APABILA UMNO TERSEPIT
UMNO Selangor mengaku rakyat sudah pun menghukum mereka
Penyelaras BN Selangor Mohamad
Zain Mohamad telah meminta supaya DAP tidak mengungkit isu-isu lama terhadap BN
Selangor kerana BN telah pun dihukum oleh rakyat SELANGOR pada pilihan raya
2008 yang lalu. Zain berkata “rakyat telah pun menghukum kami dan tidak usahlah
mengungkit-ngungkit perkara lama”
UMNO begitu ‘defensive’ dalam
banyak isu. Malahan isu-isu yang diwujudkan oleh UMNOlah yang menjadi
penyebab keadaan negara jadi begini. UMNO yang memerintah sejak merdeka maka
segala isu terhadap kerajaan adalah isu terhadap UMNO dan komponennya. Bukan
begitu?
DAP tidak mengungkit cerita lama.
Cerita UMNO ini tidak pernah menjadi tua kerana isunya sama sahaja dari dulu.
Isunya ialah isu kegagalan parti itu menjadi parti yang memerintah secara adil
dan saksama, parti yang telah menggunakan kuasa yang keterlaluan dan parti yang
menjadi penyebab rasuah berlarutan sehingga tidak dapat di kawal lagi. UMNO
yang menyebut berulang kali yang DAP itu parti rasis dan UMNO tidak rasis.
Tetapi hakikatnya UMNOlah yang memainkan isu rasis yang tidak ada batasannya
sehinggakan menuduh bangsa lain sebagai pendatang dan bermacam-macam lagi.
UMNO jugalah yang menjadi parti
yang sentiasa menanamkan perasaan takut terhadap bangsa lain dan telah
menjadikan orang Melayu itu lesu dan sentiasa mengharap kepada UMNO khususnya
kepada kepimpinan mereka. UMNOlah yang tidak mahu Melayu itu bebas berfikir dan
membangunkan kejatian pemikiran mereka kerana UMNO mengharapkan ahli-ahlinya
menjadi bangsa yang sentiasa mengharap kepada kerajaan dan tidak dari yang
lain.
Apa yang lebih menyedihkan lagi
UMNOlah yang membantutkan matlamat penyatuan dan hidup bersama secara aman
dengan bangsa-bangsa lain. Sebab UMNO berbuat demikian adalah kerana UMNO
mempunyai kepimpinan yang lemah. Seorang pemimpin yang lemah selalunya akan
melakukan perpecahan sesama rakyat yang berbilang kaum agar kaumnya, iaitu
Melayu akan sentiasa mengharapkan perlindungan dari partinya, sedangkan mereka
tidak ada sebab kenapa mereka mesti takutkan. Akhirnya UMNO menjadi parti
yang menyebabkan Melayu itu menjadi bangsa yang penakut dan tidak berani
bersaing dalam kehidupan.
Apa yang diperkatakan oleh
Mohamad Zain itu adalah perkara yang sudah lama kerana itulah dia isunya dari
dulu sehingga sekarang. Isu yang disebutkan tadi adalah isu yang tidak akan
menjadi isu lama kerana semuanya itu masih berlaku sekarang ini. Jika isu 24
bidang tanah yang dibeli oleh pimpinan UMNO Selangor dan menjualnya kepada
agensi kerajaan Selangor sendiri dengan harga yang tinggi itu tidak dikeluarkan
oleh DAP, siapa pula yang akan menjadikannya isu lagi.
Kita tidak boleh mengharapkan
sesiapa di dalam UMNO untuk memberitahu rakyat. Sebagai parti yang
bertanggungjawab maka tentulah DAP akan memberitahu rakyat supaya perkara itu tidak
berulang lagi dilakukan oleh BN. Bukan sahaja DAP, sesiapa juga mesti keluar
dan memberi tahu rakyat tentang apa yang dilakukan oleh pimpinan UMNO dahulu
kerana mereka (UMNO) tidak boleh lagi kembali berkuasa di Selangor. Jika mereka
kembali berkuasa maka budaya itu pasti akan wujud kembali.
Jika UMNO kembali diberikan
mandat UMNO akan tetap diketuai oleh pemimpin-pemimpin yang dahulu juga, iaitu yang melakukan kerja-kerja
tidak baik itu. UMNO Selangor bukan ada pun pimpinan gantian kerana yang pandai
sudah tidak ada lagi dalam UMNO kerana mereka telah disisihkan dari dulu lagi.
Mereka kini berada dalam PAS, DAP dan PKR. UMNO Selangor hanya mempunyai pemimpin
seperti Noh Omar sahaja. Noh sendiri sedang menghadapi berbagai-bagai isu
termasuk isu pembekalan benih padi yang berkaitan dengan salah guna kuasa
melibatkan puluhan juta ringgit.
Dalam keadaan UMNO menghadapi
isu-isu berat pemimpin seperti Noh ini masih menggunakan kuasa di kementeriannya untuk melakukan perkara yang menipu rakyat tani ini. Itu sebabnya
saya selalu berkata yang UMNO dan pimpinan mereka sedang menghadapi krisis
ketagihan rasuah yang merupakan ketagihan yang lebih berbahaya dari ketagihan
dadah. Ketagihan ini menghinggapi keseluruhan kepimpinan UMNO di setiap
peringkat.
Siapa lagi yang ada dalam kalangan
UMNO yang menjadi pimpinan gantian bagi menerajui kerajaan Selangor itu? Kalau
ada pun tentulah nama yang baru yang belum tentu baiknya. Ramai juga mereka
yang baik-baik dalam UMNO yang pernah diberikan tempat oleh parti duduk
di dalam kerajaan.
Tetapi yang baik ini pun akan
menjadi tidak baik kerana jika mereka mengekalkan sikap baik mereka, pemimpin
seperti ini tidak akan kekal dalam kedudukan mereka. Itu sebabnya ramai yang
bersetuju jika kita bersedia untuk bersekongkol dengan mereka yang berbudayakan
rasuah itu mereka akan kekal dalam jawatan mereka. Bukankah ini sudah menjadi
‘attribute’ UMNO yang tegar?
Oleh itu Dato’ Seri Mohamad Zain
mesti faham DAP atau parti-parti lain dalam PR, mereka bukannya mengungkit
perkara lama tetapi perkara itu masih manjadi isu yang sentiasa baru. Dato Seri
Zain mesti terima kenyataan yang UMNO begitu susah untuk kembali berkuasa di
Selangor sekarang ini.
Jika Zain sendiri mengaku yang
UMNO pernah buat salah dan telah menerima hukumannya kenapa pula
bersungut-sungut. Jika mengikut etika dan moral demokrasi sebenarnya UMNO
tidak sepatutnya menyertai pilihan raya kali ini. - sakmongkol

0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home