk kesekian kalinya rakyat dapat melihat wang mereka telah dibazirkan melalui pengsonglapan yang berleluasa dalam kalangan pegawai-pegawai dan jabatan-jabatan kerajaan. Kemarahan rakyat meluap-luap kerana kejadian serupa ini berulang setiap kali laporan dikeluarkan dari tahun ke tahun.

Kerajaan Persekutuan begitu lemah mengurus wang rakyat. Sebaliknya, Kerajaan-Kerajaan Pakatan Rakyat mendapat pujian. Oleh sebab itu, laporan ini dengan sendirinya menolak tohmahan UMNO/BN yang mengatakan Pakatan Rakyat tidak layak menggantikan BN sebagai pemerintah negara ini.

Berdasarkan laporan itu, rakyat perlu memberi peluang yang seluas-luasnya kepada Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini. Singkirkan BN yang sudah tidak mampu lagi menghalang wang rakyat terus-terusan disonglap dengan sewenang-wenang.

(5) Kes Royalti Petroleum untuk Kelantan

Najib adalah seorang pemungkir janji. Dia tidak mahu menunaikan janji yang telah dimeterai antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas. Sebaliknya, menukar royalti menjadi wang ehsan yang akan disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan supaya mudahlah wang itu dibaham oleh para pemimpin UMNO Kelantan dan kroni mereka. Terengganu telah membuktikan segala-galanya berhubung kes wang ehsan ini. Rakyat Kelantan akan hanya menerima kuahnya sahaja. Itu sahajalah sumbangan UMNO/BN kepada rakyat Kelantan setelah hasil mahsulnya diambil.

(6) Indeks Persepsi Rasuah Malaysia

Transparency International - Malaysia (TI-M) telah mengeluarkan data terbarunya untuk tahun 2009. Indeks Persepsi Rasuah Malaysia menjunam dari tempat ke-47 tahun 2008 ke tempat 56 tahun 2009. Situasi ini mengesahkan bahawa Kerajaan UMNO/BN gagal menangani rasuah walaupun BPR telah dinaiktarafkan menjadi SPRM. Berbekalkan indeks tersebut, dapatlah dirumuskan bahawa hanya syarikat-syarikat yang mampu memberi rasuahlah yang akan melabur di negara ini. Jika hal itu berlaku, kita terima sahajalah padahnya nanti.

(7) Kes PRK DUN Kota Siputeh

Speaker DUN Kedah telah memohon SPR mengadakan PRK bagi DUN Kota Siputeh kerana ADUNnya malas menghadiri sidang DUN. Dua kali berturut-turut dia ponteng (tak hadir tanpa kebenaran speaker) lalu hilanglah kelayakan sebagai ADUN menurut Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah. SPR sebagai badan eksekutif mengada-ngada membuat keputusan kerusi itu tidak kosong.

Sepatutnya ADUN pemalas itulah yang membawa kesnya ke mahkamah bila SPR hendak mengadakan PRK. Sekarang ini SPR menanggung kemaluan yang amat besar apabila mahkamah membuat keputusan kerusi itu kosong. SPR sebenarnya tidak berkuasa berbuat demikian. Jika demikian halnya, mengapa permohonan Sivakumar ditolak oleh SPR dan mahkamah jugalah yang mengatakan SPR ada kuasa itu? Mahkamah di Malaysia pun sudah tunggang-langgang kerana mabuk todi.

UMNO kata dia terima keputusan mahkamah, tetapi membuat rayuan. Sebenarnya mulut sahaja yang kata terima, tetapi hati menolak. Itulah sikap UMNO dulu, kini, dan selamanya.

Rakyat sudah mula mengesyaki mahkamah akan memenangkan UMNO dalam rayuannya berdasarkan kes Nizar Jamaluddin dahulu. Jika itu berlaku, Speaker DUN Kedah akan bawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan pula. Maka semakin rendahlah mutu hakim-hakim di Malaysia.

RUMUSAN

UMNO/BN sememangnya sudah semakin parah sekarang ini. Payah baginya untuk bangkit dengan masalah keliling pinggang itu. Apatah lagi ditambah dengan perpecahan yang tak terurus dalam MCA; MIC yang hidup segan mati tak mau; Gerakan yang tinggal nyawa-nyawa ikan; dan PPP yang tonggang-langgang macam orang mabuk todi.

Tamparan yang dihadapi UMNO/BN amat hebat. Di tengah-tengah kesulitan itu, Pakatan Rakyat menerima pujian; hubungan DAP-PAS semakin intim; dan kerjasama antara PAS, DAP, dan PKR bertambah kukuh. Kekukuhan Pakatan Rakyat menjadi musuh utama kepada Gagasan 1 Malaysia yang bukan sahaja belum masak malahan juga tidak Islamik. Najib tidak pernah menyatakan bahawa konsep keadilan sosial dalam gagasan itu akan berpandukan konsep keadilan sosial menurut perspektif Islam. Rakyat sudah sedia maklum bahawa UMNO menolak Islam.

Berasaskan rangkaian kesulitan yang UMNO/BN sendiri cipta, maka terjeratlah diri sendiri. Kemungkinan UMNO/BN akan lingkup amatlah besar. Hanya masa yang akan menentukannya.

Wednesday, November 18, 2009

KOKOK BERDERAI-DERAI EKOR BERGELUMANG TAIK

Ketika pemimpin-pemimpin UMNO terlalu seronok memperlekeh Anwar Ibrahim yang dilantik menjadi penasihat ekonomi Selangor dengan gaji RM1.00, mereka fikir semua rakyat lupa tentang rasuah yang semakin besar barahnya di Malaysia. Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara membongkar ketidaksenonohan pegawai dan jabatan kerajaan berbelanja. Itulah yang dikatakan oleh orang tua-tua Melayu, "Kokok berderai-derai, ekor bergelumang taik".

Kini Transparency International - Malaysia (TI-M) mengeluarkan pernyataan tentang usaha murni Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor membanteras rasuah. Pada masa yang sama, badan itu kesal dengan kemeruduman kedudukan indeks persepsi rasuah Malaysia. Pada tahun lalu, Malaysia berada di tempat ke-47. Pada tahun 2009, Malaysia menduduki tempat ke-56. Kedudukan tersebut menunjukkan kegagalan kerajaan yang menaikkan taraf BPR menjadi SPRM.

Laungan membanteras rasuah tidak lebih daripada retorik semata-mata. Kerajaan BN tidak menampakkan kesungguhan atas perkara tersebut. Ketidaksungguhan itu terserlah dalam UMNO sendiri. Kes-kes rasuah politik yang berlambak-lambak disenyapkan begitu sahaja. Individu yang disahihkan mengamal rasuah masih tertonggok di tampuk pemerintahan dan pimpinan tertinggi parti.

SPRM lebih terliur untuk menyiasat pemimpin pembangkang daripada menyiasat aduan orang ramai terhadap pemimpin UMNO/BN. Tujuan mereka adalah untuk berusaha sehabis daya mensabitkan pemimpin Pakatan Rakyat dengan rasuah. Keinginan itu semakin meluap-luap apabila tiada satu pun siasatan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat yang sangkut.

