Monday, October 8, 2012

MEMANG DESPERADO !!!

Bajet Desperado 2013

Dr. Rosli Yaakop

Bajet desperado! Bajet desperado! Itulah impresi pertama penganalis setelah mendengar ucapan bajet 2 jam lebih di corong radio pada petang Jumaat, 28 September 2012. 

Di dalam artikel prabajet bertajuk ”Bajet 2013 Pastinya Bajet Pilihan Raya” yang disiarkan di dalam Harakahdaily, 25 September 2012, penganalis menyebut:

Perancangan awal  kerajaaan UMNO-BN ialah untuk mengadakan PRU13 sebaik-baik sahaja bajet 2012 dibentangkan pada 7 Oktober 2011 yang lalu. Ianya ditunda kerana kerajaan tidak yakin ia boleh mancapai sasaran yang ditentukan, iaitu, menang besar (mengembalikan majoriti dua pertiga di dalam parlimen) sekiranya PRU13 diadakan se awal bulan November atau Disember 2011. Selepas itu, laporan perisikan (dari Cawangan Khas Polis, Perisikan Tentera dan Laporan KEMAS) yang diterima oleh Perdana Menteri secara berkala terus menerus menunjuk ke arah UNMO-BN akan hilang kuasa “jika PRU13 diadakan sekarang” menyebabkan Perdana Menteri merasa gentar untuk menetapkan tarikh piliharaya. Laporan perisikan yang menunjukkan bahawa UNMO-BN bakal menempuh laluan yang semakin sukar untuk mempertahankan kuasa apatah lagi untuk mencapai sasaran mengembalikan majoriti dua pertiga menyebabkan PRU13 sudah tertangguh hampir setahun. Berdepan dengan suasana yang genting ini, kerajaan UMNO-BN tiada jalan lain kecuali menggunakan sepenuhnya bajet 2013 sebagai alat untuk membeli undi. Oleh itu, bajet 2013 adalah adik kembar kepada bajet 2012. Wajah mereka serupa, iaitu, wajah bajet pilihan raya. Tawaran-tawaran yang terkandung dalam bajet 2012 bakal diulang dalam bajet 2013, malah, dimaniskan lagi merangkumi kesemua segmen pengundi.  Fokusnya ialah untuk membeli undi, bukan menjana pertumbuhan ekonomi yang lestari.”.

Sahih, Bajet 2013 memang adik kembar Bajet 2012, sekadar lebih gemuk. Juga, sahih PRU13 tidak akan diadakan dalam tahun ini tetapi tahun hadapan (2013) selepas one-off payment (OOP) selesai dibayar. Sahih, psikologi “UMNO-BN akan kalah” dalam PRU13 sudah membusung di dalam otak Perdana Menteri Malaysia. Lantaran, beliau pun menaburkan berbilion-bilion ringgit dalam bentuk “bayaran tunai sekali sahaja” kepada pelbagai segmen pengundi dalam satu “desparate move” melawan arus kebangkitan rakyat.

Wang RM100-RM500 ini boleh sahaja dibelanja semuanya dalam satu hari. Besoknya, penerima OPP kembali ke takuk lama. OOP tidak menangani isu bagaimana pendapatan dan kuasa beli rakyat berpendapatan rendah dan sederhana khususnya dapat ditingkatkan secara istiqamah dan lestari.

Disenaraikan di sini OOP yang terkandung dalam Bajet 2013 kerana ini perkara yang teraula kepada Perdana Menteri.  OOP pun amat besar, kesemuanya melibatkan perbelanjaan RM3.889 bilion.

Pertama, anak muda berumur 21 tahun hingga 30 tahun yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan yang membeli smartphone diberi rebat sebanyak RM200 seorang. Umpan ini akan menmanfaatkan sejumlah 1.5 juta orang anak muda melibatkan jumlah belanja RM300 juta. Inilah golongan pengundi generasi media baru yang anti-establishment yang perlu dipujuk untuk mengundi UMNO-BN. Syabas kepada PM kerana percubaan membeli undi golongan ini. Natijahnya, anak muda anti-establishment ini sudah pun membuat keputusan mengundi PR dalam PRU13 ini. Diberi RM200, penganalisis yakin, mereka akan ambil tetapi mereka tidak akan mengundi UMNO-BN.

