Friday, July 12, 2013

PAS KELANTAN PUN BINA MASJID



Sultan Muhammad V rasmi Masjid Beijing RM8.8 juta



Masjid Beijing yang diilhamkan bekas Menteri besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menonjolkan seni bina Cina pada 2005, dirasmikan Sultan Muhammad V malam tadi.

Masjid berharga RM8.8 juta itu dinamakan secara rasmi Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, kelihatan dari jauh seperti tokong cina.

Siap dibina pada 2009, kini ia menjadi tumpuan pelancong, memandangkan kedudukannya di pintu masuk dari selatan Thailand.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakub berkata, kewujudan masjid seni bina Cina mencerminkan Islam milik pelbagai kaum dan bukan milik orang Melayu semata-mata.

"ini sesuai kerana Kelantan dikenali dengan imej Islam zaman lampau yang bermula daripada sultan-sultan sebagai payung agama kepada rakyat.

"Malah tuanku sultan menjadi pemangkin kepada rakyat ," katanya ketika berucap pada majlis perasmian masjid berkenaan.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Mufti Datuk Shukri Mohamad dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Program bermula dengan solat Maghrib berjemaah. Acara perasmian berlangsung di pekarangan masjid selepas itu.

Program perasmian yang dihadiri ramai penduduk tempatan berakhir dengan solat Isya.

Ahmad juga berkata kerajaan negeri berjaya menyiapkan pembinaan Masjid Jubli Perak di Paloh, Gua Musang membabitkan kos sebanyak RM3 juta.

Selain itu, Masjid Jubli Perak di Lojing sedang dalam pembinaan pula melibatkan kos sebanyak RM3.8 juta.

Manakala masjid di Kampung Chenulang, Kuala Krai pula yang dijangka siap tidak lama lagi melibatkan kos sebanyak RM500,000.

"Tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi membina dan membaiki masjid," katanya.

No comments:

Post a Comment