Sunday, December 30, 2012

UMNO/BN DI PENGHUJUNG JALAN


Keputusan pilihan raya 'predictable'




Kadang-kadang terfikir juga mungkin sah BN itu akan sampai usianya dan akan hilang setidak-tidak beberapa tahun dari mentadbir kerajaan kita. Kalaulah Najib berani memanggil pilihanraya setahun yang lepas keadaan meruncing bagi beliau dan BN tidak akan sampai ke tahap sekarang ini. Dalam tempoh kurang dari setahun ini terlalu banyak isu yang timbul. Justeru usaha Najib untuk memberikan markah yang tinggi kepada BN telah terkandas kerana isu yang bertimpa-timpa dihadapi oleh parti pemerintah itu sekarang ini.



Jika kita bayangkan pilihanraya diadakan sepuluh bulan dahulu, tidak akan ada isu NFC yang telah menggemparkan rakyat. Jika PRU diadakan empat bulan yang lepas tidak akan timbul isu RM40 juta yang melibatkan Musa Aman dan sebagainya. Jika dipanggil pilihanraya 3 bulan yang lepas tidak akan timbul isu Deepak yang tampil membuat pengakuan penglibatan Najib dan isteri dalam kes Altantuya dan akuan bersumpah Balasubramaniam. Isu Deepak ini adalah isu yang amat sukar bagi Najib untuk menguruskannya kerana ia amat hampir kepada apa yang diperkatakan ramai di mana-mana sejak beberapa tahun dahulu.



Tetapi kita faham keputusan Najib untuk menangguhkan PRU itu ialah untuk menyediakan keadaan yang sesuai dengan pemberian BRIM dan berbagai-bagai imbuhan yang melibat rakyat yang ramai-ramai ini. Seboleh-bolehnya Najib mahu membeli perasaan rakyat dengan bermacam-macam hadiah tawaran untuk menyejukkan hati rakyat yang sudah sampai suhu kepanasannya ke peringkat optima.



Tetapi segala usaha itu telah terencat kerana dalam pada Najib berusaha untuk menunjukkan kebaikan beliau tidak dapat menahan arus isu yang merencat dan merosakkan imej beliau sebagai pemimpin utama negara dan seterusnya menjejaskan prestasi BN dalam menghadapi pilihanraya ini. Tiga isu yang terakhir ini telah memusnahkan harapan Najib untuk menghadapi pilihanraya kali ini dengan keyakinan yang tinggi.



Tidak tahu kenapa Najib belum lagi mendapatkan apa-apa kejayaan untuk politik UMNO dan BN setakat ini. Perdana Menteri kita ini masih belum mendapatkan keserasian sebagai Perdana Menteri negara. Hasil dari perasaan kurang keyakinan beliau itu maka beliau merupakan seorang ‘unelected Prime Minister’ dan belum lagi mendapat ‘endorsement’ yang sepatutnya beliau perolehi dalam beberapa bulan sahaja selepas beliau mengambil alih kuasa dari Abdullah Badawi. Oleh kerana beliau tidak berani melakukannya secepat yang mungkin maka Najib telah terlepas peluang untuk membuktikan sokongan rakyat kepada beliau.



Keadaan ini berlaku kerana Najib itu sendiri yang berhadapan dengan berbagai-bagai isu terhadap parti dan kerajaan serta isu peribadi yang terlalu besar untuk di selesaikan. Lepas satu isu  timbul satu isu lain. maka beliau telah cuba untuk menutupi isu-isu yang beliau hadapi dengan memberikan berbagai-bagai galakan untuk rakyat bagi mendapatkan sokongan mereka (rakyat).



Kerana isu terhadap parti dan kerajaan serta isu-isu peribadi beliau maka kerajaan terpaksa berbelanja dengan wang rakyat yang tidak kurang besarnya dalam keadaan kewangan negara yang kini amat meruncing. Pendeknya untuk mengekalkan kuasa BN ini kosnya adalah terlalu tinggi. Kalau hendak dikira di bawah pentadbiran Najib hutang negara telah mencecah dua kali ganda semasa beliau mengambil alih dari Abdullah Badawi. Pertambahan ini berlaku hanya dalam tempoh tiga tahun sahaja dan kini hutang negara sudah melebihi RM500 billion. Jumlah ini tidak termasuk hutang-hutang melalui ‘off-budget agencies’ yang berjumlah RM120 billion.



