Wednesday, August 14, 2013

JENAYAH BERLELUASA BUKTI TRANSFORMASI NAJIB GAGAL




DAP menyifatkan kadar jenayah yang berleluasa merupakan bukti kegagalan kerajaan walaupun ia didakwa menjadi keutamaan dalam program tranformasi seperti dicanang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menegaskan kerajaan sudah tidak mempunyai masa lagi untuk berdolak dalik, sebaliknya melakukan segera langkah penyelesaian dan memandang serius kejadian jenayah yang tidak berkesudahan itu.

Katanya, kerajaan harus segera menggerakkan lebih ramai anggota polis di jalanan yang mana kini hanya terdapat 9 peratus daripada 112,583 atau 10,150 pegawai beruniform di Malaysia di bawah Jabatan Siasatan Jenayah.

Beliau berkata, lebih dari 20 orang telah terbunuh dalam peristiwa tembakan sejak April lalu termasuk yang berlaku kepada Pengasas Bank Arab-Malaysian, Hussain Ahmad Najadi sehari selepas Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan ditembak.

“Rakyat ditembak di persimpangan jalan raya yang sibuk, di lampu isyarat dan restoran oleh lelaki bersenjata melepaskan tembakan sehingga dua dozen di mana-mana sahaja, di siang hari,” ujarnya dipetik Roketkini.

Justeru, katanya kenyataan Najib tahun lalu yang menyatakan Malaysia adalah negara paling selamat di rantau ini, jelas tidak ada kebenarannya.

Statistik polis yang dikeluarkan oleh agensi pembaharuan ekonomi negara, Pemandu, menunjukkan bahawa terdapat 15,098 kes jenayah kekerasan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, ianya meningkat dari 14,811 dalam tempoh yang sama tahun lalu. Pembunuhan juga meningkat kepada 322 dalam tempoh enam bulan berbanding dengan 291 pada 2011.

Beliau turut mempersoal dari mana datangnya senjata yang digunakan penjenayah yang seolah-olah begitu mudah diperoleh walhal Malaysia mempunyai undang-undang pemilikan senjata yang ketat.

Tambahnya, terdapat sekurang-kurangnya 370,000 senapang yang dimiliki di Malaysia dengan jumlah penduduk seramai 28 juta.

Katanya, Jepun mempunyai penduduk seramai 127 juta dan 710,000 senapang.

Menurutnya lagi, Malaysia mempunyai nisbah satu senjata untuk setiap 78 orang, lebih tinggi dari Vietnam yang mempunyai nisbah 80:1.

“Hanya mereka yang mempunyai lesen saja dibenarkan untuk mempunyai senjata sendiri, sesiapa yang ditangkap memiliki senjata tanpa lesen boleh menghadapi hukuman sehingga 14 tahun penjara dan hukuman mati sekiranya mempunyai peluru hidup.

“Jadi, dari manakah senjata yang digunakan dalam kejadian tembak-menembak baru-baru ini datang?” soal beliau.

No comments:

Post a Comment