Wednesday, June 19, 2013

PERANG PERSEPSI ?

Perdamaian nasional: Najib gagal, Umno BN kalah

Lim Kit Siang

 
‘Perdamaian nasional’ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan gagal dan Umno BN akan benar-benar kalah dalam PRU14 jika beliau terus menganggap bahawa Barisan Nasional memenangi PRU13 tetapi kalah dalam ‘perang persepsi’ sepertimana yang beliau sebutkan dalam pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta kelmarin.
Menurut Najib, Barisan telah menjalankan banyak transformasi dari segi pelaksanaan perkhidmatan sejak empat tahun lalu dan telah memenangi PRU13, tetapi ia kalah dalam perang persepsi berikutan fitnah dan pembohongan yang telah disebarkan oleh Pembangkang menerusi media alternatif yang lebih dipercayai orang berbanding kebenaran dalam media arus perdana.

Kata Najib: “Untuk pilihan raya umum berikutnya, Barisan mesti mempersiapkan diri untuk terlibat dalam perang persepsi”.

Apakah Najib sebenarnya menjanjikan lebih banyak pembohongan Umno BN di ruang siber dalam masa lima tahun mendatang, walaupun 10,000 cybertrooper Umno BN yang dilatih dalam siri Konvensyen Media Sosial 1Malaysia yang dianjurkan di seluruh Malaysia, melibatkan ratusan juta ringgit wang rakyat, telah gagal sama sekali?

Saya tidak ingin membela media alternatif, tetapi apakah Najib sanggup menubuhkan suruhanjaya penyiasatan bebas untuk mengenalpasti mengapa media arus perdana telah hilang kredibiliti dan wibawa sehingga media alternatif lebih mendapat tempat?

Biarkan suruhanjaya bebas itu meneliti pembohongan media arus perdana Umno BN, termasuk Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian, atau Star yang mendakwa DAP telah mendanai “Tentera Kacang Merah” yang mempunyai 300 hingga 3,000 cybertrooper dan membelanjakan RM108 juta hingga RM1 bilion sejak enam tahun lalu untuk memburuk-burukkan para pemimpin Umno BN.

Sampai sekarang ini lidah Umno Utusan Malaysia masih terus menerbitkan pembohongan tentang DAP yang kononnya mendanai ‘Tentera Kacang Merah’!

Dalam PRU13, Umno BN kalah undi majoriti tetapi menang majoriti kerusi parlimen kerana bagi para pengundi Umno BN gagal menangani isu nasional tentang Malaysia yang selamat, bersih, telus dan moderat. Najib masih berjaya memegang kuasa kerana tiadanya sistem pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.

Cakap-cakap Najib tentang ‘transformasi’ semuanya kosong, seperti yang dapat kita lihat pada hakikat bahawa rakyat Malaysia kini tidak merasa selamat di tempat-tempat awam dan bahkan dalam rumah sendiri berikutan peningkatan kadar jenayah yang tidak terkawal, sehinggakan buat kali pertama rakyat Malaysia tidak merasa selamat untuk keluar makan di restoran dan kedai makan terbuka.

Mampukah Najib, Menteri Dalam Negeri yang baru, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Khalid Abu Bakar, bersimpati dengan komen berikut yang ditulis oleh pengunjung blog saya?

“Darah saya mendidih hari ini apabila membaca berita tentang polis yang menyediakan pemeriksaan setiap jam ke atas mesin ATM!!!

“Mengapa? Keselamatan mesin ATM adalah tanggungjawab pihak bank.

“Di mana keutamaan PDRM? Orang ramai dirompak, ditetak, dirogol, dan bermacam-macam lagi cara harta benda dan tubuh-badan mereka dijejaskan, tetapi polis lebih bimbang tentang mesin ATM kepunyaan bank?

“Bank membayar lebih banyak cukai? Mesin ATM lebih penting daripada nyawa manusia?

“Kita telah sampai ke peringkat di mana jalan-jalan awam ditawan oleh penjenayah dan kita tidak lagi berani keluar rumah.

“Bagi saya kalau polis meronda setiap dua jam sekali di kawasan awam yang menjadi tempat tumpuan jenayah pun sudah cukup.

“Dan di mana sekian banyak motosikal yang baru-baru ini diberikan kepada polis dengan segala publisiti, untuk membantu mereka melakukan rondaan?

“Saya TIDAK PERNAH melihat walaupun seorang anggota polis di jalan berhampiran rumah saya, sama ada polis bermotor atau berkereta, sejak enam bulan lalu. Padahal rumah saya hanya berjarak 2 km dari sebuah stesen polis yang pembukaannya dirasmikan dengan penuh meriah tidak sampai 3 tahun lalu.”

Boleh Zahid atau Khalid menjawab persoalan-persoalan ini?

Maka hairankah kita jika buat kali pertama dalam sejarah negara kita yang berusia 56 tahun ini dan setelah 13 pilihan raya umum, legitimasi seorang Perdana Menteri dipertikaikan secara meluas di kalangan rakyat Malaysia?

Lim Kit Siang ialah Penasihat DAP Kebangsaan dan Ahli Parlimen Gelang Patah.

No comments:

Post a Comment