Kedua, BR1M diulang dengan tajuk baru “BR1M2.0” (macam “Bersih” pula nampaknya) dengan penampilan yang lebih gemuk, lebih berisi.  Dalam Bajet 2012, setiap ketua isi rumah yang berpendaptan RM3,000 sebulan dan ke bawah diberi RM500 tunai. Dalam BR1M 2.0  pemberian yang sama diulang (RM500) dan ditambah pula dengan pemberian tunai RM250 kepada warga bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan RM2,000 sebulan dan ke bawah. Jumlah wang yang ditabur untuk membeli undi golongan ini berjumlah RM2.5 bilion. BR1M2.0 membawa manfaat kepada kira-kira 6 juta orang.

Ketiga, Bajet 2013 mesra-tentera. Ini amat difahami kerana inilah segmen undi pos yang masih kekal menjadi simpanan tetap UMNO-BN. Antara manfaat yang ditawarkan ialah anggota tentera dalam kumpulan servicemen berpeluang (jika memenuhi syarat) naik pangkat dari prebet ke lans korporal dan lans korporal ke korporal dalam masa 8 tahun. Dalam sistem sekarang, seseorang anggota berkemungkinan kekal prebet sampai pencen. Pembaikan ini melibatkan belanja RM107 juta untuk 78,123 anggota tentera. Selain dari itu, semua anggota tentera – 125,708 orang – akan diberi elaun insentif khas RM200 sebulan melibatkan perbelanjaan RM301 juta. Elaun perkhidmatan anggota tentera rizab – Wataniah, rizab tentera laut dan rizab tentera udara  - pula dinaikkan daripada RM4.00 sejam ke RM6.00 sejam (anggota biasa) dan daripada RM5.80 sejam kepada RM7.80 sejam (pegawai) memberi manfaat kepada 65,000 anggota.  Ini ditambah lagi dengan one-off payment kepada 224,000 anggota tentera yang berhenti awal dan tidak berpencen (servis tidak cukup 25 tahun) melibatkan perbelanjaan RM224 juta. Juga, kesemua anggota angkatan tentera dan polis yang masih berkhidmat (242,000 orang) diberikan perlindungan insurans berkelompok dengan manfaat maksimum RM 15,000, melibatkan perbelanjaan (bayaran premium) RM12 juta. 
Keempat, dalam bajet 2012, pelajar sekolah rendah dan menengah diberi elaun persekolahan RM100. Bayaran one-off ini diteruskan dalam Bajet 2013. Seramai 5.4 juta orang pelajar akan menikamati bayaran ini melibatkan jumlah perbelanjaan RM540 juta. Ini pemberian yang membazir dan langsung “tak kena pada tempatnya” kerana cucu Lim Goh Tong, taukeh judi terkaya di Malaysia dapat dan cucu tukang sapu jalan, pekerja termiskin di Malaysia pun dapat. Agihan akan ekuitabel jika diasaskan kepada need-base, misalnya diagihkan hanya kepada pelajar-pelajar dari isi rumah yang ketua isi rumahnya berpendapatan RM3,000 ke bawah. Barulah pelajar-pelajar yang betul-betul memerlukan mendapat jumlah yang bermakna. Ini bukan hendak mensejahterakan rakyat, ini mahu membankrapkan negara.

Kelima, Bayaran one-off Voucher buku 1Malaysia diteruskan dalam tahun 2013 dengan jumlahnya dinaikkan daripada RM200 ke RM250 untuk setiap pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk pelajar pra-universiti. Serami 1.3 juta pelajar akan menikmati kemudahan ini melibatkan perbelanjaan RM325 juta.   Ini juga tidak ekuitabel kerana tidak berasaskan  need-base. Sepatutnya peruntukan RM325 juta itu diagihkan kepada pelajar-pelajar yang benar-benar memerlukan.

