YAKJUJ DAN MAKJUJ

Sunday, October 31, 2010

UMNO Hilang Kemaluan

UMNO sepatutnya rasa malu kerana Melayu dihina di tanah airnya sendiri. Mereka tidak perlu menyalahkan orang lain dalam hal ini. Namun demikian, mereka seolah-olah kebingungan dan kekeluan disebabkan oleh bahana ini.

Sebelum menyalahkan orang lain yang langsung tidak terlibat, mereka perlu menghisab diri. Mengapa ekonomi Melayu masih di takuk lama walaupun UMNO telah memegang tampuk pemerintahan lebih daripada 50 tahun? Apa yang mereka lakukan dalam tempoh itu?

Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah lama berlalu. Yang kenyang melaluinya ialah para pemimpin UMNO dan elit Melayu yang menjadi kroni mereka. Elit Melayu yang boleh dikatakan berjaya ini pula tidak mencukupi jumlahnya untuk memberi pekerjaan kepada anak Melayu seperti yang dilakukan oleh entah berapa jumlahnya syarikat-syarikat besar orang Cina terhadap anak abngsa mereka.

Akibatnya, anak Melayu terus bergantung harap kepada kerajaan dan GLC.Jika tiada rezeki di situ, menganggurlah anak Melayu. Berlambak-lambaklah gejala sosial dalam kalangan orang Melayu kerananya.

Dasar Pembangunan Nasional (DPN) gagal merealisasikan agenda yang terbengkalai dalam DEB. Begitu juga halnya dengan Dasar Wawasan Negara (DWN). Melayu terus di takuk lama kerana pegangan ekuitinya tidak berubah walaupun DWN akan tamat penghujung tahun 2010. Tidakkah UMNO rasa bersalah?

Jika benarlah UMNO prihatin, Galas takkan jadi bandar lesu seperti sekarang. Jika benarlah UMNO dan pemimpin Sabah prihatin, takkanlah Batu Sapi khasnya dan Sabah amnya menjadi negeri termiskin di Malaysia. Ke mana perginya peruntukan yang dikhaskan kepada kawasan-kawasan ini? Mengapa tiba-tiba kerajaan UMNO-BN boleh beri projek perumahan rakyat bernilai RM7 bilion kepada Galas? Mengapa pula petani Cina yang menyokong Pakatan dengan segera ditarik bantuan baja? UMNO ingat semuanya harta merdak mereka.

UMNO mengaku membela Melayu. Sebab itulah mereka lesapkan RM52 bilion saham Melayu-Bumiputera sehinggal berbaki RM2 bilion sahaja. Sebab itulah mereka lesapkan Tanah Simpanan Melayu (TSM) dari 3 juta hektar menjadi hanya 1.7 juta hektar pada masa ini. Sampai begitu sekali sayangnya UMNO kepada Melayu!!!

Merekalah lintah darat yang tidak pernah kenyang menghisab darah rakyat. Apabila kocek kerajaan semakin kering kontang, mereka berkira-kira untuk membanyakkan hiburan malam dan SPA untuk korek duit pelancong seolah-olah kelab malam di Barat semuanya sudah ketinggalan zaman.

Lalu mereka persetankan status negara ini yang mereka sendiri dakwa sebagai sebuah negara Islam. Namun demikian, majoriti rakyat tahu bahawa Islam tidak akan ke mana-mana di tangan parti sekular seperti UMNO.

Melayu-Islam-UMNO-APCOlah yang menaja kesesatan dan kealpaan terhadap tuntutan Islam dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Merekalah yang mengagung-agungkan busana Muslim yang terdedah sana sini dan tidak menutup aurat.

Merekalah yang melenting apabila perarakan Maulidur Rasul hendak ditiadakan. Merekalah yang histeria apabila mahkamah membenarkan kalimah "Allah" dipakai oleh orang Kristian. Merekalah yang menghukum doa supaya non-Muslim mendapat hidayah tidak boleh dilakukan. Merekalah yang mengharamkan wang ehsan Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang walaupun sudah dijelaskan sumbernya bukan dari wang judi. Mereka tepuk air di dulang lalu mercik ke muka sendiri. Rupa-rupanya merekalah yang merelakan pertumbuhan lesen dan pusat-pusat judi di Malaysia!!!

UMNO memang sudah terkehel pemikirabn mereka. Oleh sebab itu, mereka hilang kemaluan. Maka jadilah mereka itu orang jahil yang tidak berani ditegur oleh "ulama" mereka sendiri apatah mufti yang mungkin merasa terhutang budi kepada UMNO. Kita biarkan UMNO menjadi Si Luncai terjun dengan labu-labunya.

Kita sokonglah Pakatan Rakyat yang menunjangi keadilan sejagat. Kita tinggalkanlah UMNO di sudut sepi sambil mendodoikan Islam sebagai alat politik semata-mata. Sokongan kitalah yang akan mengirim Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Saturday, October 30, 2010

Malaysiaku yang Aneh

Saya menulis seperti di bawah suatu ketika dahulu. Adakah faktanya masih relevan?

Orang yang normal di Malaysia ketika ini mungkin menggaru-garu kepala yang tidak gatal untuk menjadi tidak normal gara-gara politik haru-biru yang yang berlaku di sekeliling mereka. Pelbagai keanehan dapat diperhatikan di sana sini. Keanehan-keanehan itu timbul kerana disengajakan. Kesengajaan tersebut ternyata diakibatkan oleh pemimpin yang pendek akal.

Sungguh aneh apabila mahkamah dijadikan "gelanggang sarkas" oleh pemimpin yang serakah. Pemimpin sedemikian hanya mementingkan kuasa dan diri sendiri. Sehubungan itu, mereka membakulsampahkan janji kepada rakyat. Mereka umpama Siamang Putih dalam cerita Anggun Cik Tunggal.

Golongan Siamang Putih ini bergayut pada ranting kuasa tanpa mempedulikan jerkahan orang lain supaya memberhentikan perlakuan tidak bermoral yang semakin membusung. Tahap keanehan itu memuncak apabila ungkapan "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" dilantunkan oleh PM.

Peluru kosong itu akhirnya menjadi beban baharu kepada tukang karutnya. Sementara definisinya masih dicari-cari dan dibuat-buat di mana-mana sahaja berkesempatan, rakyat telah puas melihat auta yang berselerak ditabur merata-rata tempat. Maka terserlahlah cakap tak serupa bikin para penguasa.

Penguasa yang berwibawa akan menghormati konsep federalisme apabila bercakap tentang "Satu Malaysia". Hakikatnya, negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat tidak pernah menerima layanan yang saksama. Malah negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak sering dibuli oleh Kerajaan Persekutuan. Buktinya, MP dari negeri-negeri itu sering bersungut tentang janji yang tidak ditunakan. "Satu Malaysia" hanyalah retorik yang memualkan.

Penguasa yang berwibawa akan sentiasa mendahulukan rakyat. Namun, rintihan rakyat Perak supaya DUN dibubarkan tidak diendahkan sehingga kini. Situasi sebegini mengesahkan imej pemimpin yang tamak kuasa dan mendahulukan tembolok sendiri. Mereka yang sepatutnya menjadi hamba rakyat telah bertukar menjadi raksasa yang pastinya tiada perikemanusiaan.

Penguasa yang berwibawa akan sentiasa mengutamakan prestasi. Namun, prestasi bagi Najib adalah semua yang berkonotasi negatif. Perasuah boleh menjadi Ketua Pemuda UMNO, Ketua Menteri Melaka, dan Menteri. Senator jauh lebih cemerlang daripada MP. Calon yang kalah dalam PRU Ke-12 pun lebih terbilang daripada yang menang. Malah orang yang tidak bertanding dalam PRU Ke-12 dianggap lebih gemilang daripada yang bertanding. Itulah yang dikatakan "Bersih, Cekap. dan Amanah".

Sehubungan itu, "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" hanyalah slogan yang saling tak tumpah dengan "Bersih, Cekap, dan Amanah" serta "Cemerlang, Gemilang, dan Terbilang". Kesemuanya akan sirna kerana sekali air besar, sekali tepian beranjak. Namun, mereka perlu ingat bahawa sekali lancung keujian, seumur hidup orang tak percaya!!!

Friday, October 29, 2010

Ingatan kepada Pakatan Rakyat

Penanda-penanda signifikan yang muncul melalui keputusan PRU Ke-12 ialah perpindahan yang amat ketara undi kaum Cina dan India kepada PR. Secara menyeluruh, orang-orang Melayu, terutama penghuni kawasan luar bandar dan pedalaman masih setia kepada BN. Namun, trend perubahan mula kelihatan di Perlis, Pahang, Negeri Sembilan, dan Johor.

Sehubungan itu, keempat-empat negeri itu tidak boleh lagi dianggap sebagai kubu kuat BN. Angin perubahan yang bertiup kencang termasuk di Sabah dan Sarawak akan mencederakan BN. Situasi inilah yang perlu diambil kesempatan oleh PR untuk mempertingkatkan jumlah sokongan kepada mereka.

Semua pihak perlu sedar bahawa kemerosotan sokongan terhadap BN disebabkan oleh kegagalan mereka membaca kehendak rakyat. Rakyat telah bosan dengan lakonan mutu rendah BN. Setelah menghilang selama lima tahun, mereka muncul menunjuk muka berbekalkan berbagai-bagai bentuk habuan bagi memperbaharui mandat.

Ketika itulah mereka sedar tentang pentingnya merendah diri. Jika perlu, mereka sanggup tunduk memeohon restu rakyat. Namun, rakyat pada hari ini bukanlah seperti rakyat tahun 70-an, 80-an, dan 90-an yang belum boleh berdikari, malah amat memerlukan bantuan atau tongkat untuk berjalan.

Harus diingat bahawa golongan daif hanya wujud di kawasan-kawasan pedalaman, sama ada di Semenanjung Malaysia, Sabah, atau Sarawak. Mereka ini ketinggalan dalam pelbagai bidang. Mereka tidak memperoleh maklumat selain daripada tv dan akhbar pro-BN. Oleh sebab itu, pemikiran mereka masih tertutup. Golongan inilah yang mudah diperkotakkatikkan oleh BN. Di sinilah letaknya lubuk atau kubu kuat BN.

PR perlu mempunyai strategi khas untuk menguasai pengundi di kawasan-kawasan pedalaman. Pasukan khas yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat perlu ditubuhkan untuk memberi penjelasan berhemah, panduan, tunjuk cara, dan bersosialisasi. Dengan berbuat demikian, golongan ini mampu berdikari, terbuka mindanya, dan tidak lagi berserah pada nasib semata-mata.

