Cari Jalan untuk Kunci Mulut Pemimpin UMNO
Memberi penghargaan kepada warga emas merupakan satu perbuatan yang terpuji. Perbuatan itu telah dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Malangnya perkara ini telah menimbulkan rasa iri hati UMNO kerana semua warga emas berumur 60 tahun ke atas menerimanya, tidak kira Melayu, Cina, India, atau lain-lain kaum. Statistik menunjukkan 90% daripada penerimanya ialah Melayu-Islam. Angka ini dengan sendirinya menyerlahkan kegagalan UMNO-BN mengubah nasib orang Melayu sepanjang mereka memerintah negeri itu. Maka timbullah rasa cemas dalam kalangan pemimpin UMNO takut-takut orang Melayu terus melupakan kewujudan mereka.
Dicanangkanlah kepada massa bahawa wang haram dari Kelab Lumba Kuda telah digunakan untuk membantu golongan miskin di Pulau Pinang. Ketua Menteri mengaku bahawa duit kelab itu sememangnya digunakan untuk membantu orang miskin, tetapi terhad kepada yang bukan Islam sahaja. Bagi menimbulkan was-was dalam kalangan orang Melayu, UMNO memainkan isu ini seolah-olah mereka juga menerima wang haram. Hasilnya, ada dalam kalangan mereka yang bertindak memulangkan wang itu kepada kerajaan negeri melalui UMNO. Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa UMNO telah menghasut warga emas tersebut.
Kerajaan negeri tidak perlu melatah atas kejadian ini kerana motifnya telah jelas dan nyata. Perkara yang perlu dilakukan ialah menghapuskan syak wasangka dalam kalangan warga emas itu dan sekali gus menutup serta mengunci mulut pemimpin UMNO. Misalnya membentuk Tabung Bantuan Khas yang peruntukannya betul-betul dari wang kerajaan negeri yang berjaya dijimatkan (tidak bercampur sesen pun wang dari sumber lain) dan diluluskan oleh DUN, ditadbir urus sebuah badan khas, dan penyatanya dibentangkan dalam persidangan DUN demi memaksimumkan ketulenan dan ketelusan. Dengan cara ini, tidak akan timbul lagi was-was, tohmahan, subahat, dan sebagainya.
Mungkin juga kerajaan negeri ada cara lain yang lebih berkesan. Hal itu terpulanglah kepada kebijaksanaan mereka. Walau bagaimanapun, apa-apa juga bentuk bantuan yang akan diberikan kepada rakyat selepas ini, perlulah dilaksanakan dengan penuh berhati-hati dan dipastikan tiada ruang untuk musuh mencacatkannya.
UMNO sudah bankrap idea ketika ini. Mereka sedar dua pertiga orang Melayu berada dalam Pakatan Rakyat. Sedikit sahaja ruang yang terbuka, mereka akan segera menyelinap untuk mengambil kesempatan. Mungkinkah mereka diajar oleh sahabat mereka dalam APCO? Lambat-laun rakyat Malaysia akan tahu juga.