Selain anggota tentera dan polis, lain-lain segmen pengundi yang diberi perlindungan insurans berkelompok ialah:
  • 1.5 penjaja dan peniaga kecil. Setiap orang mendapat manfaat perlindungan sebanyak RM5,000 dan premium dibayar oleh kerajaan melibatkan belanja RM16 juta.
  • Skim Insurans Nelayan. Selain dibayar elaun sara hidup RM200 sebulan seorang dan insentif tangkapan ikan sebanyak antara RM0.10  ke RM0.20 sekilogram (tangkapan yang dibawa naik dijeti-jeti berlesen di seluruh negara), 55,000 nelayan berdaftar akan diberi perlindugan insurans berkelompok dengan manfaat perlindungan sebanyak RM100,000. Kesemua ini melibatkan peruntukan RM230 juta.
  • 172,000 penanam padi akan diberi perlindungan insurans takaful dengan manfaat sebanyak RM13,000 se orang. Kerajaan menanggung pembayaran premium sebanyak RM50 juta.
Isunya ialah: Kenapakah skim perlindungan insurans berkelompok tidak diperluaskan kepada lain-lain golongan petani yang nasib dan profil risiko mereka tidak jauh berbeza dengan nelayan dan penanam padi? Apakah Perdana Menteri terlepas pandang?

Sumber perangkaan menunjukkan bahawa terdapat 43,310 penternak lembu, 3,925 peternak kerbau, 25,509 penternak kambing (dan bebiri), 76,925 penternak ayam,  8,779 penternak itik dan 887 penternak babi di negara ini. Untuk menentukan golongan penternak tidak merasa didiskriminasi dan tersisih, maka adalah wajar skim insurans berkelompok diperluaskan supaya meliputi  golongan penternak. Juga, kerajaan seharusnya memikirkan untuk memberi perlindungan insurans berkelompok kepada pekebun kecil getah dan sawit yang bilangan mereka di Semenajung Malaysia berjumlah 425,739 orang dan berpuluh ribu lagi di Sabah dan Sarawak.

Satu lagi segmen penting pengundi yang Perdana Menteri terlepas pandang agaknya ialah pemilik-pemilik kenderaan. Perangkaan terkini menunjukkan bahawa terdapat 11.8 juta pemegang lesen kenderaan di Malaysia. Ini merupakan 44% dari jumlah penduduk (27 juta). Bilangan kenderaan berdaftar pula berjumlah 21.25 juta (tahun 2010). Harga kenderaan di Malaysia puratanya mahal sebab cukai ke atas kenderaan khasnya yang diimport cukup tinggi sehingga mencecah 145% (cukai jualan 10%, cukai eksais 105% dan duti import 30%). Bajet 2013 terus tidak menghiraukan berbelasan juta pemilik kenderaan yang terpaksa membelanjakan bahagian yang besar dari pendaptan bulanan mereka membayar ansuran bulanan kereta, belanja operasi dan penyelenggaraan. Seorang pegawai kerajaan yang baru bekerja yang meminjam RM75,000 (pinjaman kerajaan) untuk membeli sebuah kenderaan yang sederhana sekarang ini membayar RM1,060 sebulan selama 7 tahun. Ini merupakan tidak kurang dari 25% dari gali bulanan pegawai ini. Sekiranya cukai dikurangkan sebanyak 20% maka harga kenderaan yang sama menjadi RM50,000 dan bayaran ansuran bulanan akan  turun sebanyak RM212 sebulan yang samalah ertinya dengan kenaikan gaji sebanyak RM212 sebulan, satu jumlah bermakna bagi seorang pegawai yang baru bekerja.