Hal yang sama perlu dipraktikkan kepada golongan daif yang mendiami pinggir bandar. PR perlu menerima hakikat bahawa semua masalah boleh diselesaikan. Yang penting dalam soal ini ialah usaha, keazaman, dan keikhlasan menghulurkan bantuan.

Semua aktiviti PR perlu menghayati dan melaksanakan lirik lagu "Budi Bahasa Budaya Kita" yang berbunyi:

Kita berkhidmat jujur dan ikhlas,
Mencurah bakti tak minta dibalas.

Semua pihak harus sedar bahawa BN tidak pernah ikhlas bila menjalankan tanggungjawab kepada rakyat. Apa-apa juga yang mereka buat mesti ada maksud tersiratnya. Mereka tidak memberi sesuatu tanpa mengharapkan balasan.

Buktinya telah sama-sama kita lihat selepas tamatnya PRK Bukit Gantang. Setelah berbagai-bagai benda ditaburkan kepada orang Cina, UMNO masih kalah. Sokongan orang Cina tertap juga kepada PAS/PR. Kekesalan dan kemarahan Muhyiddin terhadap orang Cina disiarkan secara terbuka dalam akhbar arus perdana berbahasa Melayu.

PR perlu membentuk imej positif yang berbeza sama sekali dengan BN. Jangan sekali-kali terjebak ke dalam perbuatan yang memakan diri sendiri. Berjanjilah sesudah anda betul-betul yakin dapat menunaikannya.

Thursday, October 28, 2010

UMNO Mesti Ditumbangkan

Rencana di bawah telah ditulis untuk menyambut kemenangan PAS di Manek Urai suatu ketika dahulu. Renungkanlah kandungannya dan bandingkanlah dengan situasi di Galas ketika ini. Namun demikian, apa-apa pun yang terjadi, UMNO mesti ditumbangkan!!!

UMNO telah menggunakan pelbagai kemudahan kerajaan seperti jabatan pelajaran, jabatan kesihatan, jabatan pertanian, jabatan kebajikan masyarakat, jabatan kerja raya, jabatan penerbangan, tentera, KESEDAR, dan sebagainya sejak sebelum hari penamaan calon lagi untuk mengemis undi di Manek Urai. Ini tidak termasuk pemberian pelbagai jenis wang kepada petani, penternak, nelayan, kanak-kanak sekolah, dan lain-lain. Ini tidak termasuk janji menjadikan Manek Urai sebagai "Anak Emas". Tidak juga termasuk janji membina jambatan. Apa lagi janji menjadikan Manek Urai sebagai sebuah agropolitan. Dua janji yang terakhir itu dikenakan syarat, iaitu mesti memenangkan BN. Janji itu berbentuk rasuah. Syarat itu berbentuk ugutan. Demikianlah perubahan baru yang dibuat oleh UMNO pimpinan Najib untuk kempen PRK Manek Urai.

Pendekatan merasuah pengundi ini telah berjaya mengkelabumatakan penduduk miskin di Manek Urai. Hakikatnya, hal ini merupakan satu penghinaan terhadap mereka. Mengapa mereka dibiarkan berada dalam keadaan seperti itu walaupun negara sudah merdeka lebih daripada 50 tahun? Adakah hal itu disengajakan supaya dalam pilihan raya-pilihan raya akan datang taktik yang sama boleh digunakan lagi? Alangkah zalimnya kerajaan seumpama itu.

Dengan berbuat demikian terhadap rakyat Manek Urai, UMNO telah mengecilkan hati penduduk Mengkebang, Guchil, dan Dabong yang berjiran dengannya serta rakyat miskin di bahagian-bahagian lain dalam negeri Kelantan. Sama ada disedari atau tidak, fenomena ini menjadi bukti ketidakikhlasan kerajaan, sikap pilih kasih pemerintah, dan kepentingan menjadi asas kepada pelaksanaan keputusan dalam kalangan pemimpin UMNO.

Adakah pendekatan ini menunjukkan negara kita sedang menuju ke arah kemajuan? Jawapannya tentu tidak. Ini imej dan mentaliti negara dunia ketiga. Adakah hal ini dipraktikkan di Singapura, Jepun, dan Korea Selatan? Jika jiran terdekat kita pun sudah jauh meninggalkan kita dalam bidang ini, bagaimana kita seenaknya mendakwa wujudnya Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan dan menjadi negara maju menjelang tahun 2020 sedangkan acuannya ditentukan oleh UMNO?

Rakyat tidak tahu sampai bila UMNO akan meneruskan penggunaan teknik dan taktik kuno itu. Mereka sendiri sedar jumlah orang yang bersetuju dengan cara demikian sudah semakin berkurangan pada masa ini. Dengan maklumat sahih yang semakin senang diperoleh sekarang ini, sukar bagi ahli politik rasuah memakai apa jua topeng untuk kelihatan baik, sopan, dan boleh dipercayai. Itulah yang berlaku di Manek Urai 14 Julai 2009 yang lalu. Memang benar UMNO mencapai kemenangan moral. Kemenangan yang hakiki milik PAS. Wakil rakyat yang akan bermesyuarat di DUN Kelantan bagi mewakili Manek Urai ialah YB Mohd. Fauzi Abdullah dari PAS.

Ramai orang yang bercakap tentang hal hal yang tidak relevan sekarang ini, iaitu tentang majoriti kemenangan hanya 65 undi. Hakikatnya lebih satu undi pun dikira menang. Turun naik undi yang diterima oleh calon bergantung kepada banyak faktor. Namun, demokrasi mengajar kita, undi siapa yang lebih, dialah pemenang. Kenapa sekarang kurang, dahulu lebih, dan sebagainya hanya penting untuk penyelidikan, memenuhkan ruang yang disediakan dalam akhbar/majalah, dan bahan berborak di kedai kopi.

Allahyarham Paksu Mail sendiri memulakan kerjaya politiknya denganb majoriti 594 undi pada tahun 1986. Dia hebat. Sejak itu, dia tak pernah kalah. Mari kita perhatikan statistik yang berikut:

Paksu Mail 2008 5,746 undi
Abe Uji 2009 5,348 undi
Penurunan 398 undi

Tuan Aziz 2009 5,283 undi
Zulkepli 2008 4,394 undi
Kenaikan 889 undi

Dengan berbekalkan gigi dan lidah serta sedikit wang yang wajar disediakan, undi PAS hanya turun 398 undi. Berdasarkan modal yang tak seberapa, penurunan itu merupakan satu kejayaan yang amat besar. Ini menunjukkan bahawa PAS hebat di Manek Urai. PAS mendapat dokongan rakyat.

Dengan serba mak nenek kemudahan dan taburan wang puluhan juta ringgi, undi UMNO hanya naik 889 undi, tak sampai pun seribu. Mereka sepatutnya menang jika hebat, bukan naik sekadar itu saja. Kegagalan ini membesarkan lagi kemaluan UMNO. Mereka rugi besar. Perbelanjaan mengatasi pendapatan. Rakyat Malaysia pun rugi juga kerana wang pembayar cukai disia-siakan begitu saja di Manek Urai. Untuk mengubat hati yang duka lara, mereka kata mereka dapat kemenangan moral. Kalau ada lagi PRK selepas ini, rakyat bersedia untuk memberi kemenangan moral yang maha besar kepada UMNO/BN.

Ahli dan pemimpin PAS/PR perlu berfikiran positif dan berlapang dada dengan kurniaan Allah itu. Jangan terikut-ikut dengan rentak kecewa dan sour grape UMNO/BN. Lantak merekalah hendak menangis tak berlagu ke, lagu canggung ke, tangkap leleh ke, atau apa-apa aje. Rapatkan semula saf, ketepikan syak wasangka, hapuskan perbezaan pendapat, dan bersatu hati. Teruskan rekod kemenangan ini sehingga PRU Ke-13 tiba, siapa tahu Najib buat PRU itu pada tahun 2011!!! Kita tumbangkan UMNO/BN ketika itu. Takbir!!!

Wednesday, October 27, 2010

Hapuskan Pengkhianatan UMNO-BN

UMNO memberitahu rakyat Malaysia bahawa tiada projek mi segera dan gula-gula politik di Galas. Namun, bila-bila pun orang tidak akan percaya kepada percakapan UMNO itu. Mereka datangnya dari species lidah bercabang.

Kini mereka sudah memperuntukkan RM7 bilion untuk perumahan rakyat di Gua Musang. Tidakkah peruntukan itu untuk memancing undi? UMNO akan buat apa-apa saja demi undi dalam pilihan raya.

Tetapi mereka sengaja buat tidak tahu bahawa setiap orang rakyat Malaysia menanggung hutang sebanyak RM14,000.00 kerana hutang negara yang bertimbun itu. Kalau dahulu mereka boleh memperbodohkan rakyat. Sekarang ini rakyat sudah lama buka mata.

Kalau janji di Manek Urai pun terburai, apatah lagi di Galas. Apatah lagi di Batu Sapi. Orang Sabah pun sudah mula menunjukkan kemeluatan mereka kepada BN. Kawasan Bumiputera Islam pun diberi kepada PBS. Maka menyusutlah bilangan wakil rakyat Islam di Dewan Rakyat.

Sabah yang menjadi fix deposit BN merupakan negeri termundur dan termiskin di Malaysia. Semua rakyat masih ingat tentang banyaknya wang ditabur di negeri itu kononnya untuk pembangunan. Ke mana perginya wang sebanyak itu kalau tidak ke kocek pemimpin dan kroni mereka? Di mana-mana pun mereka mengkhianati rakyat!!!

Pengundi-pengundi di Galas dan Batu Sapi perlu berubah. Hapuskan keangkuhan UMNO-BN. SAPP yang bebas pun tolak ke tepi. Berilah undi anda kepada Pakatan Rakyat yang bertanding di situ, iaitu PAS dan PKR.

Tuesday, October 26, 2010

Najib Kencing Rakyat Malaysia

Sekali lagi Najib ditangkap menipu oleh Rakyat Malaysia. Kali ini melalui Laporan Ketua Audit Negara 2009.

Jun lalu, Najib mendakwa hutang kerajaan berjumlah RM232.92 bilion atau 34.3% daripada KDNK Malaysia.

Kata Ketua Audit Negara, pada tahun 2009, hutang negara adalah sebanyak RM362.39 bilion, iaitu 53.7% KDNK Malaysia. Hutang ini merupakan jumlah yang tertinggi sejak lima tahun yang lalu.

PM kita ini telah menipu rakyat rupanya. Mengapa dia tidak mahu bercakap benar? Setahu kita, orang yang munafik saja suka berbohong.

Perangai pemimpin UMNO sememangnya begitu. Mereka cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan rakyat. Namun, Allah Maha Besar, terburai juga akhirnya keburukan mereka. Patutlah ada kenyataan tentang Malaysia akan bankrap tahun 2019 nanti.

