Thursday, October 4, 2012

SPAN KATA AIR KELANTAN BAGUS

SPAN puji pengurusan air di Kelantan

Mohd Nor Yahya

(Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Teo Yen Hua memeriksa kualiti air AKSB)

JELI: Di sebalik kecaman Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), usaha Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) meningkatkan pengeluaran bekalan air bersih mendapat pujian Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Teo Yen Hua berkata, usaha AKSB meningkatkan bekalan air bersih kepada penduduk setempat menggunakan kaedah telaga jejari terbukti berjaya.

“Saya menghargai usaha yang dilaksanakan AKSB, di samping dapat meningkatkan pengeluaran air, ia juga menjimatkan kos penyelenggaraan loji memandangkan air yang disalurkan ke loji sudah jernih,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat telaga jejari AKSB di Jeli semalam. Turut hadir Pengarah SPAN Wilayah Timur, Mohd Nasir Mahmood dan Pengarah Bahagian Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi SPAN Pusat Chow Kin Liung.

(Datuk Teo melawat loji AKSB dan berpuashati)


Hadir sama Pengurus Besar AKSB, Ir Mohamad Hanapi Mahmood, Ketua Bahagian Teknikal AKSB Ir Wan Zamri Wan Ismail dan Pengurus Teknikal, Iskandar Abdul Rahman.

Yen Hua berkata, usaha dilaksanakan AKSB memperkenalkan sistem telaga jejari amat wajar sekali kerana berjaya meningkatkan pengeluaran air bersih dan dapat menambahkan bilangan pengguna.

Selain itu kaedah yang menggunakan teknologi Jerman itu dapat mengatasi masalah kekeruhan, penggunaan elektrik yang rendah dan menjimatan kos operasi.

Beliau berkata, peranan SPAN memastikan bekalan air dapat dinikmati rakyat sebaik mungkin dan langkah diambil AKSB dapat menyelesaikan masalah tekanan rendah sebelum ini.

“Saya berharap operator pengeluaran air di negeri lain dapat menimba ilmu dalam usaha membina telaga jejari di tempat mereka,” katanya.

Telaga Jejari di Jeli dibina pada 2010 dan sehingga kini berjaya menyelesaikan masalah gangguan bekalan air kepada penduduk di jajahan terbabit.

Projek perintis tersebut sekarang  sering menjadi tumpuan operator pengurusan air dari negeri-negeri lain bagi melihat sendiri kejayaan telaga jejari di Kelantan.
Iklan Teks

No comments:

Post a Comment