Sementara Bajet 2013 ada menyebut untuk memperbaiki skim perkhidmatan bagi pegawai PDRM, tidak ada langsung disebut tentang apa telah terjadi kepada skim saraan baru bagi 1.4 juta orang kakitangan awam. Dalam bajet 2012, kerajaan berjanji melaksanakan skim saraan baru perkhidmatan awam tetapi apabila dibantah, cadangan itu telah dipetisejukkan kerana skim itu dipenuhi  unsur-unsur ketidakadilan kepada kakitangan pelbagai kategori. Skim tersebut adalah satu skim untuk memewahkan sekelompok kecil  kakitangan atasan bukan untuk kebaikan golongan majoriti. Ini menygecewakan majoriti kakitangan awam. Mereka, buat sementara ini, terpaksa berpuasa hati dengan bayaran satu setengah bulan bonus yang mana setengah bulan telah dibayar di musim perayaan yang lalu, setengah bulan lagi akan dibayar pada bulan Disember ini sementara setengah bulan yang akhir dibayar pada bulan Januari 2013. Kecuali satu skim saraan yang komprehesif dan adil diwujudkan untuk perkhidmatan awam, adalah dikhuatiri bilamana negara mencapai pendapatan per kapita USD15,000 (RM48,000 atau RM4,000 sebulan bagi setiap rakyat Malaysia) dalam tahun 2020 nanti, ramai kakitangan kerajaan akan tergolong dalam kategori rakyat miskin.

Nampaknya, Perdana Menteri dapat membaca tentangan rakyat yang begitu kuat terhadap pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (goods and  services tax – GST) lalu (walaupun infrastruktur pelaksaana sudah tersedia dan lengkap) beliau menunda pelaksanaan GST ke suatu masa yang belum ditetapkan tetapi pastinya, jika UMNO-BN kembali berkuasa selepas PRU13 ini, dengan segera. IMF sudah mendesak supaya Malaysia melaksanakan GST dengan segera. Selain daripada keperluan untuk mencari sumber hasil alternatif (kerana Malaysia terlalu bergantung kepada cukai petroleum dan cukai langsung), pelaksanaan GST dapat menambahkan bilangan pembayar cukai kerana bilangan pembayar cukai di Malaysia masih kecil – hanya 1.7 juta berbanding bilangan tenaga kerja 12 juta, iaitu, hanya 14%.  Bila pembayar cukai lebih ramai, maka kutipan cukai akan lebih tinggi.

Suasana sosio-ekonomi Malaysia – amalan rasuah yang berleluasa, pembaziran dan ketirisan besar dalam perbelanjaan awam,  kerajaan yang tidak berdisiplin dalam membelanjakan wang rakyat, defisit belanjawan yang gagal dibendung tahun demi tahun, hutang negara yang sentiasa meningkat sehingga ke paras yang membimbangkan dan majoriti rakyat masih berpendapatan rendah (dibawah RM3,000 sebulan) – tidak memungkinkan pelaksanaan GST dalam masa yang terdekat. Rakyat Malaysia tidak rela dan tidak reda wang mereka digunakan untuk membina istana kayangan dan istana perdana menteri yang super-mewah dan membina bangunan pencakar langit yang tidak berpenghuni dan  projek-projek gajah putih. Kecuali kemungkaran-kemungkaran ini dibanteras, pelaksanaan GST hanya akan menambahkan beban cukai ke atas lebih ramai rakyat. Singapura hanya melaksanakan GST secara berfasa di mana kadar cukai GST dinaikkan secara berdikit-dikit dituruti dengan penurunan cukai pendapatan korporat dan individu secara berperingkat-peringkat dan perluasan program kebajikan untuk golongan rakyat berpendapatan rendah. Juga, Singapura melaksanakan GST setelah mencapai pendapatan per kapita melebihi USD15,000. Perdana Menteri sedar pelaksanaan GST sebelum PRU13 adalah malapetaka (disaster) buat UMNO-BN.

Jelas, bajet 2013 mensahihkan bahawa Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan sudah diserang psikologi kalah dan dalam keadaan desperado. Lalu, beliau pun melontarkan banyak umpan OOP dalam  Bajet 2013.  Umpan yang dilontarkan pasti dimakan tetapi UMNO-BN menang belum tahu. Lagipun, segmen pengundi yang disisihkan dalam bajet in masih besar. Itulah impresi pertama dan itulah impresi terakhir penganalisis mengenai bajet 2013.

Rembau, NS

No comments:

Post a Comment