Aspan Alias
Saya telah cuba untuk
tidak menulis tentang Dr. Mahathir lagi tetapi tidak dapat saya berbuat demikian
kerana beliau masih lagi menyalahkan semua orang di atas perpecahan orang
Melayu sebagaimana anggapan beliau sekarang. Dalam tulisan beliau dalam
Mingguan Malaysia
semalam beliau menzahirkan perasaan sedih atas apa yang telah terjadi kepada
orang Melayu yang pada beliau akan hilang kuasa politiknya di sebabkan
perpecahan sesama sendiri.
Tidak susah untuk memikirkan
siapa yang dimaksudkan oleh Dr. Mahathir sebagai Melayu yang tamak kuasa yang
telah memecahkan Melayu itu. Ia tidak lain selain dari Anwar Ibrahim yang telah
menjadi duri dalam daging kehidupan sepanjang hayat beliau. Mahathir masih lagi
bercakap tentang Melayu yang beliau sendiri telah pecahkan dan hasil dari
perpecahan itu di lontarkan kesalahannya kepada semua orang kecuali diri beliau
sendiri.
Utusan menggambarkan yang beliau
telah menangis memerhatikan perpecahan orang Melayu sekarang ini. Tetapi Dr.
Mahathir mesti faham yang orang Melayu telah lama menangis dan tersedu atas
perbuatan beliau memecahbelahkan pimpinan dan premis perjuangan Melayu iaitu
UMNO selama ini. UMNO telah beliau jadikan sebagai alat permainan beliau dengan
menggunakan sentimen Melayu yang menebal dan menggunakan simpati dan sokongan
Melayu itu untuk kepentingan peribadi beliau.
Kata perbilangan ‘sesal dahulu
pendapatan, kesal kemudian tiada gunanya’. Inilah yang patut Dr. Mahathir
rasakan sekarang dan berhenti mengalih dan melontarkan kesalahan kepada orang
lain seperti Pak Lah dan Anwar Ibrahim. Di sini Dr. Mahathir perlu merasakan
kekesalan atas permainan politik melampau beliau sehinggakan UMNO tidak ada lagi pemimpin yang
mempunyai roh perjuangan yang sejati melainkan pemimpin-pemimpin yang datang
secara ‘dubious’ yang kita tidak tahu asal usul perjuangan mereka dan keluarga
mereka.
Dr. Mahathir telah mendapat segala
kehendak politik peribadi beliau tetapi ‘at what cost?’ Berapakah harga yang
terpaksa dibayar untuk mempertahankan Dr. Mahathir itu? Kerosakan tentunya
bermula dari suatu masa dan adalah tidak wajar Dr. Mahathir untuk menyatakan
yang kerosakan itu bermula dari zaman kepimpinan Pak Lah semata-mata.
Kerosakan yang kita lihat
sekarang begitu teruk dan tidak mungkin bermula dari zaman Pak Lah yang
baru sahaja empat tahun meninggalkan kuasa setelah menjadi PM hanya selama lima tahun. Pak Lah itu
sendiri merupakan pemimpin yang dari awal tidak sepatutnya menjadi Perdana
Menteri. Begitu juga Najib dan Muhyiddin yang ada pada hari ini.
Tetapi mereka ini muncul
ke depan kerana ketiadaan dan ketandusan kepimpinan dalam UMNO hasil dari
penyingkiran pemimpin-pemimpin yang baik oleh Dr. Mahathir dahulu. Berjayalah
Dr.Mahathir memperoleh apa-apa yang beliau inginkan, iaitu barisan kepimpinan yang
hanya ‘mengangguk seperti burung balam’ dalam UMNO. Tetapi Mahathir itu ialah
makhluk seperti kita semua juga. Sampai masanya beliau terpaksa bersara dan apabila beliau bersara, di sinilah bermulanya masalah yang kita sedang hadapi
sekarang. UMNO sudah menjadi parti yang kekeringan pimpinan, kosong dan tidak
bermaya lagi.
Dr. Mahathir tidak menjadikan alam
yang terbentang luas ini sebagai guru. Padahal bukan kita tidak nampak jika
sesebuah negara itu dipimpin oleh seseorang dengan jangka masa yang terlalu panjang,
negara itu akan kehilangan kepimpinan kerana semua mereka yang berkepimpinan
itu akan mati ditelan masa. Bukan tidak ada contoh yang jelas yang boleh kita
lihat dan dijadikan pelajaran. Presiden Tito memerintah hampir 3 dekad, akhirnya
apabila beliau tiada Yugoslavia
berpecah menjadi 5 negara kecil yang berperang tiada kesudahannya.
