Wednesday, June 30, 2010

Lantaklah Belalang!!!

Politik Malaysia menyaksikan banyak perang mulut. Perang mulut antara Kayveas dengan Murugiah. Perang mulut antara Ibrahim Ali dengan Khairy Jamaluddin. Perang mulut antara Dr. Asri dengan Zamihan. Kini nak meletus pula perang mulut antara Fathul Bari dengan Hosni Mubarak. Perang mulut yang mutakhir ini berkisat atas isu ulama muda masuk UMNO.

Pada hakikatnya, dakwaan 100 orang ulama hendak menyertai UMNO hanya kelentong. Dakwaan 40 orang ulama hendak menyertai UMNO juga kelentong. Yang benar mungkin Fathul Bari dan dua orang adiknya sahaja yang betul-betul menjadi ahli UMNO. Jumlah orang yang mendatangi majlis itu hanya 16 orang, termasuk adik-beradik Fathul. Jadi, 13 orang lagi tu ada hal lain yang tiada kena-mengena dengan menyertai UMNO.

Ada yang hendak membersihkan institusi daripada dakwaan terlibat dengan JI. Hosni Mubarak dan kawan-kawannya telah diperdaya. Hosni telah mengatakan hal tersebut secara terbuka. Dia giat berceramah untuk mendedahkan pembohongan UMNO atas isu tersebut. Wahab Abdullah juga telah mengeluarkan kenyataan yang sama.

UMNO sudah gelabah. Mereka meminta Fathul menyelamatkan keadaan. Dia mendakwa Hosni tidak diundang dan tidak ada dalam senarai. Apabila disergah tentang Wahab Abdullah, dia tidak tahu menahu pula dan terpaksa buat semakan. Kes ini mirip kes Dr. Asri-Zamihan. Dolak-dalik menjadi perencahnya. Shahidan Kassim pun telah memulakan pencak silatnya.

Walau bagaimanapun, pembohongan telah dilakukan oleh UMNO. Fathul hanya menafikan kenyataan Hosni. Peri kehadiran orang lain untuk menyelesaikan masalah sendiri tidak dinafikan oleh Fathul. Maknanya benarlah tak sampai 40 orang ulama yang masuk UMNO, adik-beradik dia saja yang masuk UMNO, dan selainnya itu sama ada diperangkap ataupun terperangkap. Shahidan Kassim yang tergamam menambah kata bahawa mereka ini minta nak turut serta, dia tak bagi, degil, itulah jadinya. Kalau masih nak berkeras, Shahidan boleh teruskan buat laporan polis, saman semua mereka, atau dapatkan perintah mahkamah untuk menghalang Hosni dan Wahab berceramah di serata pelosok negara.

Fathul yang mungkin saja baru jadi pensyarah di UKM itu tiba-tiba saja dijadikan alat oleh UMNO untuk membersihkan kekotoran yang sengaja dicipta oleh mereka sendiri. Nasib badanlah, nak buat macam mana. Berani buat, beranilah tanggung. Belum apa-apa dia dah nampak tembelang busuk UMNO. Itu pun masih nak bersama. Lantaklah belalang!!!

Tuesday, June 29, 2010

UMNO Memalukan Ulama dan Meludahi Diri Sendiri

Baru semalam saya menulis tentang UMNO buat lawak bodoh dalam isu 40 ulama masuk parti mereka. Macam cerita Ali Baba Bujang Lapok yang diadaptasi dari Ali Baba dengan 40 orang penyamunlah pulak.

Mula-mula dikhabarkan 100 orang ulama yang nak masuk UMNO. Banyak tu. Bila jadi kata 40 orang sahaja dan muda-muda belaka. Wah, hebat dan kuat! Kemudian pecah tembelang, bukan semua yang hadir itu tujuannya untuk masuk UMNO. Sebahagiannya hanya untuk berjumpa Najib bagi menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Ahli PAS pun ada dalam majlis tu!!!

Jangan-jangan seorang tu saja yang masuk. Macam ayam betina la pulak. Bertelur sebiji riuh sekampung. Rupa-rupanya hanya tiga beradik anak mantan Mufti Perlis saja yang masuk. Itu pun nak heboh.

Hari ini mereka betul-betul bodoh. Yang pergi ke majlis itu sebenarnya diperdaya, ditipu. Mereka kata Najib nak jumpa pelajar-pelajar lepasan Jordan. Alih-alih diminta beratur sambut Najib datang dan bersalaman. Ambil gambar bertalu-talu. Lepas tu umum 40 ulama muda masuk UMNO. Ek elehhhh bodohnya. Nak menipu pun dah tak reti.

Tipu tahap Tadika ha! ha!! ha!!! Budak kecik belum tumbuh gigi pun boleh gelak terguling-guling.

Persoalannya sekarang ialah siapa yang menipu. Najib ke? Muhyiddin ke? Shahidan Kassim ke? Kalau Najib, memang dia pendek akal. Kalau Muhyiddin, dia mungkin nak mengampu dan sekali gus memalukan bosnya. Kalau Shahidan, dia mungkin nak balas dendam.

Begitulah rupa paras UMNO mutakhir ini. Mereka bukan lagi terdesak tetapi kehilangan punca. Kalau sudah bertimbun-timbun kemungkaran yang dibuat, begitulah jadinya. Belum ulama dah diberi title ulama. Lepas tu sanggup pulak tipu mereka semata-mata kerana nakkan imej naik di mata rakyat. Nak juga kata UMNO disokong oleh ulama. Sekarang apa dah jadi? UMNO tertomoih dalam longkang. Tak rasa malukah? Lepas ke mana maruah mereka?

Masih belum terlambat untuk UMNO membaiki diri. Perjuangan mereka perlu berlandaskan ajaran Islam. Tidak ada jalan keluar yang paling afdal selain daripada kembali kepada perintah Allah yang disampaikan oleh Rasulullah.

Semakin lama UMNO hanyut, semakin banyak bala yang mendatang. Itu bukan janji manusia. Janji Khalik tak ada sesiapa pun yang dapat menafikannya. Bertaubatlah sementara masih ada kesempatan.

Monday, June 28, 2010

UMNO Buat Lawak Bodoh

Riuh rendah UMNO berkokok ke seluruh negara mengatakan 100 orang ulama akan menjadi ahli mereka. Alih-alih hanya 40 orang yang muncul bersama Najib. Rakyat ingat kesemua 40 orang itulah ulama muda yang masuk UMNO. Rupa-rupanya sebahagian besar daripada mereka bukan nak masuk UMNO tetapi terperangkap dalam majlis itu kerana kebetulannya masa itu juga mereka nak jumpa Najib untuk selesaikan hal yang bersangkutan dengan tuduhan terlibat dengan JI. Kesempatan itu digunakan oleh UMNO untuk melancarkan propaganda mereka.

Pandai sungguh UMNO buat lawak bodoh. Akhirnya orang tahu juga. UMNO tidak pernah serius dengan hal-hal keagamaan. Pasal ulama pun nak buat lawak. Entah berapa orang yang masuk kita pun tak tau. Yang masuk tu pulak bukannya hebat pun. Member satu fakulti pun tak kenal apatah lagi rakyat. Macam ini pun UMNO sanggup dan tak rasa malu nak buat.

Siang-siang lagi mereka telah diberi kata dua supaya tidak buat yang bukan-bukan. UMNO tetap akan kata politik suku, agama suku. Anak mantan mufti pun hanya kata dia nak berdakwah dari dalam UMNO, tak lebih dari itu. Maka jangan haraplah UMNO akan berubah. Dia pegawai kerajaan. Mana boleh aktif dalam politik. Jadi ahli biasa bolehlah. Ahli biasa boleh buat apa. Melukut di tepi gantang. UMNO hanya menang sorak dalam hal ini. Mereka tetap juga tolak Islam walau banyak mana pun ulama masuk ke kem mereka.

Mungkin dia kejar benda lain. Oleh sebab dia UMNO, mudahlah dapat profesor madya dan kemudian profesor bila ada title doktor nanti. Apabila ada isu berkaitan agama, wartawan utusan dan berita harian akan cari dia untuk buat komen. RTM, TV3, dan lain-lain pun akan cari dia untuk diwawancara. Itulah peluang untuk jadi popular macam artis. Pendeknya akal mereka walaupun belajar tinggi-tinggi!!!

Sunday, June 27, 2010

Memang TaK Boleh Harap

Banyak perkara menarik yang berlaku sepanjang minggu ini. Pertama Wee Ka Siong telah mempersoalkan JPA hentikan biasiswa tetapi MARA teruskan juga. Ternyata dia mempersoalkan hak Melayu. Anehnya Khairy (Ketua Pemuda UMNO) sokong Wee. Kalau sama-sama BN apa-apa pun boleh. Sememangnya UMNO sanggup jual Melayu.

Kedua, isu JI dan Wahabi. UMNO-BN cuba alih perhatian rakyat daripada memperkatakan kelemahan kerajaan. Bukti tidak ada. Yang kena tempiasnya Presiden PAS dan Dr. Asri. Orang yang keluarkan kenyataan masih berdolak-dalik. Rupa-rupanya sudah ada keretakan hubungan antara Dr. Asri dengan dia. Patutlah gaduh sakan. Orang agama pun gaduh juga? Dua-dua tak boleh harap.

Ketiga isu 40 ulama muda masuk UMNO. Tak ada seorang pun yang dikenali ramai apatah lagi popular. Mereka akan buat semak sahaja dalam UMNO. Tak bercakap sepatah haram pun tentang kes judi. Mereka akan sama-sama hanyut dengan sekularisme, nasinalisme, materialisme, kronisme, nepotisme, rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, dan mementingkan diri sendiri. Bolehkah UMNO lari daripada semua itu? Tak boleh! Tak Boleh! Tak bolehhhhhhhhhhhhhhh!!!

Keempat isu duit FELDA kuncup berbilion ringgit. UMNO sudah melalut-lalut apabila diserang kiri dan kanan. Siapa cekup duit tu? Yang pasti peneroka FELDA ternganga sampai mulut masuk lalat. Najib bagi durian runtuh yang tak seberapa kepada mereka suka bukan main. Tak sedar yang diseleweng bertimbun-timbun bagai gunung. Itu pun sokong UMNO-BN lagi. Akai ada ke?

Kelima enjin jet F-5E dah dibawa balik. Benda yang sebegitu besar dikatakan dicuri oleh pegawai rendah TUDM. Orang yang dituduh didakwa dipaksa mengaku dan diseksa. Apa pulak ni? Sendiri tak tau jaga barang sendiri pergi seksa orang buat apa. Anehnya tidak ada pegawai tinggi yang terlibat.

Keenam nak hapuskan UPSR dan PMR. Yang tak ada kepentingan macam biasalah setuju. Yang ada kepentingan macam pengendali kelas tuisyen bisinglah. Mereka fikir itu sajakah punca rezeki dalam dunia ni? Banyak lagilah. Kreatiflah sikit. Memanglah nampak kelas tuisyen tu berjaya. Yang sebenarnya soalan peperiksaan balik-balik yang itu-itu juga. Siapa-siapa pun boleh lulus kalau kumpul soalan banyak-banyak buat latih tubi. Bukan pandai macam mana pun. Kalau nak suruh orang bercakap, sampai bila pun tak habis. Orang-orang di Malaysia ni memang pandai bercakap. Semua mereka tahu cakap, negara tak maju macam mana pun. Ekonomi tak hebat macam mana pun.

