UMNO TERUS MEMFITNAH
Bongkar Fitnah UMNO: Isu Penyelewengan Tabung Memali
Di tengah-tengah isu
kenaikan harga barang dalam negara dan kebangkitan rakyat Arab di luar
negara tiba-tiba muncul isu Tabung Memali yang kononnya diselewengkan.
Ia semacam anti klimaks, membangkitkan isu lapuk yang telah selesai dan
berkubur lebih 10 tahun lalu.
Tetapi biasalah BN, Utusan Malaysia dan RTM di saat ketandusan isu,
mereka jadi lalat dan langau akan menyelongkar setiap tong sampah dan
jamban untuk mencari bahan busuk yang boleh dijadikan isu bagi
memperbodohkan kalangan rakyat yang kurang cerdik agar mempercayai
propaganda mereka. Maka terus kekallah sokongan terhadap BN bermodalkan
bara fitnah yang dinyalakan saban waktu.
Halal atau haram membuat fitnah bukan persoalan mereka kerana tiada
perhitungan kematian, alam barzakh, akhirat, syurga atau neraka. Yang
penting bagi mereka ialah berusaha mengekalkan kuasa BN melalui apa cara
sekalipun kira-kira sampai turunnya Dajal.
Media-media talibarut BN ghairah membangkitkan isu tabung Memali kerana
sedar bahawa ramai pemimpin PAS yang terlibat dalam kepimpinan PAS Kedah
sewaktu peristiwa berdarah Memali dan sejurus selepasnya telah pergi
untuk selamanya. Mereka tidak mungkin bangun membela diri untuk
menceritakan apa yang sebenarnya berlaku.
Antaranya Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Azahari Razak, Ustaz Abd Wahab
Sulaiman, Cikgu Mustafa Long, Tuan Guru Haji Yahya Junid, Ustaz Suhaimi
Ahmad dan ramai lagi. Fitnah oleh media talibarut BN ini dipanjangkan ke
medan maya.
Puteri Umno yang sebahagian besar ahlinya belum melihat dunia sewaktu
berlakunya peristiwa Memali turut memanjang fitnah isu tabung Memali
dalam platform maya mereka. Mereka sama sekali tidak tahu bahawa
peristiwa Memali adalah simbol kezaliman BN, menjadi ‘pembela’ kepada
balu-balu dan anak mangsa Memali. Begitu jugalah umumnya generasi muda
hari ini, tidak begitu memahami akan peristiwa Memali.
Maka ada baiknya kalau sebelum penjelasan mengenai tabung Memali dibuat,
elok gambaran sebenar mengenai peristiwa Memali itu diperjelaskan
terlebih dahulu kepada generasi terbaharu hari ini.
Peristiwa Berdarah Memali berlaku pada 19 November 1985 di sebuah
perkampungan bernama Mali, Mukim Siong, Baling. Pertukaran nama Mali ke
Memali dibuat oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Musa Hitam dan
nama it uterus popular hingga ke hari ini.
Peristiwa itu berlaku bermula dari tindakan nekad pihak polis dan
Kementeria Dalam Negeri untuk menangkap Ustaz Ibrahim Libya mengikut
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ceramah-ceramahnya yang
dianggap menggugat keselamatan (menggugat ‘keselamatan’ politik BN?).
Ustaz Ibrahim enggan menyerah diri dan bertegas jika pihak polis mahu
mengambilnya maka ambillah mayatnya sahaja.
Musa Hitam telah menghantar satu ketumbukan polis yang luar biasa
kekuatan dan jumlahnya untuk menangkap Ustaz Ibrahim. Berlakulah apa
yang disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai “massacre” atau pembunuhan
beramai-ramai terhadap Ustaz Ibrahim dan pengikutnya di Memali. 14
orang kampung mati diserang, manakala empat anggota polis terbunuh.
Musa Hitam adalah Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno,
manakala Ustaz Ibrahim adalah seorang aktivis PAS maka apa yang
dilakukan oleh Musa Hitam itu adalah tindakan politik untuk menyekat
kemaraan politik PAS. Kerajaan mempunyai 1001 langkah untuk menangkap
Ustaz Ibrahim tanpa melalui pertumpahan darah tetapi mereka sengaja
memilih tindakan yang ganas dan rakus terhadap orang kampung yang lemah.
Tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia itu lebih zalim dari isu
kematian Teoh Beng Hock, tetapi oleh kerana pada itu pembangkang tidak
mempunyai kekuatan maka mangsa kezaliman Memali dan PAS dibuli
semahu-mahunya oleh kerajaan Malaysia dan jentera propaganda mereka.
Pihak yang terbabit dicop sebagai penjenayah, Ustaz Ibrahim dan
rakan-rakan dituduh sebagai pengamal ajaran sesat, ilmu kebal dan
sebagainya. Ekoran serangan berterusan oleh jentera propaganda BN dan
saluran media kedua belum wujud di Malaysia, maka imej PAS menjadi
buruk. Akibatnya pada pilihanraya umum 1986, PAS hanya menang satu
kerusi di Parlimen Pengkalan Chepa.
Ekoran peristiwa itulah Tabung Mangsa Memali ditubuhkan untuk membela
balu-balu mangsa yang terbunuh, anak-anak yatim dan juga mangsa
peristiwa Memali yang masih hidup, ditahan ISA, sakit, terlantar dan
sebagainya. Ia dikendalikan oleh Badan Perhubungan PAS Kedah. Setiap sen
wang derma disalurkan kepada yang layak dan berhak menerima.
Jika hari ini ada pihak memberitahu bahawa haram hukumnya memakan wang
anak yatim, maka ketahuilah bahawa para pemimpin PAS Kedah pada masa
itu; bermula dari Ustaz Fadzil Noor yang mengaji di Universiti Al-Azhar
hinggalah kepada Aris Awang yang belajar di sekolah Cina pun lebih tahu
bahawa haram juga mengambil harta orang lain yang bukan haknya.
Mereka lebih tahu bahawa satu sen rezeki haram yang menumbuhkan daging
di jasad kita, maka api neraka adalah lebih layak untuknya.
Tabung mangsa Memali adalah pembelaan sementara untuk mangsa. Ia bukan
skim insuran untuk pembelaan sepanjang hayat. Sampai ke satu peringkat
di mana anak-anak yatim mangsa Memali kesemuanya sudah akil baligh dan
para balu mangsa Memali pun sudah mempunyai anak-anak yang boleh
berdikari, di samping ada yang mempunyai suami baru; maka Ustaz Fadzil
Noor mengumumkan ketidakperluan mewujudkan tabung tersebut.
Dakwaan berlaku penyelewengan tabung Memali pernah dibuat sewaktu Ustaz
Fadzil Noor masih ada. Laporan polis dibuat. Siasatan dibuat oleh unit
yang paling professional dikatakan dari Bukit Aman.
Pihak yang dituduh berjaya mengemukakan catatan akaun yang sempurna
tanpa sepicing pun penyelewengan. Soalan cepu emas yang mesti dijawab
oleh semua; Adakah pihak polis dari kerajaan BN akan membiarkan begitu
sahaja penyelewengan jika ada (terutamanya kewangan) dalam PAS tanpa
diambil tindakan atau pendakwaan? Jika polis Malaysia buat begitu ia
termasuk dalam lapan benda ajaib di dunia.
Cukuplah itu sebagai jawapan kepada pihak BN yang membuat fitnah
kononnya terdapat penyelewengan dalam tabung Memali. Walaupun jawapan
yang terperinci ada tapi ia tidak semesti perlu didedahkan. Macam
seseorang dituduh tidak bersunat. Bukti yang nyata untuk menolak fitnah
itu ialah dengan menyelak kain biar semua orang tengok. Tapi orang yang
cerdik tidak perlu buat sampai ke situ.



0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home