Sunday, June 2, 2013

BUAT APA-APA PUN IKUT SUKA HATI SAJA

Persempadanan: Wan Ahmad disuruh cermin diri dahulu

Harakahdaily, 31 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar disuruh cermin diri terlebih dahulu sebelum bercerita mengenai ketelusan SPR dalam persempadanan semula kawasan pilihanraya yang bakal diadakan hujung tahun ini.
Menurut Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, Wan Ahmad adalah salah seorang pegawai SPR yang terlibat dalam persempadanan semula kawasan pilihanraya di 2003.

Menggunakan Kedah sebagai contoh, Ong berkata SPR tidak melakukan amanah tersebut berdasarkan undang-undang, malah sangat memihak kepada BN pada 2003 ketika Wan Ahmad menjadi timbalan pengerusi SPR.

“Perkara itu paling jelas di Kedah di mana tiada kerusi parlimen mahupun Dun ditambah selepas BN hilang 2/3 majoriti Dewan Rakyat setelah tewas di pilihanraya kecil Lunas pada tahun 2000, tapi sempadan dilakar semula dengan niat membantu Umno untuk menang kembali beberapa kawasan parlimen yang ia tewas pada pilihanraya umum 1999,” kata Ong dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, SPR telah cuba mempertahankan perbezaan dalam jumlah undi setiap kawasan dengan merujuk kepada prinsip pemberat kawasan pedalaman (rural weightage) di mana kawasan pedalaman, dengan jaringan pengangkutan yang lemah dan luas kawasannya, perlu mempunyai jumlah pengundi yang lebih kecil daripada kawasan bandar yang lebih tepu dan lebih mudah dihubungi.

“Tapi di Kedah, ketika persempadanan semula 2003, prinsip ini dilanggar dengan jelas. Undi bukan Melayu telah dikeluarkan daripada kawasan selamat Alor Setar dan dimasukkan ke kawasan PAS iaitu Kuala Kedah dan Pokok Sena.

"Pengundi bukan Melayu juga dikeluarkan dari kawasan kerusi selamat Merbok ke kerusi PAS di Jerai. Kawasan majoriti Umno BN di Padang Serai telah dipindahkan ke kerusi PAS di Baling,” hujah Ong.

Jadual 1: Perbezaan di kawasan dan jumlah pengundi antara kawasan bandar dan pedalaman di Kedah selepas persempadanan semula Kedah pada 2003.
Kerusi Parlimen Keluasan (km2) Jumlah Pengundi pada 2003 Jumlah Pengundi pada 2013
P8 Pokok Sena 320 64192 80916
P9 Alor Setar 109 56007 69189
P10 Kuala Kedah 232 73942 95534




P16 Baling 1544 73942 93376
P17 Padang Serai 352 51778 74245




Ong berkata persempadanan melampau SPR boleh dilihat apabila perbandingan antara jumlah pengundi dengan keluasan kawasan dibuat seperti di Jadual 1.

“Sebagai contoh, P9 Alor Setar, walaupun ialah kawasan bandar yang maju dengan keluasan kawasan terkecil di antara semua parlimen di Kedah, sebenarnya mempunyai jumlah pengundi (56,007) yang lebih kecil berbanding dengan kawasan jiran yang lebih besar seperti P8 Pokok Sena (64,912) and P10 Kuala Kedah (73,942). Perbezaan ini masih kelihatan di pilihanraya 2013, Alor Setar mempunyai 69,189 pengundi berbanding 80,916 di Pokok Senan dan 95,534 di Kuala Kedah,” kata Ong.

Kes paling melampau kata Ong ialah P16 Baling, kawasan pedalaman di Kedah. Persempadanan semula di 2003 telah meningkatkan jumlah keluasan Baling dari 1,107km2 ke 1,544km2, sedikit kecil daripada keseluruhan Melaka.

Ini, katanya kerana salah satu daripada kawasan kuat Umno di kawasan jiran Padang Serai – Kuala Ketil – telah dipindahkan di kawasan Baling. Akibatnya, Padang Serai, yang lebih bersifat bandar mempunyai jumlah pengundi yang lebih kecil (51,778) dibandingkan dengan Baling (73,942).

"Perkara ini masih jelas kelihatan di pilihanraya 2013. Baling sekarang mempunyai 93,386 pengundi (kedua terbesar di Kedah) dibandingkan dengan 74,425 pengundi di kawasan bandar Padang Serai,” jelas Ong.

Ini semua membuktikan bahawa prinsip ‘rural weightage’ langsung tidak diikuti oleh SPR ketika persempadanan semula di Kedah.

Persempadanan melampau ini, kata Ong, akhirnya makan tuan pada pilihanraya di 2008 apabila pengundi bukan Melayu yang setia pada BN, yang tidak akan mengundi PAS, telah memberikan undi mereka kepada pembangkang.

“Antara pegawai SPR yang ada, Wan Ahmad adalah antara yang bersama SPR ketika persempadanan melampau di 2003. Oleh itu, beliau pegawai SPR yang paling kurang layak untuk mempertahankan rekod SPR untuk memastikan persempadanan semula yang adil bermula hujung tahun ini,” kata Ong.

No comments:

Post a Comment