Tuesday, May 21, 2013

FANTASI DAN ILUSI UMNO/BN


UMNO/BN sedang berusaha keras melalui penggunaan pelbagai sumber yang mereka ada untuk meyakinkan rakyat bahawa wujud polarisasi kaum pasca-PRU-13. Di satu pihak yang lain, ramai rakyat, terutama golongan muda berhimpun untuk mempamerkan solidariti kaum yang masih utuh di Malaysia. Kedua-dua situasi yang saling bertentangan ini berlaku kerana wujud tanggapan berbeza tentang pola pengundian dalam pilihan raya tersengit pernah berlaku di negara ini.

Bagi UMNO/BN, mereka tidak boleh menerima gerakan besar-besaran kaum Cina mengubah sokongan kepada Pakatan. Sebelum 2008, kaum inilah yang dipuji dan ditatang bagai minyak yang penuh kerana memberi kelangsungan kuasa kepada UMNO/BN sehingga negeri-negeri Melayu seperti Kelantan, Kedah, dan Terengganu tidak mendapat sebarang tambahan kerusi semasa persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan. Kini ternyata teknik dan taktik yang memberi kejayaan besar kepada mereka beberapa tahun yang lalu telah bertukar menjadi senjata makan tuan.
Maka UMNO/BN pun mendendangkan fantasi dan ilusi mereka tentang rekonsiliasi nasional (kerukunan nasional) kononnya atas nama integrasi. Pada hakikatnya, kita dapat melihat kecelaruan sentiasa berlaku dalam struktur pemikiran pemimpin UMNO/BN apabila mereka rasa tercabar tanpa adanya inisiatif untuk memperhitungkan punca penolakan terhadap mereka berlaku.

Pemikiran singkat dan tidak bertanggungjawab ini perlu ditangani melalui kebijaksanaan. Nafsu dan emosi perlu dikekang untuk mengelakkan pembuatan keputusan yang salah untuk menyelesaikan masalah. Mengadakan sesuatu yang tiada akan hanya mengundang kecelakaan untuk jangka masa pendek dan panjang. Wang pembayar cukai akan dibazirkan untuk perkara yang tidak sepatutnya. Janganlah kerana urus tadbir yang lemah, rakyat terbeban dengan pelbagai cukai tambahan. Yang pasti lebih merana ialah golongan miskin di luar bandar yang memastikan UMNO mendapatkan tambahan kerusi di Dewan Rakyat dalam pilihan raya yang baru lalu. Adakah tebu hendak dibalas dengan tuba?

1 comment:

  1. Umno laknatullah ini memang sekali-kali tak akan mengaku bahawa sebab dan punca kepada penolakan rakyat terhadap BN/Umno pada skala yang besar dalam PRU13 ini adalah kerana kerja-kerja jahat dan kotor yang dilakukan oleh mereka selama ini.....

    ReplyDelete