Tuesday, November 17, 2009

PENCACAI UMNO DARI MENARA GADING

UMNO/BN telah mengumpul para pencacai yang terdiri daripada profesor, profesor madya, dan pensyarah biasa dalam kalangan ahli akademik universiti tempatan. Mereka ini sering melalak melalui akhbar, radio, dan televisyen proUMNO. Hanya satu perkara yang dilalakkan oleh mereka, iaitu aspek-aspek yang boleh menjatuhkan imej Pakatan Rakyat.

Golongan profesional yang pendek akal itu sengaja buat tak nampak pertelagahan yang bertindan tindih dalam Barisan Nasional kerana hasrat mereka adalah untuk menyedapkan hati penaung mereka itu. Bagi mereka, hal remeh-temeh dalam Pakatan Rakyat lebih penting diperkatakan daripada melihat dalam-dalam krisis kepimpinan MCA. Bagi mereka, tidak mengapalah rakyat Kelantan dikhianati dengan tidak memberikan royalti petroleum asalkan UMNO Kelantan dan kroni mereka kenyang. Bagi mereka, tidak mengapalah UMNO/BN terus mempergunakan mahkamah untuk membuat keputusan yang tidak konsisten asalkan Menteri Besar Haram terus mengetuai Kerajaan Haram Perak. Peduli apa dengan hak rakyat. Bagi mereka, tidak mengapalah indeks persepsi rasuah Malaysia merudum dari tangga 47 pada tahun 2008 ke tangga 56 pada tahun 2009. Adakah mereka pun sedang berebut-rebut untuk mendapat habuan daripada UMNO/BN? Kemungkinannya cukup besar.

Memang itulah yang akan terjadi kepada sesiapa juga yang sengaja membutakan mata. Setinggi mana pun kelulusan akademik mereka, tahap pemikiran masih macam budak sekolah menengah yang menjadi mangsa PPSMI.

Majoriti rakyat Malaysia sudah terlalu muak dengan ampu-bodek mereka. Ungkapan mengampu yang melampau tidak akan berdaya mempengaruhi rakyat.

Monday, November 16, 2009

UMNO SEDANG SENGSARA

Ketika Nor Mohamad Yakcob hebat diperkatakan sedang diasak oleh puak-puak Dr. Mahathir supaya ditendang dari kabinet Najib, serangan terhadap PAS oleh UMNO nampaknya kendur dan lesu. Isu bai'ah talak tiga yang merupakan kes terpencil itu bukan sahaja dilakukan secara sukarela oleh pelakunya malahan juga diketahui dengan jelas oleh isterinya. Nik Aziz membatalkan hasratnya menunaikan haji melalui tajaan yang menimbulkan fitnah. Masih ada orang UMNO yang begitu terdesak untuk menjatuhkan imej MB yang setiap bulan menyumbang wang kepada negerinya. Insan sebeginikah yang terdorong melakukan rasuah?

Serangan terhadap PAS itu sebenarnya digunakan untuk menutup isu Kerajaan Persekutuan enggan membayar royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Kelantan. UMNO gagal lagi mencemarkan imej PAS, parti yang mendapat suntikan semangat baru selepas Seminar Memperkasakan Parti pada 7 November 2009 yang lalu.

Sebaliknya, UMNO dihentak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong dan perlu diadakan pilihan raya kecil. Harus diingat bahawa keputusan mahkamah itu turut memberi harapan baru kepada kes tiga katak yang melompat di Perak.

UMNO akan menjadi semakin parah apabila satu demi satu kes berkeputusan menghempap kepala mereka. Rakyat sedang menunggu kesemua itu menjelma menjadi kenyataan. Marilah kita berdoa semoga Allah memakbulkan pormohonan-permohonan itu.

Sunday, November 15, 2009

PAS MAMPU BERUBAH DAN MENGUBAH

Banyak ulasan yang diberikan oleh pelbagai pihak tentang kedudukan PAS selepas seminar memperkasakannya diadakan pada 7 November 2009 yang lalu. Ada pihak yang mempertikaikan kemampuan PAS menjadi parti alternatif kepada UMNO. Ada pula pihak yang ragu-ragu tentang kemampuan PAS untuk berdikari. Tidak kurang juga yang beranggapan bahawa PAS adalah sebuah parti yang besar, memiliki banyak sumber, dan berpengalaman.

PAS dikatakan sukar mengambil alih tempat UMNO sebagai teraju kepimpinan Melayu kerana UMNO masih mendapat sokongan majoriti orang Melayu, terutamanya di luar bandar. Namun demikian, PAS menerima sokongan kuat pelbagai kaum dalam kawasan bercampur di bandar dan pinggir bandar. Perubahan ini perlu diurus dengan baik oleh pucuk pimpinan PAS.

Pada dasarnya orang Melayu sudah terlalu lama terperangkap dalam kepompong feudalisme. Inti pati pemikiran orang Melayu yang ditancapkan oleh unsur tersebut adalah setia dan pantang derhaka. Setelah feudalisme dijinakkan melalui Raja Berperlembagaan dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia, UMNO muncul sebagai neofeudalisme. Mereka telah menggunakan kedudukan tersebut untuk mengurung pemikiran orang Melayu agar tidak terkeluar dari ruang lingkup dogmatis itu.

Persoalan yang perlu diselesaikan untuk menyusun semula cara berfikir tradisional itu adalah dengan cara menyusutkan input lama dan menggantikannya dengan ciri-ciri kontemporari. Kita perlu menerima hakikat bahawa mentaliti subsidi dalam kalangan orang Melayu telah dibudayakan oleh UMNO. Jerangkap samar ini membutakan mata orang Melayu setiap kali pilihan raya diadakan. Dengan sehelai kain pelikat pun mereka bersedia memangkah dacing. Terlalu murah harga untuk mengambil hati pengundi Melayu.

Oleh sebab itu, sudah sampai masanya untuk Pakatan Rakyat mendapatkan formula khas bagi meneutralkan budaya tersebut. Pokok pangkalnya rakyat perlu disedarkan tentang pentingnya menjadi manusia berjiwa besar dan meneroka rahmat Allah di muka bumi ini untuk sekurang-kurangnya berhenti menerima subsidi. Semangat pendakwah-pendakwah Islam zaman lampau seperti Syeikh Abdullah al-Yamani, Syaeikh Abdul Aziz, Syarif Kabungsuan, dan lain-lain perlu dihidupkan semula untuk mencapai matlamat itu. Dengan semangat itu dan pertolongan Allah, masyarakat Melayu di luar bandar akan menyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Sebagai sebuah parti yang besar dan berpengalaman, PAS mampu berdikari. Dengan bilangan ahli yang ramai, PAS berupaya menjana sumber kewangan yang lumayan. Di samping itu, menyusun gerak kerja kempen berhemah untuk menarik sokongan orang Islam dan bukan Islam. PAS perlu mengikis imej ekstrem, menenggelamkan imej kampungan, dan berjuang demi kemaslahatan semua kaum di Malaysia sejajar dengan motto "PAS FOR ALL" dan "ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN".

Atas keyakinan itu, PAS akan menjadi parti alternatif kepada UMNO yang terus-terusan memperjuangkan kemelayuannya. Apabila prasyarat itu terpenuhi, PAS mampu berdikari; diterima dengan tangan terbuka oleh seluruh rakyat Malaysia; dan mengambil alih pemerintahan negara dari tangan UMNO/BN bersama-sama dengan DAP dan PKR. Insya-Allah!!!

