Thursday, August 9, 2012

MELAYU GAGAL DITAKUTKAN OLEH UMNO BARU

Fakta yang mendahului isu ini diketengahkan oleh Mantan Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik. Dia meramalkan BN tidak dapat menawan semula Selangor kerana imej bersih pemimpin Pakatan Rakyat. Semalam kita didedahkan dengan fakta prestasi Najib dalam kalangan orang Cina naik sebanyak 5% menjadi 42%.  Sehubungan itu, ada pihak yang menjangkakan BN mampu menawan semula Selangor dan Kedah.

Namun, hari ini kita dikejutkan dengan fakta yang menyanggahinya pula. Persidangan Meja Bulat Pusingan Ketiga anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) beranggapan bahawa kelantangan pemimpin UMNO Baru yang menyatakan mereka mampu mendapat majoriti dua pertiga selepas PRU Ke-13 hanya berbekalkan undi Melayu telah menyinggung perasaan kaum lain, terutamanya kaum Cina. Hal ini akan menyebabkan kaum Cina tidak memilih BN.

Prof. Dr. Teo Kok Seong menegaskan bahawa sistem pendidikan bahasa Cina menjadi perkara pertama yang dipentingkan oleh kaum Cina. Selepas itu baharulah ekonomi. Kaum Cina juga amat sensitif terhadap isu perkauman. Walaupun pelbagai sistem diperkenalkan oleh kerajaan yang memperuntukkan pembahagian kepada semua kaum, tetapi kaum Cina masih menganggapnya tidak adil kerana menjurus kepada UMNO.

Sehubungan itu, saya ingin membawa anda melihat kembali pernyataan yang telah dikeluarkan sebelum ini. Orang bukan Melayu tidak menyokong UMNO/BN kerana keadilan sejagat telah diabaikan. Liberalisme ekonomi yang diumumkan Najib sedikit masa dahulu diharap mampu membuka sedikit ruang kepada bukan Melayu untuk menyokong UMNO/BN. Namun, rasuah, sogokan, politik wang, dan salah guna kuasa sejak lebih 50 tahun mentadbir negara tidak dapat disembunyikan melalui retorik murahan itu. Apatah lagi terdapat kesangsian tentang pelaksanaan konsep itu yang ditakuti menggadai negara kepada kapitalis dunia. Sekali lagi kita bertanya, "Mengapa susah sangat pemimpin UMNO hendak memahaminya?"

Harus diingat bahawa rakyat bukan Melayu tidak menghina orang Melayu dan Bumiputera tetapi sebaliknya marah dan kecewa dengan UMNO yang kononnya menjaga Ketuanan Melayu namun membiarkan mereka terus-terusan dihimpit kesusahan. Buktinya ada di hadapan mata kita. Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak mencapai matlamat untuk mengubah nasib kaum Melayu secara menyeluruh. Yang mewah hanya pemimpin UMNO dan kroni mereka. Selepas itu mereka lancarkan pula Dasar Pembangunan Nasional (DPN). Gagal juga. Buat pula Dasar Wawasan Negara (DWN). Belum pun cukup tempoh, Najib lancar pula Model Baru Ekonomi (MBE). Melayu. Melayu. Melayu. Meluatlah kaum Cina. Tup tup unit saham Bumiputera berjumlah RM54 bilion hangus, berbaki RM2 bilion sahaja. Kaum mana pun seantero dunia ini yang tahu hal sebenar tentang perkara tersebut akan menyifatkannya sebagai tidak adil.

Jika demikian keadaannya,  mengapa Dr. M terus-terusan mengherdik kaum bukan Melayu yang kurang senang apabila isu Melayu dibangkitkan oleh UMNO Baru? Mengapa UMNO Baru,Pak Hasan Aqidah, dan PERKASA terus menakut-nakutkan Melayu kononnya DAP yang akan perintah negara ini sekiranya Pakatan Rakyat memenangi PRU Ke-13 nanti?  Mengapa Melayu yang tak berhati perut bukan sahaja terus menghina Ambiga malahan juga sanggup mencadangkan supaya dia dihukum gantung?  Mengapa UMNO Baru mengharamkan BERSIH 2.0 yang halal dan Majlis Fatwa Kebangsaan turut sama mengharamkan perhimpunan BERSIH 3.0?

Semua kepincangan ini tidak mampu ditebus oleh UMNO Baru. Mereka sudah terlalu jauh tersasar. Dengan sokongan 75% kaum Melayu, 69% kaum India, dan mungkin 42% kaum Cina, bolehkah UMNO Baru/BN survive?  Dengan hanya 42% rakyat yang gembira dengan kerajaan sekarang setelah KR1M, BR1M, TR1MA, dan sebagainya dihamburkan, mampukah UMNO Baru/BN bertahan? Kita lihatlah nanti.

No comments:

Post a Comment