Friday, January 4, 2013

UMNO: APA-APA PUN BOLEH !!!


Najib minta buat pusat latihan tentera dari syarikat buat berus gigi



PKR mendakwa, Datuk Seri Najib Razak melantik syarikat pembuat  berus gigi untuk membina pusat latihan tentera iaitu Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (“Puspahanas”).

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli (gambar) mendakwa, Awan Megah Sdn Bhd yang dilantik Najib untuk membina pusat ini tidak mempunai apa-apa pengalaman.

Untuk itu, Awan Megah telah bekerjasama dengan GuppyUnip Sdn Bhd yang berpengalaman membuat berus gigi untuk membina pusat latihan tentera ini.

Rafizi berkata demikian dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut Rafizi, Awan Megah Sdn Bhd (“Awan Megah”) dianugerahkan projek penswastaan pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (“Puspahanas”) milik Kementerian Pertahanan melalui satu perjanjian bertarikh 8 Jun 2005.

Projek penswastaan tersebut melibatkan kerja-kerja merekabentuk dan membina (design and build) sebuah kolej latihan tentera.

Sebagai balasan kepada kerja-kerja merekabentuk dan membina Puspahanas, Kementerian Pertahanan berjanji akan memindahkan tiga bidang tanah iaitu PT220 (seluas 96.825 ekar), Lot 1158 (seluas 45.420 ekar) dan PT216 (seluas 81.085 ekar).

Tanah-tanah seluas 223.33 ekar ini pada asalnya diambil oleh Kerajaan Persekutuan bagi tujuan membina kem tentera.

Menteri Pertahanan semasa kontrak ini dianugerahkan kepada Awan Megah adalah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Oleh itu, beliau bertanggungjawab sepenuhnya kepada keputusan untuk melantik Awan Megah.

Awan Megah adalah syarikat yang dimiliki oleh Raja Ropiaah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno Selangor.

Berdasarkan semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Awan Megah adalah sebuah syarikat yang tidak pernah mempunyai apa-apa aktiviti sejak ia ditubuhkan.
Maklumat kewangan yang terakhir yang difailkan dengan SSM adalah bagi tahun kewangan 31 Disember 1993 yang menunjukkan syarikat itu tidak menjalankan apa-apa aktiviti.

Sehingga kini, tidak ada sebarang aktiviti yang dijalankan oleh Awan Megah seperti mana rekod terkini SSM bertarikh 23 Mei 2012.

Ini bermakna, di antara tahun 1994 hinggalah sekarang, Awan Megah tidak mempunyai apa-apa transaksi dan kekal sebagai syarikat yang tidak aktif.

Ini juga bermakna, kata Rafizi, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Pertahanan telah melakukan penyelewengan dan salahlaku rasuah apabila beliau menganugerahkan projek penswastaan bernilai puluhan juta ringgit ini dalam tahun 2005 kepada Awan Megah.

Sedangkan Awan Megah bukanlah sebuah syarikat pembinaan yang berkemampuan untuk menjalankan projek tersebut.

Awan Megah hanyalah syarikat Ali Baba yang dilantik Datuk Seri Najib Tun Razak dan diberikan 223.33 ekar tanah lumayan.
"Oleh sebab itulah, Awan Megah terpaksa melantik sebuah syarikat lain sebagai “rakan kongsi” untuk membiayai dan menyiapkan sepenuhnya projek itu," beritahu Rafizi dalam kenyataannya.

“Rakan kongsi” yang dipilih adalah sebuah syarikat bernama GuppyUnip Sdn Bhd. Syarikat ini hanya berjaya mendapatkan kemudahan kredit dari United Overseas Bank (UOB) yang diluluskan pada 21 Julai 2010, iaitu lima tahun selepas projek ini dianugerahkan kepada Awan Megah.

Ini bermakna projek ini tergendala selama lima tahun gara-gara Awan Megah tidak mempunyai modal dan masih mencari-cari rakan kongsi.

Semakan dari surat kemudahan kredit GuppyUnip Sdn Bhd ini pula menunjukkan bahawa:

1.      Keseluruhan modal sebanyak RM59.25 juta (iaitu pinjaman TL1 hingga TL4) adalah pembayaran bagi pihak Awan Megah

2.      Pembayaran premium kepada Kerajaan Selangor bagi pindahmilik geran dan pertukaran status bagi tanah 223.33 ekar juga akan dibiayai oleh GuppyUnip Sdn Bhd

3.      Kos bagi kerja-kerja penyediaan tapak untuk membangunkan tanah 223.33 ekar itu turut dibiayai oleh GuppyUnip Sdn Bhd

"Saya merumuskan bahawa GuppyUnip Sdn Bhd menanggung keseluruhannya kos pembinaan Puspahanas dan kos pembangunan tanah 223.33 ekar itu kerana Awan Megah milik Ketua Wanita Umno Selangor hanyalah membuat keuntungan atas angin," katanya.

Keadaannya sekarang samalah seperti keseluruhan projek dan tanah-tanah ini telah diserahkan kepada GuppyUnit Sdn Bhd.

Lebih memeranjatkan, dakwa Rafizi, GuppyUnit Sdn Bhd bukanlah syarikat yang berpengalaman dalam bidang pembinaan.

Semakan dengan SSM menunjukkan bahawa syarikat ini hanyalah ditubuhkan pada 9 Disember 2009 (dokumen SSM disertakan bersama).

Lebih teruk lagi, syarikat ini ditubuhkan dan dikuasai oleh Cheong Chow Koh (melalui pegangan keluarganya dan syarikat utamanya Unip Berhad).
Perniagaan utama Cheong Chow Koh melalui Unip Berhad adalah sebagai pengilang berus gigi (sila rujuk laman web www.unipberhad.com yang disertakan bersama).

Sehubungan itu, beliau menyimpulkan:

1.    Datuk Seri Najib Tun Razak melantik Awan Megah milik Ketua Wanita Umno Selangor yang tidak pernah menjalankan apa-apa aktiviti untuk merekabentuk dan membina Puspahanas, lalu dianugerahkan tanah seluas 223.33 ekar

2.     Secara tidak langsung, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah melantik sebuah syarikat pengeluar berus gigi untuk membina Puspahanas dan menyerahkan tanah 223.33 ekar kepada syarikat ini

"Ini adalah satu pengkhianatan kepada anggota tentera yang berkorban demi rakyat.

"Ia juga perlakuan rasuah dan penyelewengan secara terang-terangan yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang wajib disiasat dengan segera," tambahnya.

No comments:

Post a Comment