UMNO, MCA, DAN MIC TAK ROK CETONG

Bukti nyata yang terbentang di hadapan mata kita pada masa ini ialah MCA bercelaru dan haru-biru. Ahli-ahlinya terbahagi kepada entah berapa kumpulan yang tidak sehaluan. Kualiti, kredibiliti, dan integriti para pemimpinnya merudum ke dalam longkang.

Dalam kelemasan itu, masing-masing menjaga kepentingan sendiri. Kumpulan Ong ada agendanya. Kumpulan Chua ada agendanya. Yang dikatakan Kumpulan Ketiga juga ada agendanya. Yang bersekongkol dengan Liow lagi hebat agendanya. Sehubungan itu, pelbagai strategi disusun untuk memastikan kelangsungan hidup dalam saf kepimpinan parti. Adakah mereka masih memikirkan kepentingan orang Cina dalam keadaan serba terdesak itu? Jawabnya sama sekali tidak mungkin.

Namun demikian, kita dapat menyaksikan satu keanehan sedang berlaku. UMNO beriya-iya hendak menolong MCA. Persoalannya, mengapakah hal ini berlaku? Semua orang perlu tahu bahawa UMNO memerlukan MCA yang kuat untuk survival mereka sendiri. Jika tidak kerana itu, mereka akan membiarkan MCA mati beragan. Apatah lagi pada masa ini sebuah lagi parti Cina, iaitu Gerakan tinggal nyawa-nyawa ikan.

Semua orang sedar bahawa UMNO telah hilang stim terhadap MIC. Mahu tidak mahu mereka mesti menaja Parti Makkal Sakhti Malaysia (MSMP) untuk mengembalikan sokongan orang India kepada BN. Tindakan kurang cerdik itu nampaknya tidak membuahkan hasil kerana orang India yang sedikit jumlahnya di Malaysia terbahagi kepada terlalu banyak parti.

Ketidakberhasilan itu memaksa UMNO berbuat sesuatu bagi menyelamatkan MCA. Hingga saat ini mereka tenggelam punca kerana reaksi negatif para pemimpin MCA. Tidaklah terlalu sukar untuk memahami sebab-musabab situasi itu berlaku. MCA tidak begitu menghormati UMNO pada masa ini. Kualiti, kredibiliti, dan integriti para pemimpin UMNO turut merudum. Tindak-tanduk mereka akhir-akhir ini menampakkan bahawa pemimpin UMNO tidaklah begitu cerdik.

Tiba-tiba Kumpulan Liow berkokok. Mereka hendak melaporkan keadaan dalam MCA kepada PM. Apa strategi kumpulan ini? Ahli-ahli kumpulan ini berada dalam keadaan seperti telur di hujung tanduk. Kumpulan Ong dan Kumpulan Chua bukan sahaja tidak menyokong malahan juga mencurigai mereka. Tidaklah pula diketahui pendirian Kumpulan Ketiga terhadap Kumpulan Liow ini. PM pasti mendapat maklumat palsu daripada Kumpulan Liow.
Masalah MCA akan semakin membesar. Ditambah dengan pelbagai masalah lain yang dicipta sendiri oleh UMNO/BN, kedudukan mereka berada dalam bahaya.

Gaulan faktor-faktor itu menjadi katalis kemerosotan sokongan terhadap UMNO. Bagaimana rakyat hendak menyokong mereka yang terus-terusan memperalatkan SPR, SPRM, PDRM, dan mahkamah untuk mengekalkan kuasa? Bagaimana rakyat hendak menyokong mereka jika menafikan hak mendapatkan royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Kelantan? Bagaimana rakyat hendak menyokong mereka jika konsep federalisme pun tidak dipatuhi? Bagaimana rakyat hendak menyokong mereka jika pemimpinnya menyimpan dendam kesumat tanpa batas? Bagimana rakyat hendak menyokong mereka jika terus-terusan menzalimi rakyat dengan ISA?

Pernyataan-pernyataan di atas membuktikan bahawa UMNO, MCA, dan MIC ialah parti-parti perkauman yang tak rok cetong. Oleh sebab itu, mereka tidak boleh diharap untuk memacu pembangunan rohani dan jasmani rakyat Malaysia. Mereka terus berbangga dengan sekularisme. Agenda Melayu yang mereka bawa lebih daripada setengah abad, hanya menghasilkan manusia Melayu yang miskin tegar, majoriti berpendapatan di bawah RM1,000.00, dan menjuarai segala macam aktiviti tidak bermoral.

Sampai bilakah orang Melayu mahu melihat para pemimpin UMNO dan kroni mereka bersuka ria membaham wang rakyat? Sampai bilakah orang Melayu merelakan diri mereka hidup dalam kesengsaraan di luar bandar, menerima subsidi beras sampai mati, dan disuap dengan sehelai kain pelekat setiap kali diadakan PRK atau PRU?

Orang Melayu perlu menjawab dan menyelesaikan persoalan-persoalan itu secara jujur dan ikhlas. Yang maha penting adalah memastikan diri mereka tidak terus diperkotak-katikkan oleh musang berbulu ayam, iaitu UMNO. Alaf baru bukanlah masa yang sesuai untuk memperjuangan nasionalisme Melayu yang sempit. Masa kini dan mendatang perlu digunakan untuk memperjuangkan kemanusiaan sejagat. Keadilan perlu diberikan kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama.

Islam tidak menjadikan bangsa dan warna kulit sebagai penanda aras keadilan. Muslim dan bukan Muslim diberikan hak masing-masing sebagai hamba Allah. Manusia selama-lamanya tidak akan sesat sekiranya berpegang kepada al-Qur'an dan Hadith. Adakah UMNO yang tak rok cetong itu berpegang 100% kepada dua sumber kebenaran itu? Anda nilailah sendiri!!!

Friday, November 13, 2009

MENGAPA WANG EHSAN TIDAK ROYALTI?

Kerajaan Pakatan Rakyat Kelantan telah membangkitkan isu tuntutan royalti minyak semasa PRK Manek Urai diadakan. Kerajaan Persekutuan mengarahkan Petronas mengeluarkan kenyataan. Hingga kini kenyataan itu tidak dikeluarkan. Namun demikian, tuntutan itu terus dibuat secara konsisten oleh Kerajaan Kelantan.

Baru-baru ini Najib mengumumkan pemberian wang ehsan kepada Kelantan. Wang itu tidak akan diberikan kepada Kerajaan Kelantan tetapi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Tindakan ini merupakan satu penganiayaan kepada rakyat Kelantan.

Semasa PAS memerintah Terengganu (1999-2004), perkara ini telah berlaku. Pembayaran royalti dihentikan dan digantikan dengan wang ehsan. Wang ehsan itu disalurkan kepada JPP. Maka dilaksanakanlah pelbagai projek yang membazir dan projek tak senonoh pembinaannya. Akibatnya bumbung stadium runtuh, kompleks renang bocor, menara komunikasi menghempap bumi, dan bumbung masjid pun runtuh juga. Rakyat Terengganu yang miskin terus tidak berubah nasib mereka. Wang ehsan dibahan oleh puak-puak UMNO dan kroni mereka.

Hal yang sama akan berlaku di Kelantan. UMNO/BN tidak mahu melihat hasil minyak digunakan oleh PAS untuk membangunkan Kelantan jauh lebih baik daripada Terengganu, Sabah, dan Sarawak kerana kerajaan tersebut sifar rasuah sehingga kini.