Sehubungan itu, semua rakyat Malaysia perlu bersatu hati menamatkan hayat UMNO-BN sebagai pemerintah. Mereka bukan sahaja pembohong malahan juga tidak amanah dan tidak bertanggungjawab. Kalahkan UMNO-BN di Galas dan Batu Sapi!!!

Monday, October 25, 2010

Pekung Terserlah di Dada UMNO

Para pemimpin dan ahli-ahli UMNO telah menelanjangkan keburukan mereka sendiri sepanjang Persidangan Agung Kali Ke-61 mereka.

Sehubungan itu terserlahlah pekung di dada UMNO. UMNO ialah parti kebangsaan Melayu yang sekular dan rasis. Merekalah musang berbulu ayam. Hal yang salah pun sanggup mereka betulkan.

Kita lihat kes Rosmah dengan Islamic Fashion Festival (IFF). Acara ini 100% tidak Islamik. Terdedah. Terbuka. Menghina Rasulullah. Dan sebagainya.

Apabila dikritik, ulama muda UMNO bela Rosmah dan hentam PAS. Disuruhnya beri nasihat. Disalahkan penganjur. Dilepaskan penaung. Walhal kita lihat Najib dan Rosmah suka sengeh bergambar dengan tokoh-tokoh penganjuran festival itu. Kedua-duanya terlalu gembira diberi "penghormatan" itu. Glamor habis. Tidak pernah terfikir pun dalam pemikiran mereka tentang hasrat musuh Islam yang sentiasa berniat serong.

Akibatnya, imej Islam tercemar. Ketidakprihatinan mereka kepada kesucian Islam telah mendatangkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam. Khalayak seolah-olah diberitahu bahawa busana Muslim yang moden dan maju boleh buka sana buka sini dan dedah sana dedah sini. Bagi pemimpin UMNO, Islam itu glamor.

Inilah yang akan berlaku jika Islam dipinggirkan oleh UMNO. Keadaan menjadi lebih hodoh apabila mereka yang mengaku ulama dan ahli-ahli agama dalam UMNO tidak berani bertindak, sebaliknya mengipas bos untuk mendapatkan keuntungan politik semata-mata.

Jika beginilah sikap dan pembawaan UMNO, tiada masa depan yang cerah untuk Islam. Puak-puak ini akan terus mencalarkan imej Islam. Kaum bukan Islam akan terus merendah-rendahkan Islam. Mulut mereka sahaja yang selalu menyebut hendak membela Islam. Laku perbuatan mereka ke arah memusnahkan Islam.

Umat Melayu-Islam perlu menyisihkan musang berbula ayam ini. Jangan biarkan mereka terus menguasai politik Malaysia. Masa depan anak cucu kita perlu diselamatkan daripada kemusnahan yang akan dibuat oleh parti yang hanya berjuang demi kepentingan diri dan kroni sahaja.

Ketahuilah bahawa Melayu tidak akan mulia di tangan UMNO. UMNO sudah busuk hingga ke ususnya. Biarkan mereka membusung asalkan kita dan anak cucu kita selamat. Ucapkanlah salam perpisahan kepada UMNO!!!

Sunday, October 24, 2010

Kerajaan Tempang, Rakyat Bayar Hutang!!!

Semasa ada wang, kerajaan joli katak. Membazir sana, membazir sini. Songlap sana. Songlap sini. Kini, hutang yang ditanggung sudah berjumlah RM101.65 bilion. Persoalan yang dihadapi adalah bolehkah hutang itu diselesaikan?

Ketika masalah itu melanda, bangunan 100 tingkat yang berharga RM5 bilion pula hendak dibina. Masalah kemiskinan rakyat belum selesai. Masalah kenaikan kos sara hidup tidak mampu dibendung. Rakyat marhaen tertindas. Namun, hal-hal ini tidak pernah menjadi fokus kerajaan untuk mengatasinya.

Sampai bila setiap rakyat perlu menanggung hutang yang dibuat oleh kerajaan? Sampai bila rakyat perlu bersabar dengan karenah kerajaan yang tidak mampu mengurus kewangan negara dengan baik? Inikah yang dikatakan rakyat didahulukan?

Lebih banyak masalah akan tiba di pintu rumah kita selagi UMNO-BN memerintah. Mereka telah melakukan kemusnahan terhadap negara ini. Rakyat yang tidak bersalah terpaksa menanggung semua taik yang diberakkan itu.

Dalam keadaan serba tempang itu, mereka masih ada hati untuk mempertahankan Putrajaya walaupun nyawa bercerai dari badan. Usah mimpilah rakyat nak sokong UMNO-BN lagi dalam PRU Ke-13 nanti!!!

Saturday, October 23, 2010

UMNO Penghina Islam

UMNO tersangat marah kerana PAS enggan bersahabat dengan mereka sebaliknya menjadi rakan karib DAP dan PKR. Kemarahan itu disekalikan dengan penghinaan terhadap Tuk Guru Nik Aziz. Dia didakwa menjual Islam dan berkawan dengan syaitan. Sememangnya ahli parti kebangsaan dan sekular serta rasis akan tergamak mengeluarkan kata-kata kesat seperti itu. Di mana letaknya Islam dan maruah mereka?

Mereka akan tetap bercakap seperti itu walaupun sudah tahu sebab PAS tidak mahu berkawan dengan UMNO. Susah sangatkah bagi UMNO untuk menjadikan Islam sebagai landasan perjuangan? Adakah mereka menerima dakwaan MCA bahawa Islam membawa kemunduran? Adakah mereka menerima Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai pemimpin yang menyebabkan kerajaan Islam terkebelakang? Jika inilah pegangannya, mereka perlu menghisab diri.

UMNO hanya pandai menyebut perkataan Islam tetapi tidak tahu menghayatinya. Presidennya membiarkan isteri menghina Islam dalam Festival Busana Islam kononnya. Dia menunjukkan seolah-olah Islam membenarkan nama Rasulullah diterbalikkan dan pakaian yang mendedahkan. Tiada seorang pun ulama muda yang memberi teguran. Tiada seorang pun mufti yang memberi nasihat. Hanya Dr. Asri sahaja yang berani menyanggah. Apa sudah jadi dengan ilmuwan Islam di Malaysia?

Tegakkanlah kebenaran walaupun pahit. Hentikanlah kemungkaran yang dilakukan oleh sesiapa pun. Usahlah takut kepada kuasa yang ada pada tangan manusia yang sifatnya hanya sementara. Allahlah Yang Maha Berkuasa. Takkan itu pun nak kena ajar.

Friday, October 22, 2010

Nada Sendu Retorik Najib

Najib sudah menunjukkan kerisauannya terhadap untung nasib UMNO dalam PRU Ke-13 nanti. Kerisauan itu diikutsertakan dengan tarikh 2011, iaitu ulangtahun ke-500 kejatuhan Empayar Melaka kepada Portugis. Dia tersangat bimbang tarikh itu turut menjadi titik akhir bagi UMNO.

Oleh sebab itu, dia menyeru semua ahli UMNO supaya berhadapan dengan segala kemungkinan. Apa jua cara mesti digunakan untuk mempertahankan Putrajaya. Pernyataan yang dikeluarkan itu berbaur antara kerisauan, ugutan, dan kesiapsiagaan untuk bertempur. Harus diingat bahawa kekerasan menjadi satu daripada akar tunjang transformasi. Namun, rakyat Malaysia yang sedang dididik supaya mengutamakan perpaduan dan keadilan oleh Pakatan Rakyat tidak akan menghiraukan bibit-bibit syak wasangka yang sentiasa ditabur hanya sanya kerana ketebalan pemikiran rasis.

Jika itu yang dirancang oleh UMNO, sebab musabab situasi itu timbul bertitik tolak kepada ketakutan terhadap bayang-bayang sendiri. Tidak ada pun tanda-tanda musuh UMNO menggunakan teknik dan taktik kotor dalam pencak silat politik mereka. Manusia yang takut kepada bayang-bayang sendiri mudah diserang histeria. Mereka akan hilang pertimbangan dan bertukar menjadi tidak normal. Keadaan akan menjadi bertambah buruk jika tiada pegangan agama yang kukuh.

UMNO perlu menerima hakikat. Islam menjadi tunjang jiwa Melayu. Laku perbuatan umat Melayu disantunkan oleh Islam. Tanpa kesantunan Islam, umat Melayu akan hilang pedoman. Sebab itulah tindak-tanduk UMNO bercempera dan penuh dengan imej buruk. Dalam keadaan itu, tiada siapa yang akan merapati mereka.

UMNO sedang mengalami kemerosotan sokongan yang amat kritikal pada masa ini. Jika tidak, nada pengucapan Najib tidak menjadi sedemikian kalut. Namun demikian, nasi sudah menjadi bubur. Segala-galanya sukar diselamatkan. Islam mengajar umatnya menerima hakikat. Hanya itulah satu-satunya jalan penyelesaian.

Thursday, October 21, 2010

Mentaliti Rendah Pemimpin UMNO

Ketika membentangkan Bajet 2011, Najib dengan megahnya mengumumkan rancangan mendirikan Menara Warisan setinggi 100 tingkat. Rancangan itu dikritik hebat oleh pelbagai golongan masyarakat. Tersentak dengan kritikan yang mungkin tidak dijangka itu, Najib mengeluarkan kenyataan bahawa PNB yang memohon supaya bangunan itu didirikan. Jelaslah di sini bahawa Najib ialah seorang Pak Pandir Moden yang kluk-klek. Sebagai teraju utama negara, dia tidak sepatutnya berpendirian sedemikian.

Semasa memberi ucapan perasmian untuk sayap-sayap UMNO, Muhyiddin mencadangkan supaya diadakan sistem report card untuk wanita, pemuda, dan puteri bagi mengukur prestasi pemimpin-pemimpinnya. Cadangan ini bukan saja aneh malahan juga mempamerkan kerendahan tahap pemikiran Timbalan Presiden UMNO itu sendiri. UMNO diibaratkan sebagai sebuah sekolah bergurubesarkan Muhyiddin!!!

Khairy mengecap Pakatan Rakyat sebagai Raksasa Cerberus 3 Kepala yang saling bercakaran. Pada masa yang sama, dia kata 50 kerusi yang sedang dipegang BN mungkin terlepas ke tangan Pakatan Rakyat jika gagal menambah sokongan pengundi bukan Melayu. Dia mengesahkan kehebatan Pakatan Rakyat. Mana satu cakap Ketua Pemuda UMNO ini hendak dipakai? Dakwaan Pakatan bercakaran langsung tidak masuk akal. Raksasa itu sebenarnya UMNO, MCA, dan MIC kerana merekalah yang sering bercakaran dan menonjolkan rasis. Baru sekarangkah Khairy sedar kerusi tulen Melayu hanya ada 73? Siapa yang menjadikannya 73? UMNOlah. Apa sebabnya, kalau dibanyakkan kerusi Melayu dalam persempadanan semula, ditakuti semuanya jatuh ke tangan PAS dan PKR. Salah UMNOlah dalam hal ini. Penakut.

