Tuesday, January 15, 2013

SEMUA BOLEH GUNA, TAK BOLEH TERJEMAH


Kronologi isu nama Allah: PAS tidak bercanggah



Pemimpin PAS tidak bercanggah dalam isu penggunaan nama Allah kerana ia semacam telah disepakati sejak isu ini berbangkit semula menjelang Krismas tahun 2012 iaitu pada 25 Disember 2012.


Mereka jelas bersetuju, Islam tidak boleh menghalang penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam tetapi mereka tidak bersetuju nama Allah digunakan dalam Bible Bahasa Melayu sebagaimana dicadangkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.


Namun begitu, ia banyak dikelirukan oleh laporan yang kurang tepat selepas ia dibincang dengan meluas dalam media.

Berikut adalah sebahagian dari kronologi bagaimana isu ini dibincangkan dan berkembang.



1) 24 Disember: Menjelang Krismas 2012, Lim Guan Eng dalam ucapannya mencadangkan agar Bible terjemahan Bahasa Malaysia dibenarkan untuk menggunakan nama Allah.

Namun, Setiausaha Politik beliau, Zairil Khir Johari menjelaskan, yang dimaksudkan oleh Lim Guan Eng adalah untuk penggunaan Bible di Sabah dan Sarawak kerana ia telah lama digunakan di sana.

2) Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS dalam Sinar Harian tidak bersetuju nama Allah digunakan dalam Bible Bahasa Melayu kerana ia akan kelirukan umat Islam.

3) Dr Rani Othman, Pesuruhjaya PAS Selangor juga tidak bersetuju Bible Bahasa Melayu gunakan nama Allah. Kenyataan ini disiarkan oleh Sinar Harian.

4) 26 Disember: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS dalam kenyataan bertulisnya menegaskan nama Allah tidak tepat digunakan dalam Bible Bahasa Melayu kerana terjemahannya dari God sepatutnya Tuhan bukannya Allah. Bagaimanapun dia setuju Allah boleh digunakan Kristian dalam amalan ibadat dan gereja mereka.

5) Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataan bertulisnya yang diedarkan selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat berkata, Islam tidak menghalang nama Allah digunakan bukan Islam tetapi jangan salah guna.



6) 29 Disember: Utusan melaporkan, Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulama penggunaan kalimah Allah khusus untuk Islam dan seluruh umatnya sahaja.


Laporan Utusan: Kalimah Allah khas untuk Islam

Namun dalam Harakahdaily selepas itu, Harun Taib menjelaskan, ia ditujukan kepada penggunaan dalam Bible Bahasa Malaysia.
Laporan Harakahdaily: Kalimah Allah: Penjelasan Ketua Dewan Ulamak PAS


7) 10 Januari: FMT melaporkan Naib Ketua Dewan Ulamak, Datuk Mahfodz Mohamad dan Ketua  Pemuda, Nasrudin Tantawi bersetuju dengan kenyataan Presiden PAS.

Ini Laporan FMT
Kalimah Allah: Dewan Ulama, Pemuda PAS patuh keputusan Hadi
 | January 10, 2013
Ahli PAS tidak perlu gusar dengan keputusan tersebut kerana penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut Kristian hanya terhad untuk mereka sahaja.
PETALING JAYA: Dewan Ulama PAS menyeru ahli dan penyokongnya  memberikan sokongan penuh keputusan parti membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagaimana yang diumumkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Naib Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamad berkata, sebagai ahli parti, keputusan Presiden perlu dipatuhi.
“Sebagai ahli parti, kita kena menyokong keputusan itu. Persetujuan itu sama seperti yang telah dibuat dan ditetapkan oleh PAS dua tahun yang lalu,” katanya.
Mahfodz menegaskan ahli PAS tidak perlu gusar dengan keputusan tersebut kerana penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut Kristian hanya terhad untuk mereka sahaja.
Katanya, orang Kristian  boleh menggunakannya di gereja dan di kalangan masyarakat mereka sahaja.
“Orang Kristian tidak boleh menggunakan kalimah itu kepada orang islam, kerana ia terhad kepada mereka sahaja,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kenyataan Presiden, kenyataan parti
Sementara itu, Pemuda PAS menyokong keputusan Pakatan Rakyat membenarkan penggunaan kalimah Allah di kalangan umat Islam.
Ketua pemuda, Nasrudin Hassan yang dihubungi ini berkata: “Kita (Pemuda) anggap apa yang dinyatakan Presiden semalam adalah kenyataan parti.
“Saya tidak perlu komen lagi,” katanya. Nasrudin bagaimanapun, enggan mengulas lebih lanjut.
Abdul Hadi selepas mesyuarat Pakatan Rakyat Selasa lalu dilaporkan mempertahankan keputusan yang dibuat dua tahun lalu kerana Islam tidak melarang kalimah mereka dalam amalan mereka walapun tidak mencapai maksud asal dalam al Quran.
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat turut mempertahankan keputusan tersebut.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan kalimah Allah adalah khusus untuk orang Islam dan orang bukan Islam di negeri itu dilarang sama sekali menggunakannya.
Polemik pengggunaan kalimah Allah muncul semula apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam peruntusan Krismas pada 24 Disember lalu menggesa kerajaan membenarkan kalimah itu dimuatkan dalam Bible bahasa Melayu.

8) Sinar Harian melaporkan, Naib Ketua Dewan Ulamak, Datuk Mohamad Daud berkata beliau setuju bukan Islam bebas guna nama Allah tetapi tidak setuju ganti God dengan Allah dalam Bible.

9) 13 Januari: Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan sesiapapun boleh menggunakan kalimah Allah namun kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah. - HD

No comments:

Post a Comment