Tuesday, July 2, 2013

POLITIK MALAYSIA TERKINI (2)


Di negara kita ada 222 kerusi Dewan Rakyat. Semua kerusi itu terletak dalam kawasan yang dibahagikan kepada lima kategori, iaitu Bandar Majoriti Cina, Bandar Majoriti Melayu, Bandar Campuran, Separa Bandar, dan Luar Bandar. Jumlah kerusi bagi kategori-kategori kawasan itu ialah Bandar Majoriti Cina (16), Bandar Majoriti Melayu (16), Bandar Campuran (13), Separa Bandar (54), dan Luar Bandar (123). Ini bermakna, kawasan-kawasan bandar di negara kita diperuntukkan sebanyak 99 kerusi. Sehubungan itu, 55.4% kerusi Dewan Rakyat dalam Parlimen Malaysia terletak di luar bandar. Kerusi selebihnya berjumlah 44.6%.

Dalam PRU Ke-13 yang lalu, BN tidak memenangi sebarang kerusi di Bandar Majoriti Cina. Mereka memenangi 4 kerusi di Bandar Majoriti Melayu, 1 kerusi di Bandar Campuran, 20 kerusi di Separa Bandar, dan 108 kerusi di Luar Bandar. Kesemuanya berjumlah 133 kerusi.

PR memenangi kesemua 16 kerusi di Bandar Majoriti Cina, 12 kerusi di Bandar Majoriti Melayu, 12 kerusi di Bandar Campuran, 34 kerusi di Separa Bandar, dan hanya 15 kerusi di Luar Bandar. Kesemuanya berjumlah 89 kerusi.

PRU Ke-13 menyaksikan cengkaman kuat PR ke atas kawasan bandar dan penguasaan kukuh BN ke atas kawasan luar bandar. Senario sedemikian mengundang banyak persoalan. Nampaknya PR menguasai kawasan-kawasan maju, separa maju, dan sedang membangun. BN menguasai kawasan luar bandar yang serba kekurangan. Pola sedemikian memperlihatkan kepada kita pergeseran yang nyata antara bandar dan luar bandar.

Jika kita mengambil kira kedudukan sosio-ekonomi antara kedua-duanya, lebih banyak perkara akan muncul ke permukaan. Banyak perubahan akan berlaku dari sekarang hingga tahun 2018 nanti. Pertambahan penduduk dan pembangunan akan mendorong pembentukan lebih banyak Bandar Campuran dan Separa Bandar pada masa mendatang. Sehubungan itu, kawasan-kawasan pilihan raya di Luar Bandar akan menjadi semakin sedikit. Pertambahan kawasan Bandar Campuran dan Separa Bandar sudah pasti menguntungkan PR. Pengurangan kawasan-kawasan Luar Bandar akan menjadi mala petaka kepada BN. Pada masa ini terdapat 99 kerusi dalam kategori Bandar Majoriti Cina, Bandar Majoriti Melayu, Bandar Campuran, dan Separa Bandar. Kawasan-kawasan ini, terutamanya Bandar Campuran dan Separa Bandar akan terus berkembang. Jika terdapat pertambahan 4 kawasan Bandar Campuran dan 6 kawasan Separa Bandar, jumlah kawasan dalam kategori tersebut akan menjadi 109 kerusi. Oleh sebab itu, kawasan Luar Bandar hanya tinggal 113 kerusi. Jumlahnya tetap 222 kerusi seandainya persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak direalisasikan.

Berasaskan situasi semasa, Pakatan mampu menguasai 97 daripada 109 kerusi tersebut. Pakatan akan mendapat majoriti mudah jika mengekalkan 15 kerusi Luar Bandar yang mereka menangi dalam PRU Ke-13. Namun, sudah pasti pengundi-pengundi bermaklumat dan pengundi-pengundi baru di 109 kawasan itu ingin melihat keputusan yang lebih baik daripada yang disebutkan itu. Jika hal sedemikian berlaku, Pakatan akan mencapai kemenangan yang lebih bergaya dalam PRU Ke-14 nanti. Sementara menunggu saat itu, sama-samalah kita lihat apa-apa yang akan dilakukan oleh SPR berkaitan persempadanan semula kawasan pilihan raya. Yang pasti berlaku ialah Pakatan takkan mau melihat pisang berbuah bukan saja dua kali malahan juga berkali-kali seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

No comments:

Post a Comment