Monday, June 3, 2013

UMNO JUARA PENGUBAHAN WANG HARAM

Malaysia Juara Pengubah Wang Haram Berpusat Di Amerika Syarikat




Perkhidmatan kiriman wang tidak berlesen di Malaysia didakwa menjadi sebahagian daripada operasi besar pengubahan wang haram berpusat di Amerika Syarikat yang bernilai US$6 bilion (RM18.3 bilion).
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata reputasi buruk Malaysia sebagai juara aliran wang haram per kapita menjadi dalil kukuh kegagalan Barisan Nasional (BN) dan Bank Negara melenyapkan rasuah dan mencegah pengubahan wang haram di Malaysia.

Katanya, ketika berada di London beliau sedih apabila membaca laporan akhbar New York Times bahawa skim pengubahan wang haram yang beroperasi di bawah Liberty Reserve memiliki jutaan pelanggan di seluruh dunia yang ‘bersifat penjenayah’ itu melakukan 55 juta transaksi dalam tempoh tujuh tahun lalu.

“Dalam kes pengubahan wang haram dalam talian terbesar dalam sejarah, Liberty Reserve bergantung sepenuhnya kepada penukar pihak ketiga untuk menerima dan membuat bayaran bagi pihak mereka, yang selalunya adalah ‘usahawan pengirim wang tidak berlesen yang tidak mempunyai badan pemantau kerajaan atau undang-undang yang signifikan, berpusat di Malaysia, Rusia, Nigeria dan Vietnam’.

“Global Financial Integrity Report yang berpengkalan di Washington menyenaraikan negara China di tangga pertama dalam aliran keluar wang haram yang selalunya berunsur rasuah berjumlah US$2.8 trilion dan Malaysia berada pada kedudukan kelima di dunia dengan US$291 bilion. Namun atas dasar per kapita, China kalah kepada juara dunia Malaysia dengan hanya RM6,400 seorang setahun berbanding RM32,000 bagi Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, di England, malangnya Malaysia mempunyai sejarah silam apabila warganya ada yang menjadi ‘bookie’ mengatur perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris.

Menurutnya, reaksi negatif daripada hal itu kini kian pudar berikutan kesan positif pembabitan Malaysia dalam pemilikan kelab Liga Perdana Inggeris seperti Queen Park Rangers dan Cardiff City.

Beliau berkata, malangnya, budaya rasuah kerajaan Malaysia dan kurangnya ketelusan kewangan serta akauntabiliti menyebabkan Malaysia menjadi fokus dunia sebagai pusat operasi pengubahan wang haram global.

“Reputasi antarabangsa Malaysia kini lebih teruk daripada Thailand atau Indonesia dan hampir sebaris dengan negara seperti Nigeria dan Rusia dalam hal pengubahan wang haram.

“Masanya sudah tiba bagi Kerajaan Persekutuan BN berhenti hidup dalam penafian dengan melaksanakan reformasi kewangan yang tulen untuk membersih dan menghentikan aktiviti jenayah aliran keluar wang haram serta pengubahan wang haram.

“Jika tidak, tidak ada ertinya Bank Negara mendapat pelbagai penghargaan untuk apa yang disangkakan sebagai pengurusan ekonomi yang baik sedangkan isu sebenar berkaitan ketelusan dan akauntabiliti tidak boleh diuruskan,” ujarnya

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan tidak boleh terus bergantung kepada negara luar seperti Hong Kong untuk menyiasat dan menahan mereka yang terbabit menyeludup puluhan juta ringgit.-Roketkini

No comments:

Post a Comment