Sememangnya puak-puak UMNO Kelantan sedang menanti tanpa sabar wang itu datang ke tangan mereka. Kita akan lihat nanti Kelantan tidak banyak berubah sama seperti Sabah dan Sarawak yang mendapat pelbagai peruntukan termasuk royalti minyak.

Thursday, November 12, 2009

PAS KUKUH, UMNO/BN BERTABURAN

Semua orang dalam UMNO/BN dan akhbar arus perdana pengampunya bersorak riang apabila mengetahui Nik Aziz "menghentam" pemimpin PAS yang didakwa bermasalah dan mendesak diadakan EGM. Bagi mereka, PAS pasti berantakan. Maka melalaklah pemimpin UMNO dan akhbar pengampu tanpa berselindung lagi. Mereka ingat PAS sama dengan MCA.

EGM digantikan dengan seminar. Seminar Memperkasakan PAS menjemput cendekiawan untuk mengemukakan pendapat. Seorang daripadanya menghentam Presiden PAS sehari sebelum seminar diadakan. Seorang lagi mengemukakan data yang menunjukkan sokongan terhadap PAS sudah merosot dan golongan muda sudah berpaling tadah.

Hal itu telah diriuhrendahkan oleh akhbar pengampu UMNO. Sesiapa yang membacanya akan mengatakan "padan muka" kepada PAS.

Dari sudut yang lain, PAS telah berjaya menemui jalan tengah untuk menyelesaikan kemelut yang melanda. Isu kerajaan perpaduan dimatikan. Semua pihak dalam PAS bersetuju dengan tindakan memperkasakan PR. Sehubungan itu, sirnalah isu yang dibawa oleh Nik Aziz. Meloponglah UMNO melihat kebijaksanaan PAS menyelesaikan masalah, sedangkan mereka tidak dapat berbuat apa-apa dengan krisis kepimpinan dalam MCA. Sekarang terserlahlah siapa yang sebenarnya sedang menghadapi ancaman perpecahan.

Wednesday, November 11, 2009

KONG KALI KONG DALAM UMNO DAN MCA

Ke mana hilangnya kualiti pemimpin UMNO dan MCA? Ke mana melayangnya kredibiliti pemimpin UMNO dan MCA? Ke mana menjunamnya integriti pemimpin UMNO dan MCA? Dah tak ketahuan hala sekarang ni.

Mula-mula MCA buat EGM. EGM tolak Ong dan Chua. Dua-dua kata terima keputusan EGM. EGM tidak menyokong kedua-duanya. Sepatutnya Ong letak jawatan kerana terang-terang menerima keputusan EGM. Dia tidak berganjak pun. Chualah yang bernasib malang. Jawatannya diambil oleh Liow. Demi MCA, Ong dan Chua berdamai.

Tup-tup timbul dakwaan ROS kembalikan jawatan timbalan kepada Chua. Liow melenting. Beberapa pemimpin UMNO tidak semena-mena sokong Chua dan ROS. Lantaran itu MCA ada dua timbalan presiden.

Kini, MCA dakwa ROS tidak membuat pengesahan yang Chua kembali menjadi Timbalan Presiden MCA. Bila didesak, dia hendak pulangkan jawatan itu kepada Liow jika Liow benar-benar mahukannya. Liow buat jual mahal bila mengatakan dia tidak gilakan jawatan. Yang penting baginya ialah menguatkan parti.

Apa sudah jadi sebenarnya? Mengapa pemimpin UMNO tidak selidik betul-betul sebelum mengeluarkan kenyataan? Perlakuan itu bukan sahaja memalukan diri sendiri malahan juga menunjukkan betapa ceteknya fikiran mereka.

Mengapa Chua begitu sekali terburu-buru menduduki kerusi Timbalan Presiden MCA? Takkanlah dia tak faham baca surat ROS itu. Bila sudah malu, tahu pula nak serahkan semula jawatan tu. Apa jenis pemimpin macam ini?

Mengapa Liow tidak sambut cabaran Ong untuk menyatakan agenda sebenarnya dalam MCA? Bila peluang berpihak kepadanya sekarang ini, malu-malu kucing pula nak kata hendak. Apa jenis pemimpin macam ini?

Rakyat 1 Malaysia sedang ketawa terbahak-bahak melihat telatah pemimpin-pemimpin UMNO dan MCA yang tidak berapa masak itu. Kemelut yang berpanjangan ini tidak mungkin disukai oleh orang Cina. Majoriti orang Cina tidak menyokong MCA lagi sekarang ini. MCA sudah tidak relevan kepada orang Cina.

UMNO yang kononnya hendak membantu MCA pun dua kali lima juga. Tak sabar-sabar nak tengok MCA bersatu kembali. Sedar-sedar ayam terlepas tangan berbau taik. Padan muka.

Tuesday, November 10, 2009

BERJUANGLAH DENGAN SEMANGAT WAJA

Apabila PAS membuat keputusan muktamad untuk tidak berbincang dengan UMNO mengenai kerajaan perpaduan, maka maknanya tertutuplah peluang UMNO untuk menggunakan isu itu bagi menggugat kestabilan PAS dan terkuncilah mulut para pemimpin PAS yang gatal punggung nak berbincang dengan UMNO.

Situasi ini menandakan tamatnya satu episod hitam dalam PAS. Kebulatan tekad itu akan membolehkan PAS bergerak ke hadapan untuk memperkasakan diri dan PR tanpa halangan lagi.

Hasil perbincangan menunjukkan bahawa Nik Aziz menjadi pemimpin yang paling berkesan dalam PAS. Ini tidak bermakna Hadi tertinggal jauh ke belakang. Imej Hadi sedikit tercalar angkara konsep kerajaan perpaduan. Oleh sebab itu, Hadi perlu kembali ke landasan yang betul untuk berpadu tenaga dengan Nik Aziz. Sinergi antara kedua-duanya akan mengembalikan sokongan rakyat kepada PAS, terutamanya golongan muda.

PAS wajib menjadi parti Islam yang murni. Biarkan UMNO menjadi parti Melayu. Mereka masih berada dalam kepompong politik lama yang menyanjung tinggi cita-cita kebangsaan dan perkauman. Sebagai sebuah parti Islam, PAS berjuang untuk menegakkan Islam dan pada masa yang sama mempertahankan kepentingan semua kaum.

Islam menolak perkauman. Imej ini yang perlu direalisasikan bagi menarik sokongan golongan bukan Muslim. Hanya dengan cara itu PAS boleh menubuhkan KPP di setiap kawasan. Kekuatan PAS akan terbentuk di kawasan-kawasan yang pengundinya bercampur.

Orang Melayu di luar bandar perlu dipujuk dengan cara yang paling diplomasi sehingga menyentuh jiwa mereka. Sehubungan itu, pendekatan dakwah yang selama ini dijalankan oleh PAS perlu dimodifikasi agar selaras dengan pemikiran anggota masyarakat yang majoritinya sudah berumur itu.

Di samping itu, PAS perlu menerima hakikat bahawa Muslimah menjadi eset mereka yang terpenting. Golongan ini perlu diberi pengiktirafan yang sewajarnya dan diberi peranan yang lebih besar untuk mendekati semua peringkat umur wanita di mana-mana sahaja.

Kesemuanya perlu dilaksanakan dengan cepat. Tempoh masa yang ada sebelum menjelangnya PRU Ke-13 sudah semakin pendek. Fokus perlu diberikan kepada memperkasakan sokongan, menguatkan perpaduan dalam parti, dan menyumbang kepada keperkasaan PR.