Ketujuh bumbung bangunan baru buat runtuh lagi. Kali ini penyebabnya paip air bocor. Tidak adakah paip air yang berkualiti di negara ni. Baru pakai dah bocor. Siapa akan tidak percaya benda-benda low quality ni digunakan untuk kaut untung berlipat ganda hanya sanya kerana nak bagi makan kepada ramai penyangak apabila sesuatu projek dijalankan? Satu Malaysia punya identitilah tu.

So, tengoklah sendiri Malaysia dan rakyatnya. Tak ada dalam dunia ni melainkan di Malaysia saja. Pemimpin tak boleh harap. Rakyat pula tertiarap. Siapa yang bising dan cuba tunjuk kelemahan kerajaan kena saman. Aku saman kau. Kau saman aku. Bila nak habis? Penyangak yang bermaharajalela.

Saturday, June 26, 2010

Islamkah UMNO dengan 40 Ulama ?

Pada masa ini, UMNO masih memakai baju masionalisme. Mereka memakai seluar sekularisme. Mereka juga mengenakan kopiah materialisme. Islam tersorok dalam tali leher yang ada kalanya dipakai dan ada kalanya tidak. Keris kontot masih tersimpan dengan kemas dalam kocek mereka.

Dengan kemasukan 40 orang yang didakwa sebagai ulama ke dalam parti itu, akan berubahkah semua imej itu? Adakah golongan yang dikatakan ulama ini akan membentuk Dewan Ulama UMNO? Adakah mereka akan setaraf dengan Dr. Mashitah yang hanya terperuk sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, atau setaraf dengan Dr. Abdullah Mat Zin yang tertonggok di parlimen tidak berkata apa-apa apabila isu Islam berbangkit, atau setaraf dengan Mohd Khir yang jadi menteri agama kononnya tetapi tidak berkata sepatah pun tentang isu judi?

Jika mereka tidak mampu membawa UMNO menjadi parti yang menegakkan undang-undang Islam apalah gunanya. Jika UMNO masih mengeluarkan keris untuk memperlihatkan sifat perkaumannya lagilah tiada faedahnya. Jika UMNO masih bergelumang dengan rasuah alamat punahlah nanti. Jika UMNO masih menganggap judi sebagai hak bukan Islam yang perlu dipelihara alangkah dangkalnya pemikiran mereka.

Friday, June 25, 2010

UMNO Masuk Perangkap JI dan Wahabi ?

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13) mahu tidak mahu tetap juga akan diadakan. Persoalannya hanyalah cepat atau lambat sahaja. Apakah keputusan hakim yang mendenda Tian Chua RM2,000.00 supaya PRK tidak diadakan menjadi penanda PRU Ke-13 sudah dekat? Adakah populariti Najib yang naik dari 69% ke 72% menjadi pendorong pilihan raya umum diadakan lebih awal? Adakah isu JI dan Wahabi akan digunakan untuk mengkebawahkan imej PAS supaya orang Melayu menyokong UMNO? Sekali pandang pernyataan-pernyataan itu hanyalah berstatus spekulasi. Apabila berkali-kali diselidik, seperti ada riak-riak kebenarannya, apatah lagi Taib Mahmud sedang sibuk bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Hakikatnya UMNO-BN pasti mencari satu titik paling cocok dengan mereka untuk mengadakan pilihan raya umum. Namun demikian, situasi semasa meletakkan UMNO-BN dalam keadaan serba salah. Mereka kecundang 8 daripada 11 PRK yang diadakan pasca-PRU Ke-12. Tiga kerusi yang dimenangi pula tidak mempamerkan kekuatan sebenar mereka kerana diwarnai oleh pelbagai perbuatan yang negatif seperti rasuah politik, projek mi segera, penggunaan jentera kerajaan, dan sebagainya. UMNO-BN memberi aneka bantuan kepada pengundi-pengundi di Batang Air semasa berkempen. Pengundi-pengundi yang buta maklumat menerimanya sebagai tanda prihatin kerajaan, bukan tanggungjawab yang hanya dilaksanakan sempena pilihan raya. UMNO-BN dibantu oleh anggota tentera dan keluarga mereka yang terkurung dalam kem di Bagan Pinang. Orang Melayu dan peneroka FELDA termakan gula-gula politik yang ditabur secara meluas di Hulu Selangor. Begitu juga halnya dengan orang India.

Orang Melayu bandar dan pinggir bandar serta orang Cina di lapan kawasan yang dimenangi Pakatan Rakyat (PAS, PKR, dan DAP), majoritinya menolak UMNO-BN. Situasi ini menjadikan kampung dan luar bandar sahaja sebagai lubuk UMNO-BN. Namun demikian, kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi pada masa ini memberi advantage kepada Pakatan. Buktinya penduduk luar pun sudah menikmatinya, beroleh maklumat alternatif, dan membuat penilaian saksama terhadap dakwaan-dakwaan yang dilemparkan semasa berkempen. Hasilnya ialah jumlah undi yang diperoleh PKR tetap bertambah walaupun penyokong mereka ramai yang dipindahkan supaya menjadi pengundi kawasan lain. Pada masa yang sama, orang Cina dan India sudah mula mengerumuni DHPP di seluruh negara, sementara orang Melayu, Bumiputera, dan Cina di Sarawak semakin galak menyokong DAP.

Kesemua fenomena ini telah menimbulkan kegundahan UMNO-BN. Hakikatnya mereka kehilangan banyak penyokong kepada Pakatan Rakyat. Hal ini diakui oleh Dr. Mahathir. Orang Melayu berpecah tiga, iaitu menyokong UMNO, PAS, dan PKR. Tidak mungkin majoritinya berada dalam kem UMNO. Sokongan kaum Cina kepada Pakatan mungkin lebih baik daripada tahun 2008. Kita boleh mengandaikannya berdasarkan keputusan-keputusan PRK yang telah dimenangi oleh Pakatan, kecelaruan identiti dalam MCA, kemandulan prinsip dalam Gerakan, dan ketidakupayaan parti-parti Cina yang lain dalam BN. Ramai yang berpendapat sokongan kaum India sudah berbalik kepada MIC. Kenyataan ini menimbulkan lebih banyak keraguan daripada kebenaran. Kewujudan terlalu banyak parti kaum India di Malaysia menandakan orang India sedang berpecah-belah. Kewujudan Gerakan Anti-Samy (GAS) menandakan MIC sedang parah. Perebutan jawatan presiden dalam PPP membawa makna parti nyamuk itu sedang dilanda badai. MMSP yang direstui Najib pun tidak pernah sunyi daripada krisis.

Krisis ialah simbol utama parti-parti dalam BN, termasuk penerajunya sendiri, iaitu UMNO. Najib gagal menyatupadukan BN. Dia seorang pemimpin yang lemah. Kebolehannya tidak sama dengan "populariti" yang dimilikinya. Oleh sebab itu, UMNO terpaksa mencari dahan untuk bergantung. Dahan yang diperoleh ialah pegawai kerajaan, institusi kerajaan, dan golongan ulama. Bagaimana untuk mendapatkan mereka? Berpuluh-puluh orang ulama lulusan PhD digembar-gemburkan untuk masuk UMNO. Sebelum itu ancaman JI dilemparkan kepada massa. Pakatan dan NGO mencium isu ini sebagai mainan politik UMNO-BN. Kerajaan tidak berani mensahihkan kegiatan militan yang didakwa mahu memusnahkan kuil di Batu Caves dan Pulau Pinang. Timbul pula isu Wahabi. Wahabi pula yang dikaitkan dengan aktiviti pengganas. Turut terseret dalam kancah serkap jarang ini ialah Presiden PAS, Dr. Asri, dan Mantan MB Perlis. Pelakunya dikenali sebagai Zamihan, seorang Penolong Pengarah di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). Majlisnya taklimat keganasan kepada penguatkuasa dan wakil-wakil universiti. Kemarahan sudah membuak-buak. Zamihan kata dia hanya sebut nama Dr. Asri dan wacana Wahabinya. Hal ini dibantah oleh Dr. Asri. Siapa sebut tentang Haji Hadi Awang, dia kata dia tak mau campur kertas kerja orang lain. UMNO sudah masuk perangkap. Pada mulanya nak perangkap ulama supaya masuk UMNO melalui momokan isu JI dan Wahabi, akhirnya senjata makan tuan.

Thursday, June 24, 2010

Trick UMNO-BN Menjijikkan !!!

Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam kalangan pemimpin UMNO telah mula berlaku. Tidak kiralah sama ada hal itu wujud secara tersurat mahupun tersirat. Perubahan ini berlaku disebabkan oleh asakan para pemimpin Pakatan Rakyat yang bertali arus terhadap pelbagai kecurangan yang dilakukan oleh UMNO-BN. Asakan tersebut menyebabkan mereka tertampan ke dinding dan tidak berdaya mematahkan hujah Pakatan. Harus diingat bahawa selama ini UMNO-BN mengecap pemimpin pembangkang hanya tahu membangkang tetapi tidak pandai membina.

UMNO-BN perlu sedar bahawa suasana dan masa telah berubah. Dahulu hanya PAS yang berjaya membentuk kerajaan negeri. Kini DAP dan PKR turut mendapat pengalaman berharga sebagai kerajaan negeri. Sehubungan itu, UMNO-BN tidak boleh lagi main sorok-sorok dalam hal-hal pentadbiran dan pemerintahan serta perlu sentiasa bersedia menghadapi persaingan dalam pelbagai stail dengan Pakatan Rakyat. Oleh sebab itu, rakyat dapat memperhatikan gelagat UMNO-BN menangkis setiap kritikan yang dihamburkan oleh Pakatan terhadap mereka dan sebaliknya. Kewujudan fenomena ini sepatutnya mematangkan semua pendokong politik di negara kita. Adakah hal itu berlaku?

Jika dilihat telatah Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO yang korup itu, kita akan mendapati pemikirannya jauh ke belakang walaupun dia lulusan Oxford. Ketika bercakap tentang situasi semasa di Malaysia dia menyebut persepsi negatif pembangkang terhadap pentadbiran negara menyebabkan proses "brain drain" terus berlaku. Kenyataan ini menunjukkan Khairy mengiktiraf kehebatan Pakatan Rakyat. Pakatan bukan sahaja berjaya mempengaruhi golongan profesional dan bijak pandai negara berhijrah ke negara lain malahan juga menghalang golongan itu yang berada di luar negara supaya tidak kembali untuk berkhidmat di negara sendiri.

Jika ditinjau dari sudut yang lain pula, kenyataan Khairy itu membuka pekung di dada kerajaan. Penghijrahan golongan tersebut ke negara lain tidak dapat dihalang kerana Kerajaan UMNO-BN gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik dan tidak mampu menggariskan syarat-syarat perkhidmatan yang memikat mereka untuk kekal di tempat sendiri.

