Saturday, May 25, 2013

JANGAN SALAH TANGGAPAN

Black505 bukan untuk guling kerajaan





Blackout505 bukan bertujuan menggulingkan kerajaan secara kekerasan sebaliknya ia merupakan himpunan aman bagi membantah penipuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan, PAS komited menggunakan seluruh saluran demokrasi yang ada termasuk himpunan aman untuk mengembalikan pilihan raya yang bersih dan adil.

"Sepanjang saya menyertai himpunan Black505, ia bukanlah berbentuk kekerasan apatah lagi bertujuan menggulingkan kerajaan secara tidak demokrasi seperti yang didakwa Umno BN.

"Ia sekadar himpunan aman untuk menunjukkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap pilihan raya yang tidak bersih," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata, PAS bersama Pakatan Rakyat akan terus memperjuangkan pilihan raya yang adil dan bersih.

"PAS akan terus berjuang dengan segala ruang yang ada untuk mengembalikan pilihan raya yang bersih dan adil," katanya.

Siri Black505 bermula di Stadium Kelana Jaya 8 Mei lalu sebelum ke Perak, Pulau Pinang, Kedah, Pahang dan Negeri Sembilan. - HD

No comments:

Post a Comment