Puteri lagi tak boleh pakai. Asyik dengan 3G + 2G saja. Yang betina gemuk, gempal gebu. Yang jantan tambah lagi dengan gendut dan gondol. Persidangan Agung UMNO hanya menjadi gelanggang untuk bermain-main dan ketawa berdekah-dekah. Apa hal? Bila kena herdik dengan Setiausaha Agung tahu pula melatah macam Mak Cik Jenab kat Hulu Terengganu tu!!!

Wanita bukan main lagi puji Permata yang dinaungi Rosmah. Sejak dulu sampai sekarang, kerja wanita hanya membodek saja. Tak selesa dengan Ketuanan Melayu yang sering dikutuk, disuruh pula tukar dengan Kemuliaan Melayu. Tang mana Melayu mulia kalau ekonomi pun terperosok dalam rok?

Anda nilailah sendiri betapa rendahnya mentaliti pemimpin-pemimpin UMNO. Macam itukah yang dikatakan politik baru? Baru taik kucing. UMNO sebenarnya mengamalkan politik lapuk. Mereka sudah tak rok cetong!!!

Wednesday, October 20, 2010

Lupuskan Melayu-UMNO-APCO

Rakyat sedang menyaksikan parti tua warisan penjajah yang menggunakan prinsip kebangsaan, sekular, dan rasis sebagai asas perjuangannya. Bagi parti ini, Malay first bukan Malaysian first. Oleh sebab itu, mereka akan menyebut Melayu, Melayu, Melayu. Bukan Melayu hanyalah selitan untuk menyedapkan bual bicara.

Namun demikian, sudah terbukti bahawa Melayu yang sentiasa bermain di bibir mereka itu hingga kini masih lemah, tidak mampu menyaingi kaum Cina dalam bidang ekonomi terutamanya. Puluhan ribu bilion wang sudah dihabiskan kononnya untuk membantu Melayu. Melayu yang berjaya ialah pemimpin dan kroni mereka sahaja. Bukti yang jelas ialah buat projek bernilai RM100 juta dinaikkan kosnya ke RM400 juta. Ada juga projek yang kosnya dinaikkan sebanyak tiga kali dan diberikan pula kepada syarikat "mati" yang pastinya ada hubungan dengan suku-sakat UMNO!!!

Parti ini jugalah yang mengatakan negara tiada wang untuk memberi bonus kepada kakitangan awam. Tiba-tiba sahaja ada RM5 bilion untuk membina bangunan setinggi 100 tingkat. Memang inilah yang mereka cari. Dengan RM5 bilion itu, dapatlah diagih-agihkan kepada seberapa banyak pemimpin dan kroni untuk membuncirkan perut semata-mata.

Tidak perlulah memberikan gaji minimum kepada pekerja. Tidak perlulah membela golongan marhaen. Tidak perlulah memberi status yang selayaknya kepada Orang Asli. Tidak perlulah meletakkan Islam sebagai asas perjuangan kerana wakil rakyat mereka yang tiada kelulusan agama pun boleh menentukan sesuatu itu halal atau haram, perarakan Maulidurrasul itu wajib dilaksanakan, orang Islam sahaja yang boleh menggunakan kalimah "Allah", dan pelbagai lagi fatwa yang ulama dan mufti sendiri tutup mulut.

Jika UMNO dibiarkan, mereka akan terus bermaharajalela membuat kemungkaran di bumi Malaysia. Mereka akan terus merompak wang rakyat. Mereka akan terus menggunakan perkauman untuk kelangsungan hidup. Melayu-UMNO-APCO yang nombor wahidnya. Selainnya nombor dua dan seterusnya. Maka sewajarnyalah mereka dilupuskan.

Tuesday, October 19, 2010

UMNO Mendera Sabah dan Sarawak

UMNO tidak pandai berterima kasih terhadap sumbangan Sabah dan Sarawak kepada pendapatan negara. Negeri-negeri ini menyumbang sebanyak 45% daripada pendapatan negara melalui petroleum dan gas.

Sepatutnya mereka memperoleh peruntukan yang setimpal dengan sumbangan itu. Perkara yang berlaku ialah mereka diberi peruntukan yang ciput. Rakyat Sabah dan Sarawak tentu dapat melihat kebenaran kenyataan ini dalam Bajet 2011.

Oleh sebab itu, mereka perlu berubah. Usahlah lagi mengikut telunjuk UMNO-BN. Golongan ini hanya pandai bermuka-muka. Tiada gunanya bergantung harap kepada golongan yang sikapnya habis madu sepah dibuang!!!

Monday, October 18, 2010

Hentikan Pemberian Oksigen kepada UMNO

UMNO, parti kebangsaan yang sekular dan rasis akan mengadakan persidangan untuk kesekian kalinya. Perhimpunan itu akan menghimpunkan species Melayu yang cintakan rasuah, mengamalkan kronisme, dan menyanjungi nepotisme. Pada masa yang sama, mereka menolak Islam tetapi berlagak seperti ahli agama yang tersohor, melebihi semua kadi dan mufti yang ada di Malaysia ini.

Lihat sahaja cara mereka menghukum DAP. Mereka begitu yakin mengecap DAP sebagai kafir harbi, iaitu golongan kafir yang tak layak dibuat kawan. Anehnya, cap ini disahkan oleh semua ahli agama yang ada dalam UMNO dan semua mufti yang ada di Malaysia!!!

Tuduhan itu tidak disertakan dengan bukti yang kukuh. Apakah bentuk penganiayaan yang dilakukan oleh DAP terhadap orang Melayu? Adakah DAP merampas tanah orang Melayu? UMNOlah yang merampas Tanah Simpanan Melayu (TSM) tanpa diganti. Adakah DAP merampas saham yang diperuntukkan kepada Bumiputera? UMNOlah yang menyonglap peruntukan itu hingga berbaki hanya RM2 bilion. Adakah DAP yang dapat kontrak bina Istana Negara yang baru? UMNOlah yang menaikkan kos pembinaan bangunan itu sampai tiga kali.

Berbagai-bagai lagi boleh ditanya. Jawapannya tetap menghalakan kepada UMNO. Semenangnya UMNO sudah busuk hingga ke usus. Dalam kebusukan itulah mereka merayu rakyat memberi mandat kepada mereka dalam PRU Ke-13 nanti.

Rakyat Malaysia tidak perlu tunduk kepada rayuan UMNO. Rakyat Malaysia juga tidak perlu akur kepada ugutan UMNO. Rakyat Malaysia perlu menolak fitnah yang disebarkan kepada Pakatan Rakyat.

Berikan sokongan padu anda kepada Pakatan Rakyat. Biarkan UMNO yang busuk itu berkubur. Malaysia akan bertambah makmur tanpa UMNO. Malaysia akan lebih bahagia tanpa UMNO. Malaysia akan lebih adil tanpa UMNO. Rakyat Malaysia akan lebih erat perpaduannya tanpa parti rasis nombor wahid, iaitu UMNO.

Sunday, October 17, 2010

Wang Rakyat Disembelih dalam Bajet 2011

Najib kata dia tidak mahu beri RM3.1 bilion sebagai bonus satu bulan kepada kakitangan kerajaan kerana perbelanjaan akan melebihi pendapatan. Sebab itulah digantikan dengan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500.00 kepada semua penjawat awam gred 54 dan ke bawah. Sungguh rasional alasan yang diberikan.

Dia tidak pula menyatakan siapa yang akan menanggung kenaikan 1% cukai perkhidmatan. Rakyatlah yang akan terpaksa bayar lebih untuk menyara kerajaan. Adilkah semua perkiraan yang telah dinyatakan itu?

Dia pun tidak beritahu kita kesan kadar tol tidak dinaikkan. UMNO, MCA,MIC, dan semua parti lain dalam BN tidak akan terlibat. Yang akan diambil ialah wang rakyat untuk membayar pampasan kepada syarikat yang tidak diberi kebenaran menaikkan tol itu. Wang rakyat lagi yang akan dikorbankan.

Wang siapa yang akan dikorbankan untuk membina bangunan 100 tingkat yang tidak berapa diperlukan itu? Tentulah wang rakyat.

Anda kiralah sendiri jumlah wang diberi kepada rakyat dengan jumlah wang yang disembelih daripada rakyat. Selepas itu, anda akan tahu siapa mereka.

Saturday, October 16, 2010

Gula dan Racun dalam Bajet 2011

Perkara yang menarik perhatian ramai dalam Bajet 2011 ialah RM111 juta untuk projek Rosmah dan RM95 juta untuk SAR.

Kedua-duanya mendatangkan banyak persoalan dalam pemikiran rakyat. Najib begitu beriya-iya menjayakan projek isterinya yang semakin lama semakin tidak disenangi rakyat kerana lagaknya yang berlebih-lebihan. Dia kelihatan lebih menteri daripada menteri. Kebencian rakyat terhadap Rosmah akan menjadi satu sebab kejatuhan Najib.

Suatu ketika dahulu, Mahathir telah menghentikan bantuan kepada SAR atas alasan institusi itu menjadi pusat pembiakan penyokong PAS. Kali ini institusi itu mendapat durian runtuh. Hal ini berlaku setelah semua isu agama yang dimainkan oleh UMNO gagal mencapai matlamatnya, termasuklah isu khutbah dan wang judi.

Mereka hanya ada satu muslihat saja, iaitu mahu dilihat sebagai parti yang dekat dengan Islam bagi menghalalkan RM5 bilion untuk membina bangunan 100 tingkat. Wang sebanyak itu akan dihabiskan untuk siapa? Tidak lain tidak bukan untuk pemimpin kerajaan dan kroni mereka. Nasib rakyat tidak akan terbela dengan bangunan 100 atau 200 tingkat. Mereka akan terus sengsara jika kos sara hidup terus naik macam sekarang.

Nampaknya UMNO-BN bukan saja bagi gula-gula kepada rakyat. Pemberian itu disekalikan dengan racun. Mereka tunggulah kebangkitan rakyat nanti. Najib lebih rela memuaskan nafsu isterinya daripada benar-benar membela rakyat

Friday, October 15, 2010

Bajet 2011 untuk PRU Ke-13?

Bajet 2011 telah pun dibentangkan. Ada yang berpendapat bajet itu terarah kepada pilihan raya. Alasan yang diberikan ialah terlalu banyak gula-gula. Gula-gula itu diberikan kepada kakitangan kerajaan, JKKK, dan sebagainya, termasuk golongan muda. Jawapan "ya" mungkin ada di situ.