Akhir-akhir ini ancaman pengganad disekalikan pula dengan gerakan Wahabi dicelah-celah riuh rendah 100 ulama nak masuk UMNO, termasuk Dr. Asri. Ancaman JI belum dibuktikan dengan kukuh, tiba-tiba nama Presiden PAS dan Dr. Asri pula timbul dalam dakwaan yang dibuat, tentunya tanpa usul periksa. Orang ramai tertanya-tanya apakah muslihat UMNO-BN selain daripada mengalih perhatian rakyat terhadap isu-isu tertentu? Ada orang mula mengagak, "Inilah kejutan yang dimaksudkan Najib apabila bercakap tentang tarikh PRU Ke-13." Tangkap dulu pemimpin-pemimpin Islam dan hentam habis-habisan parti Islam supaya orang Melayu menyokong penuh UMNO. Jika inilah yang bermain-main dalam kepala UMNO, alangkah jijiknya!!!

Wednesday, June 23, 2010

Isu Pengganas Cuba Memalit Lumpur ke Muka Pakatan

Kerajaan UMNO-BN nampaknya benar-benar berusaha untuk menjauhkan sokongan bukan Islam kepada PAS. Gelombang sokongan bukan Islam kepada PAS terjelma melalui keanggotaan dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Dewan ini dianggotai oleh kaum India dan Cina. Jika bersesuaian, mereka boleh bertanding menggunakan simbol PAS di kawasan-kawasan yang majoriti pengundinya terdiri daripada bukan Melayu.

Perihal DHPP mendapat liputan meluas dalam akhbar-akhbar arus perdana bukan lagi satu rahsia. Sungguhpun isi kandungan rencana tentang DHPP hampir kesemuanya berkonotasi negatif seperti PAS tidak meyakini kebolehan ahli sendiri, PAS tersalah langkah, PAS mengundang bala dalam jangka panjang, dan sebagainya; namun secara tersirat rencana itu menyerlahkan kebimbangan UMNO terhadap kemampuan ancaman PAS khasnya, dan Pakatan Rakyat amnya.

Pada masa yang sama, UMNO menyedari bahawa dua pertiga orang Melayu menyokong Pakatan Rakyat. Mereka tidak mampu mengekalkan kuasa dengan hanya satu pertiga sokongan Melayu sedangkan di satu pihak yang lain kaum Cina tidak menyokong MCA, Gerakan, dan lain-lain. Kaum India yang didakwa kembali menyokong MIC pun kini semakin goyah kedudukannya setelah Gerakan Anti-Samy (GAS) ditubuhkan. Parti-parti nyamuk seperti PPP, PBRS, LDP, dan lain-lain tidak lebih daripada melukut di tepi gantang dalam BN.

Oleh sebab itu, Kerajaan UMNO-BN sedang memomokkan kewujudan ancaman Jemaah Islamiyah (JI) sekarang ini. Lalu digembar-gemburkanlah kemungkinan serangan militan Islam terhadap kuil, penyusupan pengganas di IPT, dan sebagainya. Isu ini semakin kuat dipanaskan bagi mengalih perhatian rakyat bukan sahaja terhadap kelemahan pentadbiran kerajaan malahan juga menimbulkan kecurigaan orang bukan Islam terhadap PAS.

Kerajaan UMNO-BN berasa sangat perlu berbuat demikian kerana kemungkinan besar Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13) sudah terlalu hampir. Najib dan pemimpin-pemimpin atasan UMNO-BN juga semakin kerap melontarkan tentang peri pentingnya parti-parti dalam BN menyorok pekung masing-masing, bersatu, dan menggembleng tenaga menentang Pakatan.

UMNO-BN secara tidak sengaja menyerlahkan kelemahan sendiri sebelum berjuang. Tubuh mereka rupa-tupanya bersalut pekung. Oleh sebab itu, tidak salahlah dakwaan Pakatan Rakyat terhadap mereka selama ini. Hal ini tentunya berlaku kerana bangkai gajah tidak mungkin dapat ditutup dengan nyiru. Usaha mereka untuk memalitkan ketakutan orang bukan Islam kepada PAS akan menjadi sia-sia kerana mereka lebih hodoh daripada Pakatan.

Jika demikian halnya, peluang Pakatan Rakyat amat cerah dalam PRU Ke-13 nanti. Walau bagaimanapun, mereka perlu memastikan lokasi penyokong-penyokong Pakatan berada pada masa ini. Adakah pemindahan pengundi secara besar-besaran sedang dilakukan sekarang ini? Berapa ramai lagi penyokong yang tidak mendaftar sebagai pengundi? Sudah bersediakah pemimpin-pemimpin akar umbi untuk memberi perkhidmatan? Cukupkah dana untuk menghadapi PRU Ke-13 itu? Sesungguhnya kerja keras, keikhlasan, dan usaha berterusan amat penting untuk menggapai kejayaan.

Tuesday, June 22, 2010

Perjuangkan Islam Secara Berterusan

Hakikatnya UMNO telah menerima kenyataan bahawa sokongan orang Melayu kepada mereka semakin menipis. Hal inilah yang menimbulkan kerisauan Mahathir. Apa akan jadi kepada UMNO yang tidak punya kuasa? Keadaan mereka pasti lebih teruk daripada kedudukan PAS setelah kehilangan Kelantan suatu masa dahulu.

Perkara yang sama disedari oleh Najib. Secara tersirat, rakyat tahu ada banyak pekung di dada setiap parti dalam BN. Kebanyakannya sedang berpecah-belah. Tiada kesatuan yang jitu dalam kalangan mereka. Sebab itulah dalam mana-mana perjumpaan Najib sering meminta parti-parti komponen supaya jangan bergaduh dan bersatu menentang Pakatan Rakyat.

Walaupun Pakatan selalu diperlekehkan, rupa-rupanya hal itu tidak menjadi kudis kepada Pakatan. ADUN dan MP Pakatan yang melompat tidak berjaya melemahkan PKR dan DAP. Ahli-ahli politik yang bacul dan tidak berpendirian ini dipandang penuh curiga oleh rakyat lantangan serangan longlai terhadap Pakatan. Dengarlah perkara yang direpekkan oleh Wee Choo Keong tentang penjualan arak di Kelantan yang langsung tiada berasas. Mereka sedang menunggu ketibaan saat menjadi sepah terbuang setelah manisnya yang sedikiti itu habis dihisap.

Kerajaan-kerajaan Pakatan terus gagah berkhidmat kepada rakyat. Mereka juga giat menjaga kebajikan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa itu. Perkataan "perkauman" telah lama mati dalam kamus Pakatan Rakyat. Menyedari hal ini, ada pihak dalam UMNO mencadangkan slogan "Hidup Melayu" digantikan dengan "Melayu Gemilang". Namun demikian, mereka lupa bahawa kegemilangan Melayu haruslah berteraskan Islam, bukannya nasionalisme yang sarat dengan materialisme dan sekularisme yang menjadi kebanggaan UMNO sehingga kini. UMNO tidak akan gemilang sekiranya masih berpegang kepada prinsip kuno itu.

Ketika UMNO terus enak dibuai politik lama, Pakatan wajib berjuang dan mempertahankan politik baru yang memberi tumpuan kepada hak semua bangsa menurut Perlembagaan Malaysia, berkongsi kekayaan negara, dan menegakkan keadilan berteraskan prinsip persaudaraan sesama Islam serta hubungan sesama insan dengan bukan Islam. Marilah kita merealisasikannya dengan bersungguh-sungguh, ikhlas, dan secara berterusan.

Monday, June 21, 2010

Pekung UMNO-BN Sudah Terselak

Ada beberapa perkara yang menarik untuk dibincangkan sepanjang minggu lepas. Perkara-perkara tersebut keluar dari mulut Mahathir dan Najib. Pernyataan Mahathir berbentuk rintihan. Pernyataan Najib berbentuk pujukan dan sekali gus ugutan.

Mahathir merintih tentang suatu hari nanti Melayu akan jadi minoriti di negara sendiri. Najib memujuk semua anggota BN supaya tidak mendedahkan pekung di dada dan sekali gus mengugut mereka untuk bersama-sama menentang Pakatan Rakyat seperti dirinya yang bekerja keras untuk mengambil hati rakyat sepanjang masa hanya sanya bagi menggagalkan Pakatan ke Putrajaya.

Melayu akan jadi minoriti apabila sokongan mereka berpecah tiga, iaitu menyokong UMNO, PAS, dan PKR. Jika kita terima kenyataan ini bulat-bulat dan mengira ikut cara budak sekolah rendah yang hendak mengambil peperiksaan UPSR yang hendak dimansuhkan oleh Mahyuddin, kita akan jawapannya dua pertiga orang Melayu menyokong Pakatan Rakyat. Itulah hakikatnya. Dengan satu pertiga sokongan Melayu, UMNO pasti bungkus. Hal inilah yang dirintihkan oleh Mahathir, bukanlah menjaga kepentingan Melayu seperti yang didakwa.

Setelah lebih lima puluh tahun diberi kuasa, UMNO lebih banyak mengkhianati Melayu daripada memperjuangkan kepentingan mereka. Melayu yang berjaya hanyalah segelintir kroni mereka. Majoriti Melayu di luar lingkungan itu masih terkapai-kapai walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN), dan Dasar Wawasan Negara (DWN) akan tamat hujung tahun ini. Rancangan Malaydia Ke-10 (RMK10) dan Model Baru Ekonomi (MBE) pun tidak menjamin ekonomi orang Melayu akan terpelihara.

Dengan semua kecacatan itu, bagaimanakah UMNO dengan beraninya mendakwa mereka pembela Melayu? Yang mereka bela ialah orang-orang yang berkepentingan dalam UMNO dan kroni-kroni yang rakus. Mahathir, Najib, dan lain-lain terlalu bimbang kuasa yang UMNO pegang sekarang ini terlepas ke tangan Pakatan Rakyat dan mereka akan musnah.

Sunday, June 20, 2010

Malaysia Kemabukan Isu

Ketika indeks daya saing negara merudum dari tempat ke-19 ke tempat ke-24 tercatat dalam senarai, berita itu tidak dijadikan tajuk besar. Namun, rakyat tetap tahu keadaan ekonomi negara mereka sedang merosot. Sesiapa pun yang cuba menterbalikkan kenyataan itu akan diketawakan.

Dalam keadaan ekonomi yang merosot itu, kerajaan bercadang untuk membina bangunan parlimen yang baru. Cadangan itu segera mendapat reaksi negatif golongan yang bukan sahaja tidak suka kepada pembaziran malahan juga muslihat pihak-pihak tertentu untuk memperoleh komisen melalui pembinaan itu.

Kalau nak komisen, tidaklah sukar, buat projek baru. Masa itulah ada peluang untuk sapu duit rakyat. Kebajikan rakyat tolak ke tepi. Masa pilihan raya bagilah mereka kain pelekat, beras, gula, atap rumah, tandas, dan sebagainya. Tamatlah kisah. Terkuncilah mulut mereka. Itu yang ada dalam kepala pemimpin UMNO sekarang ini.

