Thursday, May 23, 2013

TIADA UMNO, TIADA PERKAUMAN ?


Perkauman ialah sampah di sesebuah negara. Sifatnya kotor. Perkauman ialah kekotoran yang membunuh kemanusiaan, rasa kasih sayang, menanamkan kebencian antara satu kaum dengan kaum yang lain, dan membina perseteruan yang tajam. Malangnya, api perkauman bermunculan di negara yang indah ini selepas PRU-13 yang lalu dengan keadaan yang amat mengerikan.

Kenyataan demi kenyataan daripada pemimpin rasis dan mereka yang sealiran fikiran dengannya sangat dahsyat dan boleh menjejaskan kestabilan negara. Api perkauman ditiupkan dengan kencang, apabila mereka menganggap keputusan PRU itu sebagai ‘tsunami Cina’ kerana BN kebanyakannya tewas di kawasan bandar dan semi bandar. DAP menang di kawasan bandar, pada hal, begitu ramai pengundi Melayu di bandar turut mengundi parti-parti Pakatan Rakyat yang lain.

Golongan perkauman ini bercakap, ‘Apa lagi yang Cina Mahu’, mengesyorkan supaya sekolah jenis kebangsaan dihapuskan, boikot barangan Cina dan pelbagai lagi kata-kata tajam yang memancarkan api perkauman yang mengerikan.

Kenyataan perkauman seumpama ini tidak mudah untuk dihentikan dan tidak ada siapa yang boleh menghentikan, walaupun agama Islam menentang perkauman dan menganggapnya haram. Hadis sahih Nabi SAW sendiri menyebut, “Bukan dari umatku mereka yang meneriakkan assobiyah (perkauman)”. Ini kenyataan yang sangat tegas dari Nabi SAW.

PAS sendiri sebagai parti yang berasaskan Islam menentang perkauman, sudah sangat lama mengenengahkan hadis ini ke tengah masyarakat, namun perkauman masih juga bersemarak. Malah, di kampung-kampung, sebelum dan sesudah PRU, tiupan perkauman lebih kencang lagi.

Malangnya, sesetengah penceramah di masjid dan surau kelihatannya tidak berminat – entah atas sebab apa – untuk memberitahu bahaya perkauman yang ditentang oleh Islam sendiri. Kuliah yang diberi tidak membahaskan persoalan penting ini dan ini menyebabkan rakyat, khususnya jamaah masjid, tidak diberikan huraian yang jelas mengenai bahaya perkauman. Maka terus suburlah bahaya perkauman itu.

Perlu ditegaskan, aliran pengundian dalam PRU yang lalu sama sekali bukan pengundian berbentuk perkauman. Orang Melayu, terutama di bandar dan semi bandar ada juga yang mengundi calon DAP atau PKR yang bukan Melayu. Sebaliknya, orang Cina juga banyak yang mengundi calon PAS dan PKR, di samping calon DAP.

Secara kebetulan, calon DAP banyak bertanding di bandar, di samping calon PKR, sementara calon PAS banyak bertanding di semi bandar dan kampung. Maka pengundi bandar dan semi bandar membuat pilihan sedemikian rupa dan ini bukan aliran perkauman seperti yang didakwa. Iaitu kononnya Cina hanya mengundi DAP, pada hal masih ada juga pengundi Cina dan Melayu di bandar yang mengundi BN, walaupun mungkin jumlahnya kecil.

Menurut tinjauan, pengundi Cina, malah Melayu juga yang menolak BN bukan kerana sentimen perkauman, tetapi kerana menentang rasuah, nipotisme, kronisme, pembaziran dan lain-lain yang masih mendominasi BN dan BN tidak berdaya mengatasinya.

Di samping itu, jumlah 40 peratus pengundi muda (30 tahun ke bawah) yang keluar mengundi secara besar-besaran - ada yang beratur di saluran 6 dan 7 hingga 2 jam lebih – memihak kepada Pakatan Rakyat. Hal ini kerana, seperti diketahui umum, mereka terdedah kepada pelbagai maklumat daripada pelbagai sumber. Mereka bukan pelanggan akhbar harian, TV1 atau TV3 dan mereka tidak bersikap rasis. Oleh itu aliran pengundian, khususnya di bandar dan di luar bandar bukan aliran pengundian berdasarkan perkauman.

Masanya akan tiba tidak lama lagi bahawa fahaman perkauman akan beransur luput apabila semakin ramai pengundi di Malaysia, terutama di luar bandar, boleh berfikir dan sedar akan bahaya perkauman, seperti kata Ahli Parlimen Batu Pahat yang baru, Datuk Idris Jauzi, “Apabila perkauman tidak ada lagi, maka Umno/BN pun tidak akan ada lagi.” - HD

No comments:

Post a Comment