Monday, May 6, 2013

TAHNIAH PAKATAN RAKYAT



Walaupun UMNO/BN Berjaya membentuk kerajaan pusat, mereka telah kehilangan tujuh kerusi parlimen kepada Pakatan Rakyat (PR). Ini bermakna prestasi Najib jauh lebih rendah daripada prestasi Pak Lah pada tahun 2008 walaupun dia telah memberi terlalu banyak gula-gula politik kepada rakyat. Gula-gula politik seperti BR1M, BB1M, KR1M, dan sebagainya langsung tidak berbaloi.  Kelemahan Najib amat terserlah dalam PRU Ke-13 ini.  Yang pasti kita akan dapat melihat desakan UMNO kepada Najib untuk berundur akan berlaku sekiranya mereka masih berpegang kepada trend 2008.  Di samping itu, pergolakan dalaman akan terus berlaku dalam UMNO.  Kita akan dapat melihatnya sedikit masa lagi. Sesungguhnya kemenangan UMNO/BN kali ini bukanlah sesuatu yang menguntungkan jika mereka terus berdepan dengan permaslahan kepimpinan.  Pernyataan yang mengatakan bahawa UMNO/BN akan bangkit semula selepas mengalami kekalahan teruk tidak berlaku kali ini. Kewujudannya menandakan keterhakisan pengaruh UMNO/BN semakin melebar.  UMNO/BN tentunya menyedari hakikat ini.   

Kehilangan tujuh kerusi parlimen kepada PR menyaksikan UMNO/BN hanya memperoleh 133 kerusi. Pakatan kini lebih kuat di parlimen dengan 89 kerusi.  Sekalung tahniah diucapkan kepada PR kerana kejayaan tersebut.  Walaupun PR tidak berjaya mengekalkan kerajaan Kedah, mereka menang bergaya di Selangor, Pulau Pinang, dan Kelantan. Harus diingat bahawa kesemua negeri yang dipertahankan oleh PR mendapat majoriti 2/3. Nampak gayanya rakyat terus mempercayai PR untuk mengemudi dua buah negeri termaju di Malaysia, iaitu Selangor dan Pulau Pinang.  Kegagalan strategi Najib untuk menguasai Selangor akan menjadi duri dalam daging kepimpinannya selepas ini.

PR nyaris-nyaris berkuasa di Perak dan Terengganu.  Pencapaian sebegini belum pernah dikecapi oleh PR.  Namun demikian, apa-apa saja boleh berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak apabila UMNO/BN hanya menguasai 31 kerusi berbanding dengan PR 28 kerusi, keterbalikan keputusan pada tahun 2008. Mungkinkah kali ini Perak jatuh ke tangan PR di pertengahan jalan? Sama-samalah kita saksikan. Apa-apa saja boleh berlaku dalam politik. Begitu juga halnya dengan DUN Terengganu yang berbeza hanya 2 kerusi (UMNO/BN 17 PR 15).

Sesungguhnya keputusan PRU Ke-13 akan merancakkan dan menimbulkan ketegangang apabila berlaku pilihan raya kecil di mana-mana kerusi  selepas ini, sama seperti yang berlaku selepas PRU Ke-12 walaupun senarionya agak berbeza pada kali ini.    

1 comment:

  1. Ya..akan berlaku beberapa siri pilihanraya kecil selepas ini di kawasan BeEnd. Sebabnya ialah......
    Bila izrail datang memanggil...(sambung)

    ReplyDelete