Tuesday, June 4, 2013

BUKAN POLITIK SEMATA-MATA

   Dakwah non Muslim: Umno, MCA perlekeh usaha PAS


,
Mazlan Aliman

Mazlan (kanan) bersama kaum Tionghua semasa kempen PRU13.
Menyampaikan dakwah dan penerangan bukan untuk satu-satu kaum sahaja. Sejak PAS ditubuhkan pada tahun 1951, segenap lapisan masyarakat telah didekati.

Kefahaman mengenai Konsep Negara Islam kepada non Muslim umpamanya, telah digerakkan secara agresif pada tahun 1980-an lagi. Simposium Negara Islam, siri-siri dialog dan ceramah waktu itu menjadi aktiviti rutin PAS.
Penubuhan CCC telah menjadi jambatan yg merapatkan PAS dengan non Muslim khususnya kaum Tionghua. Tokoh-tokoh PAS seperti Kamal Koh, Redhuan Onn, Hj Subky Latif antara yang berperanan melakukan anjakan paradigma memecahkan tembok PAS dengan non Muslim.
Penghalang yang memperlekeh usaha PAS adalah MCA dan UMNO. Cercaan terhadap hukum hudud, persepsi negatif melalui media arus perdana oleh pemimpin MCA dan UMNO bertali arus. Meskipun DAP sentiasa lantang dalam isu-isu tertentu, pemimpinnya jauh lebih lunak dalam memperkatakan isu sensitif, apatah lagi membabitkan soal agama.
Peliknya, pemimpin UMNO yang mengaku Islam, diketuai Dr Mahathir begitu celupar dalam membicarakan soal perlaksanaan syariah, hudud dan Negara Islam. Pemimpin MCA tukang tepuk tangan...
Memang diakui tahun-tahun 1980-an hingga 2000, MCA terlalu kuat dan menjadi suara dominan kaum Cina. Ketika era Reformasi akibat pemecatan Anwar Ibrahim, saat sebahagian besar orang Melayu termasuk pemimpinnya seperti Zahid Hamidi menentang arus, undi Cina menjadi penyelamat kepada BN. Kalau tidak, dah lama BN berkubur!

Sejak PRU12, masyarakat Cina mula berubah dengan begitu ketara. Tidak terkecuali kaum India. India estet yang tinggal jauh di pedalaman pun menyokong pembangkang. Non Muslim menjadi rakan baik PAS. Dari Kelab Penyokong PAS hingga dinaiktaraf ke Dewan Himpunan Penyokong PAS. Mereka bukan sahaja tertarik dengan perjuangan PAS; tapi ada juga menganut agama Islam kerana terpegun dek keindahan ajaran Islam yang diamalkan ahli-ahli PAS.

Alhamdulillah, hubungan PAS melalui Pakatan Rakyat dengan non Muslim begitu ketara. Pengalaman saya sendiri bertanding di Parlimen Bera 2008 dan Dun Bukit Permai 2013, bukti nyata. Saya harus mengakui, kemanisan berjuang dicelah kelompok masyarakat non Muslim. Subhanallah, nikmatnya, hanya Allah yang tahu!

Berbanding mendekati kelompok Melayu dan India, orang Cina bukan masyarakat yang meminta-minta. Jika di Bera, pergilah ke Triang, Mengkarak dan Kemayan, atau di Kulaijaya; temuilah Cina Sengkang, Sedenak dan Bandar Indahpura; layanan mereka cukup istimewa. Mereka faham sensitiviti agama. Kenapa saya mengelak dari bersalaman dengan wanita mereka, menghindarkan tempat sensitif ketika kempen; bahkan rindu mereka jika saya tidak bertemu beberapa hari...

Rakan DAP, baik calon maupun sukarelawan mereka sendiri terangkan batas-batas hubungan dan soal sensitif. Saya sudah lali mendengar orang Cina yang menyokong hudud. Kami tidak mencuri, tak rasuah, rompak harta rakyat; kenapa kami harus takut dengan hudud, kata mereka. Ketika saya kalah, ada kawan-kawam kaum Cina yang sangat sedih hingga tidak lalu makan berhari-hari.

Sejujurnya, kebanyakan orang Cina lebih faham soal memilih calon dan Kerajaan Beramanah dari orang Melayu sendiri. Nilai mereka bukan umpan RM200-RM300 ringgit. Mereka mahu UBAH pemimpin korup, penuh skandal kepada pemimpin berintergriti!

Buktinya, Dr Mariah Mahmud, Rafizi Ramli, Fuziah Salleh, Datuk Arif Sabri, Ust Abdullah Hussin dan Hj Aminolhuda (sekadar beberapa contoh) menang bertanding menentang calon non Muslim dari BN. Orang Cina sendiri tolak calon MCA, sebaliknya Melayu undi MCA/MIC?

Ketika politik perkauman telah ditolak oleh masyarakat non Muslim, orang melalu termasuk pemimpin, sesetengah cendikiawan dan NGO seperti Perkasa, terjerit-jerit kononnya melayu akan hilang kuasa, hilang agama dll.

Umno dakwa dia parti orang Melayu dan memertabatkan agama. Zahir bicaranya nampak hebat...kita pertahankan kalimah Allah, tapi hudud?
Tidak sesuai untuk diamalkan di Malaysia, nanti huru hara. Yang tentang habis-habisan pemimpin Umno sendiri!

Hakikatnya, mudah untuk dikenali siapa sebenarnya pejuang agama dan penentangnya.

Sandiwara perkauman, tidak lebih digunakan untuk pertahankan hayat politik peribadi pemimpin Umno.

Rakyat diperdaya semata-mata. Umpannya DUIT.

Ini yang membezakan masyarakat Melayu dengan non Muslim. PAS mesti konsisten mendekati dan menjinakkan masyarakat non Muslim dengan keadilan dan kebenaran perjuangan yang suci ini.

Apapun cemuhan, kritikan dan fitnah, teruskan usaha yang telah dirintis puluhan tahun. Impaknya telah kelihatan menyerlah. Bukan kerana faktor politik undi semata-mata, namun yang lebih utama; risalah dakwah yang membentuk kefahaman dan keperibadian mulia.

Cerminan hidup kita yg menjadi tontonan masyarakat, In syaa Allah.

Inilah kejayaan hakiki perjuangan Islam...

No comments:

Post a Comment