Bila mahkamah kurangkan denda kepada Tian Chua, ada pula berbagai-bagai tafsiran yang muncul. Ada yang kata dia bukan lagi ahli parlimen. Ada pula yang kata keahliannya terlucut. Ada yang kata pengurangan denda itu menandakan BN takut menghadapi pilihan raya kerana kemerosotan sokongan orang Cina kepada BN sekarang ini. Ada pula yang secara sinis mencabar, kalau PM popular sangat, mengapa takut. BN pula membalas mereka tidak akan tergesa-gesa menghadapi kemelut itu. Mana satu yang betul ni?

Sejak akhir-akhir ini, keadaan tindak menentu sentiasa melanda negara. Pemimpin-pemimpin politik diserang histeria. Apa mau jadi? Semua tidak semenggah. Lesen judi tak jadi beri. Rakyat bertanya, "Betulkah?". Kerajaan kata, "Ada ancaman JI." Dek kerana selalu sangat kelentong, orang pun tak percaya. Musa pula yang marah-marah.

Demikianlah kisah sebuah negara yang bercita-cita menjadi negara maju ikut acuan sendiri pada tahun 2020, sepuluh tahun dari sekarang, tetapi nak bankrap tahun 2019. Ini lagi satu isu yang berputar-putar macam wau cari lubang cacing!!!!

Saturday, June 19, 2010

PRU pun Hendak Dimisterikan???

Jika peraturan dipatuhi, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13) perlu diadakan pada awal tahun 2013. Tempoh itu sesungguhnya agak lama lagi. Namun, ada pihak yang tidak sabar-sabar menanti tarikh tersebut lalu mencadangkan supaya PRU Ke-13 diawalkan kononnya kerana tinjauan Merdeka Centre menunjukkan Najib sedang popular. Kita jangan lupa bahawa responden kajian itu hanya terdiri daripada seribu lebih orang yang tidak berkedududkan berbanding dengan penduduk Malaysia yang berjumlah 22 juta orang lebih. Oleh sebab itu, tidaklah menghairankan jika banyak pihak mempertikaikan kesahihannya.

Kita abaikan dahulu soal kesahihan itu untuk meneliti cadangan yang dibuat oleh Husam. Cadangan itu akan menyebabkan negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sama ada lebih awal atau lebih lewat atau pada tarikh yang sama di seluruh negara. Kesemuanya bergantung kepada Dewan Rakyat dan negeri-negeri yang diperintah oleh BN mengumumkan tarikh lain dan negeri-negeri Pakatan Rakyat mengumumkan tarikh yang lain. Seandainya kedua-dua pihak tidak mahu berkompromi, maka tidak samalah tarikh pilihan raya bagi negeri-negeri di Malaysia.

Cadangan ini dikemukakan supaya Najib tidak menjadi individu yang boleh sewenang-wenangnya membuat kejutan demi menguntungkan BN semata-mata. Sehubungan itu, Pakatan juga boleh menentukan tarikh pilihan raya sendiri. Hal ini menjadi topik perbincangan yang menarik. Namun demikian, banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum dilaksanakan, terutamanya undang-undang, soal perbelanjaan pilihan raya, peralatan, dan sebagainya.

Menurut cadangan itu, Pakatan yang mendahulukan pengumuman tarikh pilihan raya di negeri-negeri yang mereka kuasai. Dengan demikian, tiada lagilah teka-teki tentang tarikh pilihan raya yang kerap kalinya menimbulkan keresahan dalam kalangan pelbagai pihak. Keresahan yang bercampur dengan ketegangan itu tidak diperlukan pun. Spekulasi yang sengaja diwujudkan dengan muslihat untuk mendatangkan kerugian kepada pihak lain merupakan satu bentuk diskriminasi secara tidak langsung.

Tentulah lebih adil jika semua pihak yang bertanding diberi kesempatan yang seimbang untuk membuktikan kebolehan mereka tanpa sebarang rintangan. Biarlah sokongan pengundi diperdapat melalui manifesto parti yang jelas dan munasabah, bukannya ugutan, cercaan, atau taburan rasuah. Biarlah yang bekerja bertungkus-lumus itu pekerja-pekerja parti, bukannya jentera kerajaan dan para pegawainya.

Layanan tidak sama rata telah berlaku sejak sekian lama di negara ini. Amalan tidak sihat ini perlu dihentikan dengan segera supaya tiada pihak yang dinafikan haknya semata-mata kerana mengutamakan kepentingan sendiri. Berlawanlah secara gentleman, bukannya berselindung di sebalik tenaga sakti yang pastinya memberi kelebihan tetapi gagal menunjukkan kekuatan sebenar. Kuasa yang diperdapat melalui cara yang mengaibkan itu akan terdedah kepada banyak lagi perkara negatif yang melanggar hukum Allah. Mengapa memilih jalan penuh noda jika ada banyak lagi cara yang baik dan halal?

Friday, June 18, 2010

Kelentonglah Lagi !!!

Setelah gagal mengekang kemarahan rakyat terhadap pelbagai tindakan kerajaan yang tidak direstui, pemimpin negara muncul dengan isu Jemaah Islamiyah (JI). Isu ini dilihat sebagai usaha terbaru kerajaan untuk mengalih pandangan rakyat daripada kerja buruk mereka. Rakyat memarahi kerajaan kerana isu pemberian lesen judi sukan, isu tanah KTMB di Singapura, isu penyerahan telaga minyak L dan M yang kaya kepada Brunei, isu penggunaan wang FELDA, isu royalti petroleum untuk Kelantan, isu penyingkiran hak Melayu dalam RMK10, dan isu Model Baru Ekonomi (MBE) yang tidak semenggah.

Rakyat tidak perlu gundah dengan telatah kerajaan ini. Mungkin ada tangkapan-tangkapan yang disengajakan tidak lama lagi bagi menunjukkan dakwaan itu benar-benar berlaku. Perkara-perkara seperti ini pernah berlaku dahulu.

Nampaknya kerajaan UMNO-BN tidak dapat lagi menyembunyikan kedudukan kewangan negara
yang tidak menggalakkan. Sekejap kata nak bankrap. Sekejap kata KDNK naik. Sekejap kata masih mampu bayar hutang. Sekejap pula kata boleh maju menjelang 2020. Sekejap kata Melayu tak sokong UMNO. Sekejap kata "Melayu Bangkit".

Demikianlah keadaan orang yang tenggelam punca. Tidak tahu yang mana satu hendak dipegang. Kiri tak kena. Kanan tak sampai. Depan tersekat. Belakang tak nampak. Atas
terkapai-kapai. Bawah tertomoih. Apa lagi yang boleh dibuat? Kelentonglah habis-habisan.

Masalah yang dihadapi UMNO-BN sekarang ialah keburukan mereka telah diketahui oleh
majoriti rakyat. Rakyat mendapat maklumat daripada pelbagai sumber sama ada dalam
mahupun luar negara. Mereka tak percaya kepada akhbar arus perdana yang pengampu.
Mereka tak percaya kepada RTM, TV3, dan selainnya yang membodek saban ketika. Sampaikan kata Najib popular pun dipertikaikan. Nasiblah. Bukan salah ibu mengandung. Berani buat, beranilah tanggung. Kata orang tua-tua, "Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai."

Thursday, June 17, 2010

Fasa Dua Krisis Politik Perak

Krisis politik Perak memasuki fasa baru pada masa kini. Perkara itu berlaku setelah seorang ADUN UMNO masuk PKR,ADUN Pakatan Rakyat diculik dan kemudian berpaling tadah, rampasan kuasa, SPR menolak permintaan speaker supaya diadakan PRK diBehrang, Changkat Jering, dan Jelapang, persidangan bawah pokok, rampasan kerusi speaker, dan tertonggoknya MB Mahkamah. Sejak itu sejarah mencatatkan persidangan DUN Perak dirasmikan dan ditangguhkan pada hari yang sama tanpa sebarang perbahasan serta dua pihak mengadakan persidangan di dewan yang sama.

Fasa kedua bermula dengan desas-desus tiga ADUN UMNO hendak melompat ke PKR kerana tidak puas hati dengan MB. Mungkin bukan itu sahaja sebabnya. Rasa bersalah dan rasa berdosa terhadap perbuatan merampas kerajaan rupa-rupanya bersarang juga dalam hati sebahagian daripada ADUN UMNO itu. Kita pasti MB UMNO juga rasa begitu. Kehidupan mereka seperti cacing kepanasan. Perasaan-perasaan inilah yang sedang menghambat dan menghantui mereka setiap hari dan ketika. Walaupun episod ini kelihatan seolah-olah sudah beres, namun hakikatnya soal hati belum beres lagi. Apabila soal halal haram mula menggoncang jiwa, tiada siapa yang akan rasa tenteram dan aman. Allah sedang menduga mereka.

Ketika desas-desus itu rancak dibincangkan, ADUN Malim Nawar pula yang berpaling tadah. Jika benar hal ini berlaku kerana sabotaj penyamar yang diutus UMNO untuk bekerja dengannya, maka satu lagi taktik kotor UMNO dipersembahkan kepada rakyat pasca hubungan UMNO dengan APCO terjalin. UMNO semakin rakus mengotorkan dirinya.

Kisah tidak terhenti di situ. DAP akan mengambil tindakan menyaman semua ADUNnya yang berpaling tadah dengan tuntutan sebanyak RM5 juta. Semua wakil rakyat DAP didakwa telah menandatangani perjanjian untuk tidak menyeberang ke parti lain setelah memenangi pilihan raya. Kita tunggulah kesudahan episod ini.

Di samping semua itu, rakyat dapat menyaksikan pendirian kukuh Pakatan Rakyat yang memperjuangkan demokrasi dan hak rakyat. Walaupun mereka boleh membentuk kerajaan semula dengan kemasukan tiga ADUN UMNO itu, mereka tetap memilih pembubaran DUN sebagai penyelesai masalah. Oleh sebab itu, ADUN UMNO yang tidak berpuas hati itu perlulah mengemukakan usul undi tidak percaya kepada MB mereka.

Pulang paku buah keras Pakatan Rakyat kali ini makan keliling. Kita tunggu dan lihat sejauh mana berani atau penakutnya orang UMNO menongkah arus. Biarlah hendaknya tidak menjadi Pak Kaduk yang menang sabung kampung tergadai!!!

Wednesday, June 16, 2010

Singkirkan UMNO !!!

Pada zaman yang serba maju ini orang Melayu tidak boleh lagi merintih untuk mengubah nasib. Mereka memerlukan perancangan jangka panjang yang mampu mempertahankan pegangan ekuiti yang berada dalam tangan. Mahathir merupakan orang yang bertanggungjawab memulakan amalan memberi saham Bumiputera kepada segelintir golongan elit sahaja. Demikian menurut seorang pakar ekonomi negara.

Golongan ini tidak mempunyai pandangan jauh. Kesempatan yang ada digunakan untuk membuat duit sepantas mungkin. Oleh sebab itu, mereka menjual saham-saham tersebut. Hasilnya ialah pemilikan itu terlepas ke tangan Bukan Bumiputera.

Fenomena inilah yang menyebabkan tahap pemilikan ekuiti Bumiputera menjadi statik dan kaku dalam lingkungan 18 hingga 22% sahaja. Jika tidak ada insentif yang diberikan untuk mempertahankan pegangan tersebut, jumlahnya pasti terus merosot dan hasrat untuk melihat pegangan 30% ekuiti Bumiputera sepanjang RMK10 akan berkecai. Tidaklah terlalu berlebihan jika kita beranggapan bahawa rancangan itu merupakan retorik semata-mata.

