Sunday, December 2, 2012

UMNO DAH TAK BERAPA SIUMANKAH ?

ACUAN UMNO TIDAK BOLEH DIPAKAI LAGI, KITA TERPAKSA MENUKAR ACUAN BARU

UMNO bercanggah-canggah pemikirannya dan bercelaru arahnya. Perhimpunan Agungnya yang tamat semalam akhirnya benar-benar menunjukkan parti itu sudah tidak boleh diterima kata-kata mereka yang bersalah-salahan maksudnya dalam satu ucapan. Pangkal ayatnya lain hujung ayatnya lain.

Pada keseluruhannya UMNO tidak mempunyai perkara baru dalam Perhimpunan Agungnya selain daripada mengugut dan menakut-nakutkan sesama sendiri sambil berucap bergegar-gegar sehingga hampir pecah Dewan PWTC itu. Perhimpunan itu sahajalah tempat UMNO mengumpulkan ahli-ahlinya kerana ahli-ahli UMNO di peringkat bawahan tidak akan mampu mengumpulkan orang walaupun dalam mesyuarat agung cawangan-cawangan masing-masing.

Dalam mesyuarat agung cawangan-cawangan parti itu hampir 60% dari mesyuarat itu tidak cukup korum dan minit-minit mesyuaratnya tidak melambangkan keadaan sebenar dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut. Seperti biasa perhimpunan itu merupakan medan memaki hamun Pakatan Rakyat dan yang paling hebat dikutuk ialah parti DAP dan PAS. UMNO tidak dapat menerima kerjasama DAP dan PAS serta kehadiran Anwar Ibrahim di dalam politik tanahair yang mengamalkan sistem demokrasi, acuan Dr Mahathir itu.

Perhimpunan itu penuh dan sarat dengan ucapan menakut-nakutkan orang Melayu kononnya jika Pakatan Rakyat mentadbir negara, orang Melayu akan hilang politiknya, akan hilang Raja-Raja Melayu, akan hilang agamanya dan akan hilang segala-galanya. Dalam beretorik mengakui UMNO sebagai parti untuk perpaduan nasional, tidak pula mereka (UMNO) dapat mengenepikan sikap suka memecah-belahkan perpaduan yang sedang giat diusahakan oleh PAS dan DAP serta peranan PKR dalam mencapai cita-cita murni itu.

UMNO masih memainkan lagu lama seperti menyanyikan lagu Momok Latif dari hari pertama sehinggalah hari terakhir perhimpunan itu semalam. Di Perhimpunan ini sahajalah Najib dapat bercakap besar tetapi Najib sendiri tidak berani bercakap dan berbahas dengan pihak pembangkang di ‘common platform’ untuk penyelesaian isu-isu yang berbangkit. Najib hanya bercakap di atas pentas yang PR tidak dapat menjawab isu-isu yang dibangkitkan serta merta. Najib hanyalah sebagai burung yang terbang dan hinggap di dahan kayu buat sementara meninggalkan tahinya di dahan-dahan tempat ia hinggap.

Isu Melayu akan hilang di dunia ini merupakan isu biasa yang disebut-sebut, kononnya Melayu akan hilang di dunia ini jika PR memerintah. Tetapi Najib tidak sedar yang Melayu telah hampir hilang dunianya, dan jika BN terus mendapat mandat, keadaan bangsa Melayu yang sepatutnya menjadi perjuangan UMNO akan hilang segala ‘competitiveness’ sedangkan bangsa lain telah jauh maju tanpa apa-apa masalah besar dengan parti atau badan siasah yang memperjuangkan hak mereka. Melayu akan terus terkongkong dengan penjara UMNO yang tidak mungkin membenarkan Melayu berfikir dan bertindak mengikut kemampuan mereka yang ada.

UMNO telah membunuh Melayu terus-terusan dengan tidak membenarkan Melayu menjadi ‘competitive’ dan hanya diminta mendagu kepada UMNO semata-mata. Najib tidak sedar yang UMNO mempunyai 3.2 juta ahli sedangkan orang Melayu mempunyai jumlah penduduk melebihi 19 juta orang. 15 juta orang Melayu dan Bumiputra tidak menjadi ahli UMNO tetapi mereka hidup juga di dalam dunia ini.
Laungan orang Melayu akan hilang segala-galanya tidak relevan lagi kerana UMNO itu sendiri sudah tidak relevan lagi. Laungan yang Melayu akan hilang tanpa UMNO itu merupakan isu meleset kerana di Kelantan UMNO boleh disifatkan parti yang sudah mati, tetapi orang melayu masih hidup segar bugar dan tidak pula kita mendengar di Kelantan orang Melayu mati bergelimpangan di Kota Bharu, Pasir |Mas dan di daerah-daerah lain di negeri itu.

