Thursday, January 31, 2013

NASIB KAULAH NAJIB!!!

Usaha ketepi Najib dari kepimpinan Umno macam 'real' nampaknya




Terperanjat juga saya mendengar ‘rumors’ yang berkisar hebat di kalangan UMNO yang Najib sudah sampai masa untuk diketepikan untuk menyelamatkan UMNO dari dihumbankan oleh rakyat dalam pilihanraya ini. Malahan isu ini telah pun ditulis oleh beberapa pihak dalam 'cyber space' yang usaha untuk memaksa Najib meninggalkan jawatan atau membuangnya mengikut saluran parti sedang berjalan rancak.

Ada penafian dibuat di kalangan UMNO tetapi penafian di kalangan UMNO itu selalunya adalah cara untuk mengiyakan apa yang dikhabarkan itu adalah perkara benar. Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim menafikan ada pertelingkahan di antara mereka dahulu, tetapi akhirnya terjawab yang berita yang dikatakan sebagai khabar angin itu adalah perkara yang benar, malahan lebih benar dari apa yang diberitakan itu. Sekarang kedua-duanya telah berputus arang dan tidak boleh memandang di antara satu dengan lain.

Saya sendiri acap kali berkata yang musuh Najib yang sebenarnya bukannya parti pembangkang tetapi musuh beliau sebenarnya adalah dari kalangan UMNO sendiri. UMNO tidak terbuka dan apa yang berlaku pun selalunya akan terjadi di dalam gelap buat seketika. Berlainan dari parti-parti dalam Pakatan. Mereka (parti-parti Pakatan) terbuka dan menunjukkan perbezaan mereka secara terbuka dan ini merupakan satu perkara yang sihat.

Ada yang tidak sama pendirian tentang isu dalam Pakatan, tetapi perbezaan itulah yang membuatkan mereka berusaha untuk bermuafakat dan ini tidak dapat dilakukan oleh BN. Masakan ada permuafakatan jika tidak ada perbezaannya? Sebaliknya kebaikan ini diambil sebagai perpecahan oleh BN dan media massa memainkan isu ini sebesar yang mungkin bagi memecahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Perbezaan yang sedikit di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat itulah yang menyebabkan mereka bersatu dan mereka mempunyai hubungan ‘inter-party’ yang baik dan bersama-sama menjaganya. Di sebaliknya kita melihat hubungan ‘inter-party’ dalam BN itu lebih baik dan mereka tidak menampakkan perbezaan mereka dalam semua isu yang berbangkit di kalangan mereka.

Tetapi yang paling merbahaya di dalam BN khususnya UMNO, ‘politicking’ secara senyap-senyap di antara mereka dalam parti pemerintah itu. Permainan politik di antara mereka di dalam UMNO itu sudah menjadi budaya yang tidak dapat dihapuskan lagi dan jika ada usaha-usaha dalam UMNO untuk menjatuhkan Najib itu, ia tidaklah menjadi isu yang memeranjatkan. Dalam keadaan sekarang, usaha untuk menjatuhkan Najib dengan menggunakan banyak isu peribadi Najib itu, adalah isu-isu yang ‘expedient’ untuk mereka memaksa Najib keluar dari pimpinan parti dan negara.

Ada di kalangan mereka di dalam UMNO sedang berusaha untuk memujuk seorang bekas Menteri Besar untuk mengeluarkan bukti penglibatan Najib dalam satu skandal di sebuah pusat peranginan banyak tahun dahulu. Permainan ini sudah menjadi lumrah dalam UMNO. Itu sebabnya jika pemimpin yang bercita-cita tinggi seperti hendak menjadi pemimpin utama negara penglibatan dengan artis wanita misalnya akan menjadi isu yang paling ‘mangkuih’ bagi musuh-musuh dalaman parti.

Tetapi apa yang tidak di sedari dan di fahami oleh UMNO ialah, mereka ini ditolak secara total oleh sebahagian besar rakyat dan mereka yang melakukan ‘politicking’ dalaman untuk menjatuhkan Najib itu pun tidak kurang masalah peribadi mereka. Pendeknya jika berjaya usaha sebahagian mereka dalam UMNO untuk menjatuhkan Najib, mereka atau individu yang menanti untuk mengambil alih Najib itu pun merupakan seorang yang jauh lebih lemah dari Najib dan Abdullah Badawi dahulu.

Saya selalu berkata yang siapa sahaja di kalangan yang sedang berada di pesada politik dan kerajaan negara sekarang ini datangnya dari acuan yang sama yang terbentuk sejak Dr Mahathir memerintah kita dahulu. Ia meletakkan kita dalam keadaan ‘yang dibuang itu tidak berguna dan yang mengambilalih pun lebih tidak berguna lagi’. Muhyiddin yang dikatakan akan mengambil alih itu pun akan menjadi tidak berguna oleh Dr Mahathir sebaik sahaja beliau (Muhyiddin) mengambil alih Najib nanti dan isu terhadap Muhyiddin juga merupakan isu yang ‘real’ yang hanya akan dikeluarkan setelah beliau menjadi Perdana Menteri nanti (jika dapat).

Jika umur Dr Mahathir masih panjang lagi isu peribadi terhadap Perdana Menteri itu akan hanya berhenti setelah Muhkriz menjadi setidak-tidaknya Timbalan Perdana Menteri. Maksud saya dalam urutan posting ini ialah UMNO ini berkecai kerana permainan Dr Mahathir yang mendapat sokongan dari mereka yang berkepentingan jika Najib jatuh dari pesada kepimpinan.

UMNO sesungguhnya tiada berkepimpinan lagi…tiada seorang pun di kalangan ahli-ahli Majlis Tertinggi parti dan dalam jemaah menteri sekarang ini. UMNO telah mencampakkan semua pemimpin yang berkemampuan untuk menjaga keselamatan Dr Mahathir yang tidak mahu sesiapa yang lebih cerah berada di sisi beliau dalam kepimpinan parti dan negara semasa itu. Inilah dia hasilnya yang ahli-ahli UMNO yang menerima warisan Dr Mahathir itu.

Dalam keadaan yang sebegitu teruk pun UMNO masih bercita-cita untuk terus memerintah negara. Sudah 55 tahun berada di persada kuasa, maka UMNO belajarlah untuk menjadi pembangkang yang baik pula jika masih ada yang baik di dalam UMNO itu.

Cukuplah UMNO berada di tampuk kuasa. Biarlah rakyat mendapatkan ‘ambience’ siasah yang baru dan diharap Pakatan Rakyat akan dapat melakukannya. Rakyat tidak mahu diperkotak-katikkan lagi. Mereka (Rakyat) mahukan keadaan yang baru dan hidup tanpa tertekan dengan tekanan dan desakan UMNO selama ini.

Keadaan negara begitu kritikal dan perubahan sudah menjadi kewajipan bagi kita untuk melakukannya. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment