Saturday, June 29, 2013

DAKWAT KEKAL YANG KANTOI




Perkara yang sangat ingin diketahui oleh rakyat Malaysia ialah punca dakwat kekal yang digunakan semasa PRU Ke-13 itu tidak kekal. Persoalan yang sangat mudah seperti ini pun tidak dapat diselesaikan dengan baik dan betul oleh pihak yang bertanggungjawab. Mula-mula sekali Pengerusi SPR kata dakwat itu tidak kekal kerana pengendali tidak menggoncang botol dakwat yang digunakan. Selepas itu dia kata kandungan silver nitrate yang digunakan dalam dakwat itu telah dikurangkan peratusannya. Orang yang paling menyokong kenyataan Pengerusi SPR dalam hal ini ialah Ketua Penerangan UMNO. Namun demikian, rakyat yang celik maklumat tidak dapat menerima kedua-dua kenyataan tersebut. Mereka terus heboh memperkatakannya. Di tengah-tengah kehebohan itu, Pengerusi SPR mengumumkan tentang penubuhan sebuah jawatankuasa penyiasat mengenai kes tersebut. Walaupun tiada apa-apa berita yang dikeluarkan oleh jawatankuasa tersebut, sekali lagi Pengerusi SPR buat gempar. Dia menyatakan kekecewaan yang amat sangat terhadap dakwat kekal yang gagal berfungsi itu. Baginya itulah pengalaman pahit yang tidak dapat dilupakan sepanjang kariernya. Pengakuan tersebut menyebabkan rakyat meminta supaya pentadbir atasan SPR meletakkan jawatan. Pelbagai dalih dinyatakan untuk mempertahankan diri.


Sekali lagi kes ini menggemparkan negara. Kali ini berlaku di Dewan Rakyat yang sedang bersidang untuk kali pertama pascaPRU Ke-13. Jawapan menteri kepada soalan yang dikemukakan oleh wakil rakyat pembangkang menyentak pemikiran semua orang. Dakwat kekal itu bukan sahaja tidak mempunyai bahan kimia dan mahal harganya malahan juga hanya dicampur dengan pewarna makanan yang dibenarkan. Dakwat kekal Malaysia ialah dakwat yang dicampur dengan pewarna makanan. Harganya mencecah RM7.1 juta. Ketika semua orang masih terpinga-pinga dengan kenyataan itu, menteri yang lain pula muncul mengatakan bahawa ada bahan kimia dalam dakwat itu tetapi peratusannya telah direndahkan untuk tidak menjejaskan kesihatan pengundi. Itulah keunikan Malaysia. Pada hari yang sama dan di tempat mulia yang sama rakyatnya dapat mendengar dua hal yang saling bertentangan. Sekejap tiada. Sekejap ada.   


Keanehan itu ditambah pula dengan kenyataan tidak cerdik Setiausaha Agung UMNO. Dia kata Malaysia tidak perlu dakwat kekal macam di negara-negara dunia ketiga. Cukup dengan kad pengenalan saja sebagai bukti pengenalan diri dalam pilihan raya. Dia sebut India sebagai contoh. Rakyat mengetawakan kepandirannya. Hal lain yang orang cakap, dia pula cakap hal lain. Dia bukan saja terkeluar tajuk malahan juga merendah-rendahkan negara lain. Betulkah Malaysia lebih maju daripada India? Walaupun dia tidak sebut Indonesia, kita semua tau Indonesia juga menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umumnya. Adakah pengucap ini mempunyai statistik yang autentik tentang pengundi India dan Indonesia yang terjejas kesihatan mereka kerana dakwat kekal? Ternyata dia bercakap untuk membela badan yang telah berusaha keras memenangkan partinya.


Dakwat kekal digunakan untuk mengelakkan pengundi mengundi dua kali. Jika benar Malaysia bukan lagi tergolong dalam kategori dunia ketiga, apakah langkah yang akan diambil oleh Kerajaan UMNO/BN untuk mengekang undi dua kali itu? Mampukah Malaysia menggunakan pengimbas kad pengenalan yang dapat mengenap pasti pemilik sebenar, mengecam kad pengenalan palsu, dan orang yang cuba mengundi dua kali? Atau jika sudah menjadi negara maju, mampukah Malaysia menggunakan sistem biometrik seperti yang digunakan oleh negara-negara maju itu? Usahlah bermimpi jika hendak mengurangkan defisit dalam bajet dan hutang negara pun masih terkial-kial   


Hingga ke tahap ini, rakyat sudah boleh membuat kesimpulan. Dakwat tidak kekal itu terpaksa digunakan untuk memuaskan hati pihak yang keras mendesak penggunaannya. Pelaksanaannya telah membolehkan kesempatan diambil untuk merembat wang rakyat (pembayar cukai). Rakyat Malaysia telah ditipu dalam terang melalui kes ini. Kesalahan yang dilakukan oleh SPR ini amat besar. Mereka tidak boleh terus dibiarkan berdolak-dalik dalam hal ini. SRP telah kehilangan kualiti, kredibiliti, dan integriti. Mereka perlu meletakkan jawatan. Biarkan muka-muka baru yang lebih berwibawa mentadbir badan itu seneutral mungkin.      

No comments:

Post a Comment