Monday, November 9, 2009

ANEKA WARNA MALAYSIAKU

Setelah PAS berjaya menguraikan kekusutan yang ditimbulkan oleh sebahagian pucuk pimpinannya, pelbagai isu lain melatari negara yang belum pulih daripada kemerosotan ekonomi ini. Hari ini DAP mengeluarkan cadangan supaya Ling Liong Sik turut disiasat berhubung skandal PKFZ bukan sahaja Chan Kong Choy dan O. C. Phang. Skandal ini menjadi lebih menarik untuk diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia berhubung salah guna kuasa dan hentaman rasuah para pemimpin BN. Ketelusan dalam penyiasatan itu akan membuka mata rakyat tentang betapa tidak bertanggungjawabnya urus tadbir negara ini oleh BN.

Selain itu, Anwar telah mengeluarkan kata dua kepada ahli dan pemimpin PKR supaya meninggalkan parti itu sekiranya tidak akur kepada asas perjuangannya. Kata dua ini dikeluarkan setelah empat orang ADUN PKR bertukar rupa menjadi katak, iaitu dua di Perak, satu di Kedah, dan satu di Selangor. Kemunculan katak-katak ini telah diberi sambutan permaidani merah oleh UMNO/BN. Maka tidaklah salah jika kita menggelarkan UMNO/BN sebagai tong sampah yang sentiasa bersedia menerima insan politik yang tiada kualiti, tiada kredibiliti, dan tiada integriti. Itulah imej sebenar UMNO/BN yang dapat ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia pada masa ini.

Peristiwa ketiga ialah kesediaan Dr. Asri untuk terjun ke dunia politik sekiranya terus dihalang menyampaikan ceramah untuk berdakwah. Barangkali Dr. Asri mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat keputusan. Kelambatan itu telah mendatangkan mudarat kepada dirinya. Usahlah dibiarkan kemudaratan itu menjadi stres yang sukar diurus. Pentas politik sememangnya tersedia untuk sesiapa sahaja mengutarakan pendapat asalkan tidak menyalahi undang-undang negara. Tak payahlah teragak-agak.

Sunday, November 8, 2009

SETELAH MENDUNG BERARAK PERGI

Seminar Memperkasakan PAS telah selamat diadakan pada 7 November 2009. Fakta-fakta yang diperoleh daripadanya menyerlahkan kematangan politik parti Islam itu. Namun demikian, masih kedengaran unsur penafian yang minimum daripada beberapa orang pemimpin. Sikap yang diwarisi daripada UMNO ini perlu dikikis dengan segera. PAS perlu berlapang dada menerima kritikan, tidak kira sepedas mana pun.

Ada pihak dalam PAS yang sanggup menggugurkan pemimpin mereka asalkan tidak wujud sistem dua parti, iaitu BN dan PR. Namun, majoriti perwakilan menerima pandangan agar PAS menjadi anggota bersekutu sesuai dengan rumusan bahawa golongan muda mahu PAS menjadi anggota bersekutu PR.

Di sebalik semua fakta itu, PAS dikatakan menghadapi kemerosotan sokongan golongan muda; banyak blog yang sebelum ini menyokong PAS sudah mengambil pendirian atas pagar; serta ramai orang Melayu tawar hati terhadap PAS kerana lebih mengikut telunjuk DAP dan PKR.

Hadi menegaskan bahawa PAS mahu mengukuhkan kerjasama demi kemenangan Islam. Beliau turut membayangkan PAS mampu berdiri sendiri. Alasan yang diberikan ialah PAS banyak pengalaman. Oleh sebab itu, PAS bukan sahaja berupaya menjadi pembangkang malahan juga mentadbir negeri secara bersendirian.

Penyokong PAS dalam kalangan bukan Muslim pula mengemukakan tiga perkara, iaitu:

(1) PAS jangan bersikap angkuh dan sombong sehingga meminggirkan ahli KPP yang bertungkus-lumus memenangkan PAS dalam PRU Ke-12;

(2) Orang Melayu tidak berpecah. Perpecahan orang Melayu adalah propaganda UMNO untuk menarik sokongan orang Melayu termasuk penyokong PAS; dan

(3) Terdapat dua kategori Melayu. Pertama, yang bertakwa dan menyokong perjuangan Islam. Kedua, menyokong perjuangan UMNO.

Pada akhir seminar, lima resolusi telah dimuktamadkan, iaitu:

(1) Mengukuhkan PR dan meningkatkan persiapan menghadapi PRU Ke-13;

(2) Meningkatkan sokongan bukan Muslim melalui penubuhan KPP di setiap kawasan;

(3) Memantapkan pendirian dan menguatkan parti berdasarkan informasi pada peringkat akar umbi di seluruh negara;

(4) Meningkatkan semula sokongan golongan muda serta menyegarkan unit amal secara komprehensif melalui peningkatan modul sedia ada; dan

(5) Menyediakan pelan tindakan kempen nasional yang bertemakan "PAS untuk Semua".

Namun demikian, cakap-cakap belakang ternyata cuba menggambarkan Hadi dapat mengukuhkan kedudukannya. Fenomena itu memberi tamparan hebat kepada Nik Aziz. Turut diseret dalam kancah itu ialah Kumpulan Erdogan yang didakwa menyokong Anwar dan tidak menyukai Hadi. Kumpulan itu dikatakan selamat selagi ada Nik Aziz.

Kita perlu menyelongkar semua isu yang dibangkitkan sepanjang seminar itu dan ulasan selepasnya dari pelbagai sudut sebelum membuat penilaian yang adil. Sistem dua parti semakin hampir menjadi kenyataan dalam politik Malaysia. Pihak yang rasa tercabar dengan kemunculan sistem itu ialah BN. Sehubungan itu, isu ini dimomokkan dalam media yang menyokong UMNO bagi mengelirukan ahli PAS. Pada masa yang sama, tujuannya adalah untuk mengelabui isu sebenar, iaitu kewujudan pemimpin yang beramasalah dalam PAS.

Melalui pendirian tegas untuk menutup rapat pintu kerjasama dengan UMNO dan menutup kemas isu kerajaan perpaduan, parti kebangsaan Melayu itu membangkitkan isu Erdogan dan memperlekehkan kewibaan Nik Aziz. UMNO silap besar apabila menggunakan kedua-dua isu itu untuk melaga-lagakan para pemimpin PAS. Nik Aziz berada dalam kelasnya yang tersendiri kerana diterima baik oleh ahli parti dan pemimpin bukan Muslim dalam PR. Kedudukan Hadi juga semakin mantap dan diterima oleh majoriti ahli PAS kerana berani menyatakan pendirian tentang komitmen terhadap PR dan menguburkan isu kerajaan perpaduan.

Kini PAS berada di landasan yang betul untuk memacu kejayaan sendiri khasnya dan kejayaan PR amnya. Berdasarkan kenyataan bahawa politik baru bertempur melalui idea, sudah sampai masanya untuk PAS memberi tumpuan kepada pengurusan persepsi. Hal ini wajib dilakukan kerana pada abad ini persepsi boleh ditukar menjadi informasi.

Pada masa yang sama, PAS tidak boleh leka dengan kejayaan PRU Ke-12 kerana dibimbangi undi protes menjadi punca utama kemenangan mereka. Sokongan berdasarkan protes tidak dapat bertahan lama. Melalui kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai PR, PAS bersama DAP dan PKR wajib menunjukkan kemampuan menjadi parti alternatif yang lebih baik daripada UMNO/BN.

