Tuesday, October 30, 2012

APA HAL PULAK NI ?


Jambatan Sultan Yahya lambat siap dibisukan




Umpama bertukar antara orang gemuk dan sembab. Itulah yang berlaku kepada Umno apabila projek kerajaan pusat gagal siap mengikut jadual dibisukan, sebaliknya bising terhadap projek kerajaan negeri.

Sedangkan projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya kedua lebih tiga tahun tersasar daripada jadual asal. Lebih parah lagi apabila terpaksa ditambah lagi peruntukan lebih RM34 juta.

Projek berkenaan dipecah tanah oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 18 Jun 2007 sepatutnya siap pada 31 Disember 2009.

Projek berkenaan melibatkan kos awal sebanyak RM143 juta, sekarang mengikut Laporan Ketua Audit Negara bertambah kepada RM177.76 juta.

Sedangkan projek pembangunan Lembah Sireh tidak melibatkan sebarang kos kerajaan negeri, sebaliknya pembangunan berkenaan ditanggung sepenuhnya syarikat swasta.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tindakan Umno yang berselindungi di sebalik nama NGO membuat laporan SPRM berhubung kelewatan projek pembangunan Lembah Sireh seperti “bertukar orang”.

“Kenapa projek Lembah Sireh yang perlu dibuat laporan SPRM, tidak pula projek Jambatan Sultan Yahya Petra atau kes yang melibatkan penurunan saham Felda Global Venture Holdings (FGVH),” katanya selepas merasmikan Hari Inovasi Peringkat Negeri, di Dewan Teratai hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, pembinaan jambatan Sultan Yahya Petra semasa kerajaan PAS di bawah Datuk Asri Muda berjalan lancar tak ada masalah walau pun tak ada wang ketika itu.

“Tetapi zaman kerajaan kaya ni lewat hampir empat tahun Jambatan Sultan Yahya Petra kedua kenapa tak buat laporan SPRM,” katanya.

Pemuda Umno Kelantan dan NGO, Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak) baru-baru ini mahu SPRM menyiasat projek Lembah Sireh yang didakwa kononnya berlaku penyelewengan.

Ketuanya Anuar Safian dilapor berkata, pihaknya menyifatkan isu Lembah Sireh sebagai skandal terbesar melibatkan kerajaan PAS Kelantan.

Pada persidangan Dun baru-baru ini Timbalan Menteri Besar menjelaskan kelewatan projek pembangunan Lembah Sireh disebabkan masalah teknikal memandangkan kawasan lembah terpaksa ditimbus semula.

Bagaimanapun Menteri Besar bersedia menerima cadangan pihak tertentu untuk mewujudkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kelewatan projek pembangunan berkenaan.

Katanya juga beliau cukup terharu wat-wat Siam di Kelantan bergabung menghulurkan sumbangan dana wakaf Lebuh Raya Rakyat Kuala Krai-Kota Bharu berjumlah hampir RM70,000.

“Sedangkan pada masa yang sama ada orang Melayu bawa peralatan pembinaan yang sudah buruk bagi mempersendakan projek lebuh raya. Tak apalah biarkanlah mereka nak buat apa pun.

“Malah mereka juga yang sering membangkitkan isu bekalan air bersih,” ujarnya. - HD

No comments:

Post a Comment