Namun demikian, kita dapat menyaksikan golongan marhaen terus dipinggirkan dalam bajet yang katanya bagi mewujudkan negara berpendapatan tinggi. Sukar untuk membayangkan golongan ini akan berupaya keluar daripada kepayahan hidup akibat kenaikan sara hidup yang semakin meningkat ketika ini. Berpandukan alasan ini, PRU Ke-13 tidak akan diadakan pada tahun 2011, kecuali ada lonjakan ekonomi sebenar pada tahun tersebut untuk dinafkahkan kepada golongan tersebut!!!

Adakah dakwaan kerajaan tentang negara telah berjaya keluar dari kemelesetan ekonomi boleh diterima sepenuhnya? Mungkin ada sedikit perubahan tetapi masih belum mampu membayar bonus kepada kakitangan kerajaan. Lantaran itu, gula-gula yang diberi tidak cukup kuat untuk melonjakkan sokongan rakyat kepada kerajaan.

Tatangan terus-menerus terhadap Sabah dan Sarawak tidak lagi dilihat sebagai bantuan yang tulen. Hakikatnya sudah terlalu banyak yang diberikan kepada negeri-negeri itu tetapi pulangannya tidak seberapa. Muslihat kerajaan hanyalah untuk terus menjadikan kedua-dua negeri itu deposit tetap untuk BN dengan sebahagian besar peruntukan masuk ke kocek para pemimpin dan kroni di negeri-negeri itu. Jika demikian keadaannya, majoriti rakyat akan menyampah dengan sikap tidak ikhlas kerajaan itu. Beranikah mereka mengadakan PRU ketika minda rakyat membara dengan kemarahan? Tidak mungkin.

Thursday, October 14, 2010

UMNO-BN Cekik Darah

Majoriti rakyat Malaysia sudah memahami taktik dan teknik yang digunakan oleh UMNO-BN untuk cuba menaikkan imej mereka dalam kalangan rakyat sejak kekalahan besar dalam PRU Ke-12 yang lalu.

Mereka pun bercakap tentang perubahan. Lalu berkumandanglah Konsep 1 Malaysia, KPI, NKRA, Model Ekonomi Baru, Rancangan Malaysia Ke-10, dan sebagainya.

Anehnya, Mahathir sendiri tidak memahami Konsep 1 Malaysia. Muhyiddin tetap dengan Malay First. Yang terkial-kial dengan 1 Malaysia hanya Najib dengan Rais. Macam mana nak berubah?

KPI sudah melantun-lantun sekarang ini. Kehebatan tidak dapat dibuktikan dengan jelas. Anggota kabinet terdiri daripada Senator yang kalah dalam PRU Ke-12 atau tidak bertanding langsung. Kenaikan mereka bukan atas sokongan rakyat. Mereka bukan wakil rakyat. Yang jadi wakil rakyat dan menteri pun KPI-nya merudum. Kes orang hilang pun hanya dapat diselesaikan sebanyak 60% daripada keseluruhannya!!! Anehnya, kejayaan yang ciput itulah menjadi kebanggaan menteri berkenaan.

NKRA tidak dapat digapai dengan sempurna. Keberkesanannya amat diragukan. Koridor ekonomi beransur-ansur lenyap daripada perhatian kerana poket kerajaan semakin nipis dan keengganan pelabur datang berniaga kerana amalan rasuah yang berleluasa.

Model Ekonomi Baru dikritik oleh orang UMNO sendiri. MCA mahu 30% ekuiti Melayu dipadamkan. Mula-mula PERKASA terpekik terlolong. Bila sokongan orang Cina terhadap BN semakin kurang, masing-masing lembek macam agar-agar terlebih air.

Rancangan Malaysia Ke-10 hanya mengulang retorik lama. Peruntukan khas sudah berapa kali dikeluarkan, terutama untuk Sarawak dan Sabah. Kedua-dua negeri itu masih tetap di takuk lama. Duit sudah banyak habis. Rakyat masih hidup seperti sedia kala. Siapa yang untung? Anda jawablah sendiri.

Apabila Najib mula membuat rayuan supaya diberi mandat pada PRU Ke-13 nanti, fahamlah rakyat bahawa nawaitu UMNO-BN melaksanakan semua program itu berudang di sebalik batu. Tiada keikhlasan dalam jiwa mereka. Mereka hanya mahu mempertahankan kuasa.

Rakyat tidak bodoh. Mereka telah melihat banyak kegagalan dalam pelaksanaan dasar UMNO-BN. DEB hanya memperkayakan pemimpin dan kroni. Dasar Pembangunan Nasional terus gagal memartabatkan Melayu dalam bidang ekonomi. Yang terserlah hanya dokumen Wawasan 2020 tanpa perisian yang membanggakan. Dasar Wawasan Negara yang akan tamat hujung tahun ini pasti gagal menggapai 30% ekuit Bumiputera dan membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat.

Oleh sebab itu, rakyat tidak boleh lagi melayan karenah UMNO-BN yang tak rok cetong ini. Mereka akan berikan kuasa itu kepada pihak lain. Mereka tahu UMNO-BN ialah sokong membawa rebah. Malaysia yang tercinta ini mesti diselamatkan daripada dikuasai parti rasuah, pengkhianat, dan rasis.

Wednesday, October 13, 2010

UMNO-BN = Musang Berbulu Ayam

Najib memilih untuk membuat rayuan kepada rakyat Malaysia supaya memberi mandat kepada BN dalam PRU Ke-13 di persidangan tahunan MCA. Dalam persidangan parti rasis itu, presidennya merangkap seorang aktor porno telah dengan sengaja mengguris hati umat Islam apabila menganggap Islam punca kemunduran dan PAS sebuah parti ekstrem. Hal ini didiamkan saja oleh pemimpin UMNO-BN itu. Situasi ini menjelaskan betapa rapuhnya pegangan terhadap Islam oleh parti kebangsaan yang sekular dan rasis itu.

Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika mereka mengamalkan rasuah, menyalahgunakan kuasa, melakukan penyelewengan, dan aneka macam kebatilan. Amalan-amalan buruk itulah yang menggagalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN), dan Dasar Wawasan Negara (DWN)mencapai matlamatnya. Majoriti Melayu melihat sahaja kemunculan pemimpin dan kroni UMNO yang disaluti kemewahan. Dengan berbekalkan kepelbagaian aktiviti negatif itu mereka merendahkan diri sambil merayu supaya terus diberikan kuasa.

Ampu bodek terhadap kaum Cina disusun dengan cermat dan hormat. Tidak mengapalah jika pemimpin mereka menghina dan menjatuhkan Islam walaupun tanpa usul periksa. Begitulah imej Melayu-Islam-UMNO-APCO. Mereka sanggup berbuat apa-apa sahaja apabila berhadapan dengan kaum Cina demi menarik sokongan. Musang berbulu ayam ini akan segera menanam rasa benci bukan sahaja terhadap orang Cina malahan orang India dalam kalangan orang Melayu apabila kursus BTN dilaksanakan.

Ketakutan UMNO, MCA,MIC, Gerakan, dan PPP terhadap PAS, DAP, dan PKR bukan lagi satu rahsia. Nama-nama parti dalam Pakatan Rakyat ini sering bermain di bibir para pemimpin UMNO-BN. Peningkatan sokongan pelbagai kaum terhadap Pakatan mengundang musibah yang sangat besar kepada mereka.

Oleh sebab itu, dilancarkanlah pelbagai program yang kononnya untuk kepentingan rakyat. Sambutan dingin rakyat terhadap aktiviti-aktiviti kosmetik ini memberi tamparan hebat kepada UMNO-BN. Keadaan diburukkan lagi dengan pembogelan pelbagai salah laku para pemimpin mereka yang pernah berkuasa dan pengkhianatan agensi-agensi terhadap rakyat yang memerlukan pembelaan.

Aktiviti gerombolan pengkhianat ini perlu dihentikan by hook or by crook. Kita perlu membanteras semua usaha dan muslihat mereka untuk bukan sahaja terus berkuasa malahan juga terus menganiaya rakyat.

Tuesday, October 12, 2010

Pakatan: Suburkan Perpaduan Tulen!!!

Harus diingat bahawa Aktor Porno Chua Soi Lek bukan sahaja menakut-nakutkan orang bukan Melayu terhadap PAS, terutama kaum Cina malahan juga dengan beraninya mempersoalkan hak Bumiputera dan menuntut kaumnya diberi bahagian kek kemakmuran negara yang sama jika mahu melihat sebuah negara berpendapatan tinggi menjadi realiti. Jika perkara ini ditimbulkan oleh Pakatan, UMNO dan PERKASA akan segera menjadi histeria. Rakyat tentunya berasa hairan tentang kesenyapan UMNO dan PERKASA dalam isu ini.

Sememangnya hal ini ada hubungannya dengan PRK Galas dan Batu Sapi. Jika PERKASA hentam MCA khasnya dan orang Cina umumnya,lingkuplah sokongan kaum Cina di Galas kepada UMNO. Akan merudumlah sokongan kaum Cina kepada PBS di Batu Sapi. Mereka amat mengharapkan sokongan kaum Cina dalam kedua-dua PRK itu. Oleh sebab itu, berdiam diri adalah lebih baik bagi PERKASA.

Walau bagaimanapun, MCA lupa bahawa orang Cina lebih takutkan UMNO daripada PAS. Sepanjang pemerintahan PAS di Kelantan, tidak kedengaran kaum Cina dianaktirikan. Sokongan kaum bukan Melayu terhadap PAS dapat dilihat dengan jelas dalam DHPP. Hal ini dengan sendirinya menafikan kenyataan aktor porno itu tentang PAS mengamalkan Islam yang ekstrem.

Sebaliknya, kenyataan negatif itu menampar muka UMNO yang langsung tidak berusaha untuk menunjukkan kecantikan keadilan Islam kepada rakan-rakan bukan Islam mereka dalam BN. Oleh sebab itu, UMNO mengambil sikap berdiam diri apabila MCA menghentam Islam. Jika demikian, tidak perlulah UMNO marah apabila dicap sebagai parti kebangsaan yang sekular dan rasis.

Realitinya ialah UMNO dan MCA bergilir-gilir menunjukkan sikap rasis mereka. Beberapa hari yang lalu agen UMNO mengecap kaum Cina sebagai Si Sepet. Kini, giliran MCA pula mengecap PAS dan Islam sebagai punca kemunduran dan keekstreman. Mengapa mereka amat suka memainkan isu yang berbahaya ini? Tidak ada jalan lain yang lebih baikkah untuk menarik sokongan kaum bukan Melayu kepada BN?

