Wednesday, July 3, 2013

POLITIK MALAYSIA TERKINI



Tsunami Cina, Apa lagi Cina mau? , dan 51% VS 47% merupakan petanda-petanda penting dan utama pascaPRU Ke-13. Satu pihak melaungkan rekonsiliasi nasional (kerukunan nasional) sebagai isyarat kepada perpecahan kaum yang dianggap sudah berlaku. Satu pihak yang lain menyeru BN berhenti menggunakan isu perkauman dan politik menakut-nakutkan Melayu.

Perihal kejayaan UMNO memperoleh 88 kerusi dalam PRU Ke-13 merupakan manifestasi daripada penggunaan isu perkauman dan politik menakut-nakutkan. Sungguhpun UMNO hanya disokong oleh tiga juta pengundi Melayu atau kira-kira 20% undi popular, namun itu sudah cukup untuk membolehkan UMNO/BN menguasai 112 kerusi Dewan Rakyat untuk mendapat majoriti mudah. Kita perlu sedar bahawa semua kerusi itu mempunyai jumlah pengundi yang kecil. Hal ini berlaku akibat persempadanan semula kawasan pilihan raya selepas prestasi buruk UMNO/BN pada tahun 1999. Harus diingat bahawa bukan sahaja tiada pertambahan kerusi untuk kawasan majoriti Melayu untuk Kedah, Kelantan, dan Terengganu dalam proses yang tujuannya untuk mengekang kemaraan PAS malahan juga kawasan yang ramai penyokong PAS dimasukkan ke dalam kawasan bermajoriti Cina. Pada masa itu, pengundi Cina merupakan talian hayat kelangsungan kuasa politik UMNO/BN.

Ternyata UMNO/BN menang besar dalam PRU Ke-11 yang menjulang tinggi nama Pak Lah. Walau bagaimanapun, pemimpin-pemimpin Melayu bersikap lupa diri dengan kejayaan tersebut. Apabila kepentingan diri lebih diutamakan daripada kepentingan rakyat, bermaharajalelalah rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, pembaziran, kronisme, dan sebagainya. Rakyat menghukum mereka dalam PRU Ke-12. Tersentak dengan kejadian tersebut, Pak Lah direhatkan dan Najib melaksanakan konsep transformasi sebagai mercu tanda pentadbirannya. Di situlah terbitkan KR1M, BR1M, TR1MA, PR1MA, dan sebagainya.

Modal itu telah dimanipulasi UMNO/BN untuk memenangi hati pengundi dalam PRU Ke-13. Namun, keputusannya prestasi Najib jauh lebih buruk daripada Pak Lah yang dicap sebagai kuat tidur itu. Isu perkauman dan politik menakut-nakutkan berhasil memberi 108 kerusi Luar Bandar kepada UMNO/BN. BN tidak memenangi sebarang kerusi di Bandar Majoriti Cina, menang hanya 4 kerusi di Bandar Majoriti Melayu, menang 1 kerusi di Bandar Campuran, dan 20 kerusi di kawasan Separa Bandar. Ternyata pola pengundian di kawasan Luar Bandar memihak kepada UMNO/BN kerana orang Melayu di kawasan ini percaya bahawa tanpa UMNO negara ini akan dikuasai oleh orang Cina. Hakikatnya hanya ada 38 orang wakil rakyat Cina dari Pakatan Rakyat (29 DAP + 9 PKR) di Dewan Rakyat hari ini. Di samping itu, terdapat 10 orang lagi wakil rakyat Cina dari BN di Dewan Rakyat. Inilah antara fakta yang berjaya diselindungkan oleh UMNO/BN dari pengetahuan pengundi-pengundi Luar Bandar yang bukan saja miskin harta benda malahan juga papa maklumat.

Oleh sebab itu, keputusan PRU Ke-13 bukanlah tsunami Cina. Yang sebenarnya berlaku ialah tsunami rakyat Malaysia yang terdiri daripada kaum Cina, Melayu, India, dan lain-lain di kawasan Bandar Majoriti Cina, Bandar Majoriti Melayu, Bandar Campuran, dan Separa Bandar. Golongan bermaklumat yang mendiami kawasan-kawasan maju dan membangun ini menolak UMNO/BN yang korup dan sebagainya. Sehubungan itu, pertanyaan “Apa lagi Cina mau?” langsung tidak relevan. Ini kerana rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan membentuk 51% undi popular untuk Pakatan Rakyat itu mahukan sebuah kerajaan yang bersih dan berkebajikan. Walau bagaimanapun, golongan terbanyak ini mengalami nasib yang sangat malang kerana mereka menyokong kuat Pakatan Rakyat tetapi hanya berhasil memberikan komponen itu 74 kerusi Dewan Rakyat saja. Sumbangan 15 kerusi untuk Pakatan Rakyat dari Luar Bandar tidak cukup untuk komponen itu mengambil alih Putrajaya. Bengang dengan kemunculan 74 kerusi yang menjadi senjata makan tuan itulah yang menyebabkan Najib menggelabah dan mengeluarkan rangkai kata “tsunami Cina” dan Akhbar UMNO yakni Utusan bertanya, “Apa lagi Cina mau?”. Takkan hanya kerana itu rekonsiliasi nasional mau menjahanamkan entah berapa puluh juta RM wang pembayar cukai pulak!!!

No comments:

Post a Comment