Pada masa yang sama, kita sekali lagi melihat ketidakmampuan pemimpin UMNO yang menerajui BN berperanan membela nasib orang Melayu. Mereka telah diberikan terlalu banyak peluang untuk berbuat demikian. Mula-mula Dasar Ekonomi Baru (DEB). Lingkup. Sesudah itu Dasar Pembangunan Nasional (DPN). Tersembam. Hingga hujung tahun ini, Dasar Wawasan Negara (DWN). Sah gagal kerana muncul pula Model Baru Ekonomi (MBE).

Realiti itu sepatutnya membuatkan kita semua serik dan bersedia menjauhkan diri daripada mereka. Sampai bila kita mahu terantuk dan tengadah? Tidak perlulah terlalu kasihan kepada mereka. Hentikan saja nasib malang yang bukan saja disengajakan malahan juga diulang-ulang. Cukuplah kita dikelentong dengan pelbagai cara. Cukuplah kita dianiaya. Kita singkirkan UMNO.

Kita perlu dipimpin oleh sebuah kerajaan yang mempunyai kemapanan misi dan visi. Jika matlamat kita mahu menggandakan kekayaan negara untuk dinikmati bersama oleh semua kaum, kita perlu membangunkan semua sektor yang berkaitan, menguruskannya dengan telus, membanteras semua amalan negatif, serta mengutamakan keikhlasan, keadilan, dan kesepaduan yang tulen. Hanya dengan cara itu kepalsuan dapat disingkirkan daripada bertakhta dalam jiwa kita.

Kesemua yang disebutkan itu akan tercapai sekiranya setiap orang daripada kita berpegang kepada ajaran agama dan nilai moral yang murni.

Tuesday, June 15, 2010

Melayu Tak Bangkit

Ketika Program Melayu Bangkit di Kuala Terengganu tidak mendapat sokongan yang diharapkan, Jomo KS mendakwa sasaran 30% ekuiti Bumiputera dalam RMK10 tidak akan tercapai. Kenyataan ini bermakna Melayu tidak akan bangkit.

Jika demikian keadaannya, mengapakah mereka bersusah payah berhimpun untuk perkara yang sia-sia. Banyak lagi kerja berfaedah yang perlu dibuat bukannya dengan membakar semangat perkauman.

Masa untuk orang Melayu duduk dalam kepompong dan mengasingkan diri sudah tamat. Mereka perlu sedar tentang keperluan untuk bersaing dalam arus globalisasi ini. Mereka tidak boleh lagi dimamaikan oleh para pemimpin UMNO yang muflis idea.

Semangat berkobar-kobar dengan kantung kering-kontang nak buat apa?

Monday, June 14, 2010

Ahli Akademik Burung Tiong

UMNO-BN terus menggunakan khidmat ahli-ahli akademik dari universiti-universiti tempatan untuk menaikkan imej mereka di mata rakyat. Maka bercakaplah golongan itu seperti burung tiong yang hanya tahu berkata-kata tentang perkara yang diajar tuannya sahaja. Taraf percakapan itu sama sahaja dengan para pencacai UMNO yang hanya tahu mengulang-ngulang benda yang sama sehingga orang UMNO sendiri pun jelak menatap dan membacanya. Hilanglah kualiti, kredibiliti, dan integriti mereka sebagai ahli akademik. Jika demikian keadaannya, orang ramai pun mempersoalkan mutu siswazah yang mereka hasilkan. Kita lihat kenyataan mereka kepada wartawan yang sentiasa ada agenda untuk membuka pekung di dada ahli-ahli akademik ini asalkan mereka beroleh berita, tak kiralah kandungannya bernilai atau sekadar sampah sahaja.

PROFESOR DATUK DR> ZAINAL KLING (UPSI)

PAS harus menggugurkan perkataan Islam berikutan keputusannya membenarkan calon bukan Islam bertanding mewakili parti itu pada PRU akan datang.

PROFESOR DATUK DR. NIK ANUAR NIK MAHMUD (UKM)

Dahulunya PAS merupakan pencabar utama BN tetapi kini sudah kehilangan taring selepas menyertai pakatan pembangkang. PAS merasakan mereka ketinggalan berbanding PKR dan DAP. Maka keputusan ini diambil agar mereka kembali terserlah dan bersuara dalam arena politik Malaysia.

DR. MOHD. ZAINI ABU BAKAR (USM)

Langkah PAS membenarkan calon bukan Islam bertanding dalam pilihan raya atas tiket parti itu menunjukkan PAS masih tidak yakin dengan kemampuan calonnya sendiri untuk meraih sokongan masyarakat di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu. Walaupun tidak bertentangan dengan perlembagaannya, tindakan berkenaan menjelaskan terdapat kelemahan dalam pentadbiran PAS yang menyebabkan bukan Melayu tidak mahu mengundi parti itu.

ULASAN

Ketiga-tiganya bercakap ikut sedap mulut sahaja. Kesemuanya mengambil jalan mudah untuk menjawab soalan wartawan yang ternyata mempunyai agenda tersendiri terhadap golongan yang gila glamor untuk mengulas. Sehubungan itu, kredibiliti mereka dipersoalkan. Patutlah kualiti siswazah yang dikeluarkan saban tahun tidak semenggah. Semuanya gara-gara kewujudan profesor yang malas menyelidik, kejar glamor, dan hentam kromo.

Sebagai individu yang menyokong UMNO-BN secara membuta tuli, mereka gagal menyelami intipati perjuangan PAS yang sebenarnya. Mereka gagal menghayati prinsip Islam tentang tahaluf siyasi dengan bukan Islam. Mereka tidak pernah mengetahui usaha Rasulullah mewujudkan kerjasama dengan orang bukan Islam dalam negara yang berbilang agama.

Selain terperangkap dengan kegelinciran pemikiran itu, mereka juga bertindak melebihi ahli-ahli PAS sendiri. Pandangan menyeleweng daripada orang luar tidak diperlukan dalam konteks ini, apalagi jika ada niat untuk memperkecil-kecilkan musuh.

Dahulu, kini, dan selamanya PAS tetap menjadi pencabar utama UMNO. PAS mahu mengambil tempat UMNO sebagai peneraju negara. Perjuangan kebangsaan parti perkauman seperti UMNO sudah ketinggalan zaman. Perjuangan Islam merentasi batas bangsa dan budaya. Kerjasama UMNO dengan parti-parti bukan Melayu tidak sama dengan kerjasama PAS melalui pembentukan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Tidak timbul soal hilang taring atau tidak yakin dengan kemampuan calon sendiri dalam soal ini. Keputusan ini perlu ditafsir sebagai pelebaran sayap perjuangan. Dengan adanya DHPP, PAS dapat menerobos ke kawasan yang majoriti pengundinya bukan Melayu. Hal ini akan memberi impak positif kepada PAS sekiranya ahli-ahli DHPP mampu melakukannya. Lagi pun cadangan ini telah disokong oleh DAP. UMNOlah yang akan ketinggalan jauh dalam aspek ini.

Janganlah kerana kelemahan yang wujud di pihak UMNO itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong-penyokongnya. Takkanlah profesor tidak mampu menjana idea untuk counter-attack benda sekecil ini!!! Pada zaman ini, tindakan lebih diperlukan daripada merapu tak ketahuan punca.

PAS tidak perlu rasa senak perut dengan kenyataan-kenyataan para ahli akademik yang telah kehilangan jati diri itu. Biarkanlah mereka melayan dan terperangkap dengan pertanyaan wartawan akhbar yang ahli-ahli UMNO sendiri pun tidak mahu membacanya.

Perjuangan mesti diteruskan. Yang pasti UMNO mulai gundah melihat keakraban PAS dengan DAP, gelisah melihat orang bukan Islam semakin memahami Islam melalui hubungan ikhlas sesama parti-parti dalam Pakatan Rakyat, resah melihat rakyat tua dan muda berbondong-bondong menyokong musuh mereka, dan hanya 600 orang menyertai "Melayu Bangkit". Buat malu saja.

Malaysia Baru yang adil kepada semua mesti dibentuk demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia yang selama ini diperkotak-katikkan oleh UMNO-BN. Biar berjuta kali mereka menafikan amalan perkauman, realitinya perkara itu terdedah di hadapan mata kita dari masa ke masa.

Parti perkauman tidak mampu menghayati erti sebenar perpaduan selagi melaung-laungkan "Hidup Melayu". Hal ini juga realiti, bukan fantasi. Keadilan dan perpaduan sejati akan hanya diperoleh melalui perjuangan berteraskan Islam. Tugas mengurangkan Melayu-UMNO dan menambahkan bilangan orang yang menyokong perjuangan Islam dalam kalangan pelbagai bangsa di negara ini menjadi tugas utama ahli dan pemimpin PAS. Impian ini pasti berjaya dengan izin Allah setelah disertai keikhlasan, kesungguhan, dan usaha yang berterusan.

Sunday, June 13, 2010

Bersatu Atas Nama Perpaduan Sejati

Isu negara Islam telah digunakan oleh UMNO-BN untuk merendah-rendahkan kredibiliti PAS.
Jika diperamat-amati, isu ini tenggelam timbul dalam arus perdana politik Malaysia. Suatu ketika dahulu, keengganan UMNO untuk melaksanakan hukum Islam telah merebakkan pernyataan yang berkonotasi ekstrem. UMNO dicap sebagai tidak Islam. Sehubungan itu, mencullah sembahyang dua imam, mengkafirkan ahli UMNO, dan tidak makan sembelihan orang UMNO.

Sekalipun demikian, UMNO tidak mengubah apa-apa berikutan dengan dakwaan tersebut. Sebagai parti sekular yang memegang tampuk pemerintahan, UMNO berasa tidak tergugat dengan insiden-insiden yang memalukan orang Melayu dan umat Islam itu. Sememangnya isu tersebut sirna dengan sendirinya kerana majoriti orang Melayu masih memihak kepada UMNO-BN. Kesempatan itu telah digunakan untuk memperkecil-kecilkan cita-cita PAS hendak mewujudkan sebuah negara Islam.

Walau bagaimanapun, langit tidak selalu cerah bagi UMNO. Perpecahan dalam UMNO menyebabkan PAS dan Semangat 46 menyapu bersih semua kerusi di DUN Kelantan. Pada masa inilah UMNO menderhakai raja. Annuar Musa menabalkan Sultan Kelantan yang palsu. Penyingkiran Anwar Ibrahim dan mata lebamnya telah menyebabkan PAS berjaya menguasai dua buah negeri, iaitu Kelantan dan Terengganu.

UMNO kembali gagah apabila Semangat 46 dikuburkan dan ahli-ahlinya kembali menyertai UMNO. Hal ini menyebabkan UMNO berasa begitu kuat hingga terjebak dalam kancah yang membinasakan setelah memenangi PRU Ke-11 dengan cemerlang. Namun, kewujudan tuntutan sebuah syarikat hingga menjadi kes mahkamah menjelaskan bahawa BN menggunakan wang yang berlebihan daripada jumlah yang dibenarkan dalam peraturan pilihan raya. Selain itu, terdapat banyak lagi penyelewengan lain yang dilakukan oleh BN, khususnya para pemimpin UMNO. Antaranya ialah rasuah, penyalahgunaan kuasa, kelemahan pentadbiran, penyelewengan, nepotisme, dan kronisme. Kesemua yang disebutkan itu menimbulkan ketidaksenangan rakyat terhadap kerajaan UMNO-BN.

