Suatu ketika dahulu UMNO menggunakan isu pembangunan dan hak Melayu sebagai modal kempen mereka. Ternyata isu itu mendapat sambutan hebat daripada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, keturunan, agama, dan warna kulit dalam dekad 50-an dan awal 60-an.
Sokongan kepada UMNO yang mengetuai Perikatan merosot dalam PRU 1969 sehingga meletus Peristiwa 13 Mei. Sentimen perkauman yang meluap-luap ditiup oleh parti-parti politik. Bukan Melayu tidak puas hati dengan sikap kerajaan yang didakwa memihak kepada orang Melayu. Orang Melayu juga tidak berpuas hati kerana majoriti golongan mereka berada dalam kemiskinan sedangkan para pemimpin dan kroni mereka hidup dalam kemewahan.
Maka dilancarkanlah Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan ditubuhkanlah Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan politik. Kestabilan ekonomi dan politik berada di puncak semasa pentadbiran Tun Razak. Apabila pemerintahan beralih tangan kepada Tun Hussein Onn, keretakan mula berlaku. PAS ditendang keluar dari Barisan Nasional.
Maka bermulalah satu demi satu episod pembentukan gagasan pembangkang. Pada masa yang sama, percakaran sesama sendiri dan konspirasi menjatuhkan individu berlaku dalam UMNO. PAS kurang berjaya menarik sokongan orang Cina melalui CCC. DAP kehilangan sokongan orang Cina apabila bersahabat dengan PAS lalu memilih haluan sendiri.
Kejayaan gabungan PAS-Semangat 46 di Kelantan menenggelamkan UMNO. Bermulalah episod UMNO mencaci raja. BN di bawah Mahathir di peringkat Persekutuan hampir-hampir saja dikalahkan. Namun, hanya Kelantan dan Sabah dikuasai pembangkang. Lompat parti di Sabah menjatuhkan PBS.
PAS,Keadilan, dan DAP sekali lagi menggugat kedudukan BN dalam PRU. Namun, hanya Kelantan dan Terengganu dimiliki PAS. DAP terus gagal menguasai Pulau Pinang. UMNO yang menjadi paksi BN bercakaran lagi. Pucuk pimpinan berpindah kepada Pak Lah. Imej baik Pak Lah hampir-hampir menenggelamkan pembangkang dalam PRU Ke-11 pada tahun 2004. UMNO-BN bertukar menjadi Merak Kayangan.
Mereka lupa kebajikan rakyat. Mereka asyik mengkayakan diri dan kroni. Mereka abaikan kepentingan semua kaum. Mereka merasuah. Mereka mengkhianati rakyat. Mereka menyalahgunakan kuasa. Mereka lupa kuasa berada dalam tangan rakyat.
Mereka hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Mereka hilang lima Dewan Undangan Negeri. Mereka berjaya rampas sebuah negeri melalui penculikan ADUN Pakatan. Itu realitinya.
UMNO-BN pun bercakap tentang pembaharuan dan perubahan. Yang berubah hanya PM. Sejak awal lagi imej PM yang baru itu tidak bersih. Dari hari ke hari UMNO-BN bergelut dengan wajah suram yang sukar dibersihkan dari daki rasuah, penyelewengan, pengkhianatan, ketirisan, salah guna kuasa, dan sebagainya.
Dalam 13 PRK pasca-PRU Ke-13, mereka hanya menang 5. Kesemuanya di kubu kuat mereka. Kejayaan berganda yang terbaru, melonjakkan semangat mereka kononnya rakyat kembali menyokong mereka. Hakikatnya kemenangan itu dicapai dengan cara yang tidak bermoral melalui tipu muslihat terhadap golongan Bumiputera yang terus dimiskinkan dan tersekat daripada menerima maklumat yang sahih.
Dengan populariti yang tidak stabil, jangkaan kelemahan Pakatan yang tidak kukuh asasnya, dan kedudukan ekonomi yang tidak menggalakkan ada cerita tentang PRU Ke-13 hendak diawalkan. Pancingan ini segera mendapat tindak balas Pakatan. Negeri-negeri Pakatan enggan ikut serta jika PRU itu diawalkan. Mereka tidak rela mengkhianati amanah yang diberikan untuk memberi perkhidmatan selama lima tahun.
Tiada sesiapa yang boleh memaksa dalam hal ini. UMNO-BN nyata terpukul dengan kenyataan itu. Apa helah mereka selepas ini? Adakah hasrat itu benar-benar menjadi kenyataan? Kita hanya perlu melihat keberanian Najib yang kini mempunyai lebih banyak kuasa dalam BN. Parti-parti komponen lain dalam BN tidak lebih sebagai Pak Turut sahaja.