Wednesday, June 13, 2012

KOKOK BERDERAI-DERAI, EKOR BERGELUMANG TAIK

Apabila bercakap tentang penganutan agama Islam, perkara utama yang wajib dipegang ialah iman dan taqwa. Kesemuanya bersandarkan Al-Quran dan Hadis. Sehubungan itu, seseorang yang mengaku dirinya Islam wajib mematuhi perintah dan menjauhi larangan yang disampaikan Allah melalui Rasul-Nya dalam semua laku perbuatan, tidak kiralah dalam bidang sosial, ekonomi, mahupun politik. Politik Islam mengamalkan dasar perjuangan yang berteraskan Al-Quran dan Hadis. Tentulah hal ini tidak sama dengan kebangsaan yang menjurus kepada kepentingan bangsa dan sekularisme, yakni fahaman yang menolak nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan sosial manusia.

UMNO ialah singkatan kepada United Malays National Organization @ Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Sesuai dengan namanya, parti itu memperjuangkan kepentingan orang Melayu dalam era penjajahan British sehingga mencapai kemerdekaan. Era tersebut telah lama berlalu. Serentak dengan itu, isu kebangsaan menjadi tidak relevan lagi dalam era globalisasi sekarang ini. Hanya golongan yang masih bergayut pada konsep assabiyah atau perkauman saja terus diselubungi "kata keramat" itu. Di samping itu, parti ini berpegang kepada sekularisme, iaitu satu idealisme yang sangat cocok dengan prinsip kolonialisme (yang terhasil selepas gerakan Renaissance di Eropah) ketika itu. Maka dipisahkanlah agama dengan politik. Tidak terpakailah Islam sebagai dasar perjuangan UMNO. Situasi sedemikian berlarutan sehingga kini.

Bagi UMNO, Melayu mendahului Islam. Istilahnya ialah Melayu-Islam. Sebab itulah slogan mereka "Hidup Melayu". Selepas itu barulah diikuti dengan takbir dan selawat. Lihatlah hal ini dipraktikkan setiap kali mereka mengadakan perhimpunan agung. Pada hakikatnya, umat Islam wajib mendahulukan Islam, kemudian barulah diikuti dengan bangsa. Istilahnya ialah Islam-Melayu. Bangsa menduduki tempat kedua dalam Islam. Oleh sebab itu, kita sebut Islam untuk semua bangsa. Mustahil semua bangsa itu Islam apabila kita bersepakat menerima kebebasan beragama dalam masyarakat.

Konsep Melayu-Islam yang dipegang oleh UMNO telah dengan sendirinya meletakkan hal-hal keagamaan pada tempat yang kedua. Apabila Islam tidak diutamakan, pemimpin dan ahli UMNO pun tidak terdidik dengan roh keislaman. Oleh sebab itu, mereka menolak Islam. Mereka mengguna pakai bahagian-bahagian tertentu sahaja dalam ajaran Islam. Sebagai pemerintah, mereka mendirikan masjid. Mereka memuliakan hari-hari kebesaran Islam. Mereka mendirikan mahkamah syariah. Mereka mendirikan sekolah agama. Mereka menubuhkan bank Islam. Mereka menubuhkan universiti Islam. Dan macam-macam lagi.

Pada masa yang sama, kes qazaf tidak dibicarakan di mahkamah syariah yang mereka dirikan. Sumpah muhabalah yang sebenarnya membabitkan isu berkaitan akidah seolah-olah mahu divalidkan untuk kes jenayah syariah seperti liwat dan zina. Hukum rejam kepada penzina yang terkandung dalam hudud dicap sebagai primitif. Undang-undang Islam tidak mau dilaksanakan atas alasan negara akan huru-hara. Mereka bertempik ke sana sini menuduh orang mengamalkan seks di luar tabii tanpa mengemukakan empat orang saksi. Melalui NGO yang pro mereka, disuruh pula pihak yang dekat dengan orang yang dituduh tampil membuat penafian terhadap tuduhan yang dikeluarkan oleh orang bukan Islam.

Maka merebaklah fitnah, rasuah, penyelewengan, ketirisan, penyalahgunaan kuasa, dan sebagainya. Kesemuanya merupakan manifestasi kebobrokan yang berlaku akibat ketipisan taqwa dalam diri. Inikah parti yang didakwa memperjuangkan Islam? Tidakkah parti ini mempersendakan Islam apabila tiga bulan yang lalu BERSIH 3.0 difatwakan haram, sekarang dikategorikan sebagai nasihat sahaja? Inikah parti yang berjuang memartabatkan Melayu apabila lebih 90% bangsa itu miskin dan layak menerima BR1M RM500; apabila Melayu hanya memperoleh 18% ekuiti sepanjang berlangsungnya DEB; apabila RM52 bilion saham Bumiputera lenyap entah ke mana? Tidakkah UMNO itu pengkhianat bangsa apabila menyonglap 1.3 juta hektar Tanah Simpanan Melayu (TSM) daripada 3 juta hektar yang diwariskan penjajah; bukan pengkhianatkah jika ketirisan berjumlah RM28 bilion setiap tahun seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara? Masih boleh dimaafkankah kalau mahkamah suruh bayar hutang sebanyak RM598 juta tapi UMNO/BN kata tak payah bayar ?

Mereka ini kokok berderai-derai, ekor bergelumang taik. Mereka memang tidak boleh dipercayai. Orang Islam berpegang kepada prinsip "amar makruf nahi mungkar". Orang Islam dalam UMNO mengamalkan amar makruf amar mungkar. Tidakkah amalan ini bertentangan dengan ajaran Islam ? Bolehkah mereka menafikannya ?

No comments:

Post a Comment