Presiden Marcos, seorang yang
bermula sebagai pemimpin yang demokratik akhirnya menjadi diktator dan memerintah selama
20 tahun. Filipina sehingga hari ini belum lagi dapat bangun ke tahap
yang mereka pernah alami dalam tahun enam puluhan. Begitu juga Indonesia yang
diperintah Suharto selama 30 tahun menjadi haru-biru dan baru sekarang sahaja
negara tersebut telah kembali menjadi
negara yang disegani dan negara demokrasi terbesar selepas India di Asia ini.
Kita boleh perhatikan di
mana-mana negara yang pemimpinnya memerintah sebegitu lama, akan mewarisi
negara yang sarat dengan korupsi yang susah untuk dibendung. Euthopia,
Algeria, Indonesia, Filipina, Zimbabwe dan terlalu banyak contoh yang membuktikan bahawa negara yang dipimpin oleh seorang pemimpin terlalu lama akan menghadapi
penyakit politik dan sosial yang besar dan memakan masa yang panjang untuk
diperbetulkan.
Tuduhan Mahathir yang orang
Melayu telah berpecah belah dan menganggap Melayu mudah lupa, tetapi elok kita
ingatkan yang Mahathir sendiri sudah terlalu banyak perkara yang beliau telah
lupa. Beliau terlupa kepada hakikat yang segala perbuatan kita akan diadili
oleh rakyat pada masa yang akan datang. Ada
di antara penyokong tegar UMNO membenci saya kerana saya tidak berhenti-henti
menyebut perkara yang lama. Tetapi kalau tidak ada yang lama masakan ada yang
baru.
Perbuatan pemimpin akan disebut
sampai bila-bila. Apa yang dilakukan oleh Mahathir itu merupakan sejarah yang
baru dan masih ramai yang hidup dan mengingatinya. Sejarah tetap diperkatakan
selalu walau selama mana pun usia sejarah itu. Abu Jahal telah mati lebih dari
1400 tahun dahulu, namun namanya tetap disebut dengan apa yang dia telah
lakukan.
Firaun tetap menjadi bacaan
sejarawan walaupun zaman Firaun tu telah berlalu lebih dari 3 ribu tahun yang
lalu. Sesiapa pun tidak boleh mengelakkan sesiapa dari menyebut hal sejarah
walaupun sejarah itu telah berlalu ribuan tahun yang lalu. Sejarah tetap sejarah
dan akan tetap menjadi bahan telaah rakyat pada masa yang akan datang.
Dr. Mahathir tidak boleh
menyalahkan apa yang berlaku kepada orang Melayu kepada orang lain. Mahathir
telah membiarkan UMNO menjadi reput dan apabila sampai ke tahap UMNO sudah tidak
dapat diperbaiki lagi ini, beliau masih hingar-bingar menyebut isu ini
seolah-olah beliau tidak ada kena-mengena dengan keadaan yang berlaku ini.
Orang Melayu sedar yang mereka
telah berpecah belah. Maka mereka (orang Melayu) sekarang begitu ‘conclusive’
mengambil keputusan untuk bersatu di luar UMNO dan BN. Jika pemimpin-pemimpin
UMNO dan BN, termasuk dengan Dr. Mahathir sekali inginkan perpaduan, saya
mencadangkan supaya mereka turut sahaja kehendak orang Melayu untuk
berpadu di luar UMNO itu. Pemimpin UMNO harus menerima pandangan banyak pihak
yang kali ini pembangkang akan menang secara ‘outright’. Tsunami politik akan
lebih hebat lagi dari tsunami 2008 dahulu. Siapa yang tidak percaya dengan
pandangan ini, itu hak masing-msing.
Menganggap Melayu akan selamat
hanya di bawah UMNO sahaja merupakan satu mitos yang tidak boleh diikuti dan
dipercayai. “Enough is enough” kata seorang pemimpin UMNO sendiri kepada saya
semalam. Beliau seterusnya berkata, “Selagi kita meyakini UMNO selagi itulah
pemikiran kita diperangkap. Buat itu tak boleh buat ini tak boleh. Sampai bila
kita hendak diperangkap dan diperkuda oleh pimpinan yang hanya memikirkan
kepentingan mereka semata-mata?”
Kita sudah tidak ada masa untuk
mendengar ‘gelembong’ UMNO lagi.
Apakah DAP atau PAS atau PKR yang dicanang-canang sebagai pro-Singapura tu yang buat semua perjanjian ni?
dan mengikut kiraan ni, kita rugi RM11,000 SEHARI. kalau sebulan? setahun? sepanjang tempoh perjanjian?
No wonder Malaysia makin banyak hutang.