Seperkara lagi yang wajib diberi perhatian adalah jangan biarkan kenyataan-kenyataan seperti dalam perenggan keempat di atas terus subur menjadi senjata tajam yang menghiris keyakinan ahli terhadap PAS. Tafsir yang sengaja disalahkan melalui pengemukaan kenyataan tersebut hendaklah dibidas secara bijaksana sebelum syak-wasangka rakan-rakan memunahkan impian murni PR .

PEMIMPIN PAS JANGAN HILANG KEPALA

Nasrudin Hassan Tantawi melenting apabila Prof. Ab. Aziz Bari mengkritik Tuan Guru Hadi Awang, Presiden PAS. Dia mendakwa kritikan yang dilemparkan prof. itu tidak disertakan fakta dan bukti yang sahih. Anehnya, dia menuduh Prof. Ab. Aziz Bari sebagai alat musuh PAS juga tanpa fakta dan bukti yang nyata. Pemimpin politik mestilah ada kualiti, kredibiliti, dan integriti untuk mendapat sokongan rakyat. Jika semua aspek tersebut lekat pada pemimpin PAS, mereka sama sahaja dengan UMNO. Hal inilah yang menyebabkan timbulnya kecintaan terhadap UMNO dalam kalangan beberapa orang pemimpinnya yang dikatakan bermasalah oleh Tuan Guru Nik Aziz (TGNA).
Sememangnya TGNA tidak silap semasa mengeluarkan ulasannya.

Kini, Dr. Abu Hassan Hasbullah pula mengemukakan data tentang kemerosotan sokongan terhadap PAS. Bukan itu sahaja. Golongan muda yang menyokong PAS pun sudah mula keliru dengan tingkah laku pemimpin PAS. Lebih memeranjatkan adalah gesaan Dr. Abu Hassan supaya PAS tidak bersekutu dengan Pakatan Rakyat kerana kebolehan PAS untuk berdiri sendiri sebagai sebuah parti yang utuh.

Segala-galanya terserah kepada pemimpin tertinggi PAS untuk membuat keputusan. Keputusan itu kelak akan menentukan kelestarian PAS sebagai wadah politik Islam di Malaysia. PAS mesti menjadi parti politik Islam kerana parti politik Melayu sudah wujud sejak 60 tahun yang lalu dan kini sedang mereput secara perlahan-lahan.

Friday, November 6, 2009

HADI = PAK LAH?

Satu kontroversi baru muncul dalam dunia politik PAS menjelang seminar memperkasakannya Sabtu ini. Seminar itu dibuat bagi menggantikan EGM yang dicadangkan oleh Tuan Guru Datuk Nik Aziz (TGNA). EGM itu dikatakan perlu bagi menyingkirkan dua tiga kerat pemimpin yang bermasalah.

Media menyebut tiga nama pemimpin yang bermasalah. Mereka ialah Nasaruddin Md. Isa, Mustafa Ali, dan Hassan Ali. Namun demikian, Prof. Ab. Aziz Bari telah mengungkapkan bahawa Presiden PAS, iaitu Tuan Guru Datuk Haji Abdul Hadi Awang (TGHA)sebagai individu penting dalam parti itu yang tidak lagi berkesan.

TGHA disamakan dengan Pak Lah. Alasannya tidak lagi relevan dengan arus politik perdana pada masa ini. Idea Kerajaan Perpaduan yang dibawa oleh TGHA menjadi penanda ketidakberkesanan Presiden PAS itu memacu parti ke arah kemajuan.

Persoalannya mengapa setelah "Amanat Hadi" yang mengkafirkan UMNO dikeluarkan, kini puak yang bermasalah itu "bercinta" dengan UMNO? Kewibawaan TGHA juga dipersoalkan kewibawaannya kerana terus gagal menawan Terengganu selepas PRU Ke-10.

Saf kepimpinan PAS perlu mengambil pendirian tegas, terbuka, dan menyisihkan sentimen bagi menghadapi isu ini jika mahu PAS terus relevan di persada politik Malaysia. Kesetiaan yang keterlaluan kepada individu biasanya membutakan mata. Akibatnya, perjuangan terbantut di tengah jalan.

Thursday, November 5, 2009

BERANI SANGATKAH PARTI GERAKAN?

Parti Gerakan telah menempelak BN khasnya dan UMNO amnya dalam perhimpunan agung tahunan mereka. Ketua Wanita Gerakan menghentam Gagasan 1 Malaysia. Ketua Pemuda Gerakan melanyak UMNO kerana enggan mengambil inisiatif untuk membentuk 1 BN yang pada tanggapannya lebih penting daripada 1 Malaysia.

Presidennya yang Menjadi menteri KPI mendesak BN segera memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman, SPRM, dan PDRM. Ini bermakna Pakatan Rakyat dan NGO dapat menambah satu lagi ahli yang menentang kebobrokan tiga institusi utama negara itu.

Seperti Pakatan Rakyat dan NGO, Gerakan turut menerima institusi-institusi itu berat sebelah dan menjadi alat untuk BN mengekalkan kuasa.

Fenomena dalam Gerakan itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat. Adakah Gerakan mahu menjadi pembangkang dalam BN? Jika tanggapan ini benar, suara mereka tidak didengar, bagi anjing menyalak bukit sahaja. Adakah Gerakan mahu menjadi parti komponen BN yang lebih bertaring daripada MCA? Jika tanggapan ini benar, Presiden mereka tidak akan dilanyak oleh Mohamed Aziz, Ahli Parlimen UMNO Sri Gading. Adakah Gerakan sedang mencari jalan untuk ditendang keluar dari BN? Jika tanggapan ini benar, mengapa mereka beriya-iya menolak usul keluar BN?

Hakikatnya, Gerakan hanya mencari populariti. Dengan berbuat demikian, mereka berharap dapat mengabui mata rakyat. Sehubungan itu, rakyat akan kembali menyokong parti mereka yang sudah tinggal nyawa-nyawa ikan itu. Jika demikian keadaannya, teruslah menyalak hingga tiada suara. teruslah bersandiwara. Bukit tak runtuh-runtuh juga.

Wednesday, November 4, 2009

1 BN KE 1 MALAYSIA

Najib ditempelak lagi. Kali ini oleh Parti Gerakan Malaysia (Gerakan). Tempelakan itu dilakukan oleh Wanita Gerakan dan Pemuda Gerakan. Walaupun Najib menyanjung Tsu Koon tinggi melangit, kedua-dua sayap utama Gerakan itu tidak berkenan dengan Gagasan 1 Malaysia. Mereka lebih suka jika 1 BN diwujudkan.

BN perlu dijadikan sebuah parti pelbagai kaum. Menurut Ketua Pemuda Gerakan, usul itu telah dikemukakan dua tahun berturut-turut. Namun, perkara itu tidak dihiraukan dan diibaratkan bercakap dengan orang pekak.

Kata Tan Lian Hoe, "Keikhlasan dan kejujuran dalam menzahirkan Gagasan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan hendaklah berdasarkan kelayakan dan bukan warna kulit." Kenyataan ini menjelaskan kewujudan krisis keyakinan terhadap Najib.

