Saturday, September 15, 2012

AUTA TERBARU SPR

Bagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mendakwa sudah sedia mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13, sedangkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat masalah pendatang asing di Sabah pun belum memulakan tugasnya.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, suruhanjaya diraja itu ditubuhkan berikutan apa yang disebut sebagai Projek IC Mahathir atau ‘Projek-M’ yang dilaporkan telah menambah secara drastik jumlah penduduk Sabah dan membenarkan pendatang asing menjadi pengundi yang sah.

"Ia dengan sendirinya bermakna daftar pemilih masih tidak bersih dan itulah antara sebab utama rakyat Sabah menuntut suruhanjaya itu ditubuhkan," kata beliau.

Bukan itu sahaja, kata Mohamad, malah banyak lagi perkara yang dilihat sebagai terang-terang merupakan satu penyelewengan dan penipuan berlaku dalam daftar pemilih.

"Ada pendaftaran bertindih di mana seorang pengundi dengan nama dan nombor kad pengenalan yang sama menjadi pemilih di dua tempat yang berlainan," katanya.

Lebih teruk lagi, seorang wanita berbangsa India tidak dapat mendaftar sebagai pengundi kerana nombor kad pengenalannya digunakan oleh seorang lelaki berbangsa Melayu dalam daftar pemilih.

Malah, katanya lagi, orang yang telah mati pun masih ada lagi nama mereka dalam daftar pemilih.

"Bukan sedikit, tapi banyak dan timbul keraguan ada pihak lain yang mengundi bagi pihak mereka," katanya.

SPR juga, kata Mohamad, tidak memberi penjelasan yang boleh dipercayai mengenai pemindahan pengundi yang jauh lebih banyak dari yang dinyatakannya.

"Contohnya, SPR kata dia pindahkan 19,000 pengundi, sedangkan bila PKR siasat terdapat 31,294 pengundi yang dipindahkan," katanya.

Malah, ada laporan-laporan polis yang dibuat oleh pemilik-pemilik rumah yang mengadu rumah mereka dijadikan alamat oleh pengundi-pengundi yang tidak meraka kenali dalam daftar pemilih.

"SPR perlu menjelaskan semua itu dan banyak lagi perkara yang dilihat sebagai penyelewengan yang terang-terang berlaku dalam daftar pemilih.

"Pengerusi SPR jangan dengan mudah mendakwa pihaknya sudah sedia untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 sedangkan daftar pemilih masih lagi tidak bersih," katanya.

Mohamad menegaskan, kesemua penjelasan dan dakwaaan SPR sebelum ini kononnya daftar pemilih yang ada kini sudah bersih dan masalah pada daftar itu terlalu minima ternyata menimbulkan lebih banyak lagi keraguan.

Daftar pemilih yang bersih adalah antara tuntutan utama Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini mendakwa pihaknya sudah sedia sepenuhnya untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 dan kini hanya menanti tarikh pembubaran Parlimen.

No comments:

Post a Comment