Tanpa menyedari gelombang penentangan terhadap UMNO-BN, Pak Lah mengadakan PRU Ke-12 lebih awal daripada masa yang sepatutnya. Akibatnya lima buah negeri dikuasai Pakatan Rakyat dan kehadiran 82 orang wakil Pakatan Rakyat dalam Dewan Rakyat menghancurkan majoriti dua pertiga BN. Perkara yang dikesalkan daripada keputusan rakyat itu ialah keengganan BN, terutamanya UMNO untuk menerima hakikat.

Keengganan itu menyebabkan senario politik di Malaysia dipenuhi pelbagai peristiwa yang menunjukkan kependekan akal pemimpin kerajaan. Fokus tidak terarah kepada merealisasikan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat tetapi membuat pemantauan bagi mencari kelemahan Pakatan. Tindakan ini sama sekali tidak perlu kerana rakyat tahu bahawa BNlah yang tidak berkesan. Sebab itulah mereka mengubah haluan.

Terlalu banyak masa dibuang begitu sahaja akibat ketidakcerdikan itu. Rasuah, kronisme, dan penyalahgunaan kuasa tidak dapat disembunyikan oleh BN. Oleh sebab itu, mereka kalah 8 kerusi dan hanya menang 3 kerusi dalam PRK Pasca-PRU Ke-12. BN menang di Batang Air kerana Bumiputera Sarawak masih menganggap rasuah politik BN sebagai bantuan dan tanda prihatin kerajaan kepada mereka walaupun itulah satu-satunya durian runtuh untuk mereka. Yang lain akan datang apabila pilihan raya negeri atau PRU Ke-13 diadakan. Kemiskinan harta, moral, dan maklumat menjadi penyumbang utama kepada fenomena ini.

BN menang di Bagan Pinang. Kemenangan besar di situ tidak menghairankan sesiapa pun. Selain menjadi kubu kuat UMNO, kehadiran sejumlah besar pengundi pos yang terdiri daripada anggota tentera menyumbang kepada ketersembaman PAS yang mewakili Pakatan di situ.

UMNO-MIC-BN menang di Hulu Selangor setelah merasuah pengundi pelbagai bangsa dengan aneka macam pemberian yang dijenamakan sebagai rancangan yang telah diluluskan dalam Rancangan Pembangunan Lima Tahun. Namun, mereka gagal mendapat sokongan orang Cina dan turut gagal mengurangkan jumlah undi yang diterima oleh PKR walaupun ramai penyokong parti itu dipindahkan ke kawasan lain.

Undi pengundi Cina kepada Pakatan tetap kukuh sehinggalah PRK Sibu selesai. Perkembangan yang lebih menarik dalam pilihan raya itu ialah orang Melayu dan Bumiputera Sarawak mula menyokong DAP. Perkara ini berlaku kerana kegigihan PAS dan PKR mendekati golongan tersebut semasa berkempen.

Trend pemilihan berasaskan bangsa sudah semakin terhakis sejak berakhirnya PRU Ke-12. Kebimbangan terhadap PAS sebagai ekstremisme agama semakin hilang. Ketakutan terhadap DAP sebagai parti cauvinis Cina juga bertambah nipis. UMNO menjadi semakin tidak tentu arah melihat keakraban PAS dengan DAP. Hal ini menyebabkan ulama proUMNO mengkritik Pas yang lebih rela bersekongkol dengan orang Cina berbanding dengan bangsa sendiri dalam UMNO. Kenyataan berbau perkauman seumpama ini sudah tidak laku lagi pada abad ke-21 ini. Orang lebih melihat kepada perjuangan menyatupadukan pelbagai kaum demi keadilan sejagat untuk berkongsi kekayaan negara.

Islam tidak lagi menakutkan atau mencurigakan orang Cina dan India. Mereka sudah nampak keikhlasan pemimpin yang berjuang atas nama Islam. Mereka sudah memahami konsep Islam itu bersaudara dan hubungan sesama insan antara orang Islam dengan bukan Islam. Mereka sudah menerima Islam sebagai agama antipenindasan. Tanggapan lama terhadap Islam yang dibumbui kesyakwasangkaan hanya wujud dalam kalangan para pemimpin bukan Islam yang menganggotai BN dan penyokong-penyokong mereka.

Angin perubahan ini perlu disemarakkan sehingga kedatangan PRU Ke-13 yang dijangka tahun hadapan. Itulah masa yang ditunggu-tunggu untuk melenyapkan keangkuhan UMNO-BN sebagai pemerintah. Kejayaan hanya dapat dicapai dengan kerja kuat, keikhlasan, kesungguhan, dan usaha berterusan. Marilah kita sama-sama merealisasikan hasrat dan cita-cita Rakatan Rakyat ini.

Saturday, June 12, 2010

Apa Dah Jadi ?

Ketika PAS mengadakan muktamarnya, ada banyak peristiwa yang mengaibkan berlaku di sekitar negara kita.

Pertama, PM dituduh berbohong berserta dengan bukti-bukti yang sahih. Hal ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat tentang integriti individu berkenaan.

Kedua, penarikan balik bintang kebesaran oleh Sultan Johor. Hal ini juga bersabit dengan integriti pemberi dan penerima. Orang tua-tua kata buruk siku.

Ketiga, pelancaran RMK10 yang dikatakan cerita lama berkulit baru yang bercirikan restoran tomyam.

Kesemua ini menunjukkan kepada rakyat situasi tidak menentu dalam pelbagai sektor pentadbiran negara yang berkonsepkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan itu. Teori pengasingan kuasa sudah hampir lenyap apabila pemerintahan menguasai penjatuhan hukum dan insitusi tertentu turut memikul tanggungjawab kehakiman. Maka keputusan perbicaraan pun hanya berasaskan kepada kemenangan untuk parti pemerintah. Demokrasi akan mati dengan sendirinya untuk digantikan dengan nafsu-nafsi!!!

Friday, June 11, 2010

Islam Pemangkin Kesaksamaan

Ketika Najib dicap sebagai pembohong berdasarkan kenyataan-kenyataan lisannya yang bercanggah dengan realiti dan tindakan beberapa pemimpin UMNO menegakkan benang basah apabila menceroboh majlis yang tidak mengundang mereka, ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin PAS diberi peringatan untuk tidak mengkhianati sokongan orang Melayu dan bukan Melayu.

Biarkanlah UMNO dengan lagu lama yang diperbaharui dengan tambah tokok di sana sini seperti yang tertera dalam Rancangan Malaysia Ke-10 asalkan PAS sentiasa berada pada landasan politik baru untuk memastikan keadilan sentiasa ditegakkan.

Mahu atau tidak, perkara itu mesti dibuktikan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa, dan agama yang mereka anut. Islam menjunjung prinsip kesaksamaan dalam setiap bidang kehidupan. Setiap insan mempunyai hak dengan kadar yang telah ditentukan. Sesama Islam kita bersaudara. Orang Islam dengan bukan Islam berhubung atas prinsip sesama insan.

Hal itu sangat penting dipelihara dan dipulihara. Tidak wujud aspek itu dalam UMNO-BN. Mereka hanya bersatu untuk berkuasa sedangkan perpaduan dalam kalangan rakyat tidak sekukuh mana pun. Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana akhirnya perkauman jua yang menang. Kemenangan itu menjadi petanda sahih kepada kehancuran.

Sehubungan itu, bagi merealisasikannya, setiap ahli dan pemimpin PAS perlu ikhlas, bekerja bersungguh-sungguh, dan memastikan segala-galanya dilakukan secara berterusan. Tiada hangat-hangat taik ayam dalam ajaran Islam. Tiada ayam yang bertelur sebiji riuh sekampung.

Thursday, June 10, 2010

Dacing Tipu Lagi !!!

Perihal anak orang bukan Melayu yang cerdik tetapi tidak dapat tempat di mana-mana IPTA sungguh memeranjatkan. Hal ini tidak patut berlaku kerana kerajaan UMNO-BN berpegang kepada Konsep 1 Malaysia. UMNO sendiri pun sedar bahawa mereka cakap tak serupa bikin.

Kini hal itu merebak pula kepada isu biasiswa. NGO bukan Melayu buat sidang meja bulat dengan Pakatan di Parlimen. UMNO yang tidak diundang ke majlis itu datang tumpang semangkuk dan keadaan jadi kacau. Didorong oleh rasa malu mereka menghentam Pakatan.

Sikap seperti ini hanya menjelaskan kebiadaban pemimpin UMNO. Datang ke majlis orang tanpa dijemput ialah satu pencerobohan. Makin bertambahlah rasa meluat rakyat terhadap UMNO-BN. Hal ini akan berjangkit menjadi isu perkauman.

Apabila rasa tidak puas hati dalam kalangan orang bukan Melayu itu diluahkan melalui tuntutan, UMNO-BN akan kata bukan Melayu naik tocang kerana perpaduan Melayu lemah. Betapa pendeknya akal mereka menutup kelemahan sendiri.

Rakyat zaman ICT ni lebih cerdik dari zaman sekolah atap. Tidak payahlah tipu mereka. Layanan tak sama kepada bukan Melayu semakin hari semakin nyata. Bertolak dari situlah timbulnya rasa gusar. Mengapa dibiarkan?

Berlaku adillah kepada semua. Jangan nak bolot semua. Semua orang akan marah apabila melihat anak pemimpin kerajaan dan orang berada dapat biasiswa sedangkan anak orang bukan Melayu yang miskin dipinggirkan!!!

Wednesday, June 9, 2010

Populariti Palsu PM

Rumusan yang boleh dibuat terhadap kaji selidik Merdeka Centre ialah PM hanya popular selepas PRK Hulu Selangor hingga sebelum PRK Sibu. Kajian ini hanya membuang masa sahaja apabila kaji selidik turut meninjau pendapat rakyat terhadap rasuah dan jenayah.

Kepopularan palsu PM itu tidak bererti sama sekali apabila kerajaan gagal memerangi rasuah dan jenayah di negara ini. Rakyat lebih berbangga jika mempunyai PM yang tidak popular tetapi kegiatan rasuah dapat diatasi dengan baik dan polis dapat meminimumkan kadar jenayah.

Kedudukan indeks rasuah yang terendah amat perlu untuk membentuk pemimpin dan masyarakat yang berintegriti. Kedudukan indeks jenayah yang terendah amat perlu untuk kesejahteraan dan keamanan hidup rakyat seluruhnya.

Negara tidak perlukan propaganda tentang populariti PM kerana setinggi mana pun dia diangkat, rakyat tahu kerja buat dia yang tidak semenggah. Mereka tidak boleh ditipu dengan angka-angka yang direka-reka. Mungkin itu hanyalah satu daripada nasihat APCO untuk menaikkan imej PM!