Krisis itu wujud akibat kekeliruan terhadap tindak tanduk para pemimpin UMNO yang tidak sehaluan. Najib sibuk memperkukuhkan Gagasan 1 Malaysia. Muhyiddin nampaknya berkeras mempertahankan Ketuanan Melayu. Walhal Khairy sendiri mengusulkan Ketuanan Melayu digantikan dengan Kepimpinan Melayu.

Para pemimpin UMNO bukan sahaja berjaya mengelirukan parti-parti komponen BN malahan juga seluruh rakyat Malaysia dengan gagasan yang tak ketahuan hala.

Gerakan ialah parti perkauman. UMNO pun parti perkauman. Begitu juga dengan MCA dan MIC. Cita rasa mereka sama sahaja. Sampai bila-bila pun UMNO akan mempertahankan kebangsaan Melayunya. Mereka selesa dengan kedudukan itu.

Sehubungan itu, ahli-ahli Gerakan yang tidak berpuas hati dengan situasi yang tidak mungkin berubah itu perlu mengambil keputusan keluar dari BN dan menyertai Pakatan Rakyat yang ternyata memperjuangkan keadilan dan kepentingan semua kaum di Malaysia.

Tuesday, November 3, 2009

SIRNAKAH MELAYU DAN ISLAM TANPA UMNO?

UMNO menegaskan Islam dan Melayu akan tergugat jika kuasa mereka hilang. Bagi mereka, PAS-Pakatan tidak boleh melindungi Islam dan Melayu di negara ini.

Hakikatnya, berdasarkan fakta, pemimpin UMNOlah yang mengkhianati Islam dan Melayu. Lihat bagaimana UMNO merobohkan Masjid Bujal, Kemaman. Kemudian menutup Surau Jubli Perak di Bangi, menutup surau di Seksyen Lapan dua minggu sebelum Ramadan 2007 dan merobohkan surau di Kampung Berembang.

Timbalan Presiden UMNO kini, ketika itu MB Johor mengubah cuti hujung minggu daripada Jumaat kepada Ahad, tetapi sekarang masuk kampung menuduh PAS-Pakatan mengkhianati agama Islam.

Pernahkah PAS-Pakatan meroboh atau meruntuhkan masjid?

Pernahkah PAS-Pakatan menghina Islam seperti yang dilakukan oleh Najib, Rais Yatim, dan Nazri Aziz?

Pernahkah PAS-Pakatan merampok Tanah Simpanan Melayu?

Pernahkah PAS-Pakatan menggadai tanah kepada Singapura?

Melayu dan Islam tidak akan sirna tanpa kehadiran UMNO. Sudah lama UMNO berlagak sebagai penjaga kepentingan Melayu dan Islam. UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO hanyalah mitos. Melayu dan Islam akan menjadi lebih baik kalau UMNO tidak ada. PAS-Pakatan mampu menjaga Melayu dan Islam jauh lebih bagus daripada UMNO.

Akai ada ke?

Monday, November 2, 2009

1 MALAYSIA SEMUA JADI

Fakta yang ada di hadapan kita ialah SPR menidakkan kuasa Sivakumar sebagai Speaker DUN Perak untuk mengadakan PRK bagi DUN Behrang, Changkat Jering, dan Jelapang kerana semua ADUN kawasan itu meletakkan jawatan. Mahkamah mengesahkan speaker tiada kuasa dan kuasa menentukan kekosongan kerusi DUN terletak di tangan SPR.

Fakta kedua ialah mahkamah membatalkan tindakan Sivakumar menggantung Zambry dan semua EXCO lantikan BN kerana dia tiada kuasa berbuat demikian. Hakikatnya, tindakan itu dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN. Harus diingat bahawa dalam prosiding yang dibuat itu, mahkamah tidak pula membatalkan keputusan jawatankuasa termaklum.

Tersentak dengan kekhilafan itu, Zambry dan lain-lain enggan meninggalkan dewan apabila diarahkan oleh Sivakumar. Insiden inilah yang memulakan kekecohan di DUN Perak pada 7 Mei 2009 itu. UMNO/BN tidak mungkin dipercayai oleh sesiapa pun sekiranya cuba memutarbelitkan fakta tersebut. Dalam kekecohan itu mereka mencari jalan untuk mengatasinya, by hook or by crook. Sehubungan itu, polis pun diperalatkan demi menjayakan niat jahat UMNO/BN untuk terus berkuasa walaupun secara haram. Sesungguhnya SPR, mahkamah, dan polis menjadi pengampu/hamba UMNO/BN yang paling setia pada masa ini.

Campur tangan polis menjadi fakta ketiga. Sivakumar diangkat beserta kerusinya oleh polis untuk meletakkan Ganesan yang masih berjawatan peguam dan dilantik melalui persetujuan subdewan semua ADUN BN. Tuntutan Sivakumar terhadap Ganesan ditolak atas alasan mahkamah tidak boleh melanggar Perkara 72 (1) dan (2) dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan-keputusan mahkamah itu jelas mempamerkan sikap double standard. Perkara 72 (1) dan (2) hanya terpakai sekiranya boleh mendatangkan mudarat kepada BN. Dengan kata lain, mahkamah tidak akan berlaku adil terhadap PR. Oleh sebab itu, banyak pihak yang mempertikaikan integriti hakim-hakim di Malaysia, termasuk juga parti Gerakan. Anehnya, parti itu bukan sahaja tidak diapa-apakan malahan juga presidennya dilantik jadi menteri walaupun prestasinya lemah dan dikritik oleh ahli parlimen UMNO. Kita lihat tiada reaksi negatif daripada mana-mana pemimpin parti-parti komponen BN, waima Presiden BN sendiri pun memuji Presiden Gerakan melambung-lambung bagi menempelak MP UMNO yang bermulut cabul itu. Demikianlah tebalnya kesombongan dan keangkuhan UMNO. Siapa kata UMNO berubah?

Berdasarkan fakta-fakta yang dinyatakan di atas, dapatkah kita menerima pembentangan Bajet 2010 yang dikemukakan oleh Zambry pada 28 Oktober 2009 itu sah? Pakar Perlembagaan dari UIAM mengatakan bahawa keseluruhan aktiviti di DUN Perak pada hari itu tidak sah.

Jika mahkamah sudah mengatakan bahawa mereka tidak boleh melanggar Perkara 72 (1) dan (2) dalam Perlembagaan Persekutuan, bererti keputusan yang dibuat oleh SPR dan mahkamah terhadap fakta pertama dan fakta kedua di atas terbatal dengan sendirinya.

Ini bermakna, Zambry yang digantung daripada menghadiri sidang DUN tidak boleh hadir dan tidak boleh membentangkan bajet seperti yang diminta oleh speaker haram pada hari itu. Persidangan DUN Perak pada hari tersebut tidak sah. Sudahlah bajet itu dibentang tanpa kehadiran semua ADUN PR yang dilewat-lewatkan perjalanan mereka oleh polis, diluluskan pula tanpa perbahasan sebelum persidangan ditangguhkan. Termasuk kali ini, sudah dua kali Persidangan DUN Perak disempurnakan dalam masa satu hari sahaja.

Demikianlah Gagasan 1 Malaysia menurut pandangan Zambry and the Gang. Apa-apa sahaja boleh dilakukan. Mendabik dada kerana berjaya luluskan bajet dan tidak perlu rasa bersalah sebesar zarah pun. Lebih memilukan adalah sikap "tiga katak" dalam DUN itu yang sanggup melihat kebobrokan tersebut dengan hati sekering sotong Pulau Pangkor yang telah berbulan-bulan dijemur di terik sang mentari!!!

