Sunday, June 23, 2013

DI MANA DAN SIAPA YANG MEMENANGKAN UMNO ?



Dalam PRU Ke-13 yang lalu, UMNO mengemukakan 122 orang calon. Namun demikian, 88 sahaja yang menang. Kejayaan inilah yang ditonjolkan oleh UMNO untuk mengubat pelbagai kekecewaan yang dialami Najib. Dia jauh lebih lemah daripada Pak Lah. Harus diingat bahawa apa-apa juga yang dibuat oleh UMNO, kelemahan Najib takkan boleh disembunyikan. Bangkai gajah takkan dapat ditutup dengan nyiru.

Di mana UMNO menang? Siapakah Melayu yang menyokong UMNO? Kedua-dua persoalan ini amat menarik untuk diperjelaskan. Majoriti kerusi yang ditandingi UMNO terletak di luar bandar. Majoriti pengundinya Melayu. Kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat yang ditandingi UMNO semuanya kecil-kecil. Tugas itu dilakukan oleh SPR atas arahan UMNO. Sebab itulah UMNO/BN perlu dapat 20% undi sahaja untuk menang mudah 112 kerusi supaya kembali berkuasa melalui persempadanan semula selepas tersentak dengan keputusan PRU Ke-11.

Pada hakikatnya, majoriti Melayu yang menyokong UMNO sehingga mereka dapat 88 kerusi itu terdiri daripada Melayu yang dengan sengaja dimiskinkan dan dipinggirkan daripada arus perdana pembangunan. Oleh sebab itu, golongan tersebut akan terus mengharapkan bantuan, kurang maklumat, mudah digula-gulakan dan ditakut-takutkan. UMNO telah menggunakan senjata ini dengan berkesan. Melayu jenis ini boleh dibeli dengan BR1M dan wang RM1,000.00 sahaja. Perkara seumpama ini tidak berlaku di kawasan-kawasan bandar majoriti Melayu dan kawasan-kawasan pinggir bandar, kecuali Kangar dan Johor Bahru.

Sampai bilakah Melayu jenis ini akan memberi sumbangan kepada UMNO yang tidak pernah ikhlas itu? Ini satu lagi persoalan yang perlu direnungi dengan teliti. Adakah mereka akan terus mampu menyumbang kepada kemenangan UMNO dalam PRU Ke-14 nanti? Ini juga perlu diperhalusi. Yang pasti jumlah mereka yang semakin tua itu akan menjadi semakin kecil jumlahnya ketika itu. Situasi ini akan diikuti oleh pewujudan kawasan-kawasan pinggir bandar yang baru. Melayu yang maju akan bersikap lebih progresif dan selektif. Mereka akan lebih cenderung kepada pembentukan persekitaran politik dan ekonomi yang bertunjangkan keadilan dan berkebajikan. Sehubungan itu, mereka akan menolak rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, dan seumpamanya. Maka ada harapan untuk perubahan kepemimpinan pada masa itu.

No comments:

Post a Comment