Monday, July 15, 2013

POLITIK MALAYSIA TERKINI (3)



123 kerusi  atau 55.4% daripada 222 kerusi Dewan Rakyat Malaysia terletak di kawasan luar bandar. Hal ini agak mengecewakan kerana kita sudah 56 tahun merdeka. Walau bagaimanapun, bukan kekecewaan itu yang hendak dibincangkan di sini. Dalam PRU Ke-13 yang lalu, BN kembali berkuasa setelah memenangi 108 atau 87.8% kerusi luar bandar dan 25 kerusi di kawasan bandar. Sehubungan itu, sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa cengkaman BN teramat kuat di luar bandar.  Jika hal ini terus kekal, Pakatan tidak akan berpeluang menjejakkan kaki ke Putrajaya selepas PRU Ke-14 nanti.


Hakikatnya tidak banyak usaha yang dilakukan oleh BN di kawasan-kawasan tersebut setelah 56 tahun mencapai kemerdekaan. Oleh sebab itu, kawasan-kawasan luar bandar sama ada di Semenanjung Malaysia apatah lagi di Sabah dan Sarawak masih mundur. Penghuni-penghuninya belum mendapat kemudahan bekalan air bersih, bekalan elektrik, dan jalan raya yang sempurna. Tidak hairanlah jika mereka terus dibelenggu kemiskinan, bukan sahaja kemiskinan harta benda malahan juga kemiskinan akal fikiran dan maklumat.


Lantaran itu, ada pihak yang mendakwa BN sengaja membiarkan kawasan-kawasan luar bandar berada dalam keadaan sedemikian supaya penghuninya terus bersandar kepada bantuan UMNO/BN demi kelangsungan hidup. Tugas itu tidak menimbulkan banyak masalah kepada UMNO/BN kerana dengan sedikit sumbangan berupa barangan dan wang ringgit sahaja golongan tersebut tidak mungkin menjadi kacang yang lupakan kulit.   


Di samping itu, kekurangan yang ada dalam diri penduduk luar bandar telah dipergunakan semaksimum mungkin oleh UMNO/BN untuk menguntungkan diri sendiri.  Oleh sebab orang kampung tidak menerima apa-apa maklumat daripada sumber lain selain akhbar, radio, dan televisyen yang dikuasai UMNO/BN, maka mereka dipasak dengan ancaman DAP terhadap orang Melayu dan agama Islam serta kehilangan kuasa politik Melayu sekiranya Pakatan memerintah. Isu perkauman dan politik menakut-nakutkan ini mudah meresap ke dalam jiwa Melayu kampung apabila mereka diberikan gula-gula politik seperti BR1M. Pemberian itu menjadi alat politik yang berkesan untuk menunjukkan bahawa UMNO sahaja yang mampu membela orang Melayu dan Islam biarpun hakikatnya tidak begitu.


Orang kampung tidak tahu pemimpin UMNO menghina Islam. Orang kampung tidak tahu UMNO sebuah parti rasuah. Orang kampung tidak tahu tentang ketirisan berbilion ringgit yang dilakukan kerajaan UMNO/BN. Orang kampung tidak tahu penyelewengan yang dilakukan UMNO terhadap Saham Khas Bumiputera sehinga wang berjumlah RM54 bilion susut hingga tinggal RM2 bilion. Orang kampung tidak tau Dr. M terlibat dalam pemberian kad pengenalan biru kepada pendatang asing. Orang kampung tidak tau bahawa kad pengenalan itu ada yang diberi dalam hutan. Orang kampung terima BR1M tetapi mereka tidak tau Najib kata wang sebanyak RM500.00 itu cukup untuk makan satu tahun. Orang kampung juga tidak tau Ahmad Maslan kata apabila BR1M yang berjumlah RM1,200 itu diberi nanti, cuma bertahan untuk 2 bulan saja. Banyak lagi yang mereka tidak tahu. Jika mereka tau sekalipun, tak tercapai pemikiran mereka untuk menggambarkannya. Tahap pemikiran yang rendah itu menyebabkan mereka tidak dapat menerima sanggahan yang dibuat oleh Pakatan.


Orang kampung tidak dapat merasa betapa peritnya kehidupan orang bandar yang menghadapi kenaikan harga barang, kenaikan pelbagai sewaan, dan sebagainya kerana mereka tidak mengalaminya. Orang kampung hidup seadanya tanpa banyak karenah. Oleh sebab itu, mereka terus menghadiahkan 108 kerusi Dewan Rakyat kepada UMNO/BN.


Adakah trend ini akan berkekalan? Persoalan ini mengundang pelbagai pandangan dan pendapat diutarakan. Pertama, perubahan akan berlaku akibat pembangunan. Pembangunan akan menukar kawasan Luar Bandar tertentu menjadi Separa Bandar. Pembangunan akan menukar kawasan Separa Bandar tertentu menjadi Bandar. Kedua, sejajar dengan itu, berlaku juga peningkatan pemikiran, ekonomi, sosial, dan politik. Peningkatan pemikiran dan taraf hidup menjadikan penghuninya terdedah kepada pelbagai maklumat yang memungkinkan mereka melakukan pencernaan demi menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Ketiga, warga yang terbuka mindanya tidak mudah diperkotak-katikkan. Golongan seperti inilah yang akan memberi bencana kepada UMNO/BN sekiranya komponen itu terus mempertahankan keangkuhan mereka.


Walau bagaimanapun, kesemua hal yang disebutkan itu sukar untuk direalisasikan di Sabah dan Sarawak. Pertumbuhan yang perlahan dan keterbelakangan infrastruktur akan terus menjadi batu penghalang ke arah perubahan yang diharap-harapkan. Apa-apa pun Pakatan perlu bersedia menghadapi kekurangan tersebut. Harus diingat bahawa bandar-bandar utama di kedua-dua negeri itu akan terus berkembang. Demikian juga dengan kawasan-kawasan di sekitarnya. Hal ini akan memberi kesan positif kepada Pakatan.


No comments:

Post a Comment