Majoriti rakyat Malaysia cintakan keamanan, keselamatan, keselesaan, dan kemakmuran. Mereka merupakan rakyat yang cintakan perdamaian. Mereka tidak sukakan huru-hara. Mereka sentiasa menggunakan saluran yang disediakan untuk menyatakan rasa kurang senang terhadap sesuatu. Namun, kesabaran mereka tetap ada batasnya. Setelah kesemuanya gagal mencapai matlamat, mereka tidak ada jalan lain selain daripada turun ke jalanan untuk menyatakan semua perasaan yang terpendam.
Isu ketidakpuasan hati terhadap perjalanan demokrasi di Malaysia sudah lama timbul dan menjadi duri dalam daging politik Malaysia. Sehubungan itu, perjuangan untuk mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil menjadi agenda rakyat, bukan parti-parti yang bertanding. Cuma, parti-parti itu memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi terhadap desakan tersebut.
Apabila hal ini berlaku, baharulah pihak berwajib rasa tertekan. Lantaran itu lahirlah pelbagai laporan polis dan proganda untuk menggagalkan hasrat rakyat itu. Sudah terlalu lama gelanggang pertarungan politik di Malaysia tidak sama rata. Gelanggang yang seperti itu hanya menguntungkan satu pihak sahaja, sedangkan pihak yang satu lagi teraniaya. Ini bukan demokrasi namanya.
Timbullah rasa tidak puas terhadap situasi yang tidak menggembirakan itu kerana hal itu tidak sepatutnya berlaku. Anehnya, setiap kali hal ini timbul ada-ada saja hujah basi yang dilontarkan oleh pelbagai pihak yang rasa terancam dengannya. Inilah salah satu ciri politik kuno yang menaungi negara kita. Kita perlu membebaskan diri daripada penguasaannya.
Perlembagaan Malaysia memberi kebenaran kepada rakyatnya untuk berhimpun secara aman. Namun, Akta Polis tidak membenarkannya. Persoalan yang timbul dalam perkara ini adalah sama ada akta itu boleh mengatasi perlembagaan atau tidak? Umum sudah mengetahui bahawa tiada apa-apa pun yang boleh mengatasi perlembagaan. Di sinilah letaknya percanggahan yang akibatnya menimbulkan perdebatan antara rakyat dengan pihak berkuasa.
Ketidakpuasan hati terhadap sesuatu tidak akan berdaya dikekang oleh sesiapa pun selagi manusia bernama manusia. Mereka pasti akan menyuarakannya secara terbuka dan serentak. Hal inilah yang menimbulkan sesuatu perhimpunan diadakan. Idea ini tentunya mencabar kewibawaan pihak yang memegang kuasa. Pihak ini akan cuba sehabis daya untuk menghalang perkara ini menjadi realiti. Tarik-menarik pun berlaku.
Pihak yang memegang kuasa segera menyatakan penolakan terhadap aspek yang boleh mengancam kedudukan mereka itu. Pihak yang pro kepada mereka akan ikut memberi sokongan supaya kepentingan pihak yang disokongnya tidak tergugat. Namun demikian, kecacatan dalam pemerintahan yang semakin terselak gagal ditutup. Inilah yang menyebabkan rasa tidak puas hati itu semakin melebar dari hari ke hari.
Isu itu pada masa ini sudah menjadi barah kepada UMNO/APCO. Gaya dan stail pemerintahan mereka dipersoalkan secara terbuka di mana-mana sahaja. Ironinya penjelasan mereka gagal meyakinkan massa. Oleh sebab itu, isu meruntuhkan UMNO/APCO telah menjadi impian rakyat.
Demokrasi memberi kuasa kepada rakyat. Suara rakyat suara keramat. Kebangkitan rakyat untuk menyatakan kebulatan suara terhadap sesuatu isu secara sedar atau tidak mempunyai dua implikasi, iaitu positif dan negatif. Dalam keadaan sekarang, kesan negatif berpihak kepada UMNO/APCO kerana merekalah yang dilihat oleh massa tidak lagi berkemampuan untuk memikul tanggungjawab yang diserahkan kepada mereka berikutan pelbagai kelemahan yang ternyata benar. Bacalah penjelasan di bawah:
Mengapa Barisan Nasional (BN) takut dengan Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai ini kalau benar dia anak jantan? BN sebenarnya takut kepada bayang-bayang sendiri. BN boleh berdiam diri, tidak perlu menggelabah dengan mengaitkan nama Yang di-Pertuan Agong, mendakwa berlaku huru hara dan menggunakan polis untuk provokasi himpunan tersebut, jika parti itu sendiri anak jantan.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, tidak payah mendakwa pembangkang bukan anak jantan kerana ia bukan anjuran parti pembangkang tetapi anjuran NGO yang ada kaitan dengan rakyat dan tuntutan mereka dari segenap lapisan masyarakat.
BN begitu bacul dengan sikap tak endahnya, apabila bukti terang-terangan adanya pengundi hantu dalam daftar pemilih terbaru yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) 13 Mei lalu yang didedahkan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali di Parlimen baru-baru ini.
Ia diperakui kemudiannya oleh SPRM sendiri. Mengapa BN diam? Mengapa tidak bertindak terhadap bukti tersebut dengan membuat pembersihan semula daftar pemilih itu.
Bersih menuntut 8 perkara, mengapa tidak menerima tuntutan tersebut yang telah dikemukakan sejak tahun 2008 lagi. BNlah bukan anak jantan kerana tidak telus dan terbuka membuat pembetulan. Jika terima tuntutan tersebut, BN percaya dia akan kalah dalam pilihan raya.
Takut apa kalah pilihanraya kalau kita di pihak yang benar. Hari ini orang benci dengan sikap telus dan terbuka kita, esok orang akan suka semula sikap kita tersebut. Itulah sikap anak jantan.
Jadi, jelas BN berkuasa atas penipuan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, diktatorship, tamak haloba, takut kalah dan takut hilang kuasa sebagaimana Najib berkata, susah jadi naib johan sebagaimana ucapannya dalam satu majlis baru-baru ini.
Najib menyindir dan menggambarkan BN berada dalam situasi tertekan dan 'pessimistic' (putus harapan) untuk menarik sokongan rakyat umum yang sudah bosan dengan kerenah pemerintahan parti itu.
Sekaligus BN sudah berada di persimpangan jalan. BN tidak relevan lagi untuk mendokong cita-cita dan harapan rakyat untuk melihat suatu pemerintahan yang adil dan berkebajikan kerana parti itu tidak mendokong cita-cita rakyat.
Parti itu begitu sukar untuk menukar warna kelam dan hodoh terpalit di mukanya selama ini dalam waktu terdekat kerana rakyat sudah kenal siapa BN atau Umno yang juga parti teras Barisan Nasional itu. Jika datang kepada rakyat dalam keadaan, menyembah-nyembah sekalipun ia sukar lagi diterima, melainkan mereka menerima segala tuntutan rakyat terhadap pilihan raya adil dan bersih.
Tetapi bahananya akan menimpa BN kalau ditunaikan tuntutan tersebut, iaitu kalah pilihan raya. BN memang takut kalah kerana kalau kalah pilihan raya, kata orang 'matilah BN'. Parti itu hidup dengan penipuan dan penyelewengan. Tanpanya parti itu mati. jadi kalau parti itu bersih sebagaimana tuntutan Himpunan Bersih 2.0, kekotorannya hilang.
Pemimpinnya memang suka mempertahankan kekotoran itu kerana mereka hidup dengan kekotoran tersebut - Harakah.
Memang matilah UMNO/APCO kali ini.