Yang pasti, kaum bukan Melayu sudah meluat dengan gelagat rasis UMNO dan MCA. MIC sudah lama disisihkan oleh rakyat Malaysia. Kini, Gerakan pun sedang terumbang-ambing kerana kepimpinan yang tak rok cetong. Situasi inilah yang amat membimbangkan UMNO dan BN sekarang ini. Rakyat Malaysia lebih percaya kepada Pakatan Rakyat dalam soal ketulenan perpaduan dan integrasi nasional yang diperjuangkannya.

Monday, October 11, 2010

Kepura-puraan Pemimpin BN

Najib mendakwa dia tidak dapat menyelesaikan masalah perkauman yang kerap ditimbulkan oleh golongan tertentu, terutamanya kakitangan kerajaan. Dia menambah bahawa semasa memerintah selama 22 tahun, Mahathir sendiri mengakui kegagalan menghapuskan masalah tersebut. Rakyat mengetahui dengan mendalam bahawa kenyataan ini bersifat melempar batu sembunyi tangan.

Persoalannya bukanlah boleh atau tidak boleh. Sama ada UMNO atau MCA atau MIC, mereka sebenarnya tidak hendak menghapuskannya hingga ke akar umbi. Semua orang tahu bahawa parti-parti itu ialah parti perkauman dan sayogialah menggunakannya untuk kelangsungan hidup parti masing-masing.

Dengan menggunakan perkauman, mereka boleh menakut-nakutkan orang Melayu dengan melabelkan DAP sebagai anti-Islam. Dengan menggunakan perkauman, mereka boleh mengugut orang Melayu supaya tidak menyokong PAS jika tidak mahu suara dan kuasa orang Melayu sirna di bumi Malaysia.

Majoriti rakyat Malaysia sudah tahu sikap berpura-pura para pemimpin yang berjuang atas landasan perkauman ini. Minoriti rakyat Malaysia yang tiada maklumat dan berfikiran sempit seperti warga emas Pulau Pinang yang "memulangkan" wang ehsan Kerajaan Pulau Pinang sahaja mampu diperbodoh-bodohkan oleh pemimpin UMNO.

Kebijaksanaan rakyat amat menakutkan mereka. Dalam keadaan terdesak inilah Najib merayu supaya BN diberi mandat lagi dalam PRU Ke-13. Aktor Lucah Soi Lek pun turut menakut-nakutkan orang Cina. Kenyataannya tentang DAP hanya mampu menambahkan sokongan bukan Melayu kepada PAS dan ugutan tentang PAS akan menguasai Kerajaan Persekutuan Pakatan Rakyat jika menjadi realiti penuh dengan prasangka. Mengaitkan Islam dengan kemunduran dan ketidakadilan mengesahkan kecetekan pemikiran orang yang mengeluarkan kenyataan itu.

UMNO, MCA, dan MIC akan hanya menjadi juara rasis. Oleh sebab tiada upaya menolak unsur itu keluar dari batang tubuh mereka, segala usaha dibuat untuk menyeret Pakatan Rakyat ke dalam arus berbahaya itu. Ketiga-tiganya tidak pernah ambil pusing tentang kesucian dan keadilan yang diperjuangkan Islam. Mereka ditenggelami Islamopobia.

UMNO lebih rela menggunakan isu agama untuk menyesatkan orang Melayu dalam isu wang judi tanpa menghiraukan kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang bekas mufti seolah-olah mereka lebih bijak daripada mufti. Kebijaksanaan itulah yang menyebabkan mereka menghalalkan loteri kebajikan masyarakat. Kebijaksanaan itulah yang menyebabkan mereka membenarkan kasino beroperasi di negara ini. Kebijaksanaan itulah yang menghalalkan mereka menggunakan wang magnum, toto, pusat pelacuran untuk membayar gaji kakitangan awam, membantu rumah-rumah kebajikan, dan sebagainya.

Kepura-puraan pemimpin BN, terutamanya UMNO tidak akan berhenti selagi mereka diberi kuasa. Rakyat perlu menghentikannya. Jangan biarkan mana-mana juga parti rasis menguasai pemikiran rakyat. Kini bukanlah masa untuk kita hidup dalam kepompong perkauman yang menyesatkan itu. Kita perlu membina hidup baru dengan berkongsi kemakmuran negara, bukannya merampas hak rakyat untuk kepentingan diri sendiri, lepas satu dasar berpindah ke dasar lain.

Siapa yang berpendapatan tinggi kalau tidak pemimpin UMNO-BN dan kroni mereka? Bolehkah Pak Cik dan Mak Cik yang pulangkan duit RM100.00 di Pulau Pinang itu berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti? Tidak payah mimpilah.

Sunday, October 10, 2010

Ku Li Menggalas Bala di Galas

Ketika Ku Li menerima pelantikan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO-BN untuk DUN Galas, rakyat Malaysia masih memperkatakan tentang amalan double standard mahkamah Malaysia. Kes MB Perak mahkamah kata dia boleh campur tangan. Kes Speaker Pakatan Rakyat DUN Perak mahkamah kata dia tidak boleh campur tangan. Kedua-duanya berada dalam Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan. Ke mana keadilan dicampakkan oleh semua hakim yang terlibat?

Kita tinggalkan ketidakadilan itu hingga bertemu pada PRU Ke-13 nanti. Pada masa itu, rakyatlah yang akan menjadi hakim. Semua hakim yang ada di semua mahkamah tiada daya upaya untuk menghalang hukuman yang akan dijatuhkan oleh pengundi-pengundi.

Berbalik kepada cerita penerimaan Ku Li. Dia menerima tanggungjawab tersebut secara terpaksa. Dia tidak boleh berkata tidak. Kita tengok pula tindakannya terhadap tawaran menjadi calon UMNO-BN di Dun Galas. Walaupun Ku Li boleh menolaknya, adalah lebih baik dia menerimanya. Dengan berbuat demikian, dia boleh sapu keliling. Tidak pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya Malaysia seseorang mendapat sedemikian banyak tawaran.

Itu bukanlah persoalan yang menjadi fokus perbincangan di sini. Hakikatnya Ku Li telah merelakan dirinya menggalas bala di Galas. Dia menyokong PAS dalam isu royalti petroleum. Walaupun isu itu sudah dimahkamahkan, ada lagi isu berkaitan yang tidak dimahkamahkan, iaitu isu wang ehsan yang dirompak daripada Kerajaan Negeri Kelantan. Ku Li akan tetap terperangkap dengan isu ini.

Isu wang ehsan berkait rapat dengan konsep federalisme yang gagal diungkap oleh Fuad Zarkashi hingga dia kena boo di Kelantan. Di sinilah duduknya kezaliman UMNO-BN terhadap Kerajaan Negeri Kelantan ketika ini. Wang itu tidak berhak diagihkan oleh UMNO bukan sahaja kerana kes sudah dibawa ke mahkamah malahan juga gagal diserahkan kepada pemiliknya untuk disalurkan kepada rakyat.

Banyak lagi kezaliman UMNO-BN terhadap PAS Kelantan. Faktor ini berselirat dengan janji kosong di Manek Urai. Kita berkesempatan melihat muka tidak malu UMNO jika mereka terus berjanji di Galas. PAS yang meletakkan diri sebagai underdog dalam PRK ini akan menikmati kelebihan jika meletakkan Orang Asli sebagai calon menentang UMNO. Sokongan solid Orang Asli kepada PAS + 70% sokongan kaum Cina + 50% sokongan kaum Melayu akan menguburkan UMNO di Galas dengan izin Allah Subhanahu wa Ta"ala.

Saturday, October 9, 2010

Wang Ehsan Pulau Pinang = Rasuah Politik?

UMNO masih belum selesai melakonkan pemulangan wang ehsan kepada warga emas di Pulau Pinang. Tugas diambil alih oleh seorang lagi "Sahibul Samahah", iaitu Hilmi Yahya. Kali ini ditambah dengan satu lagi dakwaan.

Dakwaan itu berbunyi, "Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak ikhlas semasa memberi wang ehsan itu. Wang itu hanyalah alat kerajaan negeri untuk merasuah rakyat."

Oleh sebab itu, wang ehsan bukan sahaja duit judi malahan juga rasuah politik. Rakyat yang melihat gelagat bodoh UMNO ini akan ketawa terbahak-bahak. Mereka mengetawakan bapak segala judi tunjuk alim kepada pak cik dan mak cik Pulau Pinang yang buta maklumat dan telah dipesongkan pemikiran mereka. Mereka sekali lagi mentertawakan parti rasuah yang menuduh orang lain sama-sama merasuah macam dia. Mengapa begitu sekali buta perutnya pemimpin UMNO Pulau Pinang?

Semakin jauh mereka memainkan isu ini, akan semakin terserlahlah niat buruk mereka. Apa-apa juga yang mereka dakwa akan berbalik kepada diri mereka. Kita tunggulah dakwaan seterusnya. Pada penghujungnya orang Melayu Pulau Pinang akan sedar juga tentang pengkhianatan UMNO kepada mereka selama memerintah dahulu.

Ketika itu mereka akan melopong dan kemaluan tidak dapat ditutup lagi. Jadilah mereka seperti Pak Kadok yang bertelanjang bulat kerana masih menyangka kemenangan ayam sabung yang telah bertukar tangan masih kepunyaannya. UMNO akan terus dikutuk oleh Melayu-Islam Pulau Pinang.

Friday, October 8, 2010

Kuatkan Perpaduan dalam Pakatan

Selagi UMNO-BN menjadi pemerintah Malaysia, Pakatan Rakyat akan terus diserang, dicerca, dan dinista. Itu sudah menjadi rutin bagi parti-parti sekular yang semestinya tidak mengambil berat tentang hukum-hakam agama, termasuklah halal dan haram.

Judi, rasuah, penyelewengan, dan sebagainya menjadi darah daging mereka. Yang peliknya, perkara-perkara yang mendarah daging itulah yang digunakan untuk memalitkan imej Pakatan Rakyat sehinggakan sanggup meletakkan hukum walaupun tiada tauliah dari jabatan agama. Taraf pemimpin UMNO lebih tinggi daripada kadi dan mufti!!!

UMNO-APCO yang diselubungi Islamopobia akan tetap meneruskan agenda jahat mereka. Mereka akan mengkucar-kacirkan hubungan antara PAS-PKR-DAP. Semua orang menyaksikan kegagalan mereka menyeret rakyat supaya benci kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Tak sampai pun seribu orang warga emas yang memulangkan balik RM100.00 kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Mereka gagal menyeret rakyat supaya benci kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah dalam isu kenaikan tarif air kerana yang terbukti membuat segala macam penyelewengan ialah para pemimpin UMNO dan kerajaan BN terdahulu. Lagi sekali pelik apabila SPRM yang sudah tahu hal itu suruh buat laporan pulak. Buka fail, teruskanlah siasatan!!!

