Thursday, January 3, 2013

DONGENGAN YANG MEMUDARATKAN UMNO



Sepanjang tahun 2012, UMNO dan para pencacai mereka menceceh tentang satu dongengan, iaitu Melayu yang sokong DAP dan PAS ialah pengkhianat bangsa dan agama. Tuduhan sedemikian tidak pernah disertakan dengan bukti yang sahih, melainkan rentetan pembohongan yang meloyakan. DAP dituduh sebagai parti anti-Melayu dan anti-Islam.

Rakyat Malaysia yang bijaksana mentertawakan golongan bodoh tersebut. Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah mendenda akhbar UMNO, iaitu Utusan Malaysia kerana memfitnah Guan Eng dan DAP sebagai anti-Islam dan anti-Melayu. Tidak cukup dengan itu, parti Gerakan pula menikam UMNO dari belakang. Gerakan kata DAP sedang mengislamisasikan Pulau Pinang melalui peruntukan yang besar kepada aktiviti keislaman di negeri itu. Maka nyatalah bahawa proses membodohkan rakyat yang dilakukan oleh UMNO dan pencacai mereka itu berlalu dengan sia-sia. Golongan bodoh sememangnya tidak pandai menghargai masa. Perbuatan itu dilarang oleh Islam. Namun, golongan yang disebut oleh Dr. M sebagai bodoh dan setan yang dikenali ini tidak pernah sensitif terhadap perbuatan negatif yang mereka lakukan.

Di samping itu, tanpa segan silu mereka menguar-uarkan tentang PAS tidak konsisten memperjuangkan Negara Islam kerana mengikut telunjuk DAP apabila menggantikannya dengan Negara Berkebajikan. Tuduhan dungu ini dapat dipatahkan dengan mudah oleh PAS. PAS bertegas bahawa isu itu sengaja ditimbulkan oleh UMNO untuk mengelakkan orang Melayu menyokong PAS dan DAP. Buktinya PAS tidak pernah menyebut tentang konsep Negara Islam dalam perlembagaannya kerana konsep tersebut tiada dalam Kitab Suci Al-Quran. Yang tercatat dalam perlembagaan itu ialah dasar PAS ialah Islam. Kebajikan menjadi salah satu daripada gerak kerja yang dilaksanakan secara berterusan kerana tercatat dalam Perlembagaan PAS. Oleh sebab itu, PAS bersetuju memasukkan Negara Berkebajikan dalam Buku Jingga yang memuatkan perjuangan Pakatan Rakyat.

Siri pembohongan tersebut berlarutan dengan isu hukum hudud. Isu ini benar-benar menyerlahkan kehipokritan UMNO. Najib bukan saja telah menghina Islam dengan kata-katanya, iaitu negara akan huru-hara jika Undang-Undang Islam dilaksanakan di Malaysia malahan juga menegaskan bahawa undang-undang itu tidak akan dilaksanakan di negara ini. Sehubungan itu, mereka membiarkan MCA menghina Islam semahu-mahunya sehingga menganggap pelaksanaan hudud akan memiskinkan negara dan menyebabkan ramai rakyat kehilangan pekerjaan. Perbuatan-perbuatan sedemikian menyebabkan UMNO dilabel sebagai penentang undang-undang Islam. Kemunculan Muhyiddin nyata terlambat untuk membela organisasinya apabila menyebut bahawa UMNO tidak menentang Undang-Undang Islam. Jelaslah kepada kita bahawa pada hakikatnya UMNO tidak benar-benar memperjuangkan Islam. Kebenaran pegangan itu ditambah pula dengan kenyataan Khir Baharom di parlimen tentang kelulusan yang diberikan kepada orang Islam yang memohon untuk murtad. Kesemua yang disebutkan itu, meyakinkan rakyat bahawa UMNO tidak pernah serius memperjuangkan Islam.

Pembohongan demi pembohongan dilakukan oleh UMNO dan sekutu-sekutu mereka. Matlamatnya hanya satu, iaitu menyekat orang Melayu dan bukan Melayu menyokong DAP dan PAS. Usaha-usaha berniat jahat itu terpaksa mereka lakukan kerana rakyat telah nampak wajah sebenar UMNO melalui rangkaian tindakan negatif mereka. Akibatnya berlakulah kecelaruan dalam pemikiran para pemimpin mereka sehingga mengeluarkan dakwaan yang memalukan seperti menyifatkan DAP sebagai kuda tunggangan PAS kepada bukan Melayu dan menyatakan pula PAS menjadi kuda tunggangan DAP kepada orang Melayu. Keanehan laku perbuatan itu menampakkan ketakutan UMNO dan sekutu-sekutu mereka terhadap sokongan yang semakin meningkat kepada bukan sahaja DAP dan PAS malahan juga PKR. Mereka menyedarinya melalui sokongan hebat berbagai-bagai golongan massa kepada pelbagai perhimpunan yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat mutakhir ini. Tidak cukup dengan siri propaganda melalui media massa, mereka melakukan keganasan melalui samseng-samseng untuk menghalang kebangkitan rakyat di serata pelosok negara.

Menyedari ketumpulan semua laku perbuatan itu, ditimbulkan pula isu amanat Hadi. Isu tahun 1980-an ini mau dijadikan asas untuk merasionalkan orang-orang Melayu menolak PAS. Ternyata mereka tersilap langkah. Tiada perkataan atau rangkai kata dalam isu itu yang boleh membuktikan kesahihan tuduhan mengarut UMNO itu. Sebaliknya, sehingga kini pihak yang berwibawa, iaitu Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah memanggil Hadi untuk berbincang apatah lagi mengeluarkan fatwa mengenai isu itu. Yang kedengaran ialah hukuman yang datangnya dari pihak yang tidak sepatutnya berbuat demikian. Pihak-pihak yang berkepentingan pula enggan memberi ruang kepada pengucapnya untuk memberi penjelasan melalui tv. Nampak benarlah isu ini sengaja digunakan oleh UMNO untuk mendapatkan keuntungan politik.

PRU Ke-13 pasti datang pada tahun 2013 ini. Rakyat menunggu detik itu dengan penuh keazaman untuk menumbangkan UMNO/BN. Dengan izin Allah Azza wajalla, perubahan pasti berlaku. Suara rakyat suara keramat. Di tangan merekalah terletak kata pemutusnya. JOM UBAH !!!

No comments:

Post a Comment