Saya selalu berkata jika pimpinan negara lemah tetapi bernafsu lagi untuk mengekalkan kuasa inilah jadinya. Setiap kelemahan pimpinan itu akan melibatkan kos kerana cara untuk mengekalkan kuasa ialah dengan berbelanja secara ‘lavish’ untuk membeli hati dan jiwa rakyat. Pimpinan tidak disokong kerana kemampuan mereka , tetapi disokong melalui pembayaran hati dan jiwa rakyat. Mereka sanggup berbelanja dengan begitu boros dan itu dikatakan sebagai kerajaan yang mendahului rakyat. Mereka beranggapan wang rakyat itu adalah wang UMNO dan BN.



BN tidak peka dengan tanggungjawab mereka terhadap negara. Jika ditengok dari sudut ekonomi pula hanya mereka yang berjaya menjadi kroni sahaja yang mendapat peluang dengan berniaga secara ‘monopolistic’. Tiada langsung di kalangan kroni yang hampir dengan UMNO sanggup untuk bersaing tetapi mereka mengambil kesempatan untuk berniaga secara ‘monopolistic’ kerana dengan cara itu mereka akan mendapat keuntungan yang besar tanpa bersaing. Hanya kumpulan ini sahaja yang akan maju dan mereka inilah merupakan ‘recipient’ yang terbesar dari gerak dan usaha rakyat yang menyokong UMNO dan BN selama ini.



Orang ramai tetap seperti biasa dan hanya menunggu untuk berbaris menerima wang BRIM yang akan dibahagi-bahagikan oleh pimpinan UMNO dan BN tidak lama lagi. Jumlahnya hanyalah sejemput sebagai upah menyokong UMNO untuk kepentingan pimpinan dan kroni-kroni mereka. Syed Mokhtar tidak payah bersusah-payah dan beliau hanya mengambil keuntungan dari kepimpinan kita. Begitulah manusia bernama Ananda Krishnan dan beberapa orang yang lain.



Mereka ini tidak payah bersusah-payah untuk berjuang dengan bermasam muka sesama kita di bawah ini. Mereka hanya mengaut segala nikmat perjuangan rakyat termasuk perjuangan ahli-ahlu UMNO sendiri. Pejuang-pejuang UMNO hanya mendapat BRIM sedangkan yang tidak berjuang mendapat segala-galanya. Mereka ini hanya perlu membodek dan mengampu pimpinan sahaja. Kedudukkan di antara pemimpin serta kroni UMNO jika dibandingkan dengan penyokong-penyokong mereka di bawah yang berjuang ini tidak ubah seperti cerita 'Di Antara Dua Darjat' sahaja.



Kita di bawah hanyalah menjadi mangsa maki hamun pemimpin dan segala apa yang kita buat dan perkatakan di bawah ini dianggap sebagai petualang dan semua ‘superlatives’ yang buruk-buruk ditempelkan kepada kita. Kita hanya dijadikan sebagai keldai yang ditenggek dan ditunggang oleh kroni dan tauke-tauke besar yang diwujudkan oleh UMNO dan BN. Rakyat diperhambakan sedemikian rupa dan hendak bercakap menentangnya tidak dibenarkan.



Sesungguhnya UMNO bersama parti-parti komponennya hanyalah seperti sebuah kelab yang eksklusif semata-mata untuk keuntungan besar bagi mereka yang tidak pernah merasakan susah dan peritnya mempertahankan UMNO selama ini.



Itulah sebabnya orang Melayu tidak akan merasa bersalah jika tidak menjadi ahli dan penyokong UMNO kerana lebih dari lapan juta orang Melayu yang tidak menjadi ahli UMNO tetap hidup subur dan mempunyai keyakinan yang tinggi. Di sebaliknya mereka yang menjadi penyokong tegar UMNO itu pula yang tidak berani bertindak dan tidak mempunyai fikiran yang jelas kerana dikongkong oleh momokan UMNO terhadap parti-parti pembangkang selama ini.



Mereka yang bergiat secara aktif dalam UMNO itu sedang bermasam-masam muka di antara satu dengan lain kerana isu siapa yang akan menjadi calon di tempat dan kawasan masing-masing merupakan isu yang sangat besar sekarang ini. UMNO mati kaku selagi mereka tidak tahu siapa yang akan diturunkan sebagai calon.



Itulah sebabnya saya selalu mencadangkan supaya biarkan sahaja parlimen terbubar dengan sendirinya. Tidak payah Najib membubarkannya. Sama ada Najib membubarkan Parlimen atau terbubar dengan sendirinya ia akan membawa ‘consequence’ yang sama juga……iaitu berkemungkinan kalah buat kali pertamanya.
Penyokong-penyokong UMNO yang tegar tanpa mempunyai pemikiran akan memaki hamun saya kerana kenyataan saya ini, tetapi apakan daya yang benar itu sememangnya perit untuk ditelan. Apa yang benar itu tetap benar dan yang salah itu tetap salah. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment