Friday, May 10, 2013

PENGUNDI CINA TIDAK RASIS



PRU13: Pengundi Cina bukan rasis; ini buktinya 


Majdan Dagang,


Tuduhan bahawa orang Cina rasis, tidak mengenang budi, dan ingin jadi PM tidak benar dan tidak tepat sama sekali. Tuduhan-tuduhan ini hanyalah andaian tanpa berdasarkan fakta yang sebenar. Adalah dibimbangi tuduhan ini bertujuan mencetuskan kegelisahan dalam kalangan orang Melayu khususnya Melayu luar bandar agar terus berpaut pada Umno walaupun mereka terus-terusan menjadi mangsa kerakusan pimpinannya merompak hasil negara. Umno juga sedar bahawa kemenangan mereka pada kali ini banyak bersandarkan kelompok Melayu ini. Jadi mereka akan berbuat apa-apa sahaja agar kumpulan ini terus kekal walaupun terpaksa meniupkan isu perkauman.

Namun, jika penyokong Umno rajin sedikit membuat kajian mereka akan mendapati bahawa kenyataan pimpinan mereka tentang masyarakat Cina meleset sama sekali.

Selepas meneliti keputusan PRU13 ini, saya mendapati dengan jelas bahawa orang Cina bukanlah memenangkan DAP kerana parti itu berasaskan Cina, tetapi undi mereka kerana menolak Barisan Nasional keseluruhannya. Tambahan pula, mana-mana kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Cina atau sekurang-kurangnya 40 peratus pengundi Cina, calonnya daripada Pakatan Rakyat akan menang selesa – tidak kiralah calon itu dari Melayu, Cina, mahupun India.

Antara kawasan yang mempunyai pola sedemikian ialah bagi P48 Bukit Bendera, Pulau Pinang. Pecahan pengundi mengikut kaum bagi kawasan ini ialah Melayu (13.99 %), Cina (73.74 %), India (11.22 %) dan lain-lain (1.14 %). Parlimen ini dimenangi oleh Zairil Khir Johari yang berbangsa Melayu mengalahkan Teh Leong Meng yang berbangsa Cina. Secara logiknya, Zairil Khir Johari boleh kalah teruk tetapi menang dengan majoriti 32,778.

Lihat pula P80 Raub, Pahang. Pecahan pengundi mengikut kaum ialah Melayu (48.93 %), Cina (40.99 %), India (6.60 %), dan lain-lain (3.47 %). Parlimen Raub ini dimenangi oleh Datuk Arif Sabri Abdul Aziz yang berbangsa Melayu mengalahkan Hoh Khai Mun yang berbangsa Cina dengan majoriti 2,814 undi. Pada PRU12 yang lalu Ng Yen Yen mengalahkan calon Melayu dengan majoriti 2752 undi. Pada kali ini berlaku sebaliknya.

Bagi P100 Pandan. Pecahan pengundi di kawasan ini asalnya Melayu adalah majoriti. Ketika itu Datuk Ong Tee Kiat berbangsa Cina telah menang selesa. Namun pada PRU13 ini majoriti pengundi adalah Cina. Pecahan mengikut kaum ialah Melayu (44.36 %), Cina (48.14 %), India (6.60 %) dan lain-lain (0.9 %). Mohd Rafizi berbangsa Melayu menewaskan Lim Chin Yee dan Tan Yew Leng yang berbangsa Cina dengan majoriti 26,729 undi!

Bagi N30 Mentakab, Pahang calon Melayu, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menewaskan penyandang kerusi ini yang berbangsa Cina iaitu Datuk Chuah Boon Seong dengan majoriti 1,554 undi. Pada PRU12, Datuk Chuah menang dengan majoriti 2,439 undi. Pecahan pengundi bagi kawasan ini ialah Melayu (50.94 %) Cina (40.95 %), India (5.92 %) dan lain-lain (2.19 %).

Berdasarkan fakta dan maklumat tersebut, dengan sendirinya menyangkal dakwaan bahawa orang Cina bersikap rasis kerana memenangkan calon bangsa mereka. Orang Cina bukan menolak BN atau bangsa mereka sendiri tetapi mereka menolak pemimpin dan parti yang rasuah, salah guna kuasa, rasuah dan pelbagai lagi masalah.

Selain itu, pengundi cina juga membuktikan bahawa mereka masyarakat yang matang dan celik maklumat serta tidak mudah melatah dengan propaganda politik. MCA telah memainkan isu satu undi untuk DAP bererti satu undi untuk PAS yang mahu mengadakan hukum hudud. Umno juga turut menakut-nakut pengundi melalui isu ini. Walaupun ada kalangan pemimpin DAP yang tidak bersetuju dengan hasrat PAS itu, tetapi para pengundi Cina semakin hari semakin memahami apakah hukum hudud.

Buktinya, mereka telah memberi sokongan yang padu dan memberikan kemenangan bergaya kepada calon-calon PAS di kawasan lebih 40 peratus pengundi Cina.

DUN N13 Sungai Abong, Bakri, Johor. Calon PAS, Dr Sheikh Ibrahim Salleh berjaya mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada PRU12 lalu. Majoritinya turut bertambah dari 1,550 pada PRU12 kepada 3,813 pada PRU13. Pecahan pengundi bagi DUN ini ialah Melayu (51.33 %), Cina (45.22 %), India (2.96 %) dan lain-lain (0.48 %).

N15 Maharani. Calon PAS, Dr Mohammad Taslim juga telah mengekalkan kerusi yang dimenangi pada PRU12 dan menambahkan majoritinya daripada 158 pada PRU12 kepada 3,136 pada PRU13. Pecahan pengundi mengikut kaum bagi kawasan ini ialah Melayu (54.98 %), Cina (41.98 %), India (2.50 %) dan lain-lain  (0.54 %).

Seterusnya N21 Parit Yaani, calon PAS, Aminolhuda Hassan berbangsa Melayu telah merampas kerusi ini daripada calon MCA Teo Yew Chuan dengan majoriti kemenangan 1,188. Pada PRU12, MCA menang dengan majoriti 3,857 undi. Pecahan pengundi ialah Melayu (55.61 %), Cina (43.06 %), India (1.82 %) dan lain-lain (0.23 %). Keputusan ini juga membuktikan pengundi Cina bukan rasis kerana turut memberi undi kepada PAS.

Bagi kawasan N41 Puteri Wangsa pula, pengundi Cina dengan jelas membuktikan bahawa kempen menakut-nakutkan mereka dengan isu hudud kurang berkesan dan orang Cina tidak rasis. Hal ini kerana calon PAS, Syed Sis Abdul Rahman menang dengan majoriti 4,469 undi. Pecahan pengundi bagi kawasan ini ialah Melayu (40.27 %), Cina (47.22 %), India (11.79 %) dan lain-lain (0.73 %).

Jika anda rajin menelaah keputusan PRU13 yang lalu, banyak lagi bukti yang menunjukkan bahawa penolakan pengundi Cina bukanlah kerana bangsa atau parti tetapi penolakan total kepada sikap parti pemerintah itu sendiri.

Salah seorang rakan saya berbangsa Cina menyatakan rasa sedihnya apabila dituduh bangsanya bersikap rasis. Bagi beliau, tuduhan itu tidak berasas sama sekali dan tidak menghormati haknya sebagai pengundi untuk membuat pilihan.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, keharmonian antara kaum, dan kemakmuran negara menyeru agar jangan memainkan isu-isu yang boleh mengundang kebencian antara kaum. Marilah kita bersama menuju Malaysia baru yang saling hormat-menghormati antara kaum dan agama.


2 comments:

  1. Tolong-ya, PAS ke, PKR ke, DAP ke... jangan nak pandai-pandai kata bila dah sokong PAS atau PKR atau DAP, kita dah ni-lah, tu-lah...kita ingin bagi mesej, jangan lebih-lebih bila memerintah, buat apa yang adil dan patut.

    Dah bagi undi tak bermkna kita setuju dengan keseluruhan polisi yang diperjuangkan oleh parti-parti masing.

    Jangan asyik nak kata memperjuangkan Islam, Islam perlu diutamakan, dah sebagainya padahal orang Islam yang berkaliber diketepikan hanya semata-mata dia tak sebulu, dah bagi peluang memerintah, dia seolah-olah dah hebat tentang hal-hal memerintah. Islam adalah cara hidup, hanya perlu dilaksanakan, orang akan nampak apa yang dibuat, tak payah berbuih-buih mulut cakap yang awak ni Islam. Islam ni memang sudah diutamakan di negara ini, tapi bagi orang bukan Islam, sekarang ni lebih rupa dari isi pada pengikut-pengikutnya.

    ReplyDelete
  2. Sebelum ni adalah luahan hati tentang apa yang berlaku di Kedah sebelum ni dan apa yang berlaku di Kelantan dan Selangor sekarang ni.

    ReplyDelete