Tuesday, June 8, 2010

UMNO Menghidap Sawan Tidak Muktamad

Hemah tinggi ialah lambang kualiti, kredibiliti, dan integriti. Lawannya ialah tidak berpendirian tetap. Berdasarkan kenyataan ini, Kerajaan UMNO-BN tergolong dalam kelompok kedua. Sejak akhir-akhir ini, mereka diserang sindrom tidak berpendirian tegas. Hal ini terlihat dalam pelbagai insiden.

Pertama, ketika Najib beriya-iya benar mengemukakan Model Ekonomi Baru (MEB) di hadapan para pelabur yang fokus mereka hanya keuntungan, barisan pemimpin negara semuanya mengangguk kepala menerimanya, mempropagandakannya, dan menjadikannya sebagai satu daripada sebab BN menang di Hulu Selangor. Namun, apabila Kongres Ekonomi Melayu tidak menerima gagasan itu, Najib menukar fikiran dengan menyatakan bahawa gagasan yang dikemukakan tanpa melalui sidang Dewan Rakyat itu belum muktamad. Langkah mengundur ke belakang ini membuktikan bahawa agenda yang dikategorikan sebagai sangat penting itu bukan sahaja tidak dirancang dengan teliti malahan meniru gagasan orang lain. Tarafnya masih belum masak, iaitu sama dengan Konsep 1 Malaysia seperti yang didakwa oleh Saifuddin Abdullah yang sehingga kini tidak sudah-sudah dipertikaikan.

Kedua, respons terhadap kenyataan Idris Jala. Negara akan muflis pada tahun 2019 apabila hutang negara mencapai tahap 100% akibat subsidi yang melampau. Pakatan Rakyat tidak menerima subsidi yang menjadi punca kepada kebankrapan itu sebaliknya disebabkan oleh rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa. Najib segera menutup kelemahan itu dengan mengatakan bahawa Malaysia tetap menjadi negara maju sekiranya KDNK berkembang 4% setiap tahun. Rakyat terus dibingungkan oleh kenyataan Nor Muhamed Yakcob bahawa negara mampu menjelaskan hutangnya. Semua orang tersentak apabila Ketua Penyelidik Ekonomi, Standard Chartered, Tai Hui menafikan pertumbuhan ekonomi negara pada paras 10.1% dan mengatakan tahapnya hanya 3.5%. Kemunafikan pemimpin-pemimpin kerajaan atas perkara ini tidak berupaya disembunyikan.

Ketiga, hasrat kerajaan memberi 40% hak Kampung Baru kepada bukan Bumiputera ditentang oleh orang Melayu. Kerajaan mula goyah dengan pendirian mereka. Hal inilah yang menjadi sindrom yang melanda pemimpin-pemimpin negara kita pada masa ini.

Keempat, kenyataan terbaru mengatakan bahawa lesen judi yang sedang dihebohkan sekarang ini pun belum dikeluarkan. Hal itu pun belum muktamad juga.

Nyatalah di sini bahawa Kerajaan UMNO-BN diserang sawan tidak muktamad. Walau bagaimanapun, mereka menunjukkan ketegasan tidak bertempat apabila bersekongkol dengan APCO. Kecenderungan mereka terhadap perbuatan-perbuatan mungkar ini merisaukan rakyat. Sikap flip flop ini benar-benar menjejaskan kualiti, kredibiliti, dan integriti kerajaan. Sehubungan itu, keyakinan rakyat terhadap pemimpin akan berkurang. Patutlah Dr. Mahathir kata hanya 20% orang Melayu sokong UMNO. Begitu juga halnya dengan keyakinan para pelabur.

Rakyat perlu bertindak demi menghalang perkara buruk menimpa negara. Tidak perlulah menggadai harapan kepada golongan yang tidak berpendirian ini. Golongan ini gemar membebankan rakyat demi memenuhi kehendak sendiri!!!

Monday, June 7, 2010

Pooodahhh UMNO-APCO

Tidak ada umppp langsung ucapan Najib terhadap kekejaman Israel terhadap misi bantuan kemanusiaan untuk Gaza. Dia bercakap tanpa sebarang penegasan. Perbuatan itu dilakukan untuk menjaga hari Amerika Syarikat dan APCO yang memberi nasihat kepadanya.

Malaysia tidak sanggup bersama-sama Turki dan negara-negara Islam yang lain menyeret Israel ke muka pengadilan. Kalau begitu tidak payahlah Malaysia menganggotai OIC. Oleh sebab itu, Najib play safe dalam ucapannya.

Dia mahu rakyat Malaysia kata Malaysia marahkan Israel. Tindakannya itu secocok dengan demo yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat yang mendapat sambutan hebat berbanding dengan demo anjuran Pemuda UMNO yang tawar.

UMNO hanya bermuka-muka di Dewan Rakyat. Hakikatnya mereka masih menjadi sekutu rapat APCO dan kini mengikut telunjuk Amerika Syarikat hingga tak berani bersuara. Pooodahhh UMNO-APCO !!!

UMNO Talam Dua Muka!

UMNO hanya mendapat 20% sokongan orang Melayu kata Dr. Mahathir. Ini bermakna 80% orang Melayu tidak menyokong mereka atau menyokong Pakatan Rakyat. Kenyataan ini tidaklah menggemparkan sesiapa pun.

Namun, dalam keadaan sedemikian rendah sokongan pun, UMNO masih berlagak hebat. Tindak-tanduk mereka kebelakangan ini menimbulkan kegusaran rakyat. Ini merupakan petanda rakyat tidak menyukai polisi mereka.

Mereka berkawan dengan Yahudi. Sebab itulah buat demonstrasi ala kadar sahaja di Masjid Negara. Yang hadir hanya 200 orang. Perarakan rakyat bersama pemimpin Pakatan mencecah 50,000 orang.

Dalam kes ini rakyat nampak belang sebenar UMNO. Persekongkolan mereka dengan Yahudi bukan lagi satu rahsia. Mereka dinasihati oleh orang Yahudi dalam APCO. Hipokrasi mereka jelas dalam peristiwa kekejaman tentera Israel terhadap peserta-peserta misi bantuan kemanusiaan untuk Gaza.

Kemuktamadan hubungan itu telah menjadikan mereka hanya berpura-pura memarahi tindakan Israel. Rakyat perlu berwaspada terhadap sikap talam dua muka UMNO itu.

Saturday, June 5, 2010

UMNO Membuka Pekung di Dada

Rombakan kecil kabinet telah dilaksanakan. Tindakan itu dilihat sebagai satu usaha terancang yang hanya menyerlahkan kedudukan kelam-kabut dalam kerajaan. Hal ini disebabkan oleh terlalu banyak masalah yang perlu diselesaikan.

Janji kepada MIC terpaksa ditunaikan. Kuota untuk MCA terpaksa dipenuhi. Kemerosotan sokongan rakyat Sarawak terhadap BN pun diambil kira. Kesemuanya dibuat untuk memenangi hati pihak-pihak tersebut. Namun demikian, kita dapat melihat banyak petanda negatif daripada rombakan tersebut.

Pertama, UMNO memberi lebih perhatian kepada parti lain jika dibandingkan dengan dirinya sendiri. Adakah mereka mahu rakyat berkata UMNO tidak gila kuasa? Gila atau tidak bukan terletak kepada jumlah anggota kabinet. Tindak-tanduk jahat mereka terhadap lawan yang menjadi ukurannya.

Kedua, UMNO kurang percaya kepada anggotanya sendiri. Sebab itu, ramai timbalan menteri UMNO disingkirkan. Langkah ke belakang ini hanya memperlihatkan ketidakbolehan pemimpin UMNO memberi perkhidmatan yang memuaskan. UMNO memalit arang ke muka sendiri.

Ketiga, Kerajaan UMNO-BN hilang kepercayaan kepada kemampuan Ahli Dewan Rakyat mereka sendiri. Sebab itulah kepercayaan diberikan kepada Senator. Hal ini membuktikan bahawa semua Ahli Dewan Rakyat UMNO-BN yang ada sekarang ini tiada kualiti, kredibiliti, dan integriti.

Sungguh malang nasib rakyat Malaysia yang memilih mereka. Kesilapan sedemikian tidak boleh diulang lagi. Kita perlukan wakil rakyat yang berwibawa untuk menyemarakkan kemakmuran negara. Hanya dengan cara itu kita boleh berkongsi kekayaan negara ini dengan adil dan saksama dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum di negara tercinta ini.

UMNO-BN telah membuktikan ketidakberkesanan mereka sebagai pemerintah. Mengapa kita membiarkannya? Gantikan mereka dengan orang lain.

Friday, June 4, 2010

Pemimpin UMNO Kebudak-budakan

Respons kebudak-budakan Najib dan para pemimpin UMNO-BN terhadap hasrat Anwar Ibrahim hendak melantik TPM II dalam kalangan pemimpin DAP sungguh menggelikan hati. Mereka menganggap kenyataan tersebut sebagai gimik politik dan mendakwa ketua pembangkang itu sedang terdesak hingga sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk menarik sokongan kaum Cina demi mencapai cita-citanya untuk menjadi PM.

Kenyataan mereka bertambah aneh apabila beranggapan bahawa janji itu tidak dapat ditunaikan. Dalam minda pemimpin UMNO-BN tertancap kekuh kepercayaan tentang mereka sahaja yang berhak memerintah negara ini. Ketakburan itu sudah membawa padah kepada mereka dalam PRU Ke-12 dahulu. Kesungguhan mereka memperkecil-kecilkan kemampuan Pakatan Rakyat dan kuasa pengundi berakhir dengan kekalahan 5 buah negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Rupa-rupanya ketersungkuran itu tidak menjadi pengajaran kepada UMNO-BN. Mereka terus sombong dan takbur. Di samping itu, mereka tidak mampu menyembunyikan rasa tertekan, kecewa, dendam, dan tidak menerima hakikat. Oleh sebab itu, mereka merampas Perak dengan cara yang tidak bermoral. Mereka menggunakan kuasa dan wang untuk memporak-perandakan Pakatan Rakyat. Mereka mencuba sehabis daya untuk menghantar mesej Pakatan Rakyat tidak mampu memerintah kepada rakyat.

Rakyat tahu perbuatan itu menyerlahkan sikap sambil lewa mereka terhadap tugas dan tanggungjawab kerajaan. Masa dihabiskan untuk menyerang parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Aktiviti tidak berfaedah itu diteruskan juga walaupun yang lebih terserlah di mata rakyat ialah ketidakmampuan mereka sendiri mengurus negara dari sudut ekonomi, politik, dan sosial.

Ekonomi tidak begitu membanggakan. Wang negara mengalir ke poket pemimpin kerana rasuah, salah guna kuasa, dan sebagainya. Wang ditabur dalam PRK untuk membeli undi. Namun, mereka kalah 8 daripada 11 kerusi yang dipertandingkan pascaPRU Ke-12.

