Monday, November 19, 2012

NAK TIPU RAKYAT LAGI ?

BN ingat rakyat senang ditipu kes RM40 juta?

“Adakah SPRM telah membuat siasatan penuh termasuk mengambil kenyataan Datuk Seri Musa?” tanya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.


Semalam, katanya kerajaan BN bangga mengumumkan pembebasan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman daripada skandal wang tunai S$16 juta (RM40 juta) ekoran tindakan SPRM untuk menggugurkannya daripada dakwaan rasuah dan
pengubahan wang haram.

Menurutnya, mengikut jawapan bertulis Parlimen Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, Pejabat Ketua Peguam Negara tidak menjumpai apa-apa elemen rasuah dalam kes seorang ahli peniagaan Sabah yang ditahan di Hong Kong kerana menyeludup wang berjumlah RM40 juta dalam mata wang Singapura.


Katanya, Nazri berkata bahawa siasatan menunjukkan duit itu sebenarnya merupakan sumbangan politik kepada Umno Sabah dan bukan kepada Musa.


“Adakah BN ingat bahawa rakyat Malaysia senang tertipu dengan cerita sebegini dan menerima bahawa tidak ada masalah kerana duit yang diseludup itu adalah untuk Umno Sabah dan bukan untuk Musa?” soalnya dalam satu kenyataan.


Tanya beliau lagi, apakah syarat-syarat di sebalik sumbangan RM40 juta itu dan kenapakah ia dilakukan dengan mata wang Singapura.


Bagi Ahli Parlimen Bagan itu, sekali lagi SPRM cuba untuk menutup skandal politik wang oleh BN.


“Skandal penyeludupan RM40 juta wang tunai ini menyusul selepas dua lagi skandal yang melibatkan dua orang lagi ketua menteri BN,” katanya.


Baru-baru ini, ujarnya sebuah NGO Switzerland telah mendakwa bahawa kekayaan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud dianggarkan mencecah RM46 bilion, lantas menobatkannya sebagai orang terkaya di Malaysia.


“Lepas itu, kita berhadapan dengan majlis kenduri kahwin anak Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam, di mana 130,000 orang tetamu telah dijamu dalam sambutan yang memecah rekod.


Sehingga hari ini, ujarnya Ali Rustam masih lagi gagal menjelaskan bagaimana beliau mampu menanggung kenduri yang begitu mewah yang mendakwa kosnya hanya RM600,000 dan mendapat tajaan.


Justeru, kata Lim, rakyat Malaysia sudah tidak boleh tahan dengan keangkuhan pemimpin-pemimpin BN yang bukan sahaja mengaut kekayaan yang luar biasa tetapi juga menonjolkannya di khalayak umum. - HD

No comments:

Post a Comment