Wednesday, December 12, 2012

BERSATU MENGHAPUSKAN KEBEJATAN UMNO/BN

BERSATU MENGHAPUSKAN KEBEJATAN UMNO/BN

Banyak propaganda murahan sedang disebarkan oleh pencacai UMNO di alam maya sekarang ini. Laku perbuatan mereka ini samalah seperti yang digambarkan dalam sirah Rasulullah dan Para Sahabat Baginda, iaitu menabur fitnah, menyebarkan berita palsu, melakukan pembohongan, dan sebagainya. Jika golongan seperti ini dikenal pasti, dinyatakan nama batang tubuhnya, dan disebut munafik oleh pengkisahan tersebut, samalah juga dengan taraf pencacai-pencacai UMNO ini. Saya ingin mengetengahkan dua berita bohong/palsu yang disebarkan golongan munafik itu. Jika diizinkan Allah, tuduhan-tuduhan palsu yang lain akan turut diketengahkan dalam ruang yang lain.

Mereka mengaitkan DAP dengan PAP di Singapura. Sehubungan itu, ada yang sengaja menggambarkan parti ini akan bergabung dengan Singapura bagi membentuk sebuah republik dan dengan sengaja menghilangkan konsep Malaysia sebagai sebuah Negara Persekutuan yang di dalamnya ada negeri, ketua negeri, dan dewan undangan negeri untuk bukan sahaja menipu rakyat malahan juga menakut-nakutkan orang Melayu tentang penguasaan kaum Cina ke atas negara ini. Hal itu tidak akan terjadi berasaskan dua sebab. Tunku Abdul Rahman menolak penyatuan Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura ketika diminta oleh bukan seorang malah tiga orang Ketua Menteri Singapura. Alasan yang diberikan Tunku adalah akan wujud kaum Cina melebihi kaum Melayu. Maka Malaysia yang ditubuhkan terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, dan Sabah. Kaum Melayu/Bumiputera melebihi kaum Cina, India, dan lain-lain bangsa. Situasi ini berkekalan sehingga kini.

Dengan demikian, tiada kemungkinan langsung untuk kaum Cina menguasai Malaysia, kecuali Malaysia dikalahkan oleh Singapura dalam satu peperangan. Dalam erti kata lain, Malaysia menjadi tanah jajahan Singapura. Hal ini pun sukar diterima akal jika kita berpandukan hubungan erat antara negara-negara ASEAN. Oleh sebab itu, kita boleh menganggap bahawa golongan jahat ini sedang menyebarkan ilusi dan fantasi mereka yang tidak bertepi dengan satu tujuan sahaja, iaitu menakut-nakutkan orang Melayu. Pencetusan isu rasis sebegini amat tidak diperlukan dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia. Pernyataan-pernyataan berbau rasis perlu dibuang jauh-jauh dari lubuk hati setiap rakyat di negara ini. Perjuangan mewujudkan perpaduan tulen dalam kalangan semua rakyat perlu dibajai agar sentiasa subur.

Rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan perdamaian tidak akan menghiraukan niat jahat itu. Semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, bangsa, agama, dan warna kulit perlu bersatu demi memacu pembangunan untuk semua melalui keazaman untuk menghapuskan rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, pengkhianatan, ketirisan, kronisme, pemborosan, dan sebagainya. Kerajaan yang mengamalkan kesemua perlakuan negatif ini perlu ditukar dengan segera. Sebuah Malaysia Baru yang adil dan berkebajikan mengikut acuan Perlembagaan Malaysia perlu diwujudkan sebelum keadaan menjadi lebih parah di bawah UMNO/BN. Itulah yang menjadi matlamat dan cita-cita Pakatan Rakyat.  

UMNO menuduh DAP anti-Islam dan anti-Melayu.  Tuduhan ini tidak berasas. Tujuannya semata-mata untuk mencegah orang Melayu menyokong parti itu. Taktik menakut-nakutkan ini sudah tidak relevan pada masa ini. Pemikiran orang Melayu sudah jauh berubah. Mereka lebih cenderung ke  arah pembentukan perpaduan kaum yang tulen, dan benci kepada rasisme. Oleh sebab itu, kita dapat menyaksikan pelbagai kaum yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur menyertai BERSIH 3.0, Himpunan Hijau, Himpunan Oren, dan Himpunan Kebangkitan Rakyat.