Politik mereka sendiri tidak stabil. Perkelahian dalam MCA berakhir dengan kemenangan pemimpin tidak bermoral sebagai presiden. Namun, tidak kelihatan parti itu bersatu kembali sehingga ke hari ini. Orang Cina tetap menolak mereka. Buktinya jelas kelihatan di Bukit Gantang, Hulu Selangor, dan Sibu. Sungguh tidak masuk akal apabila orang Cina dikambinghitamkan semata-mata kerana kelemahan MCA. Perebutan kuasa dalam PPP belum selesai. Parti nyamuk yang diberi dua tiga kerusi dalam PRU ini pun berlagak bukan main. Gerakan tidak tentu kepala ekor hingga kini. Pemimpin kata lain, ahli-ahli kata lain. MIC sedang dilanda perang saudara. Mula-mula anak Samy tunjuk lagak. Bila kena ugut terus sorok kepala macam burung unta. Itu macamkah pemimpin kaum India?

Ketika gelora melanda UMNO-BN, kaum Cina dan India berbondong-bondong menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Sokongan Melayu dan Bumiputera Sarawak kepada DAP semakin bertambah. Demam PKR akibat katak lompat sudah kebah. Kesemua ini menggelabahkan UMNO-BN sehingga diserang sawan. Kewujudan DHPP cuba dijadikan isu untuk melaga-lagakan PAS dengan DAP. Namun, mereka lihat kedua-duanya bertambah akrab apabila Tuan Guru Nik Aziz melontarkan kesyukuran kerana PAS bersama Pakatan Rakyat, bukan Barisan Nasional.

Perkembangan terbaru menyaksikan Najib dihimpit oleh Anwar untuk menyatakan pendirian tentang katak lompat menerima RM2 juta dan projek. Najib berada dalam bahaya jika dia menafikannya. Kita tunggulah dengan sabar kesudahan episod yang mencemaskan ini.

UMNO ialah sebuah parti Melayu. Namun demikian, mereka tidak pernah memperjuangkan agenda Melayu. Mereka ialah pejuang-pejuang kebangsaan yang tergelincir. Jika betul mereka berjuang untuk kepentingan Melayu, tentulah kedudukan ekonomi orang Melayu di negara ini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum Cina. Negara ini bukan sahaja sudah merdeka melebihi 50 tahun malahan juga diperintah oleh orang Melayu, tetapi Melayunya terus dihimpit kemiskinan.

Yang dikatakan berjaya tidak menjadi taukeh besar bagi membolehkan mereka merekrut anak muda Melayu yang berkemahiran. Sebahagian besarnya menjadi usahawan di peringkat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sahaja. Yang berlambak-lambak ialah Kontraktor Kelas F yang hanya tahu makan bersuap. Tak ada projek kerajaan nganga sahajalah. Macam mana nak jadi tempat bergantung anak Melayu?

Hal semacam ini tidak berlaku dalam dalam masyarakat Cina. Mereka ada rangkaian dan jaringan perniagaan yang kukuh yang boleh menjadi tempat bergantung anak-anak muda mereka. Sebab itulah masalah sosial dalam kalangan orang Cina kurang berbanding dengan timbunan pelbagai masalah dalam masyarakat Melayu.

UMNO gagal mempertingkatkan maruah orang Melayu. Padahal orang Melayulah yang menyokong mereka tanpa berbelah bagi pada peringkat awalnya. Nampaknya tebu dibalas dengan tuba. Orang Melayu masih dimamaikan oleh rasuah politik yang datang sekali-sekala. Mereka kenyang sekali untuk lapar bertahun-tahun. Begitu sekali sampainya hati Melayu-UMNO memperlakukan penganiayaan terhadap bangsanya sendiri.

Rakyat ialah tuan dalam sesebuah negara. Tiada negara yang tiada bertuan. Tuan berhak mencorakkan nasibnya. Jika hamba yang sedia ada tidak mampu memberi perkhidmatan yang diharapkan, mereka boleh ditunjukkan jalan keluar. Jalan keluar bagi UMNO-BN ialah kalahkan mereka dalam pilihan raya. Kita naikkan orang lain. Jika orang yang dinaikkan itu pun tidak berguna, kita masih diberi kesempatan untuk menukarkannya. Perubahan ialah keperluan hidup. Kedinamikan hidup bergantung kepada sejauh mana sesuatu bangsa itu sanggup membuat perubahan. Kita boleh melakukan perubahan itu dalam PRU Ke-13 nanti. Singkirkan pemimpin yang kebudak-budakan.

Thursday, June 3, 2010

Orang Gila Judi Kuat Kelentong

Rakyat berhak menerima subsidi kerana wang negara ialah wang rakyat. Yang tidak berhak dilakukan ialah menyelewengkan wang rakyat dalam apa-apa bentuk sekalipun.

Sehubungan itu, ada sesuatu yang tidak kena apabila Idris Jala mengeluarkan kenyataan yang menyalahkan subsidi sekiranya negara bankrap pada tahun 2019 nanti. Ini bermakna negara kita tidak mampu mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020.

Walau bagaimanapun, rakyat dikelirukan oleh pengumuman Najib bahawa negara akan tetap mencapai taraf negara maju sekiranya KDNK berkembang pada tahap 4% setahun. Kenyataan ini bertentangan dengan kenyataan Idris. Mengapa terjadi demikian? Siapa yang benar dalam kes ini? Atau kesemuanya auta semata-mata?

Kenyataan yang bercanggah dalam sesebuah organisasi melambangkan kewujudan ketidaksekataan dalam kalangan ahli-ahli yang menganggotainya. Perkara ini tidak seharusnya berlaku. Kesemua ahli dalam sesebuah organisasi mestilah saling memahami.

Rakyat diletakkan dalam keadaan keliru apabila perkara-perkara seumpama ini berlaku. Kekerapan atau kemunculan berkali-kali perkara sebegitu akan menyebabkan keyakinan orang lain terhadap sesebuah organisasi itu terjejas.

Situasi itu akan mengundang kelahiran persepsi dalam kalangan rakyat. Persepsi tidak pernah positif jika asasnya kekeliruan. Penerimaan dan penafian yang datang sekali gus dengan sendirinya merampas keyakinan terhadap sesuatu. Kebenaran pun sukar diserlahkan dengan bersandarkan kejujuran. Pendapat umum akan menyimpulkannya sebagai satu pembohongan. Persoalannya ialah mengapa mesti berbohong?

Jika sumber maklumat yang menimbulkan masalah, mengapa terus bergantung kepada sumber yang tidak autentik? Mana perginya kewibawaan organisasi itu?

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa keadaan kelam-kabut sedang menyelubungi kerajaan yang memerintah sekarang ini. Oleh sebab terlalu banyak masalah, usaha menyembunyikannya tidak berjaya. Itulah hakikatnya. Kewujudan fenomena tersebut menandakan mereka gagal berfungsi dengan baik.

Rakyat tidak boleh bergantung harap dan mempercayai kerajaan yang gagal berfungsi dengan baik. Kerajaan itu perlu dilenyapkan sebelum sesuatu bala mendatang.

Wednesday, June 2, 2010

Jangan Syed Sobri = Nasaruddin Sudahlah!

PAS Kedah diingatkan supaya tidak terlalu ghairah dengan ura-ura Syed Sobri nak lompat. Kejadian ini pernah berlaku di Perak. Nasaruddin lompat tetapi Kerajaan Pakatan Rakyat telungkup. UMNO-BN ada banyak teknik dan taktik. Kena faham perkara tu. Jangan bagi pisang berbuah dua kali.

Mula-mula lompatlah. Kita tengah seronok mahkamah bagi balik kerusi ADUN Kubang Rotan. Dia lompat balik macam Nasaruddin. Tup-tup ADUN hilang. Ada katak-katak lompat untuk tumbangkan kerajaan negeri Kedah. Jangan main-main.

Kalau tak jadi lagu tu pun, benda lain boleh jadi. Ingat kes ADUN MCA di Perlis yang letak jawatan? Depa pulaih tengkok dia hingga tak jadi letak jawatan. Syed Sobri pun boleh jadi lagu tu!!!

Dalam keadaan sekarang, UMNO akan buat apa-apa sahaja demi kuasa. Kalau mereka tu kera, kera ni hanya tau kerkah saja. Apa lagi kalau mereka jebon. Terburai perut kerajaan negeri nanti. Jadi, beringat-ingatlah sebelum terkena untuk kali kedua.

Tak payahlah terlalu berharap. Harap-harap tertiarap!!!

Tuesday, June 1, 2010

Malaysia Bankrap: Jangan Tunggu Nasi Jadi Bubur

UMNO-BN menggunakan subsidi sebagai alasan negara akan bankrap pada tahun 2019. Dengan itu juga berkecailah impian negara untuk muncul sebagai negara maju mengikut acuan sendiri setahun kemudian. Malaysia akan menjadi negara bankrap kerana perbuatan sendiri.

Sudah berpuluh-puluh tahun rakyat negara ini menikmati pelbagai subsidi hasil daripada kemakmuran negara. Kini hak itu hendak direntap atas alasan subsidi yang ditanggung kerajaan akan menyebabkan hutang negara meningkat ke 100%.

Kenyataan Idris Jala merupakan satu lagi aktiviti lempar batu sembunyi tangan kerajaan UMNO-BN. Mereka cuba memperbodohkan rakyat yang rata-rata sudah mengetahui kerajaanlah yang menyebabkan kantung negara kian hari kian nipis. Mengapa? Tengku Razaleigh kata UMNO-BN joli katak semasa negara tengah kaya.

Kajian menunjukkan bahawa rakyat menolak UMNO-BN dalam PRU Ke-12 kerana kerajaan mengamalkan rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, kronisme, salah urus, dan sebagainya. Oleh sebab itu, banyak wang mengalir ke tempat yang tidak sepatutnya.

Kerajaan yang ada sekarang gagal menjana pendapatan negara. Banyak pelabur cabut lari. Banyak pekerja mahir bertaraf warganegara cabut lari untuk bekerja di luar negara yang ternyata memberi pendapatan lumayan untuk kemahiran yang mereka miliki. Pelabur baru tidak datang-datang. Negara-negara jiran menyediakan prasarana yang jauh lebih baik daripada negara kita. Nak bagi gaji minimum pun tak boleh-boleh sampai sekarang. Kita kalah dalam perlumbaan mendapatkan pelabur.

Gaulan faktor-faktor itulah yang menyebabkan kantung negara kian susut, bukan kerana subsidi. Jika projek-projek yang tujuannya hanya untuk bermegah-megah tidak dijalankan, negara akan banyak duit. Jika duit yang ada tidak dibazirkan, negara akan terus kaya. Jika pemimpin dan kroni tak songlap wang rakyat, masakan wang itu melayang.

Ribuan bilion telah dibelanjakan, kehidupan rakyat tidaklah semaju mana pun. Yang senang-lenang orang-orang tertentu sahaja. Kanan sapu. Kiri sapu. Atas sapu. Bawah sapu. Depan sapu. Belakang sapu. Buktinya buku tentang penyelewengan Mahathir. Jadi, apa yang tinggal? Gajah pun akan jadi kurus kalau lagu tu. Itu sebabnya Petronas pun dah tak ada banyak duit.

Haruskah rakyat Malaysia menunggu sehingga negara bankrap baharu hendak sedar? Tidak boleh. 200% tidak boleh. Sebelum bencana itu tiba, kita gunakan kuasa yang ada untuk menghapuskan semua petualang yang menjahanamkan itu. Tukarlah kerajaan sebelum terlambat. Jangan tunggu sehingga nasi menjadi bubur!!!