Thursday, May 16, 2013

APA LAGI UMNO MAU?

MALAYSIANS TOLAK NAJIB, KETUANAN UMNO, DAN RASIS

Ada dua fakta yang sangat relevan hasil daripada PRU Ke-13 yang lalu. Pertama, rakyat tolak kepimpinan Najib dan ketuanan UMNO. Kedua, kita tolak provokasi perkauman yang dimainkan oleh UMNO/BN melalui media utama mereka.

Najib enggan menerima kepimpinannya dan ketuanan UMNO ditolak rakyat. Dia menyalahkan pengundi Cina dan menyifatkan hasil PRU Ke-13 sebagai “tsunami Cina” untuk menutup kegagalannya. Dia silap besar apabila mengeluarkan kenyataan tersebut. Jumlah kerusi Cina dalam tahun 2008 ialah 56, merosot 8 kerusi pada tahun 2013 menjadi 48 sahaja; sedangkan UMNO menambah 9 kerusi daripada 79 dalam tahun 2008 menjadi 88 pada tahun 2013. Hal ini menyerlahkan kekelam-kabutan pemikiran Najib ketika mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman itu. Dalam kekalutan itu, Dr. M dan Ali Rustam mengeluarkan kenyataan yang jauh lebih rasis, iaitu “Cina tolak salam persahabatan Melayu” dan “Cina tak mengenang budi.”

Kesemua dakwaan di atas tidak benar sama sekali. Apakah yang membuktikan rakyat menolak kepimpinan Najib dan ketuanan UMNO? Ada 6.58 juta pengundi Melayu dalam PRU Ke-13. Hanya 3.24 juta pengundi yang mengundi UMNO. Harus diingat bahawa jumlah undi yang diterima UMNO itu disumbangkan oleh pengundi Melayu, Cina, India, dan lain-lain. Apabila UMNO mendakwa mereka mempunyai lebih daripada 3 juta ahli, angka yang tertera itu menunjukkan bahawa ahli UMNO sendiri tidak menyokong UMNO. Pertambahan 9 kerusi Dewan Rakyat yang diperoleh UMNO merupakan hasil ehsan pengundi bukan Melayu, terutamanya Cina. Nyatalah bahawa ungkapan “tsunami Cina” itu melambangkan UMNO tidak tahu berterima kasih dan bersyukur kerana pengundi Cina juga turut menyokong mereka. Inilah sikap marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Hakikatnya tidak sampai pun 3 juta pengundi Melayu yang menyokong UMNO. Melayu yang menyokong UMNO pula terdiri daripada pengundi luar bandar yang secara relatifnya buta maklumat dan peneroka FELDA yang majoritinya enggan berubah. Ini bermakna lebih separuh daripada 6.58 juta pengundi Melayu mengundi Pakatan Rakyat. Lebih ramai Melayu yang tak suka Najib dan UMNO. Kalau orang Melayu pun tak suka Najib dan UMNO, tak usahlah lihat undi Cina, India, dan lain-lain. Jadi, apa motif UMNO dan media utama mereka mengapi-apikan perkauman? UMNO sebenarnya sedang terseksa kerana Melayu, Cina, India, dan lain-lain yang menjadi penghuni bandar serta dikategorikan sebagai golongan menengah telah melarikan diri daripada mereka.

Tiada gunanya Najib dan UMNO menyalahkan rakyat, terutamanya Cina kerana tidak berjaya menarik sokongan walaupun dari orang Melayu setelah meleburkan RM2.6 bilion sebagai gula-gula politik. Wang yang banyak tidak mampu membeli undi jika orang sudah tidak suka. Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa tidak suka kepada UMNO/BN kerana terpalit dengan rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, khianat, dan pelbagai perlakuan negatif yang lain. Rakyat Malaysia (Melayu, Cina, India, dan lain-lain) yang hidup aman damai sebelum, semasa, dan sesudah PRU Ke-13 menolak perkauman yang diapi-apikan oleh UMNO dan konco-konconya, termasuklah seorang bekas hakim mahkamah rayuan itu. Yang pasti UMNO akan lebih sengsara jika terus memainkan isu yang memudaratkan itu.

No comments:

Post a Comment