Mereka gagal mengkucar-kacirkan PKR, terutama Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Sebaliknya kerajaan Selangor menambahkan lagi koleksi bantuan kepada rakyat, terutamanya Melayu-Islam. Bantuan ini tidak termasuk projek merakyatkan kekayaan Selangor kepada semua kaum di Selangor.

Mereka terkehel di Kelantan. Buat apa-apa pun serba tak kena. Kes royalti petroleum sudah ke mahkamah. Yang diseret cuma PETRONAS. PRK GALAS akan tiba tidak lama lagi. Janji di Manek Urai ditagih rakyat. Berani lagikah UMNO buat janji baru? Biarkanlah UMNO tertomoih di Galas.

UMNO akan terus gagal mengapa-apakan Pakatan. Isu terbaru yang dibawa oleh Rahimi tidak mampu mencederakan kerana diselaputi banyak tanda tanya dan ketidakmunasabahan. Oleh hal demikian, semua parti dalam Pakatan Rakyat perlu kuatkan perpaduan. Hapuskan musuh dalam selimut. Usah contohi PPP dan Gerakan. Jangan diikut Ketua Menteri yang gila kuasa di Sarawak. Buang jauh-jauh hasrat hendak menjadi Sahibul Samahah seperi Reezal dan Azhar!!! Insya-Allah Pakatan Rakyat akan berjaya ke Putrajaya selepas PRU Ke-13!!!

Thursday, October 7, 2010

UMNO Diselubungi Islamofobia

Pada hakikatnya, UMNO ialah sebuah parti kebangsaan yang sekular. Oleh sebab itu, UMNO tidak menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya. Islam hanya ditempelkan saja pada tubuh UMNO. Sehubungan itu, UMNO tidak pernah berusaha untuk mengajak rakan-rakan bukan Islam mereka dalam BN supaya memahami Islam secara dekat.

Kegagalan itu menyebabkan para pemimpin UMNO mempersendakan hukum Islam seperti hudud. Tidak cukup dengan itu, pemimpin MCA beranggapan bahawa Islam menjadi faktor yang menyekat kemajuan negara ini. Kedua-dua perkara ini telah berada dalam pemikiran orang Islam di Malaysia.

Apabila Najib menyuarakan hasrat untuk menangani Islamofobia pada peringkat antarabangsa, terutama di Amerika Syarikat, timbul kesangsian terhadap cita-cita tersebut. Umat Islam di seluruh dunia sememangnya mahu hasrat itu menjadi realiti. Namun demikian, mereka mempersoalkan kelayakan UMNO untuk menunjanginya.

Bagaimana UMNO mahu melakukannya jika mereka sendiri pun tidak mempraktikkan ajaran murni Islam pada tahap yang meyakinkan? Bagaimana mereka mahu melakukannya jika dalam soal kalimah "Allah" pun mereka kantoi? Mereka juga kantoi dalam isu perarakan Maulidur Rasul, isu Khutbah Jumaat, dan yang terbaru memandai-mandai menjatuhkan hukum haram terhadap wang ehsan RM100.00 Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang kepada golongan miskin Melayu-Islam.

Selagi termampu, UMNO akan bersandiwara untuk menjadi juara dalam ilusi. Realitinya merekalah bapak judi, rasuah, penyelewengan (seperti projek bekalan air di Kedah), penyalahgunaan kuasa, kronisme, dan sebagainya. Tempekan dosa dan noda ini dengan sendirinya menghilangkan kredibiliti UMNO untuk memperjuangkan hal-hal keislaman. Tidak payahlah bermimpi pada siang hari!!!

Wednesday, October 6, 2010

UMNO Kantoi Lagi

UMNO-BN Kedah dijanjikan geran bantuan oleh UMNO-BN Persekutuan dengan syarat ikut semua yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan. MB UMNO-BN Kedah tolak geran itu dan memilih untuk membuat pinjaman. Muslihatnya adalah apabila meminjam tak terikat dengan peraturan Persekutuan.

Maka diberilah kontrak-kontrak kepada kroni untuk projek pembangunan, termasuk menyediakan bekalan air. Seronoklah mereka hentam duit tu. Projek RM1 juta jadi RM4 juta. Hutang tidak pernah dibayar balik. Kini, Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah terpaksa tanggung hutang RM2.7 bilion yang UMNO-BN buat.

Bila tarif air dinaikkan kerana hendak diselaraskan dengan kemahuan Kerajaan Persekutuan, UMNO-BN Kedah melalak tak tentu pasal dan menghentam kerajaan negeri. Lalak yang lalok itu terkantoi juga akhirnya. Nampak gayanya selama ini UMNO-BN Kedah dibeliti dan ditampali dosa rasuah seluruh badan. Itu belum termasuk cubaan merasuah RM5 juta kepada ADUN Kulim dan lain-lain yang belum terdedah.

Anehnya, SPRM yang tahu tentang kehebohan perkara ini buat pekak saja. Tiada satu bunyi pun yang dikeluarkan. Senyap sepi macam tiada apa-apa yang berlaku. Kalau dengar aduan yang ada kaitan dengan pemimpin Pakatan Rakyat, fail segera dibuka, siasatan terus dijalankan. Inilah punca yang menyebabkan rakyat melabelkan SPRM sebagai satu daripada komponen BN.

Sehubungan itu, betullah kenyataan seorang ahli koporat yang mengatakan bahawa pelabur enggan datang ke Malaysia kerana tidak sanggup menghadapi karenah rasuah yang berleluasa di negara ini. Sebelum kenyataan ini dikeluarkan, telah banyak diketengahkan tentang hal tersebut. Kerajaan UMNO-BN bukan sahaja tidak mempedulikannya malahan juga mengeluarkan kenyataan tentang pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 6% akan tetap tercapai semata-mata untuk mengulit rakyat yang tidak boleh lena tidur dek kos sara hidup yang meningkat.

Buktinya rakyat Sabah masih miskin. Rakyat Sarawak juga miskin. Rakyat Terengganu pun miskin. Di Pulau Pinang ada ratusan ribu orang Melayu miskin yang diberi wang ehsan tetapi dibohongi UMNO yang mendakwa wang itu haram. Mereka mentauliahkan diri sendiri untuk membuat fatwa. Semua mufti buat pekak saja.

Demikianlah pemikiran bengap pemimpin UMNO yang takutkan Islam tetapi ada hati nak tolong Amerika Syarikat hapuskan ketakutan terhadap Islam. Ada akaikah mereka ini? Otak diletakkan di lutut, mana boleh pakai (pinjam kata Mat Sabu).

Tuesday, October 5, 2010

Hapuskan Perkauman UMNO

Hakikatnya UMNO ialah sebuah parti kebangsaan yang sekular dan rasis. Oleh sebab itu, darah perkauman mengalir dengan lancar bukan sahaja dalam jiwa ahli-ahlinya malahan juga pegawai-pegawai awam yang setia kepada mereka.

Dari masa ke masa, kita akan mendengar cercaan dihamburkan kepada rakyat bukan Melayu di negara ini. Ketua bahagian UMNO mencela orang Cina sebagai pendatang. Bila dikritik mereka bertindak ganas hingga membakar gambar orang yang dibenci. UMNO akan berpura-pura marah. Gantung keahlian pencetus isu. Lantik orang yang dicemuh jadi senator dan menteri. Tak lama lepas itu, tarik balik penggantungan. Begitu sekali mudahnya.

Pegawai Khas Najib mencerca orang Cina suka jual badan dan orang India suka mengemis. Apabila masyarakat menunjukkan rasa kurang senang, pegawai itu "dipaksa" letak jawatan. Itu sahajalah hukumannya.

Dua orang pengetua sekolah menengah menghina orang Cina dan India. Seluruh negara marahkan dua manusia yang rasis itu. Malangnya, tiada tindakan yang benar-benar setimpal diambil terhadap mereka bagi memuaskan hati rakyat.

Yang terbaru, orang Cina digelar Si Sepet dan orang India digelar Kaki Botol. UMNO terus berdolak-dalik dalam hal ini. Tindakan hendak dibalikkan kepada pihak yang membuat laporan. Aneh sungguh tindakan ini.

Jika demikian keadaannya, tiada sekelumit harapan pun untuk melihat UMNO bercerai dengan perkauman. Ini kerana perkauman sudah mendarah daging dalam parti itu. Perkauman telah menjadi senjata mereka untuk kekal berkuasa dan menjerat sokongan orang Melayu.

Orang Melayu yang menyokong UMNO menjadi lebih pelik kerana bergembira dengan suasana itu tanpa mengambil kira keadaan ekonomi mereka. Mereka sedikit pun tidak ambil kisah dengan kemiskinan orang mereka sehingga 90% daripada penerima wang ehsan Kerajaan Pakatan Rakyat terdiri daripada orang Melayu. Sudalah begitu, dituduh pula wang itu haram!!!

Mahu ke mana orang Melayu dengan UMNO? Melayu tetap ditakok lama. Yang mengaut laba hanyalah pemimpin dan kroni UMNO. Apabila tempat mengumpul laba terlepas ke tangan Pakatan Rakyat, mereka menjadi cacing kepanasan. Ketika itulah mereka menggembirakan hati orang Melayu dengan mencerna bukan Melayu dan menyelitkannya dengan kehilangan kuasa dan suara seolah-olah yang diperlukan Melayu untuk terus hidup hanya suara dan kuasa. Tidak wang pun tak apa.

Jika itulah mentaliti pemimpin UMNO, mereka tidak layak disokong. Oleh itu, mereka perlu ditentang habis-habisan. Dalam negara yang berbilang kaum dan bangsa ini kita tiada pilihan lain selain daripada bersatu padu dan menikmati kekayaannya mengikut apa-apa juga yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia. Hapuskan perkauman UMNO.

Monday, October 4, 2010

Reezal dan Azhar Itu Sahibul Samahahkah?

UMNO ialah sebuah parti kebangsaan yang sekular dan rasis. Parti ini tidak pernah berhasrat untuk menjadikan Islam sebagai asas perjuangan. Namun demikian, tindak-tanduk para pemimpin mereka sejak akhir-akhir ini telah melangkaui bidang kuasa guru agama, kadi, mufti, dan Majlis Agama Islam Negeri.

Dengan gelaran Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pusat, Reezal mengharamkan pemberian wang RM100.00 oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang kepada warga emas. Dengan gelaran Yang Berhormat Penaga, Azhar Ibrahim menyokong pandangan itu dan dengan riang hati mengutip balik wang yang diserahkan kembali oleh sebahagian warga emas yang termakan dengan "fatwa" tersebut.

