UMNO sudah tersasar apabila menganggap peristiwa di Bukit Kepong yang berlaku dalam tahun 1950 sebagai perjuangan polis mempertahankan negara kita yang berdaulat. Mereka tidak nampak bahawa Malaya ketika itu masih dijajah British. Oleh sebab itu, semua polis Melayu yang mempertahankan Rumah Pasong itu merupakan polis British yang mempertahankan penjajah British dan Ratu British. Faktanya ialah Mat Indera dan gerombolannya menentang British ketika itu. Jika dia bersama ahli-ahli Parti Komunis Malaya (PKM) pada masa itu, tidak bermakna kita menyokong PKM. Namun, setelah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, PKM masih buat kacau, itulah masanya kita melabelkan PKM sebagai pengganas kerana mereka mengangkat senjata untuk merampas kuasa. Tidak syak lagi bahawa semua rakyat menerima hakikat itu.Tidak perlulah UMNO/APCO mengelirukan rakyat Malaysia atas dua situasi yang amat jauh perbezaannya itu.
Pada era penjajahan kita temui Dol Said, Dato' Maharaja Lela, Tuk Bahaman, Tuk Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Rentap, Mat Salleh, dan lain-lain sebagai nasionalis yang dilabel penderhaka oleh British.
Sejarah juga memberitahu kita bahawa telah wujud Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Melaya (PKMM) yang menentang British sebelum wujudnya UMNO. Melaluinya kita kenali Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin Helmi, dan lain-lain sebagai nasionalis. Fakta ini tidak boleh dilupakan oleh rakyat Malaysia dan perlu dihayati oleh semua pendatang yang telah diberi taraf kerakyatan baru-baru ini.
Apa UMNO buat ? Pemimpin-pemimpin Melayu yang terdiri daripada pegawai-pegawai British di dalamnya telah menggerakkan orang Melayu menentang Malayan Union. Tahniah UMNO kerana gerakan itu telah mengembalikan maruah Melayu. Namun, apa langkah UMNO selepas itu? Mereka menyokong British yang mengadakan Sistem Ahli. Mereka turut serta dalam pilihan raya majlis bandaran George Town dan Kuala Lumpur. Kemudian memenangi Pilihan Raya Persekutuan Tanah Melayu 1955 dengan cemerlang. Maka bermulalah rundingan kemerdekaan yang dibangga-banggakan sebagai tanpa pertumpahan darah itu.
Sebagai anak didik British, UMNO telah diberi kepercayaan oleh orang Melayu untuk mengemudi pemerintahan Malaya dan Malaysia sejak lebih 54 tahun yang lalu. Namun, sama seperti penjajah, mereka pun turut menganiaya Melayu. Melayu menderita di bawah pemerintahan UMNO. Kemiskinan membuatkan orang Melayu tidak puas hati. Berlakulah tragedi berdarah 13 Mei 1969. Dilancarkanlah Dasar Ekonomi Baru. Melayu hanya dapat 18% ekuiti pada tahun 1990. Gagal dapat 30% yang disasarkan kerana penyelewengan, salah guna kuasa, ketirisan, rasuah, dan sebagainya. Dasar Pembangunan Nasional pula diperkenalkan. Sasaran tinggal sasaran. Dasar Wawasan Negara pula diketengahkan. Tidak yakin dengan pencapaian sasaran, Najib tidak menyertakan sasaran lagi melalui Model Ekonomi Baru.
Orang Melayu tidak yakin lagi kepada UMNO yang bobrok. Maka berlakulah peralihan sokongan dalam kalangan mereka. Perpindahan sokongan Melayu dari UMNO ke PAS dan PKR dilabel sebagai perpecahan. Namun, segala-galanya terjawab apabila dikatakan bahawa pentadbiran kerajaan yang lemah, tidak amanah, dan rasuahlah yang menjadi katalis perpecahan Melayu. Kepala UMNO terhentak ke batu maha keras dengan terpaculnya kenyataan itu.
Dalam kekalutan mengatasi kepeningan ciptaan sendiri itu mereka cuba menarik perhatian rakyat dengan cerita-cerita dongeng tentang perjuangan kemerdekaan. Dalam era globalisasi ini, UMNO tidak perlu lagi menggunakan teknik dan taktik lapuk untuk mengabui mata rakyat. Semakin anda menipu, semakin terserlah pekung di dada. Sejarah tidak pernah menipu.