Tuesday, August 27, 2013

DEMOKRASI PUN ADA KEPELIKANNYA



Selepas pilihan raya umum ke-13 berlalu, kenyataan menjadi semakin jelas bahawa BN hanya mendapat 47 peratus undi popular berbanding dengan Pakatan Rakyat (PR), yang memperolehi  51 peratus manakala 2 peratus lagi kepada calon bebas dan parti-parti lain. Satu kepelikan  telah wujud dalam sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Sebuah parti yang mendapat peratusan undi lebih rendah daripada lawan mereka muncul sebagai pemerintah hanya sanya kerana amalan persempadanan kawasan pilihan raya.  Harus diingat bahawa persempadanan semula yang diamalkan itu bukan sahaja tidak menunjukkan keseimbangan dalam jumlah pengundi malahan juga menafikan penambahan kerusi untuk negeri-negeri bermajoriti Melayu, iaitu Kedah, Kelantan, dan Terengganu.  Di samping itu, terdapat kawasan parlimen yang terlalu banyak pengundi  dan kawasan-kawasan yang pengundinya sedikit.  Kita telah diperlihatkan dengan limpahan pengundi di serata kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara yang turut memberi kesan kepada bilangan pengundi untuk kawasan  Dewan Rakyat. Situasi ini akan berkekalan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 jika persempadanan semula tidak dilaksanakan.   Situasi tetap tidak berbeza seandainya SPR masih menggunakan kaedah yang sama dalam persempadanan semula yang mereka uar-uarkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini akan menerajui sebuah kerajaan yang dipertahankan melalui amalan persempadanan semula kawasan pilihan raya, tetapi tidak menikmati sokongan majoriti pengundi, dan tidak boleh mendakwa mempunyai mandat rakyat.


Hakikatnya, Najib ialah PM 47Persen. Dia mengepalai Kerajaan 47 Persen. Dia perlu menerima kenyataan bahawa hanya 5.220 juta pengundi saja yang menyokongnya berbanding dengan 5.489 juta pengundi yang menyokong PR.  Rakyat Malaysia akan dapat melihat ketidakstabilan kerajaan selepas ini dengan kehadiran 89 orang Ahli Dewan Rakyat PR mengasak 133 Ahli Dewan Rakyat BN. Keadaan akan menjadi lebih gamat daripada yang ditunjukkan sepanjang penggal 2008. Rakyat akan beruntung kerana dapat melihat sesi perbahasan yang hangat dan meneliti perdebatan bagi menghakimi keberkesanan kerajaan melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada mereka.

No comments:

Post a Comment