Harus diingat bahawa tuduhan tersebut disebarkan oleh akhbar Utusan milik UMNO. Akhbar ini telah disaman. Dalam keputusan perbicaraan, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengenakan denda kepada Utusan kerana memfitnah. Bagaimanakah pencacai-pencacai UMNO masih menggunakan modal ini dalam komen-komen mereka? Ternyata mereka telah ketandusan idea untuk menyerang parti itu. Hanya kedunguan yang menggerakkan pemikiran songsang mereka untuk melakukan tindakan tidak cerdik itu.

DAP juga dituduh anti-Islam. Kesungguhan UMNO untuk memusnahkan reputasi parti ini dapat dilihat pada kenyataan seorang guru pondok yang mengatakan haram mengundi DAP kerana mereka menentang Islam. Pernyataan itu bukan sahaja mengelirukan malahan juga menampakkan ampu bodek penuturnya yang nyata apabila dia diberi bantuan sebanyak RM2 juta selepas mengeluarkan pernyataan tersebut. Inilah tindakan kurang waras UMNO yang dapat dilihat dengan jelas oleh rakyat.
Rakyat bertambah meluat kepada UMNO apabila menyedari pemimpin-pemimpin Melayu parti itulah yang sebenarnya menghina Islam. Dr. M pernah mengeluarkan pernyataan yang menganggap hukuman rejam kepada penzina adalah primitif. Najib pula mengatakan bahawa Negara akan huru-hara jika Undang-Undang Islam dilaksanakan.  Sudahlah begitu, dibiarnya pula Chua Soi Lek mempersenda-sendakan Hukum Hudud.

Tidak cukup dengan itu, dipermainkan pula pernyataan Karpal Singh yang menyuruh PAS melangkah mayatnya dulu kalau nak laksanakan Hukum Hudud. UMNO terkantoi dalam isu ini. Pernyataan langkah mayat itu datangnya terkemudian daripada kelulusan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu. Kekantoian berlipat ganda terhantuk ke kepala UMNO apabila Karpal mengatakan pernyataannya dipetik di luar konteks, DAP mengumumkan bahawa mereka menerima Islam sebagai agama rasmi Malaysia, dan tidak bersetuju dengan pelaksanaan Hukum Hudud kerana bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia. Walaupun kes ini selesai secara baik dalam kalangan Pakatan Rakyat, MCA terus menghina Islam tanpa disekat oleh UMNO yang dasar partinya ialah nasionalisme sekular, dan UMNO menuduh PAS menjadi kuda tunggangan kerana tunduk kepada desakan DAP.  Adakah mereka ingat dengan penggemblengan isu tersebut akan menjauhkan orang Melayu dan orang Cina dari DAP khasnya dan Pakatan Rakyat umumnya? Jawapannya tidak sama sekali.

Tanpa rasa segan, UMNO terus memomokkan orang Melayu dengan ungkapan ahli DAP itu kafir harbi supaya mereka tidak menyokong parti tersebut. Rakyat Malaysia yang rasional mentertawakan mereka. Ketika mengeluarkan kenyataan itu, mereka sengaja buat-buat lupa bahawa Jamil Khir Baharom memberitahu parlimen bahawa tiada mana-mana pihak yang dikategorikan sebagai kafir harbi di Malaysia. Hal ini ditegaskan lagi dalam Khutbah Jumaat yang diterbitkan oleh JAKIM.  Maka terkangkang dan meranalah UMNO.

Kantoi demi kantoi dialami oleh UMNO. Tiba-tiba Gerakan pula mempamerkan bukan sahaja kedunguan mereka malahan juga menikam UMNO dari belakang. Parti ini mengkritik DAP yang memberikan peruntukan yang banyak kepada aspek keislaman di Pulau Pinang seolah-olah pulau itu sedang mengalami proses Islamisasi. Perbuatan Gerakan ini dengan sendirinya menempelak UMNO yang sering menuduh DAP anti-Islam. Jelaslah di sini bahawa ketidakcerdikan pemimpin dalam BN telah menyebabkan mereka saling merugikan antara satu sama lain. Kita biarkanlah mereka bertelagah. Teruskan dan gandakan usaha untuk menguasai Putrajaya. Insya-Allah!!!
   




No comments:

Post a Comment