Friday, August 10, 2012

HARAM MENGUNDI UMNO BARU/BN

UMNO Baru/BN sudah menerima hakikat bahawa mereka gagal mendapat sokongan orang Cina dan India. Satu-satunya harapan mereka ialah orang Melayu. Sehubungan itu, sokongan kaum tersebut menjadi fokus utama UMNO Baru/BN pada masa ini untuk meneruskan kuasa yang mereka miliki. Maka, dalam keterdesakan itu, mereka mengambil pendekatan yang salah, iaitu menakut-nakutkan orang Melayu.

Tindakan terbaru UMNO Baru/BN ialah menggunakan guru pondok untuk menarik sokongan Melayu. Guru pondok itu pun mengeluarkan fatwa bahawa haram mengundi DAP. Langkah tidak bijak ini dengan sendirinya memperlihatkan kedunguan UMNO Baru/BN sehingga mereka sanggup meremehkan kerja Majlis Fatwa Kebangsaan. Anehnya, majlis itu tidak bersuara pun apabila terang-terangan diperkotak-katikkan oleh UMNO Baru/BN itu dan seolah-olah menerima fatwa yang dikeluarkan oleh guru pondok itu. Malang sungguh nasib Malaysia ketika ini.

Akan berjayakah tindakan UMNO Baru/BN itu? Jika kita melihat kemerosotan edaran akhbar Utusan Malaysia, komponen parti itu hanya syok sendiri. Orang UMNO yang dikatakan berjumlah 3 juta orang pun tidak membeli akhbar itu. Senang cerita, mereka sedang melakukan kerja yang sia-sia. Jika kita melihat kembali kenyataan Najib, dia kata media alternatif amat berperanan menarik sokongan pengundi pada masa ini. Kenyataannya blog proUMNO tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Mereka ketinggalan dalam bidang ini. Jika kita mengambil kenyataan Khairy sebagai  penanda aras, kedudukan UMNO Baru/BN semakin parah. Dia menuduh media alternatif membuang komen pengunjung yang proBN bagi menggambarkan media itu mendapat sokongan padu Pakatan Rakyat. Sour grape tidak memberi erti apa-apa kepada UMNO Baru/BN.

Para penyelidik turut menyenakperutkan UMNO Baru/BN. Pengundi muda yang berusia 40 tahun ke bawah akan menjadi penentu pihak yang memenangi PRU Ke-13 nanti. Golongan ini dilihat mengarahkan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat. Lihat sahaja sokongan mereka kepada BERSIH 3.0, Himpunan Oren, Himpunan Hijau ke Putrajaya, gerakan antiLynas, dan lain-lain. Semuanya dipenuhi anak-anak muda. UMNO Baru terpaksa berbelanja besar untuk menarik sokongan palsu terhadap Ulangtahun Ke-60? UMNO, Himpunan Sejuta Belia, dan 1M4U. Budak-budak sekolah yang tak boleh mengundi pun turut diseret untuk memenuhi ruang, namun tetap juga kosong.

Kini UMNO Baru/BN berada dalam keadaan kritikal. Jajaan mereka tentang DAP menentang hudud yang dibawa PAS ternyata kecundang. Ini kerana pendirian Pakatan ialah tidak melaksanakan huduh kerana bertentangan dengan perlembagaan. Isu Karpal menentang hudud dan negara Islam sudah terbatal apabila komponen Pakatan mengambil pendirian tidak menyokong tetapi menghormati pendirian masing-masing. Dengan itu, dasar Islam dalam Perlembagaan PAS tidak terusik. Demi kepentingan semua umat, Pakatan menerima prinsip Negara Berkebajikan. Rakyat dapat melihat pelaksanaan prinsip ini di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, dan Selangor. Cubaan berkali-kali UMNO Baru/BN untuk menconteng arang ke muka Pakatan atas isu ini semuanya kecundang.

Tiada apa-apa yang tinggal lagi untuk UMNO Baru/BN. Rakyat Malaysia berada dalam keadaan yang selesa untuk menukar kerajaan. Mereka bersedia untuk membentuk Malaysia Baru yang memperjuangkan keadilan untuk semua. Mereka tahu bahawa Utusan sebenarnya menuding jari kepada UMNO Baru/BN dalam isu haram memberi sokongan ini. Najib (termasuk di dalamnya semua ahli UMNO Lama dan Baru) tidak sokong hudud. Oleh sebab itu, haram mengundi UMNO Baru. MCA ialah parti antihudud nombor wahid. Oleh sebab itu, haram undi MCA. Parti-parti komponen BN yang lain tidak sokong hudud. Maka secara menyeluruh, mengundi BN itu haram hukumnya!!! 






No comments:

Post a Comment