Friday, August 23, 2013

ILUSI DAN FANTASI UMNO




Najib dengan bangganya mengatakan bahawa UMNO muncul sebagai parti terkuat selepas PRU Ke-13. Alasan yang diberikannya ialah UMNO memperoleh 88 kerusi, iaitu jumlah yang hampir menyamai pencapaian Pakatan Rakyat (DAP + PKR + PAS) yang memperoleh 89 kerusi. Kenyataan itu dikeluarkan tatkala kritikan lantang dihalakan kepadanya akibat prestasi BN yang merudum jika dibandingkan dengan pencapaian Pak Lah dalam PRU Ke-12. Setidak-tidaknya Pak Lah berasa amat lega kerana kritikan pedas yang diterimanya pada tahun 2008 dahulu ternyata tidak berasas. Pencapaian Budak-budak Tingkat 4 jauh lebih baik daripada pengendali War Room BN 2013 yang ternyata membekalkan maklumat palsu kepada Najib.

Harus juga diingat bahawa pernyataan yang dikeluarkan Najib itu semata-mata untuk mengubat kelukaan dalam jiwanya akibat prestasi yang memalukan itu. Dengan demikian, dia sengaja buat-buat lupa bahawa UMNO tidak bertanding dalam PRU Ke-13 kerana lambang keris telanjang tidak digunakan. Yang tercatat pada kertas undi ialah lambang dacing. Pengundi memangkah dacing, bukan keris telanjang! Selain itu, kenyataan tersebut telah menyerlahkan sikap tidak berterima kasih dan tidak bersyukur UMNO kepada semua pengundi yang menyokong mereka. UMNO tidak mungkin mendapat 88 kerusi tanpa disokong oleh Melayu, Cina, India, dan lain-lain kerana kerusi yang mereka menang bukan semuanya terletak di luar bandar. Ingat, UMNO juga mencapai kemenangan di kawasan separa bandar yang pengundi-pengundinya terdiri daripada bukan sahaja Melayu malahan juga Cina, India, dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia sudah faham benar dengan putar belit para pemimpin UMNO. Apatah lagi pada masa ini. Dr. M sendiri telah memutuskan bahawa UMNO/BN kena beri sokongan kepada Najib kerana komponen itu sudah tidak mempunyai alternatif lagi. Kenyataan ini sekali gus memperlekehkan semua pemimpin yang berada di bawah Najib.  Namun, seperti biasa, semuanya mengambil sikap membisu apabila dilanyak sedemikian rupa. Itulah kualiti, kredibiliti, dan integriti yang ada pada para pemimpin UMNO masa kini. Semuanya penakut dan pengecut.   

Berbalik kita kepada kes yang dibincangkan. Yang sebenarnya Najib masih berilusi dan berfantasi dengan keputusan PRU Ke-13 itu. Jika dia berada dalam keadaan sedar, dia tidak akan berkata sedemikian. Hanya orang yang berada dalam keadaan bawah sedar sahaja yang tida rasa kekok untuk mengeluarkan pernyataan yang langsung tidak relevan itu.  UMNO mendapat 3,241,286 undi dalam PRU Ke-13. Mereka sendiri telah mengisytiharkan bahawa jumlah ahli mereka ialah melebihi 3.2 juta orang.  Oleh sebab itu, tiada yang perlu dibanggakan Najib jika UMNO hanya disokong oleh ahli-ahlinya sendiri sahaja.  Harus diingat bahawa pengundi Melayu dalam PRU Ke-13 berjumlah 7.8 juta orang.  Dia kena ingat bahawa dengan kiraan itu, terdapat 4.6 juta Melayu yang tidak sokong UMNO.  Mereka menyokong Pakatan Rakyat. Di mana letaknya kemunasabahan kenyataan Najib tentang peningkatan undi Melayu yang memperkuatkan UMNO itu? Keadaan menjadi lebih buruk lagi apabila kita merujuk kepada letak duduk 3,241,286 juta undi UMNO itu. Itu bukan semuanya undi Melayu.  Kedapatan di dalamnya undi selain Melayu ialah undi kaum Cina, India, dan lain-lain. Oleh sebab itu, Najib perlu menerima hakikat bahawa undi Melayu kepada UMNO tidak pun menyamai jumlah keseluruhan ahli parti itu. Ramai ahli UMNO yang belot kerana tidak mengundi calon parti sendiri. Maka semakin berkuranglah undi Melayu untuk UMNO mengikut kemunasabahan itu. UMNO perlu menerima hakikat bahawa lebih ramai Melayu yang menyokong Pakatan Rakyat daripada UMNO/BN.      

Dalam tulisan di blog bertajuk, “Umno dahulu dan sekarang”, bekas presiden Umno itu (Dr. M) mengatakan kemenangan tipis gabungan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak boleh dikreditkan kepada peningkatan sokongan orang Melayu tetapi kerana orang Melayu takut kehilangan hak dan kedudukan istimewa mereka jika Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kuasa persekutuan dengan rakan kongsi parti majoriti Cina, DAP. Ini satu lagi ilusi dan fantasi yang terang lagi nyata. Para pemimpin UMNO terus-terusan  berpegang kepada sindrom penafian.  Mereka berusaha keras untuk menafikan bahawa UMNO hanya disokong Melayu luar Bandar yang miskin harta dan miskin maklumat.  Melayu bandar dan pinggir bandar telah bersatu hati dengan kaum Cina, India, dan lain-lain menolak UMNO/BN yang rasuah, menyeleweng, salah guna kuasa, mementingkan diri sendiri, dan sebagainya.

