Monday, June 17, 2013

BREAK THE SYSTEM


JANGAN TUNGGU KUCING BERTANDUK

Kawasan pilihan raya di negara kita dibahagikan kepada lima kategori, iaitu bandar majoriti Cina, bandar Melayu, bandar campuran, separa bandar, dan luar bandar. Ada 16 kerusi bandar majoriti Cina, 16 kerusi bandar Melayu, 13 kerusi bandar campuran, 54 kerusi separa bandar, dan 123 kerusi luar bandar. Ini bermakna kerusi bandar majoriti Cina, bandar Melayu, bandar campuran, dan separa bandar berjumlah 99 kerusi. Jumlah kesemuanya 222 kerusi.

Keputusan PRU-13 menunjukkan bahawa BN tidak memenangi sebarang kerusi di bandar majoriti Cina. Mereka memenangi 4 kerusi bandar Melayu, 1 kerusi bandar campuran, 20 kerusi separa bandar, dan 108 kerusi luar bandar. Jumlah kesemuanya 133 kerusi.

PR memenangi kesemua 16 kerusi majoriti Cina, 12 kerusi bandar Melayu, 12 kerusi bandar campuran, 34 kerusi separa bandar, dan hanya 15 kerusi luar bandar. Jumlah kesemuanya ialah 89 kerusi.

Sehubungan itu, kita mendapati pola pengundian dalam PRU-13 tidak berasaskan kaum. Ini kerana jumlah bandar majoriti Cina terlalu sedikit jika dibandingkan dengan bandar Melayu, bandar campuran, dan separa bandar yang jumlahnya 58 kerusi. Harus diingat bahawa kawasan yang memperuntukan 58 kerusi itu didiami oleh Melayu, Cina, India, dan lain-lain. Oleh sebab itu, pola pengundian dalam PRU-13 merupakan "tsunami rakyat Malaysia". Hanya Melayu luar bandar yang terus menyokong UMNO/BN. Majoriti Melayu, Cina, India, dan lain-lain yang tidak mendiami kawasan luar bandar menyokong Pakatan. Harus diingat bahawa rakyat Malaysia yang menyokong Pakatan ini tergolong dalam kumpulan berpendapatan tinggi, sederhana, dan golongan muda.

Namun demikian, fakta yang melukakan hati UMNO/BN bukan sahaja mereka kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat malahan juga kalah dari segi undi popular. UMNO/BN hanya memperoleh 47% undi popular, sedangkan Pakatan memperoleh 51% undi popular. Hanya sistem first past the post dan kejanggalan jumlah pengundi di kawasan bandar (misalnya Kelang ada lebih 177,000 pengundi) yang menyelamatkan UMNO/BN dari tersungkur.

Berikutan keputusan itu, ada penganalisis yang berpendapat bahawa sistem pilihan raya di Malaysia dicipta untuk memenangkan BN. Pendapat itu benar jika kita melihat keputusan bagi Top 20 majoriti terbanyak. 19 daripadanya dikuasai oleh Pakatan. Hanya 1 yang dikuasai oleh UMNO/BN, iaitu Pekan yang diwakili PM Najib. Puluhan ribu majoriti yang dikecapi Pakatan itu tidak membawa makna yang besar kepada Pakatan kerana mereka hanya memperoleh 19 orang wakil di Dewan Rakyat dan melonjakkan peratus undi popular yang tidak pun dikira dalam sistem pilihan raya Malaysia.

Oleh sebab itu, pandangan yang berikut dikemukakan untuk diberi perhatian utama oleh Pakatan. Yang berikut ialah antara sungutan Pakatan terhadap SPR yang hingga kini tidak ada jalan penyelesaiannya:

(a) Sebuah rumah ada 30 pengundi.
(b) Satu alamat ada 60 pengundi.
(c) Tiada rumah ada 90 pengundi.
(d) Sebuah rumah kecil tidak bernombor ada 100 pengundi.
(e) Sebuah rumah kedai ada 20 pengundi yang terdiri daripada Melayu, Cina, dan India.

Politik ialah permainan memiliki kuasa. Pemilikan kuasa berkait rapat dengan kepentingan. Sungutan-sungutan di atas telah diutarakan lebih daripada dua kali PRU. Hasilnya Pakatan tidak berjaya menguasai Putrajaya. Oleh sebab itu, sudah sampailah masanya untuk Pakatan sendiri yang membuat perubahan. Perubahan yang paling utama ialah mengadapatasi sistem yang diguna pakai oleh SPR untuk menguntungkan Pakatan. Selama ini, sistem badan itu hanya menguntungkan UMNO/BN. Sudah sampai masanya untuk Pakatan pula mengambil alih tempat itu.
Tiada gunanya Pakatan menyalak dan menyalahkan SPR. Sekalipun perhimpunan BERSIH diadakan sehingga BERSIH 10.0, keadaan tidak akan berubah. Apa yang perlu dilakukan? Pakatan perlu menerima pakai pepatah Cina yang mengatakan bahawa “ kalau tak boleh kalahkan mereka, berkawan dengan mereka”. “Kawan” yang dimaksudkan di sini adalah bersetuju dengan tindakan mereka. Berhentilah menghentam SPR sebelum kehabisan suara. Yang penting dan utama ialah “break the system”.

Pakatan kena terima (a), (b), (c), (d), (e), dan apa-apa jua lagi yang ada kaitan dengan SPR. Turut serta dalam pembikinannya. Tiada gunanya Pakatan berbangga kerana mendapat majoriti tertinggi di Seputeh kerana Pakatan tetap diwakili oleh seorang wakil rakyat sahaja. Alangkah baiknya jika limpahan majoriti di banyak kawasan itu diagih-agihkan ke Setiawangsa, Titiwangsa, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Sungai Besar, Kuala Selangor, Tanjong Karang, Tanjong Malim, Tapah, Bentong, dan Putrajaya. Pengagihan juga perlu dibuat bagi limpahan majoriti Ipoh Timur dan Ipoh Barat serta limpahan majoriti di Pulau Pinang. Melalui kaedah ini, berkemungkinan besar UMNO/BN kehilangan kuasa apabila Pakatan memperoleh 102 kerusi atau lebih di samping mengekalkan jumlah kerusi luar Bandar yang mereka miliki. Kata orang tua-tua Melayu, "Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih"; “Di mana ada kemahuan, di situ ada kejayaan”; dan “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Perkara ini mampu dilaksanakan dan perlu dimulakan secepat mungkin sehinggalah senarai pengundi dimuktamadkan oleh SPR sebelum PRU Ke-14 nanti. Pakatan akan terus menderita seandainya terus merintih seperti sekarang ini. Pakatan perlu bangkit to break the system supaya menguntungkan mereka. Biar sistem yang UMNO/BN buat itu menjadi senjata makan tuan dalam PRU Ke-14 nanti. Usahlah menaruh harapan SPR akan bertaubat dan menjadi badan yang berkecuali. Tunggu kucing bertanduklah nampaknya. Walau bagaimanapun, jika kaedah ini tidak boleh diterima pakai, pakar-pakar strategi Pakatan perlulah mencari jalan yang lebih sesuai.


No comments:

Post a Comment