Monday, July 23, 2012

DONGENG KETUANAN MELAYU

Untuk kesekian kalinya Zahid Hamidi mengeluarkan pernyataan klise, iaitu ketuanan Melayu. Dia mengatakan bahawa ketuanan Melayu dipolitikkan untuk menghapus hak Melayu dengan harapan tidak ada satu bangsa yang mempunyai kelebihan atau keutamaan. Orang Melayu dan Bumiputera masih belum mencapai tahap yang disasarkan. Sehubungan itu, ketuanan Melayu masih lagi relevan jika bermatlamatkan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu secara keseluruhannya dan bukannya menguntung segelintir sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati orang lain. Jika tidak, ketuanan Melayu tidak hanya ditolak oleh orang bukan Melayu, malah orang Melayu sendiri.

Hakikatnya, rakyat bukan Melayu tidak menghina orang Melayu dan Bumiputera tetapi sebaliknya marah dan kecewa dengan UMNO yang kononnya menjaga ketua...nan Melayu, namun membiarkan mereka terus-terusan dihimpit kesusahan. Mereka meluat melihat pemimpin Melayu dan kroni mereka berlumba-lumba mengumpul kekayaan. Mengapakah susah sangat pemimpin UMNO hendak memahaminya sehingga retorik basi itu terus didendangkan ?

Orang bukan Melayu tidak menyokong UMNO/BN kerana keadilan sejagat telah diabaikan. Liberalisme ekonomi yang diumumkan Najib sedikit masa dahulu diharap mampu membuka sedikit ruang kepada bukan Melayu untuk menyokong UMNO/BN. Namun, rasuah, sogokan, politik wang, dan salah guna kuasa sejak lebih 50 tahun mentadbir negara tidak dapat disembunyikan melalui retorik murahan itu. Apatah lagi terdapat kesangsian tentang pelaksanaan konsep itu yang ditakuti menggadai negara kepada kapitalis dunia. Sekali lagi kita bertanya, "Mengapa susah sangat pemimpin UMNO hendak memahaminya?"

Bilakah ketuanan Melayu menjadi tidak relevan lagi? Dapatkah pemimpin UMNO menetapkannya supaya isu memualkan ini tidak terus diulang tayang setiap kali pilihan raya umum sudah hampir? Bilakah orang Melayu akan mencapai tahap yang disasarkan itu sekiranya BR1M RM500 dianggap oleh UMNO sebagai lampu ajaib yang kononnya boleh mengubah segala-galanya seperti yang mereka riuhkan melalui iklan dalam pelbagai media dan pelbagai bahasa?

Hanya itu yang mampu dibebelkan oleh pemimpin UMNO ketika majoriti rakyat sudah meninggalkan mereka untuk mencari alternatif bagi mewujudkan sebuah Malaysia Baru yang adil, makmur, dan berkebajikan. UMNO sememangnya mencari nahas. Dengan sekian banyak kemudaratan yang telah mereka lakukan, sukar untuk rakyat kembali berpaling kepada mereka.

No comments:

Post a Comment