POLITIK ADU DOMBA UMNO-BN
Tidak munasabah langsung untuk mengatakan UMNO gagal memahami kenyataan Tuan Guru Nik Aziz tentang berpolitik di masjid dan pertanyaan ADUN PAS di Dewan Undangan Negeri Kedah tentang kuasa Sultan. Mereka memahaminya dengan jelas.
Tindakan mereka mempolitikkan kedua-dua isu itu ada asasnya. Asas itu berdasarkan matlamat yang hendak mereka capai, iaitu menjatuhkan satu demi satu Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.
Usaha mereka menggunakan SPRM dan SPR telah berjaya menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak. Kejayaan itu memberi motivasi yang cukup kuat kepada UMNO-BN untuk mengulanginya di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, dan Kelantan.
Serangan biasa tidak langsung menjejaskan Pakatan Rakyat. Serangan melalui SPRM berakhir dengan tragedi. Pada masa yang sama, semua Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat diberi pujian oleh banyak organisasi dan institusi yang berwibawa, termasuk Sultan.
Oleh sebab itu, mereka telah kehabisan idea. Yang tinggal ialah melaga-lagakan Pakatan Rakyat dengan Sultan. Maka mereka pun melalaklah apabila mendapat kesempatan untuk memutarbelitkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin tertentu dalam Pakatan Rakyat.
Taktik murahan ini tidak sampai ke mana-mana. Rakyat pun mengetahui UMNO-BN sudah kekeringan modal untuk menyerang Pakatan Rakyat. Kegerunan terhadap perpaduan erat dalam Pakatan menyebabkan mereka tidak lena tidur. Imej mereka terpalit dengan perkauman sempit yang tidak berkesudahan.
Perjuangan Pakatan Rakyat untuk merakyatkan kemakmuran negara menjadi duri dalam daging UMNO-BN kerana mereka mempunyai nafsu yang membuak-buak untuk membolot kekayaan negara ini.
Pegangan kukuh Pakatan Rakyat terhadap Perlembagaan Malaysia mengkelukan lidah mereka untuk mengeluarkan tuduhan terhadap lawan yang didakwa cuba menghancurkan asas-asas perjuangan negara. Maka bergemalah slogan "Pengkhianat Negara" terhadap Ketua Pembangkang.
Seperti biasa UMNO diserang kembali dengan semua perlakuan mereka yang mengguris hati raja sejak dahulu hingga kini. Sekali lagi mereka terkulat-kulat macam cicak berak kapur.
Pakatan Rakyat tidak boleh menari mengikut rentak UMNO-BN. Jangan mudah melatah dengan tindakan tersepit mereka. Kerasionalan dalam kalangan para pemimpin Pakatan Rakyat amat perlu dititikberatkan pada saat-saat mencemaskan ini. Jangan biarkan mereka terus-terusan menggali lubang untuk menanam Pakatan Rakyat!!!
