Friday, March 22, 2013

ASALKAN UMNO, APA-APA PUN BOLEH !!!

Bagaimana pengganas Sulu jadi pegawai kerajaan?



Persoalan yang lebih besar perlu dijawab, bagaimana seorang warga asing boleh dengan begitu mudah diberi kad pengenalan dan akhirnya diberi pula hak mengundi.

Demikian dinyatakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Riduan Mohd Nor dalam satu kenyataan.

“Apa keistimewaan Azzimudie sehingga beliau diberi layanan istimewa bukan sahaja menjadi warganegara malah dibenarkan berkhidmat sebagai pegawai kerajaan?” tanya beliau kepada Harakahdaily.

Kenyataan penuh beliau sebagaimana di bawah.

Di sebalik krisis pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, yang menyebabkan aspek keselamatan dan kedaulatan negara menjadi perhatian utama, timbul pula isu identiti Agbimudin @ Azzimudie Kiram, ketua pengganas Sulu dan adik ‘Sultan Sulu’ Jamalul Kiram yang sebenarnya pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah (ADO) di Kudat, Sabah sekitar tahun 1970-an.

Pendedahan terbaru itu pastinya mengheret satu lagi lembaran baru dalam kes penyiasatan ini. Bagaimana seorang pengganas yang menceroboh masuk ke negara ini merupakan bekas seorang pegawai kerajaan di negara ini?

Bukankah ini bermakna Azzimudie Kiram juga memiliki kad pengenalan Malaysia?

Persoalan yang lebih besar perlu dijawab, bagaimana seorang warga asing boleh dengan begitu mudah diberi kad pengenalan dan kemudiannya diberi pula hak mengundi?

Apa keistimewaan Azzimudie sehingga beliau bukan sahaja diberi layanan istimewa menjadi warganegara malahan juga dibenarkan berkhidmat sebagai pegawai kerajaan?

Pendedahan Rafizi Ramli mengimbau kembali pendedahan beberapa orang bekas pegawai kerajaan termasuk bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat skandal pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah sekitar tahun 1980-an dahulu.

Dilaporkan sejumlah berpuluh ribu kad pengenalan diproses dan diserahkan kepada warga asing, yang tujuannya adalah bagi memastikan mereka mendapat kerakyatan dan seterusnya mengundi dalam pilihan raya.

Isu ini akhirnya menjadi senjata makan tuan, apabila pengganas tiba-tiba mendarat di Lahad Datu dan menuntut Sabah kepada mereka.

Siapakah yang harus dipersalahkan tatkala melihat beberapa orang tentera Malaysia gugur syahid di medan perang menentang kelompok pengganas ini?

Soal kedaulatan bukan perkara yang boleh dianggap kecil dan mudah. Kedaulatan merupakan persoalan penting negara. Sebarang penyelewengan perlu dibongkar dan tiada siapa yang perlu dilindungi.

Wajarlah mereka yang terlibat dalam pemberian kad pengenalan tersebut dihukum dengan hukuman yang keras termasuk bekas-bekas pemimpin negara.

PM perlu menjawab segala dakwaan berhubung identiti pengganas terbabit. Jawapan PM adalah pada ketegasannya mengambil tindakan dengan menyiasat dakwaan tersebut sehinggalah kepada mengheret dalang penjual kedaulatan negara ke muka pengadilan tanpa tangguh.

Beliau tidak boleh berlengah lagi atau terus mendiamkan diri dari menjawab persoalan yang dikemukakan. Kegagalan PM bertindak, atau lambat respons akan memberi kesan besar kepada dirinya dan partinya dalam PRU Ke-13.

Pastinya rakyat Sabah menjadi semakin marah kerana hak mereka sebagai rakyat dikongsikan oleh pendatang asing, bahkan pengganas di negeri itu.- HD

No comments:

Post a Comment