Walaupun diselubungi sindrom penafian, Dr. M sendiri memperakui bahawa  “Namun demikian dalam PRU14 UMNO tidak boleh harap keadaan ini berterusan.  Jika UMNO tidak bersihkan dirinya dari rasuah dan kepentingan diri, orang Melayu mungkin mencari jaguh yang lain.  Beliau menambah lagi dengan pernyataan-pernyataan yang berikut:

Bagi Mahathir, ramai orang Melayu sudah merasa meluat dengan UMNO dan mengganggapnya tidak relevan dan perlu ditolak kerana parti itu tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair. “UMNO ternampak dan memang pun benar, berjuang untuk kepentingan orang-orang tertentu di dalamnya dan ahlinya sahaja. UMNO berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan diri, untuk sagu hati, untuk poket sendiri,” tulis Mahathir dalam blognya.

Mahathir berkata pemimpin UMNO kini melariskan budaya memilih orang kurang berkobolehan untuk menyertai parti supaya kedudukan mereka tidak diancam sampai bila-bila.

“Untuk ini mereka berusaha mengurangkan kemungkinan diri mereka dicabar, kurangkan kemungkinan diganti oleh sesiapa yang lebih layak. UMNO adalah hak ahlinya, hak pemimpinnya yang sedia ada dan bukan hak orang Melayu. Setelah mereka mendapat tempat jangan benar orang Melayu lain, terutama yang memiliki kebolehan tertentu, menyertai UMNO,” selar beliau. Sekarang, Mahathir berkata UMNO sudah menjadi sebuah parti hanya untuk pemimpin dan ahli semasa, dari ketua cawangan kepada ketua bahagian.

“UMNO tidak perlu tambahan ahli, tidak perlu penyertaan sesiapa lagi kerana ahli yang sedia ada perlu memelihara habuan mereka. Jika terlalu banyak ahli, habuan perlu dikongsi. Dan habuan yang dikongsi tentulah tidak sebanyak sebelum berkongsi,” sindirnya lagi. Akibatnya, kata Mahathir, mereka terutama yang berkebolehan, yang berbakat tidak dibenar masuk UMNO lagi.

“Yang boleh menyertai hanyalah yang kurang berkebolehan dibanding dengan yang sudah ada. Oleh kerana penyertaan dalam UMNO mestilah melalui cawangan, yang boleh masuk UMNO ialah yang kurang berkebolehan dari ketua cawangan,” katanya.

Mahathir juga menyindir bahawa pemimpin-pemimpin UMNO ini sering terlupa ajal boleh sampai bila-bila masa.

“Ketua cawangan manusia biasa yang boleh diserang penyakit, bahkan boleh mati pun. Satu hari ketua cawangan terpaksa lepaskan jawatannya. Penggantinya tentulah orang yang memiliki kebolehan yang kurang darinya. Dengan itu kebolehan ketua cawangan akan merosot sepanjang masa, tiap kali pengganti mengambil alih. Dan ini akan terjadi dalam keseluruhan parti,” katanya.

Akhirnya, Mahathir berkata UMNO hanya tinggal golongan yang tidak berbakat sehingga semakin kurang ahli yang berbakat dan layak untuk menjadi calon dalam PRU.

"Calon payung terjun yang berbakat akan dikalahkan. Dengan itu pemimpin Kerajaan juga akan terdiri dari yang tidak berkebolehan,” sindirnya lagi.

“Ke mana pergi mereka yang berbakat ini?. Mereka pergi ke mana mereka di terima, tentunya parti lawan,” tambahnya lagi.

Soalnya sekarang ini adakah kepimpinan Najib yang dicap oleh Dr. M sebagai terpaksa diterima kerana ketiadaan alternatif itu mampu melakukannya?  Kini UMNO sudah terlalu lemah.  Mereka terpaksa terima bahawa majoriti Melayu menolak kepimpinan UMNO.  Majoriti Cina juga menolak kepimpinan UMNO/BN.  Begitu juga dengan kaum India.

Masa yang ada hingga 2018 tidak mencukupi untuk UMNO menanggulangi  arus deras kebangkitan rakyat menolak kepimpinan mereka.  Menjelang tahun itu, banyak perubahan akan berlaku. Melayu luar bandar yang menjadi fix deposit mereka akan semakin mengecil akibat pembentukan lebih banyak kawasan pinggir bandar. Melayu pinggir bandar yang bermaklumat, berpendidikan, dan progresif itu akan muncul sebagai pemusnah hegemoni politik UMNO di Malaysia bersama-sama Melayu bandar, kaum Cina, kaum India, dan lain-lain yang terus menjadi penyokong kuat Pakatan Rakyat.       

No comments:

Post a Comment