Sekarang di Kedah UMNO boleh dikatakan sebagai mati yang hampir pupus tetapi sejak PAS memerintah negeri itu adalah salah satu negeri yang mendapat pujian dari Ketua Audit Negara sebagai negeri yang ditadbir dengan baik dan orang Melayu masih bernafas malahan lebih lega dari masa UMNO memerintah negeri itu. Tidak payah kita sebut Selangor dan Pulau Pinang kerana semua orang sudah tahu yang kedua-dua negeri itu menjadi negari yang paling maju dan kedua-dua negeri ini menyumbang 40% dari pendapatan Persekutuan kita ini.

Sebenarnya UMNO sudah kehabisan modal. Justeru yang hanya tinggal yang boleh dijadikan isu hanyalah dengan menakut-nakutkan orang Melayu sahaja.

Saya teringat bagaimana orang tua-tua dahulu menakut-nakutkan anak-anak dan cucu-cucu mereka, kononnya jika bersiar-siar di waktu petang yang menghamprti maghrib, kita akan berdepan dengan syaitan-syaitan dan hantu jembalang. Anak-anak muda semasa itu semuanya percaya. Tetapi hakikatnya orang-orang tua dahulu hanya mahu anak-anak mereka duduk di rumah waktu itu kerana tidak mahu anak-anak mereka meninggalkan solat maghrib. Begitulah UMNO yang menakut-nakutkan orang Melayu dalam perhimpunan agung itu.

Sebenarnya mereka mahukan Melayu tetap mengundi dan menyokong mereka kerana takutkan kuasa yang ada di tangan mereka hilang dan terus merompak dan melanun khazanah negara kita ini. Itu sahaja. Itulah sebabnya dalam posting saya yang sebelum ini saya menyebut yang memisahkan kuasa dari UMNO itu ibarat memisahkan kulit dengan daging kita. UMNO amat perit untuk menerima hakikat yang parti itu akan tumbang dalam pilihanraya kali ini. Mereka tidak dapat menerima semua pihak berhak untuk mendtadbir negara ini dengan dasar-dasarnya sendiri.

Maka itu sebabnya di dalam demokrasi rakyat berhak untuk menggilir-gilirkan pentadbiran negara mereka. UMNO tidak mahu rakyat tahu yang jika PR diberikan mandat kali ini, mereka boleh kembalikan kuasa kepada UMNO dalam pilihanraya yang berikutnya. Sebab apa UMNO takut? Jawapannya ialah kerana mereka takut tidak akan mampu untuk bangun kembali jika PR memerintah kerana UMNO merupakan parti pemalas dan tidak mahu berusaha untuk memperbaiki diri mereka walaupun jika parti itu sudah terdampar di hadapan mata rakyat.

UMNO tidak seperti PAS yang mana ahli-ahlinya mampu berdiri di atas kaki sendiri. Itu sebabnya saya menganggap PAS seperti ayam kampung yang boleh mencari makan sendirian. Tetapi sebaliknya UMNO itu ibarat ayam daging yang sentiasa mematukkan makanan siang dan malam dengan senang. Itu sebabnya jika ayam daging dikeluarkan dari reban mereka ia akan mati dalam tempoh dua hari sahaja kerana tidak mampu mencari makanan sendiri.

Tindakan menakut-nakutkan orang Melayu oleh UMNO itu adalah taktik yang sudah tidak laku lagi walaupun di kalangan ahli-ahli UMNO itu sendiri. Saya mendapat puluhan sms dari perwakilan UMNO itu sendiri sambil mengejek-ngejek ucapan pimpinan besar mereka dalam perhimpunan agung itu sendiri. Bagaimana orang di luar UMNO hendak meyakini parti itu lagi?

UMNO mesti bersedia untuk menjadi pembangkang yang baik. Tetapi nampaknya UMNO sudah belajar menjadi pembangkang sekarang ini jika kita ikuti perhimpunan itu. Mereka mengata PR seperti pihak yang membangkang. Kalau sudah berlatih untuk menjadi pembangkang itu, insyaallah merka akan menjadi pembangkang yang baik. Ciri-ciri sabagai pembangkang itu amat jelas terpapar di dalam perhimpunan agung parti itu dan kita akui yang UMNO akan menjadi pembangkang yang berguna di Dewan Legislatif Persekutuan dan DUN-DUN selepas pilihanraya ini.

Masalahnya UMNO kini dipimpin oleh mereka yang tidak tahu apa-apa tentang UMNO itu. Mereka berfikir inilah cara UMNO yang sebenarnya tetapi itu semuanya salah belaka. UMNO telah mengubah paksi perjuangannya sejak Dr M mengambil alih pimpinan dan acuan itu sudah menjadi acuan yang diguna pakai pada masa ini.

Itulah sebabnya rakyat terpaksa mengubah acuan kali ini kerana acuan itu sudah dimamah zaman dan perlu diubah. - aspan alias

No comments:

Post a Comment