Sunday, April 28, 2013

UMNO OH UMNO !!!



United Malays National Organization (UMNO) atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) ialah sebuah parti kebangsaan.  Apabila sesebuah parti itu berteraskan kebangsaan, maka perjuangannya terfokus kepada perkauman, yakni Melayu sahaja.  Oleh sebab itu, parti ini hanya dianggotai oleh kaum Melayu dan Bumiputera Sabah (Muslim dan Non-Muslim).  Kaum Cina tidak dibenarkan menganggotai UMNO. Kaum Cina tidak dibenarkan menganggotai UMNO. Kaum-kaum lain pun tidak dibenarkan menganggotai UMNO.


Syarat itu ditentukan oleh ahli-ahli UMNO sendiri.  Orang lain tiada saham walau sebesar zarah pun dalam pensyaratan itu.  Walaupun ada usaha yang dibuat oleh Presiden UMNO yang pertama, iaitu Dato’ Onn Jaafar supaya nama UMNO itu dijadikan United Malayan National Organization supaya kaum-kaum lain boleh menganggotainya, ahli-ahli UMNO tidak bersetuju sehingga Dato’ Onn meninggalkan UMNO dan menubuhkan Independent Malayan Party (IMP) yang membuka keahliannya kepada semua kaum.  Situasi sedemikian kekal hingga ke hari ini. UMNO tetap parti kebangsaan yang perkauman. PAS, PKR, dan DAP mengambil acuan yang diilhamkan oleh IMP, yakni menjadi parti pelbagai kaum.


Implikasinya ialah dasar kebangsaan yang diperjuangkan UMNO itu menyebabkan mereka menjarakjauhkan agama (dalam konteks ini Islam) daripada arus perjuangan. Kita boleh melihat buktinya dalam Perlembagaan UMNO.  Agama Islam diletakkan pada tangga ketiga, bukan yang utama atau yang kedua.  Seserak mana pun mereka meratus kepada khalayak bahawa mereka memperjuangkan Islam, laungan itu tidak tulen apatah lagi ikhlas. Apabila perkara ini dibangkitkan, mereka bingkas mengaturkan jasa-jasa mereka membina masjid, sekolah agama, perbankan Islam, penerimaan dunia Malaysia Negara Islam contoh, dan sebagainya.  Adakah mereka lupa bahawa China juga bina masjid, Rusia juga bina masjid, dan Amerika Syarikat pun bina masjid? Itu ialah tanggungjawab sesebuah kerajaan. 


Kemunafikan UMNO semakin terserlah apabila ada pemimpinnya  yang lantang berkata, “Negara huru-hara jika undang-undang Islam dilaksanakan”  bercakap tentang dosa dan pahala orang lain. Tidak pernahkah dia terfikir dia telah menghina Islam? Selepas melakukan perbuatan terkutuk itu dia membebelkan tentang dosa-dosa yang dilakukan oleh orang lain. Dia tidak berdosakah dengan ucapan yang celupar itu? Inilah yang ada pada lidah pemimpin yang bernaung di bawah dasar kebangsaan. 


Itulah imej yang terpahat dalam hati dan budi UMNO. Hal itu tidak mungkin dipisahkan selagi mereka berpegang teguh kepada dasar kebangsaan yang sudah tidak relevan lagi pada hari ini. Kedegilan itu akan memerangkap diri mereka sendiri. Cucilah dengan apa-apa sekalipun, kebangsaan akan tetap muncul di permukaan untuk menyatakan keberadaannya dalam UMNO.  Rakyat yang semakin bijaksana tidak akan terperangkap dengan kepura-puraan UMNO itu. Mereka akan menolak UMNO sekalipun dengan harga yang sangat mahal!!!   

No comments:

Post a Comment