Sunday, November 1, 2009

YANG INI TAK JADI KONTROVERSI KE?

Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat (TGNA) berkata:

Sebelum Allah mencipta manusia, bumi ini telah ada. Kalau Allah cipta dulu manusia baru cipta bumi, di mana manusia nak tinggal ... dia (manusia) kata dia cipta (dunia) ... UMNO tak kenal Pencipta, sebab itu dia rampas kerajaan ... dia (UMNO) anggap bumi ini dia punya.

Di samping itu, TGNA turut menjelaskan tohmahan UMNO kononnya budaya membaca ayat al-Quran oleh beberapa pemimpin DAP sebagai suatu penghinaan kepada Islam. Katanya:

Nabi pun mengutus surat kepada semua pemimpin kerajaan bukan Islam. Nabi mula dengan tulis ayat al-Quran. Nabi tulis untuk pemimpin bukan Islam baca, bukan Nabi tulis: Jangan baca ayat al-Quran ini sebab nanti hina Islam. Pemimpin UMNO bodoh agama dan tak suka ikut Nabi.

Seterusnya TGNA kata:

Perjuangan PAS berdasarkan ajaran Islam, bukannya politik perkauman Melayu sebagaimana yang diamalkan UMNO.

Ini pula pandangan Ngeh Khoo Ham terhadap PAS:

Dulu saya memang ingat PAS (sebagai) parti ekstremis agama, fundamentalis, dan tidak suka orang Cina (dan) bukan Islam. Itu semua sebelum kenal Tok Guru dan Hj. Nizarlah.

Catatan

Biasanya para pemimpin UMNO akan melenting bila dikatakan begitu. Bagaimana dengan kenyataan TGNA yang terbaru ini?

Dengan pengakuan Ngeh itu, masihkah UMNO hendak mengatakan PAS menjadi kuda tunggangan DAP?

ALAHAI SEKOLAH SATU ALIRAN!

Ketika banyak pihak menyokong pelaksanaan sekolah satu aliran, para pemimpin UMNO, MCA, dan MIC bermain sandiwara mengenainya. Mereka mengkelabukan isu dengan hujah yang berbau perkauman dan menolak gagasan 1 Malaysia yang dilaung-laungkan. Hal ini tentulah sangat mendukacitakan rakyat yang ingin membentuk perpaduan dengan seboleh-bolehnya mengesampingkan campur tangan politik yang keterlaluan. Kita perhatikan kenyataan-kenyataan di bawah.

S. Samy Vellu

MIC mahu pendidikan sekolah pelbagai aliran dikekalkan. Cadangan mengadakan sistem sekolah satu aliran seolah-olah tidak menghargai sejarah penubuhan sekolah pelbagai aliran ketika zaman pentadbiran Tun Abdul Razak. Perkara ini serius, tidak boleh dilaksanakan tergesa-gesa, dan perlu mendapat pandangan semua pihak terlebih dahulu. Kita belum bersedia melaksanakannya. Kita sudah ada sekolah integrasi dan akan mewujudkan Asrama 1 Malaysia. Itu yang perlu dilaksanakan dahulu.

Wee Ka Siong

Sistem pendidikan sekolah pelbagai aliran yang diamalkan sejak merdeka dan terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan harus diteruskan. Sekolah pelbagai aliran tidak boleh dianggap sebagai penghalang kepada perpaduan nasional kerana sistem pendidikan di SJK tetap berteraskan nilai perpaduan sejagat dan standard kurikulum yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran.

Najib

Kerajaan akan mengambil kira pandangan rakyat sebelum membuat keputusan melaksanakan sekolah satu aliran bagi menjaga sensitiviti kaum di negara ini. Kerajaan akan hanya mengubah sesuatu dasar sekiranya dipersetujui rakyat dan jika sebaliknya, dasar sedia ada akan dikekalkan. Perubahan kepada sistem satu aliran memerlukan anjakan besar daripada segi dasar dan (ia) juga menimbulkan persoalan sama ada masyarakat negara ini bersedia untuk menafikan hak memilih jenis pendidikan.

Penilaian

Semua pandangan di atas tertakluk kepada pemikiran politik lama yang lebih mengutamakan kepentingan kaum, menunjukkan keengganan yang kuat untuk berubah, dan pemilihan jalan selamat. Sehubungan itu, Gagasan 1 Malaysia yang dilaung-laungkan itu ditolak ke tepi tanpa segan silu. Ini bermakna, UMNO, MCA, dan MIC menerima Gagasan 1 Malaysia dipraktikkan untuk semua hal dalam kehidupan masyarakat Malaysia kecuali pendidikan. Padahal pendidikanlah yang menjadi ibu atau kunci kepada perpaduan bangsa. Kebenarannya telah dibuktikan oleh Indonesia dan Singapura. Di Indonesia hanya ada sekolah yang menggunakan bahasa Indonesia, tiada sekolah Cina, tiada juga sekolah Inggeris atau Belanda. Di Singapura hanya sekolah aliran Inggeris, tiada sekolah Cina, dan tiada juga sekolah Melayu, tetapi bahasa Cina dan bahasa Melayu tetap diajar.

Semua pandangan di atas juga kelihatan memperlekehkan pendapat Prof. Khoo dan Prof. Teoh. Kita pun tidak tahu sampai bila pendapat para bijak pandai di negara ini akan terus dipandang sebelah mata oleh ahli-ahli politik yang perasan mereka lebih bijak. Pegangan sebegini tidak akan membawa negara ini ke mercu kejayaan. Sejarah membuktikan bahawa ahli-ahli politik selalu membuat kesilapan.

Semua rakyat Malaysia setuju perbincangan yang tuntas dijadikan asas bagi menentukan perubahan sesuatu dasar. Namun, terbukti bahawa PPSMI dilaksanakan secara tergesa-gesa dan ternyata gagal. Akibatnya, kita terpaksa berpatah balik. Itulah dasar yang dibuat oleh ahli politik tanpa mengambil kira pendapat semua rakyat.

Isu sekolah satu aliran menjadi kunci dan nadi pembentukan bangsa Malaysia. Kita boleh membuat keputusan supaya ada sekolah kebangsaan, sekolah Cina, dan sekolah Tamil di peringkat rendah. Apabila semua murid itu menyelesaikan pendidikan rendah dalam bahasa ibunda masing-masing, kesemua mereka akan meneruskan pendidikan menengah dalam satu bahasa, iaitu Bahasa Kebangsaan.

Keputusan ini boleh dianggap sebagai situasi menang-menang. Hanya sedikit sahaja pengorbanan yang diperlukan daripada semua kaum. Jika yang sedikit itu pun enggan diberikan, tidak tahulah apa akan jadi dengan negara ini pada masa akan datang. Perpaduan yang palsu akan terus hidup dalam kalangan rakyat dan tidak membawa apa-apa kebaikan untuk jangka masa panjang.

Kesimpulan

Semua rakyat Malaysia perlu mengetepikan kepentingan kaum yang keterlaluan dalam isu pendidikan. Kita wajib memikirkan pembentukan bangsa Malaysia yang sejati. Kesejatian itu bukan berteraskan politik, tetapi keikhlasan bagi melestarikan kemanusiaan sejagat.