Kejadian aneh ini dilaporkan secara meluas oleh tv dan akhbar tanpa sedikit pun merujuk golongan yang ahli. Pada masa yang sama, golongan yang ahli ini membiarkan saja kejadian itu berlaku secara berleluasa walaupun mereka tahu kedudukan dan hakikat yang berkaitan dengan pertikaian itu.

Pertama, memang benar Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang diberi wang oleh Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang. Kedua, memang benar duit itu dibelanjakan untuk membantu golongan miskin bukan Islam. Ketiga, tidak benar wang itu digunakan untuk membantu warga emas yang beragama Islam. Keempat, Dr. Asri (Bekas Mufti Perlis) mengatakan bahawa jika sekalipun wang yang diberi kepada warga emas itu hasil judi, tidak haram hukumnya. Kelima, Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang telah mengesahkan bahawa wang yang diberikan kepada warga emas itu diambil daripada wang yang berjaya dijimatkan oleh kerajaan negeri.

Oleh sebab itu, mengapakah pihak berkuasa agama membiarkan Reezal Merican menjadi Sahibul Samahah dalam perkara ini? Mengapakah pihak berkuasa agama membiarkan Azhar Ibrahim turut sama menjadi Sahibul Samahah dalam perkara yang sama? Seluruh rakyat Malaysia mengurut dada melihat kejadian yang aneh dan bebal ini.

Tolonglah kembalikan yang hak ke tempatnya. Tolonglah singkirkan kebatilan daripada menjadi amalan umat Islam. Janganlah biarkan Islam dipergunakan untuk kepentingan politik UMNO. Pihak berkuasa agama perlu menginsafi diri dan keluar dari kepompong ketakutan kepada penguasa!!!

Sunday, October 3, 2010

UMNO dan Melayu Dibengapkan oleh Mufti?

Melayu-UMNO Pulau Pinang terus memperbodohkan warga emas Melayu Pulau Pinang. Oleh sebab itu, semua makcik dan pakcik yang menyerahkan semula wang RM100.00 pemberian Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang menunjukkan wajah sedih mereka kerana kesal termakan "wang judi" yang haram itu di hadapan kamera tv. Mereka berjaya jadi selebriti kerana kebodohan. Mereka berjaya jadi selebriti kerana dibodohkan oleh pemimpin UMNO yang bodoh. TV dan akhbar pun berlumba-lemba menunjukkan orang Melayu yang bodoh kepada seluruh rakyat Malaysia.

Dengan demikian, tahulah orang Cina, orang India, dan lain-lain kaum betapa bodohnya orang UMNO dan orang Melayu Pulau Pinang. Sebab itulah mereka terus miskin walaupun kononnya telah banyak "pertolongan" diberi oleh UMNO-BN. Hendak membezakan wang haram dengan dengan wang halal pun tidak tahu. Sudahlah miskin, hukum-hakam Islam pun tidak tahu. Betulkah mereka Islam atau mereka hanya sedang menyelam?

Kata Dr. Asri duit yang diterima oleh warga emas Pulau Pinang itu halal jika sekalipun asalnya duit judi. Hakikatnya, pemberian itu bukan daripada hasil judi. Hanya pemimpin UMNO yang bengap saja menganggapnya haram kerana mereka mahu orang Melayu marah kepada Kerajaan Pakatan Rakyat yang terlalu banyak memberi bantuan kepada rakyat, terutama orang-orang Melayu. Mereka bukan ahli agama pun. Apabila sikap mereka tidak disanggah oleh sesiapa pun, mereka menjadi semakin mua. Siapa yang bersalah dalam hal ini?

Hal tentang hukum-hakam dalam Islam tentulah berada dalam tangan mufti. Sejauh ini, tiada seorang mufti pun yang membuka mulut. Itu tandanya mereka bersubahat dengan pemimpin UMNO. Mereka mengiyakan tindakan pemimpin UMNO. Mereka kata tindakan UMNO betul. Sebab itu Azhar dan Reezal meneruskan tindakan gila mereka.

Sudahlah begitu, mereka juga tidak sangkal apa-apa yang terkeluar dari mulut Dr. Asri. Maknanya Dr. Asri betul. Kalau Dr. Asri betul, tentulah Azhar dan Reezal salah. Mengapa mereka tidak dihalang? Tahukah mufti-mufti kesan sikap membisu mereka?

Kebisuan mufti dalam hal ini akan menyebabkan orang bukan Islam memandang serong kepada kemurnian agama Islam. Perkara sekecil itu pun tidak dapat diatasi. Mereka akan memperkecilkan Islam. Padahal yang bengong dalam soal ini ialah orang Islam sendiri.

Wahai para mufti, berkata benarlah walaupun pahit. Allah hanya menerima Islam sebagai benar hingga kiamat. Mengapa takut? Adakah pilihan lain bagi umat Islam?
Jawapannya tentulah tiada. Buka mulutlah. Berhentilah jadi bisu.

Saturday, October 2, 2010

Usah Takbur UMNO!

Najib terus mendodoikan rakyat dengan lirik "hanya UMNO-BN yang mampu memerintah Malaysia". Inilah kenyataan paling takbur yang tidak henti-henti keluar dari mulut pemimpin tertinggi parti kebangsaan yang sekular dan rasis itu.

Ketakburan itu telah menyebabkan mereka lupa kewujudan kuasa yang melebihi segala-galanya. Mereka sedar tetapi sengaja buat tak ingat bahawa sesuatu yang bermula pasti berakhir.

Konsep duaan itu pasti dijalani oleh UMNO-BN. Mereka tidak dapat mengelaknya. Akan sampai masanya mereka diganti dengan yang lain. Tiada pilihan selain daripada yang telah ditetapkan itu.

Sekuat mana pun sesebuah kerajaan itu, bila sampai masa menjadi lemah dan lembek. Empayar Melaka tumbuh, berkembang, dan cemerlang, tetapi runtuh juga pada tahun 1511. Empayar Johor tumbuh, berkembang, dan cemerlang, tetapi runtuh juga pada tahun 1824 apabila dibahagi dua oleh Belanda dan British.

Sama-samalah kita lihat keruntuhan UMNO-BN. Masanya pasti sampai. Yakinlah kepada kekuasaan-Nya.

Friday, October 1, 2010

UMNO Parti Pengkhianat

UMNO akan turun bertanding di Galas untuk menentang PAS. Ada pihak dalam PAS yang gentar apabila Tengku Razaleigh menjadi Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN Galas bagi pihak UMNO. Ada pihak yang menaruh kepercayaan penuh PAS akan berjaya mempertahankan kerusi itu.

Hal itu menjadi perkara biasa dalam mana-mana pilihan raya pun. Hakikatnya Galas tidak boleh didakwa sebagai kubu kuat UMNO. Buktinya, bukan sepanjang masa DUN itu dikuasai UMNO. Ada silih bergantinya. Ini bermakna pertarungan itu akan menjadi sengit. Sesiapa pun boleh menang jika strateginya mantap.

Dengan pelbagai isu yang membelenggu UMNO sekarang ini, sokongan pengundi terhadap UMNO akan menurun. Orang Galas tergolong dalam penghuni bandar yang agak terbuka pemikiran mereka. Susah bagi mereka untuk menerima bulat-bulat apa-apa juga yang dikatakan oleh UMNO. Inilah peluang untuk menghantar mesej bagi menyedarkan pengundi tentang taktik UMNO yang tentu sekali akan menggula-gulakan mereka dengan wang dan projek mi segera.

UMNO ialah parti kebangsaan yang sekular dan menolak Islam sebagai asas perjuangannya. Parti itu bukan sahaja pengamal rasuah malahan juga menjuarai perkauman. Mereka mengutarakan konsep 1 Malaysia yang kononnya untuk menyatukan semua kaum di Malaysia atas nama perpaduan, tetapi dari masa ke masa mereka terus menghina kaum Cina dan India melalui institusi seperti BTN dan seminar. Kesemua ini menunjukkan wajah sebenar UMNO.

Biar apa sekalipun yang mereka utarakan, pucuk pangkalnya tetap juga "Hidup Melayu". Rakyat Malaysia tahu bahawa perjuangan itu telah lama berlalu. Slogan itu perlu diterjemahkan sebagai menjadikan orang Melayu hidup ekonominya. Tetapi mereka mengkhianati Melayu melalui Dasar Ekonomi Melayu (DEB). Ekonomi Melayu tidak naik juga dengan Dasar Pembangunan Nasional. Majoriti miskin tegar tetap juga Melayu walaupun Dasar Wawasan Negara akan tamat hujung tahun 2010 ini.

Perkara yang paling menarik perhatian rakyat sekarang ini ialah pengkhianatan FELDA terhadap peneroka yang terbongkar satu persatu dan kemenangan peneroka apabila perkara itu dibicarakan di mahkamah. Hal ini menunjukkan bahawa badan itu tidak bertanggungjawab dan tidak amanah semasa menjalankan tugas. Mereka dengan sengaja menyembunyikan fakta dari pengetahuan peneroka supaya penipuan demi penipuan dapat dibuat. Anehnya, dari masa ke masa, pihak kerajaan tetap membela FELDA dan menafikan kewujudan perkara-perkara tidak senonoh itu.

Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa "bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru". Kebusukan dalam Kerajaan UMNO-BN semakin menyesakkan hidung. Ini bermakna akan ada lagi tindakan menyaman FELDA pada masa-masa akan datang. Sememangnya pengkhianatan tidak boleh dibiarkan bermaharajalela di negara ini, apatah lagi di petempatan-petempatan FELDA yang tujuannya hanyalah untuk menaikkan taraf hidup orang Melayu.

Orang Cina dan India sudah semakin muak dengan sikap perkuman sempit yang menjadi budaya UMNO. Taktik mereka yang kononnya menjauhkan diri daripada PERKASA menjadi sandiwara yang memualkan. Ketika ini, ahli-ahli UMNO dalam PERKASAlah yang menghisteriakan NGO itu dengan Melayu hilang kuasa dan suara jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya. Pada hakikatnya, dua pertiga orang Melayu yang berada dalam Pakatan akan mencemerlangkan lagi kuasa dan suara Melayu kerana mereka ini tidak rasis, memperjuangkan keadilan untuk semua seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia, menentang rasuah, dan cintakan ketelusan.

Orang Melayu perlu berhenti menyokong UMNO. Mereka perlu yakin bahawa sokongan itu akan membawa rebah. Melayu perlu bangun, bukan menjadi alat untuk pemimpin UMNO dan kroni terus mengaut kekayaan negara ini. Hak milik rakyat perlu dipulangkan kepada rakyat. Itulah janji Pakatan Rakyat. Sokonglah Pakatan Rakyat.